Pages

Subscribe:

17 Januari, 2011

[ hang nadim] Mendalami rahsia fadilat azan .....




Oleh Raja syahrir abu bakar
syahrir.bakar@utusan.com.my












Mohon maaf salah faham isu azan

DATUK Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin melihat Ng Kian Nam memohon maaf kepada Pengerusi Masjid Al-Ikhlasiah, Ikram Mohd. Yusuf berkenaan isu laungan azan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Nooradzrene Mohd. Noor

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Peguam yang menimbulkan kontroversi kerana mempertikaikan azan, Ng Kian Nam hari ini memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini di atas kesilapannya itu.

Katanya, perkara itu terjadi kerana beliau sebenarnya tidak tahu membezakan antara laungan azan dengan ceramah ataupun kuliah subuh.

“Saya perlu jelaskan saya tidak pernah meminta ataupun berniat untuk menghentikan atau mempertikaikan azan yang merupakan elemen yang begitu penting dalam sembahyang umat Islam.

“Saya perlu mengaku tiap-tiap orang ada kelemahannya termasuk saya. Sebagai seorang bukan Muslim, semasa saya tulis surat tersebut, saya langsung tidak tahu membezakan antara azan dan ceramah.

“Maka saya ingin memohon maaf secara tulus ikhlas jikalau kekeliruan saya ini menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak khasnya umat Islam di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis dialog dengan dua persatuan penduduk Pantai Dalam di sini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin merangkap Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai yang bertindak sebagai moderator dialog tersebut dan Pengerusi Majlis Gabungan Ayahanda-Ayahanda Wilayah Persekutuan, Zakaria Awang.

Kian Nam yang juga ahli MCA sebelum ini dilaporkan menghantar surat kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) meminta laungan azan dari Masjid Al-Ikhlasiah di Jalan Pantai Permai di sini diperlahankan kerana mengganggu tidurnya yang tinggal berdekatan.

Tindakan Kian Nam itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam sehingga mendorong lebih 100 orang mengadakan demonstrasi di pekarangan masjid tersebut pada Jumaat lalu.

Menurut Kian Nam, beliau akan berpindah semula ke rumahnya di Pantai Dalam sedikit masa lagi kerana penerimaan masyarakat Melayu dan Islam di sana yang sedia memaafkannya.

Beliau sebelum ini berpindah sementara kerana bimbangkan keselamatannya ekoran bantahan masyarakat Islam setempat.

Dalam pada itu, Raja Nong Chik memberitahu, beliau kesal dengan sikap sesetengah pihak yang mensensasikan isu agama tersebut untuk pelbagai tujuan termasuk kepentingan politik.

“Pada saya ia hanya salah faham, jadi ia sebenarnya bukanlah isu. Pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili penduduk di Pantai Dalam pun menerima hakikat ini,” ujarnya.

Sementara itu, Zakaria berkata, demonstrasi bantahan yang dianjurkan oleh pihaknya pada Jumaat lalu merupakan petunjuk bahawa kesucian dan kedaulatan Islam akan terus dipertahankan di negara ini.

Beliau bagaimanapun memuji keberanian serta keikhlasan Kian Nam yang tampil serta memohon maaf pada majlis dialog itu.

“Kalau boleh kami minta Kian Nam memberitahu rakan-rakan daripada kaum lain supaya memahami dan tidak mencampuri hal ehwal agama Islam,” tegasnya.

Iqra: Mendalami rahsia fadilat azan

SERUAN azan yang berkumandang menyeru serta mengingatkan umat Islam menunaikan kewajipan solat bukan sekadar kata-kata pujian kepada Allah dan tuntutan terhadap umat Islam melakukan apa yang disyariatkan.

Sebenarnya azan mempunyai rahsia tersendiri dan keagungan azan dibahaskan dalam buku Keagungan Azan hasil terjemahan Arifin Ladari yang membicarakan hukum azan dan iqamah serta fadilat seruan yang diperdengar apabila tiba waktu solat.

Walaupun ada perselisihan mengenai waktu disyariatkan azan kerana ada pendapat menyatakan azan disyariatkan seiring kefarduan solat, pada malam Isra' dan ketika Muslimin datang ke Madinah, yang penting ialah kaifiatnya iaitu memudahkan umat Islam mengetahui masuk waktu solat fardu.

Sementara itu, banyak fadilat dan pahala yang menjelaskan keagungan azan daripada penemuan hadis sahih antaranya pahala yang disediakan kepada muazzin, Allah mewajibkan syurga kepada orang yang azan selama 12 tahun dan kehebatannya mengusir syaitan.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila diserukan azan untuk solat, syaitan akan lari bertempiaran sambil terkentut-kentut sehingga tidak mendengar suara azan, selepas azan selesai ia kembali lagi, sehingga apabila diiqamahkan solat ia akan lari bertempiaran lagi, sehingga apabila selesai iqamah ia kembali lagi."

Begitu juga hakikat diampunkan dosa dan dimasukkan syurga kepada sesiapa yang melaungkan azan serta iqamah di tempat jauh. Malah, diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Imam memberi jaminan dan muazzin diberi kepercayaan. Ya Allah berilah petunjuk kepada imam dan ampunilah muazzin."

Buku Keagungan Azan turut menjelaskan makna kalimah azan, syarat azan serta hukum melagukan azan. Turut dibahaskan, adakah wanita disyariatkan azan dan iqamah selain apa yang perlu diucapkan ketika mendengar azan.

Dikisahkan juga dalam buku ini mengenai muazzin Nabi SAW terdiri daripada Bilal bin Rabah yang memulakan seruan azan, Amru bin Ummi Maktum al-Qurasyi yang buta, Sa'ad al-Qaraz Maula'ammar bin Yasir dan Abu Mahdzurah atau namanya Aus bin Mu'ir al-Jumhi.

Bab tiga buku ini, Fatwa Azan dan Iqamah menampilkan soal jawab berkaitan azan menurut fatwa Syeikh Islam Ibnu Taimiyah, Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Al-Albani, Al-Lajnah Ad-Daimah dan Ibnu Jabrin.

Kesalahan dan bidaah azan juga dimuatkan seperti kesalahan muazzin pada kalimah azan daripada sebutan huruf, memanjangkan huruf tertentu serta menambah lafaz saidina ketika menyebut syahadat azan.

Malah, disebabkan kejahilan dan kekurangan ilmu, ada muazzin meninggalkan sunat azan seperti meletakkan jari pada telinga dan ada yang mempercepatkan lafaz azan hingga menyulitkan pendengar mengikuti dan menjawab atau mengulanginya.

Justeru, memiliki buku Keagungan Azan dapat menambah ilmu mengenai keagungan azan. Walaupun muazzin dilihat mereka yang sewajarnya menjadikan buku ini sebagai rujukan, setiap umat Islam digalakkan menambah ilmu pengetahuan termasuk hal berkaitan azan dan iqamah.
http://agamaberitaharian.blogspot.com/2008/06/iqra-mendalami-rahsia-fadilat-azan.html

Judul: Keagungan Azan
Penulis: Dr Sayyid Husain Al-Affani
Penterjemah: Arifin Ladari
Penerbit: Jasmin Enterprise
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM16.50


Isu arak: Pemuda Pas selar Ronnie

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Tindakan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu, mengarahkan agar larangan ke atas orang Islam untuk bekerja di premis menjual arak ditarik balik telah menyinggung perasaan umat Islam.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ia kerana, perbuatan bekerja di premis arak apatah lagi meminumnya adalah jelas diharamkan di dalam Islam.

Malah katanya, tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu merupakan langkah terpuji kerana mereka mahu menyelamatkan umat Islam daripada terjebak dalam pekerjaan yang dimurkai Allah.

"Tetapi apabila beliau (Ronnie) membantah arahan MPSJ itu, maka dengan jelas tindakan itu telah menyinggung perasaan dan sensitiviti umat Islam," kata Nasrudin ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Ronnie yang membantah peraturan MPSJ yang melarang umat Islam daripada bekerja di premis menjuak arak.

Nasrudin dalam pada itu memberitahu, Dewan Pemuda Pas Pusat tidak bersetuju dengan tindakan Ronnie itu kerana peraturan yang dibuat MPSJ itu adalah menepati syariat Islam.

Justeru ujar beliau, tidak sepatutnya larangan itu dipertikaikan kerana ia dengan jelas menyentuh sensitiviti umat Islam dan lagi pun, larangan itu hanya khusus ke atas orang Islam dan bukannya terhadap penganut agama lain.

"Sepatutnya, Ronnie perlu terlebih dahulu mendapatkan penjelasan daripada

kerajaan dan pihak terlibat tanpa mengeluarkan arahan sendiri kerana ia sebenarnya menyinggung serta mencabar sensitiviti umat Islam," katanya.

MB nafi ada arahan tarik balik

SHAH ALAM 17 Jan. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat cuba melindungi Exconya, Ronnie Liu apabila hari ini menyatakan bahawa tiada sebarang arahan menarik balik syarat larangan terhadap orang Islam bekerja di premis yang menyajikan arak.

Beliau juga menjelaskan, sebenarnya arahan tersebut bukan satu bentuk larangan sebaliknya hanya tatacara atau syarat baru yang dihantar Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kepada premis hiburan ketika mahu memperbaharui lesen dan ia tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan.

Malah katanya, kerajaan negeri juga memutuskan agar kajian terperinci perlu dibuat berhubung implikasi pelaksanaan undang-undang syariah.

Selain itu, Abdul Khalid menegaskan, sebarang langkah oleh mana-mana PBT selepas ini untuk mengadakan usaha berkaitan pematuhan Enakmen Jenayah Syariah perlu mendapat kelulusan Exco kerajaan negeri terlebih dahulu.

"Tidak ada larangan buat.., itu surat ingatan bahawa (pemilik premis hiburan) perlu menghormati keinginan kerajaan negeri mahu mengurangkan pekerja Islam di premis-premis hiburan.

"Setakat ini juga tiada peraturan kecil dan itu pun kita kena buat kajian sama ada PBT ada kuasa hendak buat (peraturan kecil), yang ada ialah syarat berkaitan pelesenan, bukannya peraturan kecil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan dengan Datuk-Datuk Bandar dan Yang Dipertua melibatkan 12 PBT di negeri ini.

Perbincangan itu adalah susulan isu larangan orang Islam bekerja di premis menyajikan minuman keras yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) minggu lalu.

Hadir sama Ronnie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri dan Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md. Ikhsan.

Laporan akhbar Khamis lalu, menyebut dua Exco kerajaan negeri dari DAP iaitu Teresa Kok dan Ronnie Liu meminta MPSJ menarik balik peraturan melarang orang Islam bekerja di premis yang menyajikan arak.

Larangan itu didedahkan oleh sebuah portal berita yang memetik Pegawai Perhubungan Awam MPSJ, Azfarizal Abd. Rashid sebagai berkata, premis perniagaan yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan kompaun atau ditarik balik lesen.

Abdul Khalid bagaimanapun menyatakan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan larangan orang Islam bekerja di premis menyediakan minuman keras.

"JAIS ada hak menguatkuasakan undang-undang ke atas pekerja Islam dan mereka boleh meminta bantuan PBT bagi melaksanakan sebarang tindakan.

"Apa yang saya cakap sebelum ini adalah atas dasar PBT dengan kita sekarang memberikan tumpuan menyelesaikan perkara berkaitan pekerja Islam di premis hiburan," katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, syarat yang dikenakan MPSJ sejak tahun lalu itu berjaya dipatuhi sebahagian besar premis hiburan apabila daripada 170 premis yang diberikan lesen, 157 premis didapati tidak lagi menggajikan pekerja Islam.

Katanya, angka pekerja Islam yang bekerja di premis hiburan di Subang Jaya hanya berjumlah kira-kira 140 orang.

Tidak boleh kerja - Nik Aziz

KOTA BHARU 17 Jan. - Selepas didakwa 'tumpas' kepada DAP dalam isu arak di Selangor, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mula 'membuka mulut' dengan membuat kenyataan yang disifatkan berhati-hati bagi menjaga hubungan parti itu dalam pakatan pembangkang.

Ia jelas apabila Menteri Besar Kelantan itu hari ini menyatakan orang Islam sewajarnya tidak dibenarkan bekerja di premis menjual arak.

Nik Abdul Aziz pada masa sama turut mengakui mengikuti dengan dekat isu tersebut yang dilaporkan secara meluas oleh media terutama Utusan Malaysia.

"Saya mengikuti dengan dekat isu larangan terhadap orang Islam untuk bekerja di premis-premis arak di Selangor seperti yang dilaporkan oleh media massa baru-baru ini.

"Di dalam hal ini, secara asasnya saya berpendapat bahawa orang Islam sewajarnya tidak dibenarkan untuk bekerja di premis-premis sedemikian yang jelas menyediakan makanan atau minuman diharamkan oleh Allah SWT," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz dalam kenyataannya itu, turut mencadangkan mana-mana badan bebas mengadakan pertemuan antara tokoh agama utama di negara ini khusus bagi merumuskan berkenaan pandangan agama masing-masing mengenai judi, arak, zina dan pergaulan bebas.

"Ini bagi memberikan gambaran kepada masyarakat Malaysia bahawa bukan hanya Islam yang mengharamkan ketiga-ketiga perkara tersebut," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mendakwa, Pas yang kononnya memperjuangkan Islam dan bercita-cita untuk menubuhkan negara Islam di Malaysia tumpas sekali lagi kepada DAP dalam isu arak di Selangor.

Ia berikutan tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor melalui exconya, Ronnie Liu membatalkan arahan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melarang orang Islam berkerja di premis menjual minuman keras dengan alasan tidak adil.

Menurut Zulkifli, larangan tersebut meskipun disokong Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali tetapi, ternyata DAP lebih berkuasa mempengaruhi kerajaan negeri.

Malah, lebih malang katanya, terdapat segelintir pemimpin Pas Selangor yang sanggup bersekongkol dengan menyokong langkah Ronnie semata-mata mahu membodek DAP apabila turut mendakwa, prosedur tindakan yang diambil MPSJ salah serta tidak Islamik

Festival agama lain pun bising - Soi Lek

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Tidak wajar untuk mendakwa laungan azan di masjid atau surau mengganggu ketenteraman penduduk bukan Islam sedangkan festival agama lain juga mencetuskan suasana bising.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, sekiranya satu mekanisme mengenai ketetapan bunyi yang dihasilkan pada majlis agama atau tempat ibadat perlu digariskan oleh kerajaan, maka ia perlu melibatkan semua agama agar ia adil untuk semua pihak.

"Contohnya, kaum Cina pasti mengadakan konsert mini bagi merayakan bulan hantu lapar pada bulan ketujuh kalendar Cina setiap tahun.

"Konsert ini sebenarnya sangat bising kerana sistem audio yang dibuka dengan kuat turut mengganggu orang lain," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Galakan Mempelajari dan Menduduki Peperiksaan Mata Pelajaran Bahasa Cina di Wisma MCA hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu, Senator Gan Ping Sieu agar Jabatan Perdana Menteri dan pemimpin agama lain mewujudkan satu mekanisme untuk mengatasi 'isu bunyi bising' perkara berkenaan.

Seorang peguam bukan Islam menyerahkan sepucuk surat kepada Jabatan Perdana Menteri pada 20 Disember lalu untuk mengadu bahawa laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi telah mengganggu ketenteraman dan meminta supaya diperlahankan.

Ekoran itu, kira-kira 100 orang berhimpun di pekarangan masjid berkenaan bagi membantah tindakan peguam yang juga ahli MCA itu pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Soi Lek menegaskan bahawa kenyataan ahli MCA itu tidak mewakili suara keseluruhan parti itu.

Katanya, MCA mempunyai kira-kira sejuta ahli dan kerana itu, apabila seseorang itu bercakap, ia tidak menggambarkan pendirian parti itu dan isu berkenaan tidak seharusnya diperbesarkan.

"Contohnya, UMNO yang mempunyai keahlian tiga juta orang tidak bermakna seseorang itu bercakap sama seperti yang diperkatakan Perdana Menteri," katanya.

Ditanya mengenai mungkin tindakan akan diambil terhadap ahli itu, Soi Lek berkata, pihaknya tidak akan menguatkuasakan disiplin terhadap apa yang diperkatakan oleh sejuta ahlinya.

"Ini kerana dia (peguam bukan Islam) mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat tetapi dia perlu faham apa dia yang sampaikan ini telah menyentuh isu yang sensitif," katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas cadangan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof supaya pengundi melantik proksi untuk menjalankan pengundian, Soi Lek berkata, pihaknya masih belum berbincang tentang perkara tersebut.

"Apa yang dikemukakan hanya pandangan SPR dan mereka juga perlu berbincang dengan semua pihak untuk mendapatkan pandangan sebelum ia boleh dikuatkuasakan," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.