11 Januari, 2011
[ hang nadim] MCA defend the interlock, there is no element of racism.....
MCA pertahan Interlok, tiada elemen rasis
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menyifatkan novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain tidak mempunyai elemen rasis seperti yang didakwa pihak tertentu.
Sebaliknya, beliau berkata, novel itu penuh dengan elemen harmoni yang bertujuan memupuk perpaduan antara kaum di negara ini berdasarkan kisah penceritaan yang berlaku pada tahun 1910, iaitu pada zaman kolonial.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang ingin meraih kepentingan peribadi dengan mempolitikkan novel tersebut supaya membacanya dengan perspektif yang betul dan rasional kerana ia menceritakan aspek sejarah.
"MCA sudah meneliti novel ini dan kami berpandangan ia sebuah novel yang memupuk perpaduan serta keharmonian antara kaum dan tiada langsung elemen rasis seperti didakwa pihak tertentu.
"Ia menceritakan kisah pada tahun 1910, istilah yang digunakan adalah cerminan pada zaman itu. Janganlah dipolitikkan, baca dengan rasional," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Beliau mengulas desakan pihak tertentu yang mahukan novel itu diharamkan daripada dijadikan teks untuk komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun ini.
Sabtu lalu, kira-kira 100 masyarakat India membakar novel itu dan salinan gambar Abdullah di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) Selangor kerana mendakwa Interlok mempunyai unsur menghina kaum itu.
Menjawab soalan provokatif seorang wartawan akhbar berbahasa Cina, apakah beliau akan berpendirian sama jika novel itu 'menghina' kaum Tionghua, Soi Lek sambil menempelak berkata, Interlok turut memaparkan kisah orang Cina.
"Novel ini bukan hanya menceritakan kisah orang India, penulisnya turut memaparkan kisah masyarakat Cina dan Melayu, jangan timbulkan isu. Sudahkah anda membaca novel ini?," soalnya sebelum wartawan itu mengakui belum membacanya.
Dalam perkembangan berasingan, Soi Lek berkata, beliau tidak gentar jika pembangkang menggunakan isu skandal video seksnya sebagai modal untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Tenang.
Jelasnya, isu tersebut sudah menjadi pengetahuan umum dan beliau sendiri mengakui mengenai perkara tersebut selain sudah mengambil tanggungjawab dengan meletak jawatan sebagai menteri Kabinet.
"Bagi saya ia bukan sesuatu perkara sulit kerana ia sentiasa ditimbulkan, saya sudah akui perkara ini dan sudah menjadi pengetahuan umum.
"Saya juga sudah mengambil tanggungjawab dengan melepas jawatan sebagai menteri Kabinet," katanya
'Dusta jika anggap Interlok tidak baik'
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Pihak yang mendakwa kandungan dalam novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain sebagai berniat tidak baik, sebenarnya berdusta kepada orang ramai.
Penulis tersohor tanah air, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin berkata, novel itu secara keseluruhannya adalah wacana pemikiran besar mengenai pembinaan satu bangsa yang disampaikan oleh pengarangnya secara kreatif dan halus.
Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menambah, dalam menilai sesebuah naskah karya, apa yang perlu diperhatikan oleh khalayak pembaca adalah pemikiran induk di dalamnya kerana itulah hasrat sebenar yang cuba disampaikan oleh pengarang.
Hal-hal lain kata beliau, seperti dialog atau imaginasi watak-watak di dalamnya hanyalah berfungsi sebagai pelengkap kepada wacana pemikiran induk tersebut.
''Bagi saya pemikiran induk di dalam karya Interlok adalah sangat luar biasa dan tiada siapa yang boleh menafikan hakikat ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai polemik buku berjudul Interlok yang diangkat sebagai salah sebuah novel untuk komponen sastera (Komsas) dalam Bahasa Melayu tingkatan lima bermula tahun ini.
Mengulas tindakan membakar novel Interlok itu, Swee Tin berkata, perbuatan tersebut langsung tidak mencerminkan kesantunan cara hidup rakyat di negara ini dan tidak wajar dibudayakan.
Sebaliknya kata beliau, pihak yang bertelagah pendapat seharusnya menyelesaikannya dengan lebih ilmiah termasuk di meja rundingan dan perlu objektif dalam menerima pandangan bertentangan mengenainya.
''Pemilihan novel Interlok adalah hasrat murni kerajaan dalam mendedahkan kesusasteraan kepada pelajar untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi mempunyai jati diri yang kukuh," kata beliau.
Begitupun di sebalik kemelut mengenai novel itu, Swee Tin lebih berminat melihat dari sudut positif yang mana katanya, masyarakat mula memberi perhatian dan menaruh minat tinggi terhadap karya sastera negara.
Perkara itu tambah beliau, adalah sesuatu yang jarang berlaku apatah lagi untuk sesebuah karya tersebut diperkatakan oleh masyarakat daripada pelbagai kaum.
Sementara itu, Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein berkata, kemelut mengenai isu novel Interlok sudah terkeluar daripada perbincangan asal apabila ia lebih menjurus kepada kepentingan politik.
''Novel ini tidak sepatutnya menjadi pertikaian hari ini kerana ia merupakan sebuah karya yang dihasilkan lebih 40 tahun lalu," katanya.
Ditanya pandangan beliau sekiranya bahagian di dalam buku itu yang didakwa menyentuh sensitiviti perkauman digugurkan, Ismail berkata, perkara tersebut menyentuh prinsip yang sensitif dalam berkarya.
Begitupun katanya, dalam menimbangkan perkara itu, perkataan-perkataan yang membawa maksud penghinaan dalam bahasa lain juga perlu diberi perhatian yang serupa.
Bagaimanapun, novel itu mendapat bantahan kerana dikatakan menyentuh mengenai sensitiviti perkauman sehingga mendorong ia dibakar oleh kira-kira 100 penduduk India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) baru-baru ini
17 NGO hantar memorandum pada PM, TPM
PUTRAJAYA 11 Jan. - Kementerian Pelajaran diminta tidak tunduk kepada desakan pihak tertentu yang enggan menerima novel Interlok sebagai teks wajib komponen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan lima.
Gesaan itu dizahirkan menerusi memorandum yang dihantar oleh 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka berpendapat isu-isu pendidikan tidak patut dipolitikkan kerana penulisan novel tersebut berdasarkan realiti keadaan masyarakat ketika itu dan cerminan situasi sejarah interaksi pelbagai kaum hingga era pencapaian kemerdekaan.
Presiden Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN) yang juga Pengerusi Koperasi Buku Malaysia (Kobuku), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, novel Interlok mampu mewujudkan jalinan persefahaman, kerjasama, timbal balik tiga kaum utama yang membawa mesej keharmonian, perpaduan dan nilai sejarah kaum-kaum di Malaysia.
"Kementerian Pelajaran perlu bertegas untuk mempertahankan kredibiliti dan integriti sistem dan pelan tindakan pendidikan yang telah dirancang.
"Kami juga menolak tuntutan supaya novel itu dipinda jika alasannya kerana wujud unsur penghinaan terhadap kaum tertentu, kerana bagi kami tiada unsur penghinaan sama sekali dalam novel ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar dan Pembangunan Pendidikan) Dr. Khair Mohamad Yusof di Kementerian Pelajaran di sini.
Antara NGO terlibat ialah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Majlis Perundingan Melayu (MPM), Majlis Kebudayaan Negeri Selangor dan Perak, Perkasa Daerah Kelang, Ikatan Persuratan Melayu dan Persatuan Kebajikan Penulis Negeri Selangor (Kemudi).
Sementara itu, Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad berkata, novel Interlok telah dikaji secara mendalam sebelum diluluskan oleh panel yang berwibawa dan diperakukan Kementerian Pelajaran, justeru adalah tidak wajar ia ditarik balik.
"Kami menggesa Interlok dikekalkan kerana ia berperanan penting dalam membina generasi muda celik sejarah dan budaya serta menjunjung tinggi perlembagaan negara.
"Kerajaan perlu bertegas terhadap pihak yang menghina Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain dan sudah sampai masanya Kementerian Pelajaran mewajibkan mata pelajaran Sastera secara lebih serius di peringkat sekolah dan universiti tanpa mengira aliran pengajian," katanya.
Ini kerana terdapat banyak manfaat yang akan diperoleh oleh pelajar memandangkan kesusasteraan terbukti memiliki nilai pendidikan, moral, kehalusan rasa, intelektualiti dan kreativiti yang dapat menjana pemikiran generasi muda.
Laporan Interlok ke Kabinet
Report to Cabinet interlock
تقرير إلى مجلس الوزراء التعشيق
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Laporan kajian semula penggunaan novel Interlok oleh pelajar tingkatan lima yang bermula tahun ini, akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet esok atau selewat-lewatnya minggu depan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Kabinet akan membincangkan laporan tersebut sebelum membuat keputusan berhubung penggunaan novel yang menjadi sebahagian daripada komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan lima itu.
Katanya, beliau yakin Kabinet akan mengekalkan penggunaan novel Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu setelah meneliti laporan yang disediakan oleh panel penilai semula, termasuk hasil pertemuan dengan penulis semalam.
"Kita sudah jumpa Abdullah dan mendengar penjelasan beliau yang memberitahu perkara sebenarnya.
"Dalam pertemuan itu, ada beberapa perbincangan yang dipersetujui bersama tetapi saya tidak boleh dedahkan hari ini. Laporan itu telah siap dan akan dikemukakan di mesyuarat Kabinet sama ada esok atau minggu depan setelah Timbalan Perdana Menteri pulang daripada lawatan rasmi di Amerika Syarikat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan al-Quran Antarabangsa 2011 kali pertama di Universiti Malaya di sini hari ini.
Mohd. Puad bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada beberapa perkataan kontroversi dalam novel itu bakal dipinda.
''Saya tidak tahu keputusan Kabinet nanti bakal memuaskan hati kedua-dua belah pihak atau tidak.
''Saya juga tidak boleh mendedahkan berhubung beberapa cadangan yang dikemukakan dalam laporan tersebut sehingga Kabinet mengumumkannya, tetapi saya yakin buku itu akan kekal digunakan," katanya.
Mohd. Puad berkata, novel tersebut sebenarnya tidak wajar dipolitikkan dan tindakan membakarnya merupakan satu penghinaan seolah-olah disamakan dengan penulis buku berjudul Satanic Verses oleh Salman Rushdie.
''Apakah Sasterawan Negara kita itu sedemikian rupa kedudukannya?.
''Ini adalah penghinaan yang cukup nyata yang sepatutnya tidak berlaku oleh kerana didorong emosi dan dipolitikkan sehingga penulis menjadi mangsa.
''Bagaimanapun kita tidak akan terpengaruh dengan tindakan sebegitu rupa kerana kita ambil tindakan melalui perbincangan. Sebab itu kita berjumpa dengan panel itu semula termasuk meminta pandangan daripada ahli akademik India dan akhirnya atas arahan Kabinet, kita jumpa penulis," katanya.
Apa yang penting, katanya, adalah tanggungjawab guru untuk mengolah buku tersebut sekali gus mendidik anak bangsa tentang masyarakat berbilang kaum melalui pengajaran daripada tiga watak yang dikemukakan dalam novel itu.
''Perkara itu yang sepatutnya menjadi pengajaran bukannya mengajar anak bangsa dengan perbuatan biadab membakar buku tersebut, seolah-olah mengetepikan sama sekali unsur-unsur dan nilai kemanusiaan serta pendidikan untuk menyatukan bangsa," katanya.
Rais: 'Biarkan perenggan itu.....'
'Let the paragraph ...Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 11 Jan. - "Biarkan paragraph (perenggan) (Datuk) Abdullah Hussain itu, ia tidak usik orang."Sesebuah novel perlu dibaca dan dipolemik dalam konteks plot dan subplotnya."
Demikian pandangan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang terpanggil mengulas polemik yang dicetuskan oleh sekumpulan penduduk kaum India terhadap novel Interlok, karya Abdullah.
Rais berkata, sesebuah novel apatah lagi buku bertaraf sastera tidak harus dipotong sana sini segmennya hanya semata-mata untuk menyesuaikan dengan teguran semasa, sekali pun atas nama 'sensitif'.
"Perkataan 'paria' memang sedia ada dalam kamus dan budaya masyarakat India, baik di Malaysia mahupun di India dan Sri Lanka.
"Dalam kamus Inggeris pun istilah itu ada seperti mana juga perkataan 'Kalinga' di benua Keling dalam hikayat-hikayat lama.
"(Jadi) Interlok harus dinilai dalam konteks olahan Abdullah Hussain. Itu karyanya, itu sasteranya. Beliau tidak maki orang, beliau cuma mengisahkan satu cebisan sejarah sosial," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi kontroversi kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada kandungan muka surat 211 dan 220.
Rais menarik perhatian bahawa orang Melayu pernah dijelekkan dengan sifat kata 'malas' oleh sebuah ensaiklopedia Inggeris.
"Dari tahun 1948 hingga awal 1959 begitu. Penulis besar Amerika Mark Twain menggunakan istilah 'nigger' terhadap warga kulit hitam Afrika dalam bukunya Huckleberry Finn.
"Istilah itu tidak dikeluarkan walaupun dihujahkan oleh pelbagai pihak," katanya.
Malah, beliau turut mengimbas sekitar 18 tahun lalu di mana Shahnon Ahmad menulis buku Shit.
Kata Rais: "Sepatah pun tak diubah walaupun penulisnya dicemuh."
"Mendiang Tan Sri MG Pandithan mengakui dirinya sebagai seorang bertaraf 'paria' tapi namanya dijulang masyarakat India dari Perlis sampai ke Sabah," tambah Rais.
Ia kemudian disusuli dengan gesaan supaya kerajaan mengharamkan dan menarik semula novel itu daripada dijadikan bahan rujukan di sekolah.
Baru-baru ini, bantahan terhadap novel itu diikuti dengan tindakan kira-kira 100 penduduk berketurunan India mengadakan demonstrasi sambil membakar novel Interlok di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran, Klang.
Nukilan hati hang nadim
Usah mengubah sejarah walaupun kita membencinya.....sebab
sejarah ada fakta.....bukan auta.....kalau tak mahu
baca tak tahulah...."?????
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.