Pages

Subscribe:

04 Januari, 2011

[hang nadim] Tokoh Hijratul Rasul Kelantan meninggal.....



KOTA BHARU 3 Jan. - Tokoh Hijratul Rasul 1431H Kelantan, Salamah Hassan meninggal dunia hari ini pada usia 79 tahun setelah koma sejak Jumaat lalu.

Bekas guru agama tersohor ini menghembuskan nafas terakhir di rumah anak sulungnya, Pakar Urologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr. Mohamed Ashraf Daud di Pasir Tumboh dekat sini pada pukul 1.16 petang ini.

Allahyarham sebelum ini sudah lama terlantar akibat jangkitan kuman TB meningitis yang dideritainya sejak November 2009.

Menurut Mohamed Ashraf, beberapa hari sebelum koma, ibunya tidak berselera untuk makan dan kelihatan sedikit lemah daripada biasa.

"Ibu meninggal beberapa detik sebelum azan zohor berkumandang, kami sekeluarga reda dengan pemergiannya dan semoga arwah ditempatkan bersama golongan yang mendapat keampunan Allah," katanya di sini, hari ini.

Selain Mohamed Ashraf, Allahyarham juga mempunyai seorang lagi anak lelaki, Ahmad Shauki Daud, 39, serta seorang anak angkat, Siti Nurul Huda Bukhari, 21.

Allahyarham yang lahir pada 7 Julai 1931 di Kampung Masjid, Jalan Post Office Lama di sini merupakan wanita pertama dari negeri ini yang dipilih menerima anugerah Tokoh Hijratul Rasul.

Allahyarham juga mencatat sejarah sebagai wanita Kelantan pertama yang melanjutkan pelajaran ke maktab perguruan di Mesir dan berada dalam kumpulan kedua wanita dari Asia Tenggara yang belajar di sana pada 1954.

Semasa hayatnya, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai guru di Madrasah Naim, Madrasah Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk; Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu dan Ma'ahad Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Antara bekas pelajarnya termasuklah Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa (KIAS), Dr. Johari Mat dan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib.

Kepakaran Salamah dalam bidang pendidikan terbukti apabila menjadi wanita tunggal dipilih menduduki Jemaah Lembaga Peperiksaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) pada 1 Jun 1968 hingga 30 Jun 1970.

Selain mencurah bakti dalam bidang pendidikan, Allahyarham juga bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan menjadi salah seorang daripada tunjang utama dan pengasas sehingga terbinanya Bangunan Perkumpulan Perempuan Kelantan (PPK) di Jalan Mahmood.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.