Pages

Subscribe:

04 Januari, 2011

Program elak seks songsang

Oleh Muzdalifah Mustapha
muzdalifah.mustapha@utusan.com

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Kementerian Pelajaran diminta mewujudkan program interaksi pendidikan yang membolehkan para pelajar di sekolah sejenis bertemu dan beramah mesra dengan pelajar jantina berbeza bagi menghindari daripada terjadinya budaya seks songsang.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, program interaksi itu dapat mengimbangi proses pergaulan mereka yang sebelum ini terhad kepada jantina sejenis sahaja.

Menurut beliau, program tersebut bagaimanapun perlu diterapkan dengan asas kehidupan seperti agama, budaya, adat dan tatasusila supaya pertembungan itu akan menjadi aktiviti yang sihat.

"Program itu tidak semestinya perlu berunsurkan akademik, tetapi juga boleh diperluaskan kepada aktiviti sukan dan aktiviti sosial yang lain.

"Sudah menjadi fitrah manusia iaitu lelaki suka berkawan dengan perempuan begitu juga sebaliknya, justeru tidak salah untuk mengadakan aktiviti sosial yang sihat itu kerana ia selaras dengan pendidikan holistik yang ditekankan oleh negara kini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam laporan khas Utusan Malaysia bertajuk 'Seks songsang: Gay', Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah mendedahkan bahawa salah satu punca terjadinya seks songsang itu ialah sekolah sejenis.

Mohamad Ali berkata, selain program tersebut, peranan ibu bapa, pendidik dan ketua masyarakat adalah penting dalam membendung terjadinya gejala songsang itu.

"Kita harus mengingatkan mereka tentang realiti kehidupan bahawa lelaki adalah lelaki dan perempuan adalah perempuan, oleh itu pegangan agama, sosial dan budaya penting dalam didikan sejak mereka kecil," ujar beliau.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa seks songsang berpunca daripada sekolah sejenis.

Kata beliau, satu kajian yang mendalam perlu dijalankan bagi mengetahui kebenarannya.

"Saya sendiri bersekolah di sekolah sejenis (lelaki) sejak dari sekolah rendah hingga menengah tetapi budaya seks songsang tidak kelihatan. NUTP merasakan budaya tersebut terjadi kerana kurangnya didikan agama dan faktor pergaulan sekeliling," kata beliau.

Dalam pada itu, Persatuan Ulama Malaysia dalam kenyataannya menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan pendakwaan ke atas pengaku pengamal seks songsang iaitu Azwan Ismail.

Menurut Setiausaha Agungnya, Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor, sekiranya tindakan diambil ke atas lelaki tersebut ia dapat menyekat dan memberi pengajaran kepada masyarakat supaya menidakkan budaya amalan seks songsang ini.

Katanya, persatuan melihat isu itu boleh menjejaskan pembangunan modal insan dan mencemarkan imej Islam itu sendiri.

"Persatuan berasa kesian ke atas golongan ini dan berharap serta mendoakan agar mereka akan sedar terhadap ancaman dan peringatan yang telah dinyatakan dalam al-Quran tentang kaum Nabi Lut yang telah dihancurkan," katanya.

Saya sedia dedah rahsia Anwar di mahkamah - Nallakaruppan
KUALA LUMPUR 4 Jan. - Bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nallakaruppan sedia mendedahkan segala rahsia Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ketika perbicaraan saman membabitkan mereka berdua di mahkamah.

Beliau berkata, sepanjang persahabatan mereka selama 30 tahun banyak rahsia Anwar yang cukup diketahuinya termasuk yang berbentuk peribadi.

"Mahkamah adalah landasan terbaik untuk saya mendedahkan segala perilaku dan rahsia Anwar. Sebab itu dalam perkara ini, saya tidak mahu bertindak terburu-buru.

"Saya juga tidak hairan Anwar saman saya sebanyak RM50 juta dan saya bersedia menghadapinya di mahkamah pada bila-bila masa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau sedia mendedahkan rahsia Anwar sepanjang persahabatan mereka kira-kira tiga dekad yang lalu.

Nallakaruppan yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) berkata, sebagai warganegara yang sayangkan negaranya, beliau sedikitpun tidak gentar untuk berhadapan dengan cabaran Anwar dalam apa jua bentuk sekalipun.

Dalam pada itu beliau berkata, pendedahan Pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai perilaku liwat Anwar di Dewan Rakyat pada tahun 1997 adalah benar.

"Inilah perjalanan hidup 'putar alam' yang sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri yang akhirnya menjadi pelacur politik. Semuanya angkara nafsu kegiatan liwat seperti didakwa oleh Karpal pada tahun 1997," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau sekali lagi menegaskan, Anwar tidak layak menjadi pemimpin mana-mana persatuan, kelab atau organisasi apatah lagi pemimpin negara.

"Ini kerana Anwar ada banyak rahsia peribadi yang kotor dan jijik. Bagi pihak yang ada bukti mengenai rahsia kotor Anwar, pihak ini akan terus mengugut Anwar dan menggunakan Anwar sebagai alat mencapai keuntungan politik.

"Saya juga yakin pada akhirnya iaitu selepas Anwar digunakan, beliau kemudian akan dibuang seperti sampah yang kotor dan jijik," katanya.

Karpal perlu tarik diri wakili Anwar

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh perlu menarik diri daripada mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhadapan tuduhan meliwat bekas pembantunya kerana beliau berpotensi menjadi saksi pendakwaan ekoran kenyataannya pada 1997 mengenai salah laku seks Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar berkata, langkah itu perlu kerana Karpal sendiri yang mendedahkan dia mempunyai bukti Anwar terlibat dengan perilaku seks songsang pada 1997.

"Karpal Singh sejak dari awal lagi tidak patut menjadi peguam bela Anwar kerana beliau berpotensi menjadi saksi.

"Ini kerana akan wujud keadaan percanggahan kepentingan dan siasatan harus dibuat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang meminta Jabatan Peguam Negara memanggil Karpal bagi membolehkan wakil rakyat DAP itu memberi keterangan sebagai saksi pendakwa dalam perbicaraan kes liwat kedua yang dihadapi Anwar di mahkamah.

"Kalau benar pendedahan Karpal pada 1997 dia mempunyai maklumat penting berhubung salah laku seks Anwar, pihak pendakwa boleh mengenakan sepina ke atasnya.

"Polis pula harus membuat siasatan dengan terperinci dan hasilnya dikemukakan kepada pendakwa sebelum tindakan diambil," katanya.

Zainul berkata, sebagai peguam, Karpal seharusnya memahami etika kerjaya itu.

Pada masa sama, Zainul mengingatkan pihak pendakwa supaya berhati-hati dengan sebarang keputusan kerana Karpal berpotensi merosakkan saksi bagi pendakwa dengan tidak menjawab soalan di dalam mahkamah kelak.

Makin ramai orang kanan Anwar tidak percaya perjuangan PKR

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Tindakan Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan keluar parti jelas membuktikan semakin ramai orang kepercayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi mempercayai perjuangan parti tersebut.

Malah, bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), SD Johari Md. Yassin yakin lebih ramai lagi pemimpin PKR termasuk Ahli-Ahli Parlimen parti itu dijangka mengambil langkah sama selepas ini.

Ujar beliau, keadaan itu disebabkan sebahagian besar para pemimpin PKR kini sedar terhadap kepincangan yang berlaku di dalam parti tersebut berikutan kerakusan untuk berkuasa di kalangan Anwar dan rakan-rakannya.

"Rakyat perlu sedar dengan kepincangan yang berlaku di dalam PKR ini. Isu melibatkan Jeffrey adalah contoh terbaik bagaimana beliau yang merupakan orang kanan Anwar di Sabah telah bertindak keluar parti.

"Sudah pasti Jeffrey mempunyai alasan kukuh mengapa beliau berbuat demikian dan begitu juga dengan tindakan keluar parti oleh pemimpin-pemimpin PKR termasuk Ahli-Ahli Parlimen sebelum ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pengesahan Jeffrey keluar daripada PKR apabila menyatakan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Disember lalu.

Dalam satu kenyataan, di Kota Kinabalu semalam Jeffrey menegaskan, walaupun beliau berhasrat untuk mengumumkan pengunduran berkenaan pada Khamis ini, namun, ia terpaksa dipercepatkan berikutan pelbagai khabar angin oleh pihak tertentu yang memburuk-burukkan dirinya.

SD Johari berkata, berdasarkan perkembangan yang berlaku di dalam PKR terutama dengan tindakan keluar parti oleh Jeffrey, ia memberi satu gambaran awal bahawa PKR kini menuju ke ambang kehancuran.

"Puncanya disebabkan Anwar sendiri. Beliau bukanlah seorang pemimpin yang hebat seperti mana digembar-gemburkan oleh penyokong-penyokong kuatnya sebaliknya Anwar hanya merupakan seorang pemimpin yang bijak mengambil kesempatan.

"Saya melihat PKR kini menuju kehancuran dan masanya akan tiba pada satu hari nanti," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, Anwar serta pemimpin-pemimpin parti sekutunya yang lain terutama DAP boleh dikategorikan sebagai pemimpin bercakap 'tidak serupa bikin'.

Bagi beliau, Anwar lebih mementingkan cita-citanya untuk ke Putrajaya meskipun terpaksa mengambil tindakan yang akhirnya boleh memberi kesan kepada kestabilan negara.

"Justeru, tidak hairanlah ramai pemimpin PKR seperti Jeffrey dan saya sendiri mengambil keputusan keluar parti kerana saya lihat keadaan yang cuba dicetuskan oleh Anwar terutama caranya mengemudi parti memberi kesan kepada kestabilan negara.

"Yakinlah, tujuan pemimpin-pemimpin PKR keluar parti adalah semata-mata mahu memastikan negara ini selamat daripada dirosakkan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya

Katanya, adalah amat memalukan sekiranya beliau dan rakan-rakan yang merupakan ahli politik yang diamanahkan oleh rakyat hanya membiarkan negara ini dikuasai oleh pemimpin seumpama itu.

"Dengan rasa tanggungjawab dan amanah saya dan rakan-rakan akan tetap mempertahankan negara ini walau dengan apa cara sekalipun," ujarnya.

ADUN Komtar timbulkan isu perkauman?

PULAU PINANG 4 Jan. - "Tutup kedai, balik India," itulah ungkapan berunsur perkauman yang didakwa diluahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik kepada pengusaha Restoran Nasi Kandar Mohamad Aliyar, Syed Kassali Mohamed Aliyar, semasa operasi penyitaan di premisnya malam kelmarin.

Menurut Syed Kassali, 42, perkataan yang diluahkan Setiausaha DAP itu bukan sahaja menyakitkan hati serta mengguris perasaannya tetapi hati seluruh kaum India Muslim di negara ini.

"Dia boleh nafikan, tetapi semuanya terbukti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada dipasang di restoran ini.

"Bukan itu sahaja, rakaman tindakan kasarnya terhadap saya dan pekerja di sini semuanya ada dalam simpanan kami," katanya di sini hari ini.

Tengah malam kelmarin, restoran tersebut kecoh apabila kakitangan MPPP merampas kerusi, meja, televisyen serta peralatan lain yang terdapat di dalam premis tersebut.

Sebelum restoran berkenaan didatangi penguat kuasa, berlaku satu kemalangan berhampiran restorannya itu pada kira-kira pukul 10.10 malam melibatkan dua kereta.

Sebuah kereta yang dipandu seorang wanita tua telah merempuh sebuah kereta lain yang dinaiki sepasang suami isteri dan kemudiannya mengheret kereta itu masuk sehingga ke kawasan kaki lima restorannya.

Bagaimanapun, tiada pelanggan yang cedera dalam kejadian itu, namun televisyen milik restoran pecah akibat rempuhan tersebut.

Selepas itu, Wei Aik datang bersama beberapa yang lain ke restoran berkenaan dan mengarahkan penguat kuasa MPPP datang mengangkut barang-barang.

Menceritakan semula kejadian itu, Syed Kassali mendakwa, pada malam kejadian, Wei Aik bertindak kasar seperti samseng apabila tanpa memperkenalkan diri terus bertindak meluru masuk ke restorannya dan 'mengepak' tangan seorang pekerjanya.

"Saya tidak mengenalinya. Dia datang meluru dan terus memanggil penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk merampas barang-barang milik restoran. Dia juga datang menerpa ke arah seorang pekerja saya, menarik rokok dan mengepak tangannya.

"Inikah perangai sebagai seorang wakil rakyat," katanya.

Gerakan Pulau Pinang persoal ke mana perginya wang kutipan beg plastik
PULAU PINANG 4 Jan. - Parti Gerakan Pulau Pinang mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya menjelaskan secara terperinci bagaimana wang 20 sen hasil kutipan bayaran setiap beg plastik yang dikenakan kepada rakyat disalurkan.

Ketua Biro Alam Sekitarnya, Tan Chai Liang berkata, penjelasan itu perlu bagi memastikan wang tersebut benar-benar disalurkan kepada mereka yang berhak.

Menurutnya, kini timbul keresahan di kalangan rakyat mengenai pengendalian wang itu kerana tiada sebarang pemantauan mengenainya dibuat badan bebas.

''Kita asyik dengar mereka (kerajaan DAP Pulau Pinang) kata wang akan disalurkan kepada Tabung Rakan Antikemiskinan Negeri Pulau Pinang (RAK), namun, apa jaminan wang itu benar-benar diberikan kepada orang miskin dan berpendapatan rendah di negeri ini.

''Rakyat Pulau Pinang mahukan kepastian kerana ia melibatkan jumlah wang yang banyak sepanjang kempen ini berlangsung. Tolong bagi penjelasan supaya rakyat tidak tertipu," katanya pada sidang akhbar di pejabat Gerakan negeri di Jalan Macalister, di sini semalam.

Kempen itu yang sebelum ini hanya dilaksanakan tiga kali seminggu dikuatkuasakan sepenuhnya setiap hari di pasar raya, farmasi, restoran makanan segera, restoran nasi kandar, kedai serbaneka dan stesen minyak mulai Sabtu lalu.

Manakala pasar mini dan premis perniagaan tunggal, selama tiga hari seminggu iaitu Isnin, Selasa dan Rabu tetapi pelaksanaan inisiatif itu tidak membabitkan penjaja dan pasar.

Menurut Chai Liang, kempen yang dilaksanakan itu dijangka mampu mengumpul sejumlah wang yang banyak sepanjang ia dijalankan.

Namun, katanya, tiada sesiapapun dapat mengetahui jumlah kutipan sebenar kerana tiada satu sistem yang dirangka bagi tujuan itu.

''Gerakan tidak pernah menghalang sebarang usaha yang dijalankan untuk kempen pemulihan alam sekitar termasuk kempen pengurangan beg plastik. Namun, satu mekanisme perlu dirancang terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah yang dijangka timbul.

''Namun, dalam hal ini, mereka (Kerajaan DAP Pulau Pinang) didapati gagal berbuat demikian sehinggakan pelaksanaan kempen ini jelas hanya menyusahkan dan membebankan banyak pihak," katanya.

Beliau berkata, kerajaan DAP Pulau Pinang perlu membuat perancangan teliti bagi memastikan rakyat negeri ini dapat menyesuaikan diri ekoran pelaksanaan dasar baru itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.