04 Februari, 2011
[hang nadim] Pemergian Abdul Ajib kehilangan besar - Najib.....
KUALA LUMPUR 3 Feb. - Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ajib Ahmad meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara, kira-kira 3.25 petang ini akibat sakit jantung.
Abdul Ajib, 64, menjadi Menteri Besar Johor mulai 1982 hingga 1986 dan kemudiannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas memenangi kerusi Parlimen Mersing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditemui ketika menziarahi jenazah Allahyarham menyifatkan pemergian Abdul Ajib sebagai kehilangan besar seorang tokoh politik yang banyak menabur jasa di negara ini.
Beliau berkata, Allahyarham bukan sahaja banyak memberi sumbangan dalam kepimpinan politik di peringkat negeri, malah di peringkat nasional.
"Saya bukan sahaja kehilangan seorang sahabat yang bersama-sama ketika kami masing-masing menjadi Menteri Besar Pahang dan Johor, malah rakan seperjuangan ketika kami dalam barisan Exco Pemuda UMNO," katanya.
Najib menziarahi jenazah Abdul Ajib di Masjid Saidina Umar Al-Khatab, Damansara Height, Damansara di sini.
Najib tiba bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Datin Ropeah Hassan, 60, dan empat anak. Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara petang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.