Pages

Subscribe:

06 Februari, 2011

[hang nadim] Politik kotor pembangkang.....


Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

''Tolong sampaikan salam saya kepada Perdana Menteri, terima kasih banyak-banyak kerana menyelamatkan anak saya.'' Itulah kata-kata seorang bapa kepada seorang pelajar Malaysia kepada penulis sebaik sahaja dia menerima berita bahawa anaknya selamat tiba di Jeddah dari Mesir melalui usaha kerajaan Malaysia.

Tetapi ucapan terima kasih ini seolah-olah tidak ada dalam kamus parti-parti pembangkang apabila mereka terus mencari seribu satu alasan bagi memburuk-burukkan usaha kerajaan menyelamatkan rakyat Malaysia di Mesir.

Tanpa mengira apa juga kos apatah lagi fahaman politik, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan operasi segera dilakukan bagi membawa rakyat Malaysia keluar dari negara yang sedang dilanda konflik politik itu.

Namun pembangkang tidak tahu menghargainya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui Ketua Angkatan Mudanya, Samsul Iskandar seolah-olah cuba hendak menunjukkan kehebatannya berpolitik apabila mendakwa kerajaan Malaysia lambat bertindak. Tidak cukup dengan itu, ketika pelbagai agensi kerajaan dengan dibantu Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia bertungkus-lumus merangka strategi bagi membawa keluar
ajar kita, tersebar pula SMS yang berunsur fitnah.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana 'tali barut-tali barut' pembangkang menghasut pelajar Malaysia di Mesir supaya jangan mengikuti penerbangan ke Jeddah. Jelaslah, dalam kepala otak pembangkang tidak ada benda lain, segalanya mahu dipolitikkan hatta kepada usaha menyelamatkan nyawa manusia sekali pun.

Pembangkang bimbang jika usaha kerajaan berjaya, ia akan memberikan keuntungan politik kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). Itu sahaja yang mereka fikirkan siang dan malam. Mungkin selama ini, apa juga tindakan mereka termasuklah di negeri-negeri yang dikuasai oleh mereka bermotifkan politik maka mereka ingat kerajaan pun sama seperti mereka.

Tetapi mereka sengaja melupakan bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan bukannya bermotif politik tetapi atas dasar tanggungjawab sebuah kerajaan kepada rakyatnya. Janganlah jumud sangat, ketika Perdana Menteri mengarahkan operasi menyelamat itu dilakukan tidak ada langsung perkiraan politik. Ini soal rakyat Malaysia yang terperangkap dalam konflik di negara orang, maka menjadi tanggungjawab kerajaan melakukan apa sahaja usaha bagi memastikan keselamatan mereka.

''Kepada suara-suara sumbang, kita di sini bukan untuk mengaut keuntungan politik tetapi demi keselamatan rakyat kita,'' kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berada di Kaherah ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Malahan Jamil Khir menceritakan bagaimana, semua pihak yang terlibat dalam operasi itu bertungkus-lumus tanpa mengira penat dan lelah bagi memastikan semua rakyat Malaysia di Mesir dibawa keluar. Namun pembangkang peduli apa. Mereka hanya bijak bercakap, membuat tuduhan dan menabur fitnah. Mereka tidak ambil peduli langsung bagaimana hampir beratus pegawai kerajaan termasuklah dari kedutaan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Wisma Putra bertungkus lumus 24 jam mengatur strategi bagi memastikan operasi membawa keluar rakyat Malaysia berjalan lancar.

Tetapi apa pembangkang buat? Tiada apa-apa! Malahan kita tidak terdengar sepatah perkataan pun yang menunjukkan komitmen pembangkang untuk membantu kerajaan dalam operasi berkenaan. Apa yang anehnya, Mesir bukanlah asing bagi pembangkang. Boleh dikatakan sentiasa sahaja ada pemimpin pembangkang ke sana dengan tujuan mencari keuntungan politik bagi menghasut pelajar menyokong mereka.

Di sana, pelbagai dakyah mereka sebarkan supaya para pelajar membenci kerajaan BN. Malahan mereka juga bersedia menghulurkan sumbangan demi memenuhi agenda politik mereka. Malangnya, apabila berlaku konflik seperti ini, tiada seorang pemimpin pembangkang yang menawar diri untuk menjadi sukarelawan bagi menyertai pasukan kerajaan menyelamatkan rakyat kita di sana.

Lebih aneh lagi, tidak pula kedengaran ada 'tabung jihad' dilancarkan bagi membolehkan sumbangan dikutip bagi membiayai perbelanjaan pulang pelajar-pelajar kita termasuklah kelompok yang menyokong mereka. Oleh itu, tidak payahlah pembangkang bercakap banyak atau cuba hendak menjadi pembela rakyat tidak tentu hala.

Kalaulah sudah tidak ada kemampuan atau tidak berdaya melakukan apa-apa, lebih baik mendoakan sahaja operasi itu berjalan lancar berbanding dengan menabur fitnah yang bukan-bukan.

''Mereka menuduh macam-macam kepada kerajaan. Jika mereka masih lagi tidak berpuas hati dengan operasi ini, kita minta mereka tampil membantu dengan menyediakan tempat tinggal dan bekalan makanan kepada pelajar, selain sediakan kapal terbang tanpa ditanggung oleh kerajaan,'' demikian tempelak Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau juga ternyata begitu kecewa dengan sikap pembangkang yang tidak habis-habis mahu mempolitikkan segala isu. Sememangnya, adalah sesuatu yang malang kerana Malaysia mempunyai sekelompok pembangkang yang hanya mahu berpolitik sahaja.

Kita memahami pembangkang sudah tidak ada isu dalam usaha mereka hendak menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang tetapi janganlah soal berkaitan hidup dan mati rakyat Malaysia di Mesir pun mahu dimasukkan ke dalam agenda politik mereka.

Apa pun kita berharap segala fitnah dan tohmahan yang disebarkan tidak akan melemahkan semangat semua pegawai dan agensi kerajaan termasuklah TUDM yang terlibat dalam operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir. Begitu juga kakitangan MAS dan AirAsia yang sudah pastilah turut memberi sumbangan cukup bermakna dalam operasi evakuasi yang dianggap paling besar pernah dilakukan oleh kerajaan Malaysia.

Sekalung tahniah kepada semua yang terlibat kerana kesungguhan, kegigihan dan daya usaha mereka telah memungkinkan operasi membawa keluar berjaya dilakukan dan berakhir sepenuhnya semalam. Kepada pembangkang pula, belajar untuk berpolitik dengan lebih matang lagi. Amalkan sikap tahu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan biarpun berbeza ideologi politik.

Jangan terapkan politik kebencian sehingga apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan demi kebaikan rakyat mahu dicemari dengan fitnah dan tohmahan. Ingatlah kebenaran tetap kebenaran dan keikhlasan tidak boleh ditutup dengan kepura-puraan


Singapura yang tidak ‘Cina’Oleh TAN MELAKA











Dr. Mahathir Mohamad (kiri) dan Lee Kuan Yew (kanan)
Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengemukakan suatu perkara baru dan menarik dalam interviu dengan Mingguan Malaysia (30 Januari 2011) mengenai kesilapan perhitungan Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman bahawa kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia akan dapat mengurangi jumlah penduduk Cina dalam Malaysia.

Tetapi setelah menyedari jumlah penduduk Melayu Sabah dan Sarawak kecil berbanding dengan 75 peratus penduduk Cina di Singapura selepas penubuhan Malaysia, Tunku telah mengambil keputusan untuk menyingkirkan Singapura yang mendatangkan ancaman perkauman menerusi slogan Malaysian Malaysia.

Tunku menyimpulkan sebab utamanya yang disebut dalam bukunya Looking Back ialah ucapan Lee Kuan Yew di Parlimen Malaysia pada Mei 1965 yang mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu dan sistem Raja Berperlembagaan yang amat menyakitkan hatinya sehingga ‘lebih menyakitkan daripada sakit kayapnya ketika di rawat di sebuah hospital di London.’

Bagaimanapun seorang bekas wartawan Singapura, Anthony Oei dalam bukunya What If There Had Been No Lee Kuan Yew?, menulis “Tunku lebih takut penguasaan komunis ke atas Singapura daripada jumlah penduduk Cina yang mendorong Tunku untuk menerima penyertaan Singapura dalam Malaysia.” (muka surat 135). Tunku takut Singapura menjadi pangkalan komunis seperti negara Cuba mengancam Amerika Syarikat.

Tunku melihat bahaya ini apabila People Action Party (PAP) kalah teruk dalam pilihan raya kecil di kawasan Hong Lim pada 21 April 1961. Penyingkiran Singapura pula dibuat setelah Tunku mengambil kira Singapura telah terselamat daripada bahaya komunis di Singapura dan yakin Singapura akan dapat mengatasinya.

Apa yang berlaku jelas menunjukkan keadaan yang wujud sehingga hari ini iaitu menolong Singapura adalah ibarat melepaskan anjing tersepit.

Juga yang menyakitkan hati Tunku ialah Kuan Yew melanggar janjinya untuk tidak menyertai pilihan raya Malaysia tetapi di dalam buku Men In White, menteri-menteri kanannya mendakwa keputusan PAP menyertai pilihan raya Malaysia 1964 merupakan keputusan PAP yang tidak diketahui oleh Kuan Yew yang ketika itu berada di luar negara.

Adalah sukar untuk sesiapapun mempercayai bahawa PAP berani membuat keputusan begitu besar tanpa pengetahuan Setiausaha Agungnya, Kuan Yew.

Menurut Kuan Yew sendiri dalam buku tersebut memang ada ‘gentleman agreement” antaranya dengan Tunku di padang golf bahawa UMNO tidak akan menyertai pilihan raya Singapura dan PAP tidak akan menyertai pilihan raya pertama selepas penubuhan Malaysia.

Tetapi setelah kegagalan besar dalam pilihan raya 1964, Kuan Yew telah menjalankan kempen Malaysian Malaysia yang menceroboh hak pribumi Malaysia dan UMNO menyerang balas di Singapura dengan membangkitkan perkauman Melayu yang berjaya ditekan oleh kerajaan Singapura selepas berlaku rusuhan.

Sementara Singapura dengan dasarnya yang tegas berjaya memadam perasaan perkauman di Singapura tetapi di Malaysia, bibit api perkauman yang ditanam oleh PAP menerusi Malaysian Malaysia terus menjadi api dalam sekam sehingga meletuskan peristiwa berdarah 13 Mei dan menampakkan sinarnya kembali hasil Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Ini kerana Malaysia tidak ada keberanian dan ketegasan seperti Kuan Yew dalam membunuh puncanya terutama dengan menggunakan satu bahasa sebagai alat perpaduan. Singapura tegas dalam pelaksanaan Bahasa Kebangsaannya iaitu bahasa Inggeris dengan menutup sekolah Cina, Melayu dan Tamil sejak tahun 1960-an.

Di Malaysia, sekalipun Bahasa Malaysia diisytiharkan sebagai Bahasa Kebangsaan tetapi dasarnya tidak menyeluruh, malah telah melanggar prinsip-prinsip asal kerana dasarnya yang demokratik. Sebaliknya di Singapura setelah 30 tahun bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar tunggal di sekolah, sehingga akhirnya sekolah Menengah Cina terhapus di pulau itu (lihat buku Man in White, muka surat 612).

Dalam tahun 1980, Universiti Nanyang telah dipaksa bergabung dengan Universiti Singapura untuk menjadi Universiti Nasional Singapura dengan menggunakan bahasa pengantar Inggeris.

Dicatitkan juga dalam buku ini bahawa antara 1960 hingga 1980 adalah tahun yang amat mencemaskan dan membimbangkan intelek Cina kerana mereka melihat keruntuhan bahasa Cina dan kehilangan kedudukannya yang penting dan tidak lagi mendapat tempat di kalangan masyarakat.

Keadaan itu sebenarnya berterusan sehingga hari ini, malah pada suatu ketika apabila dasar ini berjaya sepenuhnya dan sebelum wujud geopolitik baru berikutan kebangkitan negara China, orang Cina di Singapura malu untuk membawa akhbar Cina dan akhbar Tamil juga telah mati apabila Kuan Yew menutup sekolah Tamil yang ditangisi oleh penjual-penjual akhbar Tamil yang telah dapat menjangkakan akibatnya.

Di atas keruntuhan institusi pelajaran Cina dan juga Melayu di Singapura dan dengan Inggeris menjadi bahasa pengantar tunggal maka terbinalah bangsa Singapura. Dalam hal ini, kejayaan besar Singapura ialah menghapuskan perkauman Cina dan sikap orang Cina yang terlalu kecinaan dan membentuk masyarakat Cina yang kebaratan.

Kepada masyarakat Singapura, Kuan Yew sukar untuk diterima sebagai menjalankan dasar perkauman Cina tetapi di Malaysia, beliau telah mengocakkan perasaan perkauman untuk menjadi Perdana Menteri dan kesan Malaysian Malaysia ternyata berpanjangan menyuburkan perasaan perkauman, malah menampakkan kegigihannya semula berikutan keputusan PRU 2008.

Ini adalah kesilapan besar perhitungan strategi politik Kuan Yew sekalipun beliau berjaya menunggang Singa di Singapura untuk mencapai matlamat politiknya di Malaysia.

Dia boleh mengajar kaumnya sendiri di Singapura kerana telah lama terdedah kepada kosmopolitan tetapi dia tidak mengambil perhitungan Malaysia masih dalam proses kampung hendak menjadi bandar.

Tidak mungkin kita tidak boleh mencapai satu bangsa Malaysia sekiranya dari awal kita telah menjalankan dasar pelajaran dengan tegas iaitu menjadikan Bahasa Malaysia sebagai pengantar tunggal dalam sistem pelajaran kebangsaan, di samping memperkukuhkan dengan tegas pengajaran bahasa Inggeris.

Kuan Yew telah menjalankan semua tindakan dasarnya secara keras dan berani yang menampakkan keazamannya yang jelas dalam mencapai arah tujunya tetapi Malaysia setelah 50 tahun merdeka masih terjerumus ke dalam kancah yang tidak pasti kerana dasar perimbangannya yang dilaksanakan dari semasa ke semasa. Dasar ini nampaknya lebih diperlukan setelah BN kehilangan dua pertiga majoriti dalam PRU 2008.

Kuan Yew tetap tidak percaya kepada dasar kebebasan mengikut penilaian Barat dan kehendak globalisasi tetapi kita yang berada dalam keadaan ‘mabuk’, memberikan kebebasan mengikut penilaian asing dan bukan penilaian kita sendiri.

Singapura yang majoritinya kaum Cina tetapi tidak kecinaannya sebaliknya kebaratan, stabil, makmur dan maju adalah lebih baik kepada Malaysia walaupun pemerintahannya bersifat autoritarian.

Malaysia sendiri pun tidak mungkin menjadi sebuah negara Malaysia yang bermaruah tanpa Mahathir yang dianggap dunia barat sebagai tidak demokratik.

Kepada saya, Mahathir dan Kuan Yew adalah pemimpin bertaraf dunia yang lebih banyak baiknya daripada buruknya tetapi sayangnya di Malaysia segala yang telah diasaskan oleh Tunku, diperkukuhkan oleh Tun Abdul Razak dan diberikan maruah oleh Mahathir telah diruntuhkan pada suatu era yang lemah oleh kerana hendak berbangga kita lebih bebas atas nasihat ‘budak- budak’ politik.

Semoga kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan dapat membina semula negara di atas keruntuhan itu.

Nilai Interlok di pasaran politik

TIBA-TIBA dan tanpa sesiapa menyangka, sebuah novel berusia lebih 40 tahun menjadi begitu berharga di pasaran politik. Sebelum ini, karya sastera tidak dipandang golongan politikus. Tetapi Interlok telah membuka satu pembaharuan apabila orang politik terutama kalangan India termasuk MIC 'meminati' Interlok. Mereka berduyun-duyun membeli, membaca dan kemudian membakar novel itu.

Belum ada dalam sejarah kesusasteraan Melayu sebuah novel menjadi begitu 'diminati' oleh bukan Melayu terutama orang India. Malah orang Melayu sendiri jarang membaca novel Melayu kerana mereka membaca novel Inggeris atau langsung tidak membaca apa-apa. Tetapi Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain sangat 'diminati' oleh orang India dan mereka yang tahu nilai politik Interlok begitu tinggi.

Seorang rakan dengan sinis berkata, ini satu perkembangan baik kepada novel bahasa Melayu kerana diminati oleh bukan Melayu dan dibicarakan hingga ke Parlimen. Bukankah ini satu 'penghormatan' tertinggi kepada karya seorang Sasterawan Negara di negara yang bernama Malaysia ini? Tambahnya lagi, kita perlu berbangga apabila orang India dapat membaca karya bahasa Melayu dengan baik sehingga mereka perasan terdapat perkataan 'paria' di dalamnya.

Parti-parti politik India mendesak kerajaan menarik balik Interlok daripada dijadikan buku teks Tingkatan Lima atau gugurkan perkataan 'paria'. Dalam siri desakan ini, termasuklah sekumpulan India bertindak biadap membakar potret Abdullah Hussain dan novel Interlok di Klang, Selangor. Tidak cukup dengan kebiadapan itu, mereka juga melancarkan perang psikologi apabila membuat laporan polis serentak di beberapa negeri terhadap Interlok.

Pemilihan Interlok dibuat oleh sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh Kementerian Pelajaran. Mereka ini bukanlah dungu atau bengap seperti penentang Interlok, termasuk yang membakarnya. Mereka mempunyai wibawa yang tinggi, baik dalam sastera atau sosial. Tetapi apabila Interlok menjadi bahan jual beli politik, wibawa mereka seolah-olah lebih rendah daripada penentang Interlok. Keputusan untuk menyunting Interlok adalah menafikan buah fikiran jawatankuasa yang memilih novel itu.

Kalangan sasterawan, bukan sahaja Melayu, malah India dan Cina tidak menemui 'penghinaan' seperti yang didakwa oleh kalangan orang politik India. Saya percaya mereka bukan membuta tuli mempertahankan karya Melayu tetapi mempertahankan karya yang baik daripada dijahanamkan oleh pencari peluang dalam politik. Bagaimanapun hujah-hujah waras kalangan sasterawan Cina dan India mengenai Interlok tidak terlawan nilai tinggi Interlok di pasaran politik negara ini.

Akhirnya desakan, kebiadapan dan keputusan politik lebih menonjol untuk menghukum Interlok. Kewarasan dalam keilmuan tidak dapat menyelamatkan Interlok kerana politik lebih penting daripada segala-galanya. Saya segera teringat isu Teoh Beng Hock dan Kugan di mana pendesak hanya akan mengiktiraf keputusan yang menyebelahi mereka. Demikian juga nasib Interlok. Tahniah.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

AWANG sokong ingatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin, agar kerajaan negeri Pulau Pinang bersikap adil dalam melaksanakan polisi pembangunannya. Ini membuktikan kerajaan pusat prihatin dengan sikap kerajaan negeri itu yang selama ini seolah-olah hanya memberikan perhatian terhadap golongan tertentu.

Pelbagai isu ditimbulkan sebelum ini seperti merobohkan gerai perniagaan orang Melayu dan mengambil tanah orang Melayu kononnya untuk pembangunan. Tindakan ini telah menimbulkan keresahan bahawa kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Lim Guang Eng, cuba meminggirkan orang Melayu daripada arus perniagaan dan pembangunan.

Ini kerana ketika gerai-gerai orang Melayu dirobohkan, atau orang Melayu diusir daripada penempatan mereka, kaum tertentu tidak diusik. Perbuatan ini nyata menafikan rakyat menikmati pembangunan serta kemakmuran ekonomi secara sama rata.

Sekalipun Pulau Pinang ditadbir pembangkang, adalah menjadi tanggung jawab kerajaan negeri bersikap adil kepada semua kaum seperti yang diamalkan oleh kerajaan pusat.

Kerajaan pusat tidak pernah meminggirkan kerajaan negeri yang dikuasai oleh pembangkang dalam menikmati arus pembangunan. Oleh itu menjadi tanggung jawab kerajaan negeri pimpinan pembangkang pula membuktikan mereka juga menghayati dan mengamalkan sikap adil kerajaan pusat ini.

Awang – Lama tak ke Tanjung.

Tumpang semangkuk, 'kembang' semangkuk

JUMAAT lalu, pelbagai pihak terus bertungkus lumus mahu menyelamatkan rakyat Malaysia di Mesir. Menteri, timbalan menteri, setiausaha politik dan pelbagai agensi berada di Kaherah dan Jeddah untuk membantu. Pada hari yang sama juga rakyat Mesir terus mengadakan demonstrasi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur. Pada perhimpunan yaumul rohil atau hari pengunduran itu, mereka terus mengadakan demonstrasi besar-besaran.

Kuala Lumpur turut terasa tempias. Tiba-tiba sahaja di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, ada demonstrasi jalanan pada Jumaat lalu. Masalah di Mesir tetapi Kedutaan Amerika Syarikat (AS) jadi sasaran.

Tetapi pada masa yang sama, selepas solat Jumaat, ada juga yang buat solat hajat termasuk yang dihadiri Perdana Menteri, Najib Tun Razak di Masjid Negara. Eloklah kita mengadakan majlis solat hajat dan berdoa semoga rakyat Malaysia di Mesir selamat. Begitu juga doa supaya rakyat Mesir tanpa mengira fahaman politik serta seluruh insan yang ada di bumi para Anbia itu dalam keadaan selamat. Apa yang penting kedamaian manusia di negara itu.

Kekacauan di Mesir bukan sahaja menyusahkan rakyat negara itu sendiri tetapi juga rakyat dari negara-negara luar sama ada pelajar, pekerja atau pelancong. Kita di Malaysia turut bimbang dan resah apabila kekacauan berlaku di Mesir. Jika perkara yang sama berlaku di Malaysia, begitu jugalah perasaan rakyat negara luar yang anak-anak atau saudara mereka berada di sini sama ada untuk belajar, bekerja atau melancong.

Satu lagi pengajaran yang dapat dilihat akibat kemelut yang melanda, tentunya Sungai Nil, piramid dan pelbagai lokasi bersejarah yang sering menjadi tumpuan pelancong berada dalam keadaan sepi. Agensi pelancongan negara kita juga terasa tempiasnya dengan pembatalan lawatan ke negara itu. Sudah pastilah banyak gedung perniagaan yang sering menerima kunjungan para pelancong menanggung kerugian. Begitulah kesan daripada rusuhan yang dicetuskan oleh rakyat negara itu sendiri. Kita juga terasa tempiasnya kerana terdapat ramai pelajar Malaysia di sana. Ibu bapa tidak kira fahaman politik - UMNO, Pas, PKR - yang anak-anak mereka sedang belajar di seluruh pelosok negara itu resah gelisah memikirkan keselamatan di rantau orang.

Mujurlah kerajaan tidak berdiam diri. Pelbagai usaha dibuat melalui Ops Piramid bagi mengeluarkan rakyat Malaysia dari negara yang sedang bergolak itu.

Kerajaan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), AirAsia, Malaysia Airlines (MAS), Tabung Haji, Kelab Putera 1Malaysia dan sebagainya menunjukkan keprihatinan mereka selaras dengan slogan 1Malaysia "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".

Malangnya ada juga pihak yang seolah-olah tidak senang dengan usaha kerajaan. Mereka tumpang semangkuk kemelut di Mesir tetapi lebih kepada menangguk di air keruh. Mereka menyebarkan khabar angin dan melemparkan pelbagai dakwaan yang tidak berasas. Ada yang kata kerajaan lambat bertindak dan mengenakan bayaran untuk membawa pulang rakyat kita. Dan seperti dijangka sikap tumpang semangkuk dan menangguk di air keruh ini berlaku dalam usaha mencari keuntungan politik. Ada pula yang mengaitkan pemerintahan Hosni Mubarak dengan sistem pemerintahan di negara kita.

Sepatutnya, semua pihak harus menyokong usaha yang sedang dilakukan kerajaan dan tidak bertindak menyongsang arus. Jangan politikkan apa yang berlaku di Mesir. Bukan mudah untuk mengatur pelan menyelamat. Ia tidak semudah pergi ke sana bermodalkan air liur segalanya boleh selesai. Mujurlah hubungan baik Malaysia dengan Mesir serta Arab Saudi membolehkan segala urusan lancar walaupun masih banyak kerenah birokrasi. Bersyukurlah kerana Jeddah dan Kaherah tidak menutup lapangan terbang kepada Kuala Lumpur. Sebenarnya, memang ada puak yang suka ambil kesempatan ke atas isu yang boleh dijadikan modal politik untuk 'membelasah' kerajaan.

Ketika anak-anak muda kita di seluruh Mesir bertungkus lumus mahu menyelamatkan diri, anak-anak muda kita di Malaysia pula mengadakan demonstrasi, membaling botol ke arah kedutaan AS. Entah apa puncanya. Apakah ia satu keseronokan atau kepuasan dapat tumpang semangkuk suasana gawat di Mesir? Sudahlah tumpang semangkuk, tindakan yang dilakukan pula seperti kembang semangkuk atau lebih sudu daripada kuah. Mungkin lebih baik anak-anak muda itu menganjurkan aktiviti yang lebih berfaedah seperti bagaimana mahu membantu menampung kos yang ditanggung kerajaan walaupun kerajaan tidak akan meminta rakyat terutama ibu bapa berbuat demikian. Semua kos kerajaan tanggung!

Tidak pasti apakah tujuan sebenar demonstrasi itu. Adakah mereka mahu menuntut AS tidak campur tangan dalam urusan di Mesir? Kalau itu tujuannya, baguslah. Urusan dalam negara, tidak perlu diundang orang luar terutama AS untuk selesaikan. Kita harap kumpulan ini akan tampil jika ada puak yang mengundang AS campur tangan dalam urusan politik dalaman disebabkan kepentingan politik orang tertentu. Janganlah pula dalam keghairahan mendesak AS supaya tidak campur tangan, ada pula poster yang meminta Hosni Mubarak berundur. Secara tidak langsung mereka ini pun cuba campur tangan dalam urusan dalaman Mesir. Jadi janganlah menempelak orang lain sedangkan diri sendiri pun sudah tidak tetap pendirian.

Bukan mahu membela AS atau sebaliknya tetapi sejak awal lagi AS sudah meminta Mubarak berundur sebagai jalan keluar kemelut yang sedang melanda negara itu. Sama ada AS bersandiwara atau sebaliknya, itu soal lain tetapi AS juga 'bimbang' dengan apa yang berlaku di Mesir. Justeru apakah yang dikehendaki oleh demonstrasi jalanan itu? Memang pelik orang kita. Cepat kalut. Asal ada peluang dan ruang, mereka turun di jalanan 'mengganggu' ketenteraman awam walaupun ketika rakan-rakan kita masyarakat Cina masih menyambut Tahun Baru Cina. Apa yang diharapkan selepas ini, bertindaklah secara rasional bukannya terlalu emosional. Kata orang khabar jauh dengar-dengarkan, khabar dekat fikir-fikirkan. Kalau mahu tumpang semangkuk, biarlah kena pada isunya, jangan main hentam sahaja. Janganlah kekalutan di Mesir terbawa-bawa ke negara kita. Ingat sama hak orang lain. Di laluan itu - Jalan Tun Razak - ada banyak hospital termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL), Institut Jantung Negara (IJN), Pusat Perubatan Prince Court dan Pusat Rawatan Islam (Pusrawi). Bagaimana agaknya ketika anda sedang 'mengganggu' lalu-lintas di situ, saudara mara anda sedang 'bertarung nyawa' di dalam ambulans atau dalam perjalanan ke hospital terperangkap di dalam kesesakan yang puncanya daripada perbuatan anda? Pikirlah.

Pikir itu pelita hati. Langit berkelikir, bumi bertemberang; salah-salah fikir menjadi hamba orang. Ingat juga peribahasa Melayu cepat tangan terjembakan, cepat kaki terlangkahkan, cepat mulut terkatakan.

Terima kasih kerajaan 1Malaysia!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.