Pages

Subscribe:

25 Februari, 2011

[hang nadim] Rakyat perlu kutuk pertubuhan haram.....

Pastikan Hindraf tidak muncul kembali
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?sec=Dalam_Negeri

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pihak berkuasa agar mengambil tindakan undang-undang terhadap Hindraf bagi memastikan pertubuhan haram itu tidak muncul kembali sebagai satu organisasi di negara ini.

Ini kerana tegas Perdana Menteri, masyarakat India di Malaysia tidak memerlukan pertubuhan haram seperti Hindraf kerana kaum minoriti itu sudah mempunyai Barisan Nasional (BN) untuk bergantung harapan bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.

Sambil melahirkan kekesalan kerana pertubuhan haram itu masih lagi bergerak bebas melakukan aktiviti-aktiviti provokasi, beliau berkata, tindakan tegas perlu dikenakan ke atas Hindraf bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat tidak tergugat.

"Dalam hal ini kita minta pihak berkuasa supaya bertindak mengawal keadaan. Pihak berkuasa perlu mengambil apa juga tindakan mengikut undang-undang yang sewajarnya bagi memastikan Hindraf tidak muncul kembali sebagai sebuah organisasi.

"Masyarakat India tidak perlu kepada Hindraf, mereka hanya perlu kepada BN dan dalam hal ini, soal kepentingan kaum India kita telah ambil tindakan," katanya selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian dan tindakan kerajaan terhadap pertubuhan haram tersebut yang dipercayai sedang merancang menimbulkan huru-hara di ibu negara melalui demonstrasi haram, Ahad ini.

Perkara itu didedahkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Presidennya, Datuk Ibrahim Ali mendesak polis supaya mengambil tindakan tegas kerana demonstrasi sama oleh Hindraf beberapa tahun lalu telah mencetuskan huru-hara di ibu negara.

Semalam, nada sama yang mahu tindakan tegas dikenakan ke atas pemimpin Hindraf disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kesalahan memperjuangkan organisasi haram selain merancang mengepalai perhimpunan tanpa permit.

Menurut Muhyiddin, kerajaan memandang serius perkembangan pertubuhan tersebut yang sudah diharamkan tetapi masih wujud serta beroperasi, malah adalah menjadi satu kesalahan kepada mana-mana pihak yang mahu memperjuangkan meskipun perkataan Hindraf itu sendiri.

Rakyat perlu kutuk pertubuhan haram

IPOH 25 Feb. - Rakyat Malaysia perlu mengutuk pertubuhan haram, Hindraf yang merancang mengadakan perhimpunan haram di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada Ahad ini, kata Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.

Beliau berkata, Hindraf bukan sahaja sebuah pertubuhan haram, malah mahu mengadakan perhimpunan tanpa permit yang boleh merosakkan imej negara.

"Hindraf sengaja hendak buat perhimpunan di tengah ibu kota iaitu di KLCC yang terdapat ramai pelancong di situ kerana mahu menunjukkan seolah-olah negara kita tidak aman.

"Sekiranya berita ini disiarkan oleh media asing yang tidak senang dengan kemajuan negara kita, ia akan menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, mahu polis mengambil tindakan tegas terhadap Hindraf dan pemimpin pertubuhan yang sudah diharamkan itu.

Kelmarin, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mendesak polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap Hindraf yang berkemungkinan menimbulkan huru-hara pada perhimpunan tanpa permit Ahad ini.

Mohd. Hilmi turut mendesak polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan itu dan perancang perhimpunan haram pada Ahad ini.

Jelasnya, perbuatan mereka bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menggalakkan kaum lain untuk mengambil pendekatan sama.

"Tidak perlu ada pertubuhan haram seperti Hindraf untuk mewakili masyarakat India kerana kaum itu ada saluran parti politik dan wakil di Parlimen serta Dewan Rakyat untuk menyuarakan masalah mereka.

"Sebarang masalah juga tidak perlu dibawa ke jalanan untuk menunjukkan sikap kurang ajar terhadap pihak berkuasa," katanya.

Rakyat tidak terpengaruh 'revolusi' di Asia Barat

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Sokongan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin meningkat dan mereka tidak terpengaruh dengan revolusi yang melanda Asia Barat sehingga mengancam beberapa buah kerajaan di rantau itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sokongan dan keyakinan itu terbukti apabila undi majoriti yang diterima BN semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang baru-baru ini meningkat hampir 50 peratus berbanding pada 2008.

Meskipun begitu Najib berkata, BN tidak memandang ringan mengenai cabaran politik sebaliknya akan terus mengekalkan sikap proaktif bagi memastikan jentera parti di semua peringkat diperkemaskan dan pada masa sama beliau mahu lebih banyak kelemahan diatasi.

"Kerajaan mengambil kira perkembangan semasa di dalam dan luar negara. Pada umumnya kita ambil maklum bahawa keadaan semasa semakin menjurus kepada keyakinan rakyat yang semakin bertambah kepada kerajaan dan BN," katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama, timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil iktibar terhadap revolusi yang berlaku di Asia Barat dengan memandang serius suara orang muda kerana sedar golongan tersebut mempunyai tenaga untuk menggulingkan sesebuah kerajaan.

Katanya, apa yang berlaku di Asia Barat adalah manifestasi tidak puas hati golongan muda apabila masalah fundamental seperti tiada peluang pekerjaan, tiada prospek masa depan, tiada pembangunan dan pembaharuan serta saluran untuk menyuarakan kehendak tidak disediakan kerajaan.

Bagaimanapun, tegasnya, keadaan di rantau itu tidak sama dengan Malaysia apabila kerajaan BN melakukan perubahan sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat dan ia terbukti apabila ekonomi negara bagi 2010 tumbuh pada kadar 7.2 peratus.

Mengenai Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau dan Merlimau, Najib yakin pola sokongan pengundi terhadap BN akan semakin meningkat kerana parti itu telah melakukan persiapan rapi untuk memenangi hati dan fikiran rakyat di kedua-dua kawasan itu.

"Segala persiapan menghadapi pilihan raya kecil telah dilakukan dan setiap badan perhubungan negeri termasuk sayap-sayap UMNO sudah memberi komitmen untuk turun membantu calon BN mencapai kejayaan yang lebih besar.

"Jentera kita juga lancar dan tiada banyak masalah dalaman. Jika ada pada peringkat awal pun, ia sudah diselesaikan dan dengan ini kita akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja untuk memenangi hati serta fikiran pengundi di kedua-dua kawasan tersebut," katanya.

Mengapa pula Tuhan tidak akan tanya Pas?
http://www.sinarharian.com.my/bterkini/10036.asp

Sempena International Conference on Islamic Unity kali ke 24 (Muktamar Ad Dauli Lil Wehdatil Islamiyyah ke 24) di Tehran baru-baru ini, tokoh Ikhwanul Muslimin telah turut diundang. Tahun lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang diundang ke Tehran. Adalah dilaporkan beliau berucap di Tehran dengan kertas kerja bertajuk Natijah yang Positif bagi Kepelbagaian Mazhab.

Pas amat berbangga pemimpin mereka diraikan di Republik Islam Iran sebagai tokoh. Lihat sini dan sini. Ketika kunjungan ke Tehran pada tahun 2010 itu Pas telah memulakan satu inisiatif untuk menjalinkan kerjasama dengan Parti Motalefeh dan bertemu dengan Timbalan Presiden parti tersebut iaitu Saedi Amani. Parti Motalefeh mempunyai 90 kerusi di Majelis (parlimen) Iran. Harakah melaporkan pertemuan tersebut dengan tajuk berita 'Pas Jalin Persefahaman Dengan Parti Ahmadinejad' pada 19-21 Mac 2010.

Pendirian Pas tahun lalu mengenai perpaduan ummah dan soal mazhab selaras dengan fatwa Sheikh Mahmood Shaltoot (al-Azhar) pada 6 Julai 1959 yang disiarkan dalam akhbar al-Sha'ab (Mesir) isu 7 Julai 1959 dan akhbar al-Kifah (Lubnan) isu 8 Julai 1959 iaitu Syiah Ja'fariah, atau mazhab "al-Shia al- Imamiyyah al-Ithna Ashariyyah" adalah sebuah mazhab dan boleh diamalkan oleh umat Islam.

Akan tetapi tahun ini, lain agaknya. Adalah menghairankan apabila umat Islam Syiah di Malaysia dibantai cukup-cukup oleh pihak berkuasa agama, Tuan Guru tidak kelihatan di mana-mana mempertahankan 'nasib' masyarakat Syiah tempatan (lihat sini). Bukan itu sahaja pihak berkuasa agama yang menfitnah umat Islam Syiah adalah sebuah agensi yang terletak di bawah pentadbiran salah seorang tokoh Pas dalam kerajaan Pakatan Rakyat. Beliau pun tidak berkutik. Tidak cukup itu, salah seorang Ahli Yang Berhormat Pas yang pernah mengunjungi Hauzah ar Ridha a.s turut mendiamkan diri.

Bagaimana Pas menilai diri sebagai Parti Islam ketika isu sebegini penting lagi genting iaitu perpaduan ummah dipermainkan akan tetapi Pas tidak bersuara?

Mungkin inilah puncanya Presiden Pas Haji Abdul Hadi Awang tidak hadir di International Conference on Islamic Unity kali ke 24 bersama-sama Ikhwanul Muslimin. Awal minggu ini satu pertemuan antara ramai ulama Sunni dari pelbagai negara berlangsung dengan Ayatullah Ali Khamenei.

Nampaknya dalam pertemuan itu wajah yang 'Melayu' hanyalah Ketua PB NU dari Indonesia, Prof. DR. Said Agil Siradj dan Ustaz Ghani Shamsuddin dari Malaysia. Ustaz asal Melaka tersebut bagaimanapun mewakili Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia atau SHURA (lihat sini). Meskipun beliau adalah AJK PasS Pusat, Ketua Lajnah IT dan Setiausaha Majlis Syura Ulama’ tetapi kehadiran beliau adalah atas gerak kerja SHURA. Selain itu kelihatan Mufti Besar Oman, Allamah Syeikh Ahmad al-Khaili, mantan Menteri Kebudayaan Jordan, Munir Shafiq, wakil Parti Islam Tajikistan, Mahyuddin Kabiri, Penasihat Menteri Wakaf Syria, Nabil Sulaiman, Ketua Parlimen Sudan, Abdurrahim Omar, Ketua Ulama Muslim Lebanon, Syeikh Ahmad al-Zain, seorang ulama terkemuka Sunni Iraq, Syeikh Khaled Mulla, Mufti Besar Bosnia, Syeikh Mustafa Serich, dan Ketua Gerakan al-Tauhid Lebanon, Syeikh Bilal Saeed Syaban.

Kira-kira Ustaz Ghani lebih ke hadapan berbanding Presiden Pas bila berdiri sebaris dengan Presiden Ahmadinejad. Rugi juga tak ke Tehran tahun ini. Mungkin Tuan Guru Haji Abdul Hadi sibukkan hal Kerdau dan Merlimau.

Susah juga kalau Ustaz Hadi hadir, kerana perlu menjawab dengan Ayatullah Ali Tashkiri. Ini kerana kita difahamkan oleh laman web Taghribnews, Ayatullah Tasykiri ada mengutus surat kepada beberapa pihak agama di Malaysia termasuk presiden Parti Islam Semalaysia (Pas), meminta mereka menghalang fatwa terhadap orang yang tidak bersalah dan menyatukan umat menghadapi musuh-musuh Islam (lihat sini).

Mungkin Pas tidak lagi berminat dengan perpaduan ummah dan soal mazhab. Saya cuma kata 'mungkin'. Maklumlah, kita difahamkan masyarakat Syiah di Malaysia ciput sahaja, minoriti kata orang-orang politik; dan tiada pengaruh serta kekuatan ekonomi. Sebagai parti Islam, Pas tidak akan hanya 'habis' menjawab dengan ahli, tetapi juga perlu menjawab dengan Nabi dan Tuhan kelak. Itu 'retorik' Tuan Guru zaman berzaman. Ketika itu, di akhirat kelak, kita rasa tentu pimpinan (terkecuali Ustaz Ghani gamaknya) akan ditanyakan tentang apa ertinya Pas for All.

Dipetik daripada blog Dr Faisal Tehrani

Tiga pengikut al-Arqam bebas, seorang lagi diarah bela diri

BALIK PULAU – Tiga lelaki, termasuk seorang pensyarah kanan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dibebaskan oleh Mahkamah Rendah Syariah, semalam, daripada pertuduhan memiliki penerbitan agama yang diharamkan.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, 42, Asmadi Sulaiman, 45, dan Rosli Yusof, 61, dibebaskan apabila Hakim Syarie, Zaini Abdul Rahim mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Ikat jamin antara RM1,500 dan RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap Dr Ahmad Fauzi, Asmadi dan Rosli dilanjutkan sehingga proses rayuan dikemukakan pihak pendakwaan dalam tempoh terdekat tamat.

Bagaimanapun, Roslina Sulaiman, 42, diperintah mengemukakan keterangan membela diri atas tuduhan itu, 21 April ini.

Zaini berkata, pihak pendakwa berdepan tugas berat berikutan wujudnya kelemahan dalam siasatan.

Berdasarkan pertuduhan, Asmadi memiliki buku, potret dan sajak berkaitan pemimpin kumpulan al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad, manakala Dr Ahmad Fauzi pula memiliki disket yang mengandungi aktiviti kumpulan dan Roslina dan Rosli memiliki buku Zikir Agung.

Elemen pemilikan seperti yang didakwa harus dibuktikan berdasarkan tiga kriteria di mana tertuduh mesti mempunyai pengetahuan, kawalan dan jagaan ke atas barangan itu sedangkan ia gagal dibuktikan di dalam kes itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama di Lintang Sungai Ara 1, Taman Sungai Ara, Bayan Lepas, jam 10.15 malam, 1 November 2007

Pendakwaan dilakukan Ketua Pendakwa Syarie, Mohammad Zulkhairi Aziz, manakala tertuduh diwakili Rosdee Abdul Raazak.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 13 (1) (a) kerana memiliki penerbitan agama diharamkan dan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

انها حياة اختبار

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.