Pages

Subscribe:

17 Februari, 2011

[hang nadim ] SK Ulu Lubai 'permata dalam belantara' .....














MUHYIDDIN Yassin bersama Mohd. Shafie Apdal beramah mesra dengan murid SK Ulu Lubai ketika meninjau sekitar sekolah itu di Limbang, Sarawak, semalam.

LIMBANG 17 Feb. - Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai hanyalah sebuah sekolah yang serba sederhana dari segi infrastruktur dengan bangunan kayu lama manakala satu-satunya binaan konkrit hanyalah tandas kegunaan murid dan guru.

Lokasinya terletak di tengah-tengah hutan belantara. Ia dihubungkan melalui jalan balak ataupun menggunakan bot panjang menyusuri Sungai Lubai yang membabitkan tempoh perjalanan kira-kira sejam daripada Medamit.

Sekolah yang dibuka pada 1964 dan pernah ditutup pada 1976 sebelum dibuka semula setahun selepas itu hanya mempunyai 30 orang murid yang dibimbing oleh 11 orang guru dengan bantuan seorang staf sokongan.

Namun hari ini, SK Ulu Lubai mencatatkan sejarah gemilang apabila muncul sebagai sekolah pedalaman pertama yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) sekali gus memberi tamparan kepada sekolah lain yang berada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Menyifatkannya sebagai amat luar biasa, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kejayaan SK Ulu Lubai itu membuktikan bahawa semua sekolah mampu cemerlang tanpa mengira lokasinya.

"Kalau kita lihat persekitaran dan infrastruktur, ia amat sederhana, bangunannya sudah lama dan diperbuat daripada kayu, tidaklah seelok bangunan-bangunan konkrit di sesetengah sekolah.

"Tetapi kerana kepimpinan sekolah itu adalah cemerlang dan guru-guru serta ibu bapa bersama murid-murid amat komited untuk bantu membangunkan sekolah ini, berlaku lonjakan yang amat besar," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan senarai 23 SBT Kohort Dua di SK Ulu Lubai di sini hari ini.

Muhyiddin juga melontarkan cabaran kepada sekolah-sekolah lain dengan berkata:

"Jika SK Ulu Lubai yang begini keadaannya boleh muncul yang terbaik, saya tidak fikir sekolah lain tidak mampu."

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin berkata, SK Ulu Lubai telah menunjukkan pencapaian akademik yang amat cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan keputusan 100 peratus lulus sejak 2006 sehingga sekarang, menjadikannya sebagai sekolah terbaik di negeri ini.

Katanya, dalam penarafan sekolah kebangsaan, SK Ulu Lubai menduduki tempat ke-54 pada 2009 dan ia melonjak ke tempat pertama pada 2010.

Beliau memberitahu, lebih membanggakan, sekolah itu memenangi dua anugerah peringkat antarabangsa iaitu johan Commonwealth Education Good Practice Award 2009 dan finalis anugerah yang sama daripada Sekretariat Komanwel dan Kerajaan Malaysia.

Menurutnya, pencapaian terkini ialah pencalonan UNESCO Educational International Best Practices 2010.

"Di samping itu, ia juga berjaya merangkul lima anugerah peringkat kebangsaan, 14 di peringkat negeri dan 46 di peringkat bahagian dan daerah," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin begitu teruja dengan inisiatif SK Ulu Lubai yang bergerak aktif dalam mewujudkan program jalinan dan jaringan dengan institusi pendidikan luar negara.

Katanya, jaringan itu bukan calang-calang kerana pada 2009 dan 2010, mereka mewujudkan jaringan dengan University Bristol, United Kingdom (UK), Jin Shan Primary School, Singapura dan Kingsford Community School serta Deptford Green School, masing-masing di UK.

Sementara itu, Guru Besar SK Ulu Lubai sejak 1998, Jaul Bunyau berkata, kunci kepada kejayaan sekolah itu ialah kerjasama daripada ibu-bapa kerana merekalah yang paling dekat dengan sekolah berkenaan,

Katanya, mengharapkan orang luar untuk membantu sekolah di pedalaman seperti SK Ulu Lubai amat sukar kerana keadaannya terpencil manakala prasarananya amat terhad.

"Jadi kita kena libatkan komuniti setempat dan guru-guru pula tidak boleh terpisah dengan masyarakat," katanya.

TPM umum 23 lagi SBT
Oleh saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my

LIMBANG 17 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan senarai 23 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) bagi Kohort Dua menjadikan jumlah keseluruhannya 43 buah setakat ini.

Dengan itu, satu daripada empat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang digariskan Kementerian Pelajaran iaitu memiliki 100 buah SBT pada 2012 hampir separuh sudah dapat dicapai.

Beliau berkata, terdapat beberapa buah lagi sekolah cemerlang yang mungkin diisytiharkan sebagai SBT tanpa perlu menunggu kohort seterusnya jika syarat-syarat yang ditetapkan dapat dipenuhi.

“Saya telah beritahu kepada Ketua Pengarah Pelajaran (Datuk Abd. Ghafar Mahmud) kalau ada kalangan sekolah cemerlang tapi kurang satu dua perkara (syarat SBT) dan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat, sekolah itu layak kita isytihar sebagai SBT,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Pengiktirafan SBT Kohort Dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berbesar hati kerana 20 SBT dalam Kohort Pertama berjaya mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang dan pada masa sama meraih beberapa kejayaan dalam pertandingan di peringkat antarabangsa.

Antaranya, kata beliau, Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya yang mendapat tempat pertama dalam acara Car Sprint Triathlon Antarabangsa OSIM Singapura dalam kategori bawah 13 tahun.

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur pula meraih tempat pertama dan kedua dalam acara renang, Kumpulan Umur SEA di Filipina.

“Sementara itu, Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban memenangi Anugerah Knock Out, mendapat tempat ketiga dalam Pembentangan Lisan dan mendapat tempat ketujuh terbaik daripada 25 negara dalam kejohanan Dunia Formula 1 In School,” katanya.

Di samping meraih pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa, tambah Muhyiddin, SBT Kohort Pertama turut berperanan penting dalam merapatkan jurang pencapaian antara sekolah melalui program sekolah angkat.

Beliau berkata, salah satu contoh terbaik adalah Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah di Melaka yang menjadikan Sekolah Menengah Agama (SMA) Tahfiz Cenderah, Jasin, sebagai sekolah angkat.

Katanya, melalui Program Peningkatan Prestasi Matematik, sekolah berkenaan membantu sekolah angkatnya meningkatkan peratusan pelajar yang memperoleh A bagi mata pelajaran berkenaan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 iaitu daripada 39.5 peratus pada 2009 kepada 71.77 peratus.

“Gred Purata SMA Tahfiz Cenderah dalam PMR juga meningkat daripada 2.3 pada 2009 kepada 1.72 pada 2010.

“Ini adalah satu lonjakan yang amat ketara dan wajar diberikan pujian,” tegasnya

600 sekolah 'amat buruk, kritikal'

LIMBANG 17 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan terdapat kira-kira 600 daripada 10,000 sekolah di negara ini berada dalam keadaan yang amat daif.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perangkaan berkenaan diperoleh daripada satu audit yang dilaksanakan khusus untuk mengetahui taraf infrastruktur dan keadaan sekolah.

Katanya, sebahagian sekolah berkenaan terletak di Sabah dan Sarawak.

"Daripada laporan, terdapat enam peratus daripada 10,000 sekolah berada dalam tahap yang amat buruk, kritikal dan mahu sujud ke bumi," katanya.

Beliau berucap pada majlis mengumumkan senarai 23 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian mungkin melantik perunding untuk membuat penilaian terhadap sekolah terbabit termasuk daripada aspek keperluan penambahbaikan atau pembinaan semula.

Turut dinilai, kata beliau, adalah berapa lama sekolah itu boleh diguna atau sejauh manakah tahap keselamatan semasa.

"Mungkin ada satu jadual khusus, sekolah itu tidak perlu mohon, kita tahu statusnya dan kalau perlu dibina baru, kita akan bina.

"Kita perlu ambil pendekatan yang inovatif, kalau peruntukan yang disediakan tidak mencukupi, ada pendekatan pembiayaan lain yang kita boleh gunakan contohnya inisiatif pembiayaan swasta," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut meluang masa melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tutoh Apoh di Long Panai, Baram yang 12 hingga 18 kali ditenggelami banjir dalam masa setahun kerana terletak bersebelahan Sungai Apoh.

Sekolah berkenaan pada awal tahun lalu pernah mendapat perhatian beliau yang kemudian mengumumkan peruntukan RM50 juta untuk pembinaan bangunan baru di tempat lebih tinggi.

Muhyiddin sewaktu berucap dalam majlis bersama penghuni rumah Panjang Uma Beluvuh bersebelahan SMK Tutoh Apoh menjelaskan bangunan baru sekolah itu akan dibina dalam masa terdekat dan ia dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan.

Beliau menjelaskan, nilai sebenar projek yang kini berada dalam peringkat melantik perunding reka bentuk itu hanyalah RM30 juta.

"Kita juga sudah membayar ganti rugi pengambilan balik tanah membabitkan keluasan 12 hektar," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM2,000 bagi setiap 117 pintu Rumah Panjang Uma Beluvoh bagi tujuan penyelenggaraan kediaman

Jadikan Perlembagaan Negara mata pelajaran di sekolah

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Perlembagaan Persekutuan wajar dijadikan mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara kerana konsep keadilan di dalamnya perlu difahami secara menyeluruh oleh segenap lapisan masyarakat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemahaman terhadap Perlembagaan Negara tidak memadai hanya menerusi pembacaan atau rujukan daripada tulisan-tulisan pihak tertentu.

"Keseimbangan dalam Perlembagaan Negara boleh difahami dengan lebih jelas sekiranya ia dijadikan mata pelajaran di sekolah. Jika kita faham mengenai perkara ini, baru kita dapat memahami mengenai keadilan dalam perlembagaan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta dalam diskusi bertajuk Cabaran Semasa Sistem Demokrasi dan Perlembagaan Negara Malaysia Ke Arah Pencapaian Wawasan 2020 di Parlimen hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Dr. Mahathir berkata, cadangan Perlembagaan Negara sebagai mata pelajaran boleh menyokong dasar kerajaan menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia mulai 2013.

Begitu pun, jelas beliau, buku teks Sejarah itu perlu disemak semula kerana ia tidak sepenuhnya memasukkan elemen sejarah apabila banyak fakta penting yang boleh membentuk kesetiaan kepada negara tidak dimasukkan.

Tambah beliau, disebabkan terlalu mengambil perhatian terhadap sensitiviti kaum tertentu, kandungan buku teks itu tidak lagi bersifat Sejarah sebaliknya lebih kepada cerita dongeng.

"Ia sepatutnya memaparkan perkara yang benar-benar berlaku, bagaimana asal-usul negara ini dan apa yang menyebabkan perubahan sehingga hari ini kita dikenali sebagai negara Malaysia," katanya.

Kepada satu persoalan mengenai pengekalan sekolah aliran sedangkan sudah diketahui ia boleh menghalang kepada perpaduan, Dr. Mahathir berkata, ia satu perjanjian yang sudah diikat oleh pemimpin-pemimpin pelbagai kaum terdahulu dan perlu dihormati.

Beliau mencadangkan dalam mengurangkan jurang perbezaan antara kaum itu, setiap sekolah aliran boleh diletakkan di dalam satu kawasan yang sama dengan sekolah kebangsaan yang dirujuk beliau seperti sebuah kampus.

"Sekolah aliran masih boleh menggunakan bahasa ibunda masing-masing tetapi pelajar-pelajarnya perlu bercampur apabila melibatkan aktiviti lain seperti sukan dan sebagainya.

"Pelajar-pelajar ini perlu didedahkan bahawa masa depan mereka bukan melibatkan kaum mereka sahaja seperti di sekolah," kata beliau.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.