Pages

Subscribe:

14 Mei, 2011

[hang nadim] Anwar sanggup peralatkan Islam.....



Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 13 Mei – Dua bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sikap bekas majikan mereka yang sudah jauh berubah sebagai bukti beliau sanggup melakukan apa sahaja termasuk memperalatkan Islam demi kuasa.

Muhamad Rahimi Osman berkata, Anwar pada hakikatnya terlalu kemaruk untuk memegang jawatan Perdana Menteri sehingga sanggup menjual agama semata-mata untuk mencapai cita-citanya itu.

“Jika dahulu Anwar mendukung perjuangan Islam, tetapi sekarang Anwar lebih rela menjual agama dan bangsa kepada DAP asalkan dapat berkuasa.

“Soal moral dan akhlak, saya berpendapat Anwar sememangnya seorang yang rosak akhlak sejak dahulu cuma pada masa itu rakyat belum tahu lagi siapa Anwar sebenarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa Anwar sudah jauh berubah berbanding sifatnya ketika awal perjuangan dahulu.

Seorang lagi bekas Setiausaha Sulit, Anuar Shaari pula berkata, Anwar yang dahulunya dilihat sebagai seorang pejuang Islam kini berubah menjadi seorang pemimpin berfahaman liberal dan tujuannya adalah untuk meraih sokongan.

Beliau berkata, apa yang jelas sejak berimejkan pemimpin berfahaman liberal, Anwar sanggup menggadaikan apa sahaja asalkan ia dapat menjayakan perjuangan politik peribadinya.

“Ketika perjuangan beliau bertunjangkan Islam, beliau lebih Islam daripada mana-mana umat Islam. Kini Anwar menjadi lebih liberal serta sanggup menggadaikan apa sahaja demi memenuhi sebuah cita-cita politik,” ujarnya.

Presiden Gagasan Antipenyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin pula berkata, Anwar menunjukkan sikap sebenarnya sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Sejak timbul pelbagai isu, jelas yang Anwar telah rosak akhlaknya. Impiannya untuk menjadi seorang Perdana Menteri juga turut terjejas. Beliau berjaya memperkudakan Pas tetapi menjadi boneka DAP,” katanya.

PPeneroka Felda bantah ceramah Anwar esok

BERA 13 Mei - Kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyampaikan ceramah Program Penerangan Isu-Isu Semasa di Felda Purun di sini, lusa dianggap sebagai satu langkah yang akan mengganggu keharmonian masyarakat peneroka.

Sehubungan itu, sekumpulan 100 peneroka termasuk golongan belia mengadakan demonstrasi aman dengan berjalan sejauh 150 meter sambil membawa sepanduk yang mendesak supaya program itu dibatalkan.

Pengerusi Generasi Kedua Felda Gugusan Bera, Mohd. Fauzi Jalaludin berkata, mereka tidak mahu seorang pemimpin yang tidak mempunyai pendirian tetap dan didakwa sebagai pengkhianat berada di tanah rancangan itu.

Tegasnya, tanah rancangan di sini sudah sedia aman, makmur serta sejahtera dan kerana itu mereka tidak memerlukan orang luar apatah lagi yang mahu mengeruhkan suasana tersebut.

"Terlalu banyak perkara negatif dikaitkan dengan Anwar dan kita tidak mahu perkara itu mempengaruhi masyarakat Felda terutamanya generasi muda di sini.

"Kehadiran beliau hanya akan meracuni fikiran generasi muda terutamanya hal-hal memfitnah kerajaan dan Felda disebarkan dalam program tersebut," jelas beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Fauzi, terdapat lima ahli panel pembangkang iaitu dari PKR, DAP dan Pas akan hadir membicarakan ceramah bertajuk 'Ubah Sekarang - Selamatkan Malaysia' pada program tersebut.

Katanya, kebajikan yang diterima peneroka hari ini adalah hasil usaha kerajaan dan pembangkang langsung tidak memberi sumbangan sebaliknya berusaha untuk menghuru-harakan keadaan.

Wakil Gabungan Wilayah Generasi Felda (GWGF), Ismayuddin Suib pula memberitahu, bantahan itu bertujuan mengelakkan pemikiran masyarakat Felda terpesong dan membelakangi kerajaan.

"Kerajaan telah banyak berusaha dan membantu warga Felda tetapi Anwar sewenang-wenangnya, masuk ke sini untuk merosakkan minda anak-anak bangsanya sendiri," katanya.

Wakil peneroka, Ahmad Abd. Rahman, 58, pula menegaskan, sebagai orang lama di tanah rancangan itu, beliau melihat kemakmuran penduduk semakin baik dari semasa ke semasa.

Video seks: Hishammuddin saman Anwar kerana fitnah

KUALA LUMPUR 13 Mei - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memfailkan saman fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penayangan video yang memaparkan aksi seks pelaku mirip seorang pemimpin pembangkang.

Writ saman setebal 23 muka surat itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Zul Rafique & Partners pada 25 Mei lalu di Mahkamah Tinggi di sini. Dokumen tersebut diperoleh oleh pihak media melalui carian fail di pejabat mahkamah.

Kes saman berkenaan akan disebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera pada 25 Mei ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Hishammuddin, 50, selaku plaintif mendakwa, pada 21 Mac lalu satu video lucah memaparkan beberapa orang yang tidak dikenali telah ditayangkan.

Keesokan harinya, selepas membuat laporan polis berkenaan video tersebut, Anwar yang dinamakan sebagai defendan telah bercakap kepada pihak akhbar di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Plaintif mendakwa, kata-kata semasa wawancara itu yang kemudiannya diterbitkan oleh akhbar telah memfitnah dirinya serta merendah-rendahkannya dalam kapasiti beliau sebagai menteri.

Artikel itu antara lain membawa maksud, plaintif bertanggungjawab menayangkan dan mengatur penayangan video itu di Hotel Carcosa Seri Negara serta berkomplot dengan Perdana Menteri dan pihak atasan polis berhubung penayangan itu.

Plaintif berkata, pernyataan yang dibuat oleh defendan adalah benar-benar palsu terhadap beliau dan tiada kewajaran serta berniat jahat untuk merosakkan reputasi, memalukannya sebagai ahli politik sehingga menyebabkan beliau telah diheret dalam skandal umum dan dibenci.

Sehubungan itu, plaintif memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan kata-kata fitnah itu terhadapnya serta menuntut permohonan maaf dalam akhbar kebangsaan yang dipilih oleh beliau.

Plaintif turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya serta kos.

Pakar AS sahkan video seks tulen

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 13 Mei - Polis mengesahkan rakaman video seks membabitkan pelaku didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tulen setelah pasukan itu mendapatkan khidmat pakar pengimejan video dari luar negara dipercayai Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, tiada keperluan undang-undang untuk pihaknya mendedahkan pelaku di dalam video terbabit.

Beliau juga enggan mendedahkan siapa pakar luar terlibat.

"Kalau ada keperluan undang-undang kemudian hari, kita akan hebahkan. Kalau dah video itu sahih, yang lain-lain tuan puan buat andaianlah.

"Kita sudah kenal pasti orangnya dan diperkukuhkan lagi dengan laporan pakar-pakar luar cuma kita tidak mahu serta tiada keperluan untuk menghebahkan siapa (pelaku)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Tambah Khalid, laporan pakar luar yang diterima pihaknya mengukuhkan video itu adalah tulen dan bukan merupakan teknik superimpose (pertindihan).

Beliau memberitahu, siasatan kes berkenaan kini pada peringkat akhir dan pihaknya akan berbincang dengan Peguam Negara dalam waktu terdekat.

"Kita akan membawa kertas siasatan ini kepada pihak Peguam Negara dan kita akan tengok kalau ada apa-apa arahan untuk melengkapkan semula kertas siasatan tersebut," katanya.

Ditanya tindakan terhadap individu yang memuat naik video itu di laman Youtube, Khalid mengakui mempunyai kesukaran mengenal pastinya kerana ia dilakukan di luar negara.

Namun, jelas beliau, pihaknya bersama-sama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berusaha menjalankan siasatan.

Ditanya sama ada Anwar akan didakwa membuat laporan polis palsu sekiranya Ketua Pembangkang itu merupakan individu di dalam video seks terbabit, Khalid berkata, pihaknya akan menelitinya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.