Pages

Subscribe:

15 Mei, 2011

[hang nadim] Perpaduan Melayu perlu kukuh.....



LEDANG 15 Mei - Perpaduan dalam masyarakat Melayu yang kukuh akan membolehkan UMNO membuktikan kekuatan politiknya dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sehubungan itu, kemakmuran yang dinikmati pada masa kini perlu dipertahankan. Beliau berkata, jika ia gagal dilaksanakan, pihak pembangkang akan mengambil kesempatan daripada perpecahan masyarakat Melayu.

"Kita di Johor perlu perkukuhkan perpaduan orang Melayu untuk berdepan dengan cabaran ini dan percayalah tiada cara untuk berdepan dengan cabaran ini, selain kekuatan politik orang Melayu.

"Saya berharap dalam pilihan raya umum akan datang, kita akan dapat buktikan kekuatan itu," katanya pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ledang yang dirasmikan Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di sini hari ini.

Tidak mewakili semua Melayu
Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

SABAK BERNAM 15 Mei – Amaran perang jihad ke atas masyarakat Kristian yang diisytiharkan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali semalam bukan mewakili keseluruhan masyarakat Melayu di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Ahli Parlimen Pasir Mas itu boleh mengisytiharkan perang jihad tetapi memerlukan sokongan majoriti dan ia perlu berlandaskan agama serta bukannya emosi semata-mata.

“Saya tidak melihat Ibrahim mewakili keseluruhan orang Melayu atau Muslim. Seperti Osama Laden, beliau tidak mewakili seluruh umat Islam,” kata Hishammudin kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas amaran Ibrahim kepada komuniti Kristian bahawa beliau akan melancarkan perang jihad jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam semasa ceramahnya di Kuala Lumpur malam semalam, seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.

Menurut portal berita itu, semasa ceramahnya, Ibrahim memberitahu beliau bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam.

Dalam pada itu Hishammuddin menjelaskan, beliau tidak menganggap Ibrahim seorang ekstremis tetapi merupakan pemimpin yang mempunyai tahap pemahaman yang berlainan.

Terdahulu dalam ucapannya, Hishammuddin meminta UMNO Selangor bekerja keras dan bergerak dari sekarang bagi merampas semula negeri itu daripada pihak pembangkang.

Ujar beliau, mereka juga perlu bekerja seperti pembangkang dan mendedahkan segala kelemahan dan janji yang gagal ditunaikan oleh kerajaan negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membuka mata rakyat.

“Kita juga mesti buktikan yang kita telah berubah dan perubahan itu menepati hati dan nurani rakyat,” katanya.

PPIM akui wujud gerakan cabar Islam sebagai agama rasmi kerajaan

KUALA LUMPUR 15 Mei - Pihak yang sengaja enggan menghormati kontrak sosial sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sepatutnya dipersalahkan dan bukannya menyalahkan Utusan Malaysia kerana didakwa sengaja 'bermain api.'

Demikian tegas Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman (gambar) ketika menjawab tuduhan pelbagai pihak termasuk parti Pas yang menyalahkan Utusan dalam laporan bertajuk Kristian Agama Rasmi? pada 7 Mei lalu.

Sambil mengesahkan bahawa laporan muka depan Utusan itu sebagai berasas, Maamor berkata, PPIM sendiri mempunyai maklumat bahawa terdapat usaha daripada kumpulan tertentu untuk mencabar kedudukan Islam selaku agama rasmi negara ini.

Sehubungan itu, beliau menganggap pendedahan akhbar tersebut adalah sebagai satu tanggungjawab mulia demi kesucian agama Islam, agar pihak berkuasa sedar bahawa memang wujud satu gerakan yang bertujuan menghancur keharmonian negara ini.

"Kami boleh sahkan laporan itu berasas. Kami mempunyai maklumat dan ini bukan kali pertama kumpulan itu menganjurkan program seperti itu. Usaha untuk mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini telah lama berlaku.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan mereka ini mendapat dana daripada sebuah pertubuhan antarabangsa sebagaimana yang pernah berlaku di Sabah sebelum ini. Mereka ini sebenarnya yang patut dikecam kerana sengaja mencurah minyak ke dalam api dan bukannya Utusan.

"Fakta ini harus dipandang serius oleh pihak bertanggungjawab. Jika Utusan diberi amaran kerana mendedahkan hal sebenar, usaha pihak tersebut juga perlu dipastikan berkubur," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Utusan pada Sabtu minggu lalu menyiarkan berita bertajuk 'Kristian Agama Rasmi?' yang dipetik daripada dua blog tempatan iaitu Bigdog serta Marahku dan pada masa yang sama, turut menyiarkan penafian Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dari DAP yang hadir pada majlis kontroversi tersebut.

Dalam pada itu, Maamor menempelak parti politik Melayu terutamanya yang mendakwa diri mereka berjuang atas landasan Islam, kerana turut bersekongkol dengan pihak bukan Islam bagi memburukkan Utusan sedangkan, hakikat sebenarnya mengesahkan pendedahan itu.

Jelasnya, parti politik tersebut sepatutnya mendapatkan maklumat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam terlebih dahulu untuk mengetahui hal sebenar, dan bukannya mendahului pihak polis dalam menjatuhkan 'hukuman' ke atas Utusan.

Mengulas lanjut, beliau menambah, isu berhubung soal agama ini tidak boleh diselesaikan secara 'menyapu di bawah permaidani,' sebaliknya ia perlu disiasat dengan terperinci dan tindakan tegas perlu dikenakan kepada pihak yang cuba menidakkan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita kena fokus kepada isu pokok iaitu cubaan untuk mencemarkan agama Islam. Penafian pihak tersebut sahaja tidak cukup. Polis kena siasat dengan terperinci dan selagi siasatan belum selesai semua pihak perlu bertenang. Serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.