Pages

Subscribe:

21 Mei, 2011

[hang nadim] Pelakon veteran Mahyon Ismail meninggal dunia......Takziah



KUALA LUMPUR 21 Mei - Pelakon veteran, Mahyon Ismail sempat berlakon drama terakhirnya berjudul Serapah Darah Bulan Madu minggu lalu sebelum mengadu demam semalam dan meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini, hari ini.

Menurut anak bongsunya, Faizal Hussein, 44, malam tadi ibunya mengadu demam dan dibawa ke hospital berkenaan dan kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

"Sebelum ini ibu cuma demam biasa tetapi pada masa sama dia menghidap kencing manis. Kali terakhir saya berjumpa arwah petang semalam. Saya bersama arwah, kakak saya, Dilla dan anak saudara saya, Marissa pergi ke Pejabat Tanah di Gombak kerana ada urusan tanah.

"Ketika itu arwah nampak sihat. Malah, selepas itu arwah sempat lagi pergi ke Wangsa Walk di Wangsa Maju dan membeli lauk-pauk dan sate bersama-sama kakak saya. Cuma, pada pukul 10 malam tadi, arwah mengadu demam dan terus dibawa ke Hospital Ampang Puteri.

"Ibu meninggal dunia pukul 12.30 tengah hari ini mungkin kerana masalah kencing manis yang dihidapinya. Sebabnya, sebelum itu arwah pernah demam dan makan ubat termasuk ubat batuk," katanya sewaktu ditemui Mingguan Malaysia di hospital berkenaan.

Mahyon yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 69 tahun dan merupakan isteri pelakon, Allahyarham Hussein Abu Hassan.

Allahyarham yang dilahirkan di Tanjong Karang, Selangor mula berlakon filem pada awal 1960-an dan antara filem lakonannya berjudul Nasib Do Re Mi, Esok Masih Ada, Tiada Esok Bagimu, Bunga Padi Berdaun Lalang, Senja Merah serta Panglima Badul.

Hasil perkahwinannya dengan Hussein Abu Hassan yang meninggal dunia pada 26 November 2007 kerana penyakit paru-paru berair, Allahyarham dikurniakan tiga anak iaitu Fadila, 48, Fairuz, 46, dan Faizal, 44, serta lima cucu.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Danau Kota, Setapak di sini malam ini.

Nukilan hati hang nadim
Tahun 1995 Pernah mengunjungi rumah Allah Yarham bersama keluarga.....Semoga Allah
cucuri rahmat keatasa rohnya.....amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.