Pages

Subscribe:

19 Mei, 2011

[hang nadim] Strauss-Kahn, Anwar, Wolfowitz hadapi nasib sama berkait skandal seks

Strauss-Kahn, Anwar, Wolfowitz hadapi nasib sama berkait skandal seks

KUALA LUMPUR 19 Mei – Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss- Kahn, 62 dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, 64, serta bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz, 68, dikatakan menghadapi nasib yang sama apabila mereka telah didakwa terbabit dengan dakwaan berkaitan skandal seks.

Ketiga-tiga individu terkenal itu, sama ada Strauss-Kahn, Anwar mahu pun rakan rapatnya, Wolfowitz, kesemuanya pernah didakwa terbabit dalam hubungan skandal mereka dengan wanita.

Kecuali Wolfowitz yang lebih menjurus kepada skandal bersama teman wanitanya, Strauss-Kahn atau Anwar terpaksa melalui tindakan dalam bentuk undang-undang.

‘‘Bukan itu sahaja dalam kes mebabitkan Anwar, selain dikaitkan hubungannya dengan wanita, Ketua Pembangkang Malaysia itu turut didakwa terbabit dalam kes liwat (bersama lelaki),” menurut laman web http://newledger.com, baru-baru ini.

Menurut laman itu lagi, berdasarkan sejarah, Strauss-Kahn yang merupakan bekas Menteri Kewangan Perancis dan beliau kini dikatakan calon pembangkang terbaik bagi menentang Presiden Perancis pada masa ini, Nicholas Sarkozy pada pemilihan akan datang.

‘‘Namun begitu pada 2008, kariernya hampir terjejas apabila didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap kakitangan IMF pada tahun yang sama.

‘‘Pada Isnin depan, Strauss-Kahn akan berhadapan pula dengan tuduhan melakukan serangan seksual yang bakal menamatkan kariernya sebagai Pengarah Urusan IMF,” kata laman itu lagi.

Anwar pula berdasarkan sejarah kata laman itu, beliau merupakan bekas Menteri Kewangan dan amat berharap dapat merampas jawatan Perdana Menteri daripada Datuk Seri Najib Tun Razak selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka diadakan tahun 2012.

Bagaimanapun, beliau kini berhadapan dengan tuduhan liwat terhadap bekas kakitangan lelakinya yang boleh menyebabkannya kehilangan jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

‘‘Anwar juga telah dikaitkan dengan dakwaan sebagai pelakon dalam satu lagi rakaman video seks melibatkan seorang wanita yang bukan isterinya hingga mencetuskan kontroversi.

‘‘Terbaru, beliau telah diminta oleh mahkamah membela diri dalam dakwaan kes liwat yang dilihat boleh menamatkan kariernya,” kata laman itu.

Wolfowitz pula, berdasarkan sejarah merupakan Timbalan Setiausaha Pertahanan dan juga rakan baik Anwar.

‘‘Kariernya dalam perkhidmatan awam tamat pada tahun 2007 selepas dipaksa meletakkan jawatan sebagai Presiden Bank Dunia apabila beliau telah membayar gaji yang sangat tinggi kepada teman wanitanya.

‘‘Akibatnya, ia telah menyebabkan berlaku krisis paling buruk dalam sejarah institusi itu,” kata laman web berkenaan.

Menurut satu laporan pada tahun 2010 iaitu berdasarkan satu dokumen, telah menunjukkan bagaimana teman wanita Wolfowitz, Shaha Riza telah menerima gaji lebih tinggi daripada Setiausaha Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Condoleeza Rice.

Layan Anwar seperti rakyat biasa

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 19 Mei - Semua pihak perlu menjadikan kes jenayah seksual yang dihadapi oleh Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn sebagai contoh kerana tiada layanan istimewa diberikan kepadanya.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bertindak cepat dengan menangkap, menggari dan meletakkannya di dalam lokap ekoran dakwaan melakukan serangan seksual terhadap seorang pengemas bilik hotel.

"Tiada saksi lain dan tiada rakaman CCTV atau kamera tersembunyi tetapi pihak polis bertindak cepat. Bukan itu sahaja, dia juga tidak dibenarkan diikat jamin dan akan didakwa esok walaupun cuba menafikan tuduhan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya, Strauss-Kahn bukan calang-calang individu malah beliau merupakan antara orang paling berpengaruh di dunia dan bakal dicalonkan sebagai Presiden Perancis.

"Dalam soal tuduhan jenayah itu, tiada keistimewaan diberikan terhadap beliau. Keadaan itu sama juga dengan Presiden Itali yang didakwa kerana mengadakan hubungan seks dengan pelacur Maghribi.

"Tetapi dalam kes liwat dan video seks didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang yang kena tuduh menggunakan rakyat, pentas ceramah politik dan demonstrasi jalanan untuk mempertahankan diri dan proses mahkamah dipermainkan sehingga berlaku penundaan hampir dua tahun.

"Diharap dalam proses bela diri tiada keistimewaan akan diberi sehingga tertangguh pula sampai dua tahun lagi.

"Pihak berkuasa sama ada polis dan Peguam Negara perlu tegas walaupun Anwar orang ternama tetapi apa beza beliau dengan Strauss-Kahn, Silvio Berlusconi ataupun Ariel Peter Pan," katanya.

Kata Mohd. Puad , Anwar perlu dilayan seperti rakyat biasa yang didakwa di mahkamah.

Isu video seks: Anwar gagal beri jawapan meyakinkan

KUALA LUMPUR 19 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat gagal memberi jawapan meyakinkan berhubung penyebaran video seks seorang lelaki yang dikatakan mirip beliau, termasuk persoalan tentang kehilangan jam tangan Omega milik beliau.

Ketika dijemput sebagai panel untuk segmen interaktif Yahoo! Malaysia Question Time menerusi platform Cover It Live pagi ini, beliau sebaliknya banyak mempersalahkan UMNO, termasuk menuduh parti itu membeli beberapa rakan seperjuangannya untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam satu contoh, beliau seakan-akan cuba lari daripada menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang individu bernama Nik Abdul.

Soal Nik Abdul: ''Bagaimana pandangan anda apabila pakar dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat mengesahkan individu dalam video seks itu menyamai wajah anda? Apakah anda fikir ini adalah satu konspirasi juga?''

Anwar hanya menjawab: ''Ini adalah contoh tipikal tentang bagaimana kamu telah menjadi mangsa penipuan media UMNO. Pakar mana? Mengapa mereka tidak bersikap telus?.''

Menjawab soalan Zuzayati yang bertanyakan apakah benar Anwar merupakan individu dalam video seks tersebut, Anwar sekali lagi mengaitkan UMNO dalam menjawab persoalan tersebut.

Kata Anwar: ''Saya telah bersungguh-sungguh menafikan dan telah membuat laporan polis. Pemimpin-pemimpin UMNO nampaknya membiarkan politik pornografi berlaku. Dan mereka yang sering bercakap soal moral adalah hipokrit.''

Beliau kemudiannya terus bersikap dolak-dalik daripada menjawab isu tentang jam tangan Omega dan video seks berkenaan.

Menjawab soalan daripada seorang individu bernama Dr. MiM yang ingin tahu rasional beliau mengelak daripada menunjukkan jam tangan itu kepada umum, Anwar menjawab : ''Apa isunya? (What is the issue?).

''Pertama, Eskay (Datuk Shazryl Eskay Abdullah) mendakwa jam itu adalah pemberian seorang putera raja Arab Saudi. Kemudian menyatakan ia dibeli di Taiwan pada 2004. Oleh itu, untuk apa saya menerangkan mengenai hal ini?,'' ujarnya.

Anwar kemudiannya mendakwa mengetahui beberapa suspek yang boleh dikaitkan dengan lelaki dalam video seks terbabit ketika menjawab soalan seorang lagi individu yang menggunakan nama samaran Om.

''Saya ada beberapa suspek; perutnya besar dan dadanya layut. Ha ha,'' jelas beliau.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya telah merujuk kepada polis dan Mahkamah Syariah dalam proses menyaman Shazryl Eskay.

Selain menuding UMNO terlibat dalam isu video seks dan membeli beberapa bekas pemimpin PKR, Anwar juga mengambil kesempatan di ruang maya itu untuk terus menuduh parti berkenaan sebagai dalang di sebalik cubaan mengharamkan PKR.

Secara melulu, Anwar mudah melontarkan tuduhan itu dengan menjawab: ''Ini kerja pimpinan UMNO yang terdesak dan terus mendera rakyat.''

Usah gentar jika berada di pihak benar

KUALA LUMPUR 19 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta anaknya, Nurul Izzah seharusnya tidak gentar menyahut cabaran bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor untuk melakukan empat perkara asas sekiranya mereka yakin berada di pihak benar.

Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, cabaran itu juga penting untuk disahut bagi menolak tuduhan bahawa skandal yang membelenggu Anwar adalah konspirasi semata-mata.

“Jika satu pun daripada empat perkara asas ini tidak mampu mereka lakukan, maka rakyat boleh menilai apakah kebenaran sebenar yang cuba dipertahankan oleh Anwar sekeluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada cabaran Mohamad Ezam supaya Anwar sekeluarga melakukan empat perkara asas iaitu bersumpah laknat, membuat ujian pembohongan, menyaman Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan menuduh beliau berbohong.

Empat perkara asas tersebut kata Mohamad Ezam, perlu dilakukan oleh tiga beranak itu bagi membersihkan nama Ketua Pembangkang tersebut, sekali gus menafikan beliau terlibat dalam skandal rakaman video seks.

Sementara itu, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, Anwar, Azizah dan Nurul Izzah sudah berada ‘sebelah kaki’ untuk melangkah ke Putrajaya sekiranya sanggup melakukan salah satu daripada empat cabaran tersebut.

Katanya, langkah itu dengan sendirinya akan meletakkan mereka di pihak yang benar serta tertindas sekali gus mendapat sokongan dan simpati rakyat.

Isu video seks tidak selesai selagi pelaku tidak didedah

KUALA LUMPUR 19 Mei – Isu rakaman video seks yang didakwa pelakunya mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan selesai selagi pihak berkuasa enggan mendedahkan individu terlibat walaupun ia telah disahkan tulen.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, sehingga kini, pihak berkuasa tidak membuat kenyataan siapakah watak di dalam video meskipun pengesahan ketulenan dilakukan sebanyak dua kali termasuk pakar dari Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, tegas beliau, pendirian Pas dalam isu tersebut jelas iaitu parti itu tidak akan terlibat dalam kesalahan berkaitan qazaf.

‘‘Isu itu tidak selesai. Mana nak selesai kerana satu badan yang berkuasa pun tidak boleh kata siapa pelakon watak dalam video itu. Video ini kemudian telah disebarkan sebab itu Pas berpendapat ini tidak bertanggungjawab. Polis pula telah sahkan dua kali tulen.

‘‘Apabila Bukit Aman membuat penyiasatan ia disahkan tulen. Namun, kita perlu pula pakar daripada AS dan mereka siasat. Kemudian ia disahkan tulen. Ini bermakna ada pakar pun tulen tidak ada pakar pun tulen, tetapi tidak pula dedahkan siapa yang sebenarnya. Perlu ada satu badan berkuasa uruskan perkara ini,’’ katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keresahan rakyat ekoran rakaman video yang didakwa pelakunya mirip Anwar.

Sebelum ini, beberapa pihak mahukan pelaku video seks berkenaan dikenakan tindakan undang-undang berdasarkan peruntukan sedia ada sama ada dalam bentuk hukuman mahkamah sivil atau syariah.

Salahuddin berkata, pendirian Pas tidak pernah berubah sejak hari pertama isu tersebut tercetus kerana bagi parti itu, tuduhan atau dakwaan tersebut perlu disertakan bersama empat saksi yang adil.

‘‘Perbuatan ini tidak diizinkan oleh Islam kerana ia memerlukan pembabitan empat orang saksi,’’ katanya.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, pendirian Pas adalah atas pertimbangan agama kerana ia berkaitan dengan satu tuduhan yang memerlukan keterangan empat orang saksi

ROS minta PKR jawab notis ikut saluran

KUALA LUMPUR 19 Mei — Pendaftar Pertubuhan (ROS) meminta Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjawab notis pembatalan pendaftaran yang dikeluarkannya terhadap parti itu dalam tempoh yang ditetapkan dan bukan menggunakan saluran media untuk memberi jawapan.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, notis itu adalah mengikut Seksyen Kecil (2), Seksyen 13, Akta Pertubuhan 1966, di mana PKR diberi tempoh sehingga 9 Jun depan untuk memberi sebab memuaskan mengapa pendaftaran parti itu tidak patut dibatalkan.

Beliau berkata, pihak yang diberi notis tersebut hanya perlu untuk menjawab balik notis itu berserta dengan alasan kukuh dalam tempoh masa yang diberikan.

"Apabila ROS keluarkan notis, mengikut Akta Pertubuhan 1966, pihak yang ditujukan perkara tersebut diminta menjawab dalam masa diberikan, menggunakan saluran sama, bukan menggunakan saluran media kerana ia dianggap kurang manis," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang mempertikaikan tindakan ROS menghantar notis tersebut kepada sekretariat parti pada 9 Mei lepas dan menganggapnya sebagai tidak berasas.

Pada persidangan akhbar di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini, Saifuddin mendakwa, notis untuk membatalkan PKR atas alasan parti tersebut melanggar Fasal 32.2.1 Undang-Undang Berdaftar Parti kerana memecat A Rajagopal tanpa dibicarakan oleh Lembaga Displin parti terlebih dahulu adalah mengelirukan kerana fasal tersebut tidak wujud dalam perlembagaan PKR. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.