Pages

Subscribe:

20 Jun, 2011

[hang nadim] Fikirkan Bangsaku.....Melayu Oh Melayu.....




OMBAK beri amaran terakhir kepada Kerajaan Pas Kelantan

KOTA BHARU 20 Jun - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini, Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) memberi amaran terakhir kepada Kerajaan Pas Kelantan supaya mengeluarkan kertas putih berhubung program Ladang Rakyat atau berhadapan dengan kemarahan rakyat.

Timbalan Presidennya, Wan Khairul Ikhsan Wan Muhammad berkata, pihaknya akan menganjurkan perhimpunan rakyat yang lebih besar di hadapan bangunan pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan sekiranya desakan tersebut tidak dipenuhi dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, kertas putih itu amat penting bagi menjawab segala persoalan yang timbul dan membersihkan nama baik kerajaan negeri daripada persepsi negatif yang dilemparkan oleh rakyat sebelum ini.

"Perkara ini sudah menjadi perbualan rakyat. Semua bercakap mengenainya kerana mereka mendakwa program tersebut telah merampas tanah yang diusahakan rakyat sejak berpuluh tahun lalu selain sistem pemilihan peserta yang diragui, malah kita juga memiliki nama peserta program ini yang dinyah senaraikan dipercayai atas faktor politik.

"Tempoh sebulan yang kita beri sebelum ini tidak diendahkan oleh kerajaan negeri, jadi kita tidak menolak kemungkinan mengadakan perhimpunan yang lebih besar selepas ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 16 Mei lalu, beberapa NGO yang diketuai OMBAK mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan pusat pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan di Kota Darulnaim di sini bagi menyerah memorandum dan membantah pelaksanaan program Ladang Rakyat yang didakwa telah diselewengkan.

Memorandum tersebut menuntut kerajaan yang diketuai oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat penjelasan terhadap lima perkara utama seperti senarai serta status syarikat yang menjalankan projek Ladang Rakyat dan sejauh mana penglibatan bumiputera Kelantan dalam syarikat-syarikat terbabit.

Wan Khairul Ikhsan yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan turut meminta Kerajaan Pas Kelantan menjelaskan beberapa perkara mengenai projek yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat pemaju, SensaTimur Sdn. Bhd. (SensaTimur).

"Kami meminta SensaTimur atau Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan benar atau tidak dakwaan bahawa pampasan kira-kira RM18 juta dibayar oleh Kerajaan Pas Kelantan melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam kepada SensaTimur untuk Bazar Tengku Anis.

"Kedua apakah benar satu kawasan yang menempatkan Pasar Lama MPKB telah diberikan atas dasar pampasan kepada SensaTimur dengan nilai yang sangat rendah iaitu RM3.9 juta sedangkan ia terletak di tengah-tengah bandar ini," katanya.

Menurutnya, soalan ketiga yang perlu dijawab apakah benar kesemua projek yang diterima SensaTimur dibuat secara runding terus dan bukannya tender terbuka.

Tambahnya, sebagai rakyat Kelantan, beliau bersama ahli-ahli OMBAK berhak mendapat penjelasan kerana ia melibatkan wang rakyat.

Bukti Bersih didokong pembangkang

KUALA LUMPUR 20 Jun – Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau boleh meminta perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 9 Julai ini dibatalkan, jelas menunjukkan gabungan tersebut bukan didokong suara rakyat.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, perkara itu sebaliknya mendedahkan betapa kumpulan pengacau Bersih yang mendakwa mereka tidak menyebelahi mana-mana parti politik sebelum ini merupakan alat kepada pembangkang.

Katanya, jika tidak kerana Bersih memberi ruang luas kepada pembangkang, pastinya Anwar tidak berani membuat kenyataan sebegitu melainkan beliau merasakan mempunyai pengaruh besar dalam gabungan kumpulan pengacau itu.

“Walaupun Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan mendakwa tiada pihak boleh mengarahkan beliau untuk membatalkan himpunan, kenyataan Anwar itu memberi gambaran seolah-olah ketua pembangkang tersebut mempunyai pengaruh.

“Saya tidak tahu sama ada Anwar tersilap cakap. Tetapi itu menunjukkan memang ada agenda pembangkang di sebalik Bersih. Mereka berkompromi dengan pembangkang dan Anwar merasakan beliau mengawal Bersih.

“Disebabkan itu, adalah jelas Bersih tersimpang jauh daripada matlamat asalnya sehingga menjadi alat kepada pembangkang,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA), Datuk Nurjazlan Mohamed di pejabat syarikat itu di Bukit Bintang di sini hari ini.

Tindakan Pas boikot Utusan hanya berunsur politik

KOTA BHARU 20 Jun - Pertubuhan Bukan Kerajaan Turun Padang Malaysia (NGO TP) menyifatkan tindakan Pas memboikot akhbar Utusan Malaysia berikutan penyiaran kartun yang didakwa mereka menghina Islam adalah tidak rasional dan berunsurkan politik semata-mata.

Naib Presidennya, Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, ia jelas apabila Pas mencetak semula kartun berkenaan di atas kain pemidang dan poster yang menyeru supaya akhbar itu diboikot.

Beliau berkata, perbuatan tersebut menggambarkan sikap sombong dan angkuh Pas yang mengambil kesempatan ke atas isu tersebut selepas terasa dengan sindiran pedas kartun berkenaan.

"Sekiranya Utusan Malaysia digesa supaya membuat permohonan maaf, mereka juga perlu meminta maaf kerana mencetak semula kartun itu. Sekiranya benar Utusan Malaysia bersalah, orang yang mengulang cetak kartun ini lagi jahil kerana mengulangi kesilapan buat kali kedua.

"Apakah bagi mereka mengulang cetak, kemudian dedah kepada umum perkara yang didakwa menghina Islam itu tidak menghina Islam namanya? Kalau begini, maknanya perbuatan mereka berkali ganda lebih menghina Islam malah Harakahdaily juga menyiarkan gambar beberapa lelaki yang memegang kain pemidang yang terdapat gambar kartun itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Pas Kelantan yang melancarkan kempen boikot Utusan Malaysia kerana parti itu menyifatkan penyiaran kartun berkenaan sebagai menghina Islam.

Ekoran daripada itu, kerajaan Pas Kelantan mengeluarkan arahan menghalang akhbar ini daripada membuat laporan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan majlis yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketika pelancaran kempen Boikot Utusan di hadapan pejabat Pas Kelantan dan demonstrasi di hadapan Masjid Pasir Mas Jumaat lalu, beberapa lelaki kelihatan memegang kain pemidang yang turut mencetak semula kartun tersebut.

Mohd. Fared berkata, tindakan tersebut tidak memberi impak besar kepada akhbar terbabit, malah beliau menganggapnya sebagai perbuatan 'budak-budak nakal' yang ingin mencari publisiti murahan.

"Tidak tahulah apa sudah jadi asas perjuangan mereka. Tindakan ini jelas mempunyai agenda tersembunyi yang antara lain ingin mendapatkan simpati rakyat selepas perjuangan negara Islam mereka hilang," katanya.

Anwar tidak layak arah Ambiga hentikan Bersih

KUALA LUMPUR 20 Jun - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk mengarahkan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga menghentikan perhimpunan pada 9 Julai ini.

Bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR, P. Jenapala berkata, Ambiga bukannya 'boneka' Anwar untuk menerima arahan sedemikian kerana perhimpunan haram itu dirancang oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya parti politik.

Sebagai NGO yang bebas, katanya, Ambiga tidak seharusnya mendengar kata Anwar kerana ia hanya akan membuktikan beliau ialah 'pak turut' Anwar.

''Bagi saya, Anwar tidak setanding dengan Ambiga kerana apa yang dikatakan oleh Pengerusi Bersih itu sudah pasti akan dilaksanakan, tidak seperti Ketua Pembangkang itu yang hanya tahu menabur janji kosong," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar semalam yang mendakwa akan mengarahkan Ambiga membatalkan serta-merta perhimpunan haram Bersih sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) secara telus.

Jenapala dalam pada itu berkata, Anwar juga seharusnya mencermin dirinya sebelum mahu menghentikan perhimpunan Bersih itu.

Katanya, ini kerana pemilihan PKR baru-baru ini juga tidak mampu dibersihkan oleh Ketua Pembangkang tersebut.

The Malaysian Insider dianggap putar belit fakta

KUALA LUMPUR 20 Jun - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) seakan-akan berpatah arang dengan portal berita The Malaysian Insider apabila menegaskan tidak akan ada pemimpinnya memberi kenyataan kepada portal berita propembangkang itu selepas ini.

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, tindakan itu diambil kerana portal berita tersebut terbukti seringkali memutarbelitkan fakta termasuk laporan mengenai pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru semalam.

Katanya, paling dikesalkan tajuk laporan portal tersebut iaitu 'Perkasa bakar gambar Ambiga, minta kaum Cina jauhi Bersih 2.0' menunjukkan seolah-olah kaum Cina menjadi sasaran Perkasa sedangkan ia tidak pernah dibangkitkan Presidennya, Datuk Ibrahim Ali dalam perhimpunan tersebut.

"Kami tidak langsung berniat demikian apatah lagi perhimpunan itu dihadiri pelbagai kaum termasuk kaum Cina. Kalau Ibrahim kata begitu, sudah tentu ia menimbulkan kemarahan kaum Cina di situ.

"Presiden cuma kata kaum Cina perlu simpan bekalan makanan kerana apa saja boleh berlaku sebagai perumpamaan. Tetapi beliau langsung tidak mengatakan mereka usah keluar rumah dan menyertai Bersih.

"Kalau ingatan tidak sertai Bersih, itu untuk semua kaum kerana ia mengancam keselamatan negara. Bukan dituju kepada kaum Cina sahaja. Jelas, laporan itu diputar belitkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

"Portal itu mengatakan hanya 500 penyokong yang hadir pada pelancaran tersebut. Hakikatnya, yang datang lebih 3,000 orang .

"Laporan itu jelas tidak adil. Mulai hari ini tiada lagi kenyataan dari Perkasa kepada The Malaysian Insider sehingga mereka perbetulkan apa yang tidak betul," katanya.

Sementara itu, Ibrahim dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia memberitahu, semua kenyataannya adalah untuk memberi kesedaran sebagai langkah pencegahan terhadap perkara tidak diingini.

"Saya yakin yang keluar berdemonstrasi kebanyakannya orang Melayu yang menyokong pembangkang. Orang Cina tidak suka berbuat demikian, jadi lebih elok mereka duduk di rumah dan tidak terlibat. Itu maksud saya," katanya

Pas takut bayang-bayang sendiri - NGO

KUALA LUMPUR 20 Jun - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kecewa dengan tindakan Pas memboikot Utusan Malaysia yang menunjukkan mereka takut kepada bayang-bayang sendiri.

Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, tindakan Pas yang dilihat bermotifkan politik itu amat dikesali.

"Saya sedih melihat Pas yang seperti kebudak-budakan. Utusan ditubuhkan sebelum merdeka lagi yang memainkan peranan penting dalam mempertahankan Islam dan kepentingan orang Melayu serta rakyat keseluruhannya mengikut Perlembagaan negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan kerajaan Pas yang melancarkan kempen Boikot Utusan Malaysia dan mengharamkan akhbar ini daripada membuat liputan acara yang melibatkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah berkata, Pas bertindak sedemikian kerana takut dengan pelbagai pendedahan Utusan Malaysia tentang kepincangan mereka.

"Semakin banyak 'tembelang' yang ditunjukkan Pas seperti lari daripada prinsip asal perjuangannya. Tindakan itu tidak profesional kerana mereka juga kononnya memperjuangkan kebebasan media dan demokrasi.

"Sepatutnya, Pas memboikot Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat seorang pemimpin tidak bermoral dan integriti, bukannya Utusan Malaysia. Jika akhbar itu menyebarkan sesuatu yang salah tidak perlu takut, rakyat boleh menilai," jelasnya.

Buat anak2 melayu hingusan yang masih menjolok buah cempedak...awas jangan terjolok sarang tebuan.....fikirlah dgn mendalam dan menggunakan hikmah apakah hakikat MELAYU
di Malaysia ini.....Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Tanah Melayu atau Singapura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Tanah Melayu atau Singapura-fikirkanlah.....

Seandainya kamu orang-orang melayu berbalah sendiri, ini akan mengembirakan bagi
orang lain kerana akan ada kejatuhan dunia melayu dan lenyap di dunia.....oleh
kerana sengketa diantara sendiri.....Fahaman politik tuan ketepikan demi sebuah negara tuan.....Jangan jadi prejudis di negara sendiri dan merintih simpati
di bumi sendiri.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.