Pages

Subscribe:

29 Jun, 2011

[hang nadim ] NGO India turut bantah perhimpunan Bersih.....

SATU PERINGATAN KEPADA BANGSAKU





KUALA LUMPUR 28 Jun — Tindakan pembangkang untuk mengadakan perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini turut mendapat bantahan daripada pelbagai parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India.

Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk R. S. Thanenthiran berkata, rancangan pembangkang untuk mengadakan perhimpunan secara haram bukanlah penyelesaian terbaik dalam menyuarakan rasa tidak puas hati sebaliknya ia mengganggu keselamatan orang awam.

Menurutnya, beliau difahamkan perhimpunan haram itu ditaja oleh anasir-anasir luar yang menyalurkan dana kepada pihak penganjur.

"Saya yakin pihak penganjur mempunyai agenda tersendiri untuk menghancurkan negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Thanenthiran, perhimpunan itu tidak akan membawa sebarang keuntungan sama ada kepada pihak penganjur atau pun negara.

Katanya, kemenangan pihak pembangkang di beberapa negeri jelas menggambarkan betapa telusnya perjalanan pilihan raya di negara ini.

Sehubungan itu, pihaknya akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pukul 11 pagi esok.

Pandangan beliau turut dikongsi oleh Bendahari Majlis Belia Malaysia, G. Paramasivam.

Paramasivam mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu mengikut telunjuk pihak pembangkang kerana mereka mempunyai agenda tersendiri.

Katanya, perhimpunan yang sengaja dirancang oleh pakatan pembangkang itu adalah untuk menghasut rakyat menimbulkan kekacauan dan huru-hara bagi mencetuskan sentimen kebencian terhadap kerajaan.

Beliau menambah, semua pihak wajar mengambil iktibar ketika perhimpunan sama diadakan empat tahun lalu apabila ia mengganggu aktiviti harian serta perjalanan trafik di ibu negara.

Pembangkang terdesak, jijik - Ibrahim

KUALA LUMPUR 28 Jun - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) secara jelas merupakan gerakan yang diatur pembangkang bagi menumbangkan kerajaan melalui perhimpunan haram dan keadaan huru-hara.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, ia terbukti dengan penglibatan ramai pemimpin pembangkang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP sebagai ahli jawatankuasanya.

Lebih menjijikkan, katanya, para pemimpin pembangkang cuba mengabui mata masyarakat dengan meletakkan bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai Pengerusi Bersih 2.

"Pembangkang yang langsung tiada peluang untuk mentadbir negara berdasarkan rekod semasa kerajaan kini terdesak untuk menganjurkan perhimpunan haram Bersih bagi menumbangkan pemerintah.

"Selain menggunakan Ambiga, pembangkang juga menggunakan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Hishamuddin Rais yang lari keluar negara berbelas tahun tetapi dibawa masuk kembali oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Jadi, Hishamuddin yang kini bebas tanpa dikenakan apa-apa tindakan membantu Anwar yang semakin tersepit lantaran terdapat kes prima facie dalam perbicaraan liwatnya dan skandal video seks, ia satu perkara antara hidup dan mati Anwar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas bagi menjelaskan pendirian Perkasa mengenai Bersih 2 di sini hari ini.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menambah, pembangkang juga jelas merupakan dalang perhimpunan haram pada 9 Julai ini bagi menyelamatkan Anwar melalui satu surat pekeliling yang ditandatangani Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution bagi mengarahkan ahli parti itu menyertainya

Ambiga mahu jatuhkan imej negara - Harussani Zakaria

IPOH 28 Jun — Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan Datuk S. Ambiga dilihat cuba menjadi 'superhero' dengan tindakannya mengetuai penganjuran perhimpunan haram pada 9 Julai ini.

Beliau berkata dengan mengetuai perhimpunan yang tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa itu, penganjur mahu mencari publisiti dengan menjatuhkan imej negara pada kaca mata dunia sekaligus akan mendapat publisiti.

"Tindakan itu juga seolah-olah dia (Ambiga) mahu menjatuhkan imej kerajaan di luar negara dengan mengadakan perhimpunan yang tidak mendatangkan faedah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau turut mencadangkan supaya pengamal undang-undang yang bertindak seperti Ambiga dibatalkan lesen guaman mereka.

Beliau berkata, sebelum ini bekas presiden Majlis Peguam itu pernah mempersoalkan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung hak dan keistimewaan orang Melayu.

Harussani berkata, malangnya ada kalangan masyarakat yang sudah lupa serta mempunyai perasaan hasad dengki antara satu sama lain.

"Rentetan itu, mereka bertindak menyokong perhimpunan haram yang bakal dianjurkan pada 9 Julai ini bagi menunjukkan tanda protes," katanya. - BERNAMA


Pas patut hukum pemimpin mereka

KUALA LUMPUR 28 Jun - Pas wajar menghukum pemimpin mereka yang pernah menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peliwat sekiranya benar mahu menggunakan hukum qazaf dalam kes video seks yang dikaitkan dengan Anwar.

Ini kerana kata Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin, pemimpin Pas itu ketika menuduh Anwar peliwat dalam kes melibatkan Azizan Abu Bakar dulu juga gagal menghadirkan empat saksi, tanpa qarinah dan tanpa bukti mengikut hukum syarak.

"Jika gagal berbuat demikian, maka Pas akan dilihat sebagai tidak konsisten, tidak istiqamah dan lebih bahaya, Pas akan dilihat sebagai pengamal politik double standard (memilih), hipokrit dan memperkudakan agama hanya kerana habuan politik kepartian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri terbaru dalam blognya http://zul4kulim.blogspot.com/ hari ini.

Zulkifli menambah, tindakan Pas itu membuktikan bahawa ia hanyalah retorik dan sandiwara politik semata-mata dengan memperkudakan ayat al-Quran dan hukum-hukum agama.

Apa yang dilakukan Pas itu juga tambah Zulkifli, merupakan tahap pelacuran politik manusia apabila sudah menjadi politikus yang rakus kerana ketaksuban dan ketamakan dunia.

Wardina nafi keras sokong PKR, Bersih

KUALA LUMPUR 28 Jun - Selebriti popular yang juga pengacara rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), Wardina Safiyyah Fadlullah, 32, menafikan sekeras-kerasnya beliau adalah penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sekali gus menyokong perhimpunan haram Bersih.

Beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya oleh penulis-penulis blog adalah suatu perkara yang serius dan mengaibkan dirinya dan keluarga.

Justeru, katanya, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya artikel yang tersiar termasuk gambar-gambar lamanya di dalam blog, tidak dikeluarkan daripada blog berkenaan secepat mungkin.

"Saya nyatakan di sini bahawa saya tidak menyokong mana-mana parti, sama ada parti pembangkang atau pun kerajaan dan saya juga bukan ahli PKR.

"Buat masa ini, saya tidak ada niat untuk menjadi calon dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan tentang gambar dan penulisan yang disiarkan menerusi blog yang memberi gambaran bahawa beliau menyokong perhimpunan Bersih dan PKR.

Menyentuh tentang kehadirannya di Karnival Mesra Rakyat, Sabtu lalu, Wardina berkata, beliau hadir sebagai jemputan untuk memberi ceramah motivasi keibubapaan.

"Oleh sebab itulah saya hadir pada karnival tersebut tetapi saya tidak pun diberitahu Azmin Ali akan hadir sama.

"Apabila saya dijemput minum oleh penganjur, saya terkejut kerana Azmin Ali pun ada. Tak kan saya nak beredar.

"Saya kesal apabila ada yang berfikiran jumud dan mudah untuk membuat interpretasi tanpa menghubungi saya untuk dijelaskan keadaan sebenar.

"Tidak seperti Utusan Malaysia yang menghubungi saya terus untuk mendapatkan jawapan," katanya.

Beliau berkata, ekoran tuduhan yang dilemparkan, beliau tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) bagi menuntut supaya semua artikel berkaitan dengan dirinya yang dikaitkan dengan parti politik, diturunkan segera.

"Jika penulis blog berkenaan gagal berbuat demikian, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kerana negara kita, ada undang-undang," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.