29 Jun, 2011
[hang nadim] NICA sahkan ada unsur komunis .....
Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 29 Jun - Agensi-agensi perisikan antarabangsa termasuk National Intelligent Coordinating Agency (NICA) mengesahkan lelaki warga Filipina, Romeo Castillo adalah Timbalan Setiausaha Agung sebuah parti berhaluan kiri, Partido Lakas dan Massa (PLM) serta Organisasi Hadapan Komunis di Filipina.
Agensi-agensi itu berperanan menjalankan risikan dan perkongsian maklumat berhubung ancaman luar yang boleh menjejaskan keselamatan negara terbabit.
Menurut sumber, strategi politik parti PLM yang berkait rapat dengan parti bersenjata komunis adalah dengan mencetuskan semangat rakyat sebelum menggulingkan kerajaan kapitalis bertujuan untuk menubuhkan kerajaan rakyat.
"Kerajaan Filipina tidak mengharamkan parti itu tetapi memantau rapi aktivitinya. Agensi perisikan antarabangsa memohon pihaknya dimaklumkan kedatangan Castillo ke negara ini supaya dia boleh ditahan untuk disoal siasat mengenai tujuan kedatangannya.
"Difahamkan, Castillo juga menghubungi Pengerusi PLM, Sommy Melencio dan memaklumkan penahanan ahli-ahli PSM. Dia (Castillo) kini gagal dikesan selepas dibebaskan baru-baru ini," kata sumber itu.
Semalam, sekumpulan anggota PLM diketuai Sommy telah mengadakan satu demonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Filipina, pukul 11 pagi, bertujuan mendesak kerajaan membebaskan ahli-ahli PSM yang ditahan dan menyatakan sokongan penganjuran perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Difahamkan, selain itu, alamat penginapan Castillo di Kajang sama dengan alamat pejabat Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Akhbar hari ini melaporkan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan menuduh akhbar Utusan Malaysia membuat laporan karut mengenai lelaki Filipina, Castillo dan warga Korea, Min Young Song yang didakwa ejen asing untuk membawa gerakan komunis di negara ini.
Menurut Arutchelvan, kehadiran Castillo dan Young Song, 24, ke negara ini bukan untuk menyebarkan propaganda jahat bagi menggulingkan kerajaan, sebaliknya datang menyertai Kongres PSM pada 3 hingga 5 Jun lalu.
Katanya, walaupun hadir sepanjang program PSM di Johor baru-baru ini, mereka berdua tidak membuat ucapan umum atau terlibat dalam perhimpunan atau sebarang aktiviti yang boleh dilabel sebagai jenayah.
Sebelum ini, polis menahan 30 individu daripada PSM yang dipercayai penyokong Bersih di dalam sebuah bas ketika dalam perjalanan menuju ke Pulau Pinang bagi mempromosikan perhimpunan haram Bersih
Anwar tetap sertai perhimpunan Bersih
KLANG 29 Jun - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan menyertai perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini meskipun terdapat dakwaan mengatakan kumpulan itu diresapi pengaruh ideologi asing termasuk komunis dan mendapat dana asing.
Sambil menyatakan sokongan terhadap Bersih, beliau menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menyatakan perhimpunan itu tidak ada kena-mengena dengan elemen asing berkenaan.
Malah beliau menganggap ia hanya diada-adakan bagi mengalihkan perhatian masyarakat.
"Ini ada yang kata jadi komunis, pemberontak, menentang Agong (Yang di-Pertuan), pembiayaan dana asing, semuanya nak alihkan pandangan (daripada agenda Bersih).
"Kita tuntut pilihan raya yang bersih dan perhimpunan aman. Jadi izinkan laluan supaya orang untuk rasa (sertai perhimpunan)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Wacana Ekonomi anjuran Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor di sini, hari ini.
Sebelum ini, polis telah menahan 31 individu daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj di Pulau Pinang kerana didakwa cuba menyebarkan fahaman komunis dalam mempromosikan perhimpunan haram Bersih.
Polis turut merampas beribu-ribu risalah berunsur anti kerajaan dan kumpulan itu turut membawa kemeja T tertera gambar pemimpin komunis yang diangkat sebagai 'kesatria' termasuk pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) seperti Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD dan Suriani Abdullah.
Bersih juga dikatakan menerima bantuan dana asing bagi operasi perhimpunan haram tersebut yang antaranya dikatakan melibatkan Yayasan Konrad Adenauer dari Jerman dan Yayasan Canadian Allied dari Kanada.
Pembangkang dukung amalan subversif
KUALA LUMPUR 29 Jun - Pihak pembangkang merangkumi Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas serta Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan secara jelas mendukung amalan subversif dan anarki dengan penganjuran perhimpunan haram pada 9 Julai ini.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini terbukti apabila 79 ahli Parlimen pembangkang tidak pernah mengusulkan pindaan terhadap Akta Pilihan Raya walaupun mereka memenangi kerusi masing-masing sejak Pilihan Raya Umum 2008.
Walhal katanya, kesemua wakil rakyat pembangkang boleh mengusulkan sebarang ketidakpuasan hati berkenaan sistem pilihan raya negara sewaktu bersidang dalam Dewan Rakyat selama lebih dua tahun dan bukannya melalui perhimpunan haram di jalanan.
"Siapa pula Ambiga? Kenapa dia sibuk nak mengadakan perhimpunan haram kononnya untuk membersihkan proses pilihan raya kita sedangkan dia mempunyai banyak ruang untuk mengadakan forum seumpama itu sewaktu menjadi Presiden Majlis Peguam.
"Kalau kita perhatikan betul-betul, Ambiga sewaktu mengetuai Majlis Peguam hanya berminat untuk mengadakan forum bagi mempersoalkan kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara dan kini baru sibuk tentang pilihan raya," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai ini ketika dihubungi di sini hari ini.
Ramai pemimpin pembangkang daripada PKR, Pas dan DAP bertindak sebagai ahli jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) yang diketuai Ambiga.
Reezal Merican menambah, sokongan pembangkang terhadap pergerakan subversif yang menuju kepada anarki terbukti dengan penangkapan 31 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj di Pulau Pinang Sabtu lalu yang disyaki cuba menghidupkan komunisme.
"Jeyakumar adalah wakil rakyat PSM yang bertanding di bawah tiket PKR pada pilihan raya umum lalu, jadi perkaitan antara komunisme, PSM, PKR serta Ambiga adalah amat jelas di sini dan sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada PKR mengenai perkara itu," tegasnya.
Di samping itu katanya, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin jelas menyokong pergerakan subversif serta berniat menghuru-harakan negara dengan meracuni fikiran rakyat supaya turun menyertai demonstrasi jalanan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.