Pages

Subscribe:

24 Ogos, 2011

[hang nadim] Pembangkang tidak hormat raja.......





Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 24 Ogos – Pakatan pembangkang, PKR, DAP dan Pas dilihat semakin tidak menghormati institusi diraja sebagai payung perlembagaan negara berikutan tindak-tanduk mereka membelakangi entiti tersebut kebelakangan ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini terbukti apabila kerajaan PKR Selangor berbohong dengan mendakwa Sultan Selangor berkenan meluluskan penubuhan sebuah majlis syura berikutan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja awal bulan ini.

“Saya fikir kita patut mencari kebenaran isu ini, tetapi saya percaya Sultan Selangor kalau baginda kata baginda tidak bagi (luluskan penubuhan), itu yang patut kita percaya dan tentang orang politik ini, dia politiklah.

“Saya dapati parti pembangkang tidak menghormati institusi beraja, mereka lihat raja sebagai penghalang juga,” katanya selepas sidang akhbar pelancaran Kejohanan Cabaran Basikal Bukit Langkawi (LIMBC) 2011 di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan meluluskan penubuhan Majlis Penasihat Syura bagi menyelesaikan isu pemeriksaan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) yang dipercayai telah menyebarkan agama Kristian kepada penganut Islam.

Bagaimanapun semalam, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengeluarkan kenyataan akhbar bagi membetulkan keadaan bahawa baginda tidak pernah menitahkan atau menasihatkan penubuhan majlis sebegitu kepada kerajaan negeri.

Selain insiden terbaru itu, pembangkang sebelum ini turut menyokong kenyataan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan badan haram itu menganjurkan demonstrasi jalanan di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Mengulas perkara itu, Dr. Mahathir memberitahu, pihak pembangkang jelas gemar memanipulasi pertemuan mereka dengan sultan dan raja-raja Melayu yang menjadi simbol perpaduan negara.

“Mereka kalau boleh hendak gunakan raja untuk kepentingan mereka dan ini nampak jelas sekali,” tegasnya.

Kepada satu soalan, jelas beliau, rakyat serta para pemimpin diingatkan supaya tidak memberi ruang kepada kuasa asing yang sentiasa cuba menyerap masuk demi mencari kekayaan seperti hasil minyak dan sumber lain.

UMNO Selangor bidas sikap biadab Abdul Khalid

SHAH ALAM 24 Ogos - UMNO Selangor membidas sikap biadab Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menggunakan nama Sultan Selangor untuk mengumumkan penubuhan majlis penasihat syura bagi menyelesaikan isu pemeriksaan gereja oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu.

Setiausaha Perhubungannya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, tindakan Menteri Besar yang kemudiannya menukarkan nama majlis penasihat syura itu kepada gerak kerja pendengaran selepas mendapat teguran baginda, tidak membawa sebarang makna kerana fungsinya tidak jelas.

''Ia hanya helah Abdul Khalid untuk mengelak daripada menangani isu sebenar iaitu kewujudan usaha memesongkan akidah umat Islam yang semakin serius di negeri ini demi menjaga kerusinya sebagai Menteri Besar.

''Majlis penasihat syura adalah majlis perundingan dan gerak kerja pendengaran pula ahli jawatankuasanya hanya duduk mendengar. Ia tidak akan menyelesaikan masalah. Sepatutnya beliau menggunakan undang-undang yang ada bagi menangani perkara ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang mengulas tindakan Abdul Khalid kelmarin yang menggunakan nama Sultan Selangor dengan mengumumkan penubuhan majlis syura itu tetapi akhirnya dinafikan pihak istana semalam.

Beliau berkata, apa yang sebenarnya ingin diketahui rakyat adalah sama ada pemeriksaan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) selaras dengan peruntukan undang-undang mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 atau sebaliknya.

''Hasil siasatan terhadap tindakan JAIS berhubung peristiwa itu yang perlu diumumkan seperti yang Abdul Khalid janjikan.

''Jika siasatan menunjukkan terdapat unsur ancaman terhadap akidah umat Islam, Menteri Besar sebagai ketua kerajaan negeri beragama Islam wajib mengambil tindakan, bukan meneruskan agenda tersembunyi dengan penubuhan gerak kerja pendengaran," kata beliau.

Pembangkang perlu sikap terbuka

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Parti-parti pembangkang perlu bersikap terbuka seperti yang ditunjukkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung cadangan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (JTP) bagi menyelesaikan isu-isu pilihan raya.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sebagai pemimpin yang cukup berpengalaman, Nik Abdul Aziz telah menunjukkan sikap yang amat positif dan seharusnya diikuti oleh pemimpin pembangkang lain.

Beliau berkata, pemimpin-pemimpin parti pembangkang sepatutnya menyambut baik cadangan kerajaan itu kerana ia merupakan platform terbaik kepada mereka untuk mengkaji semula perjalanan pilihan raya di negara ini.

"Lebih-lebih lagi lapan perkara yang menjadi tuntutan mereka sebelum ini. Sebagai contoh mereka mendakwa senarai daftar pemilih tidak bersih. Oleh itu di dalam JTP ini mereka boleh berhujah dan mengeluarkan pandangan sejauh mana daftar pemilih kita tidak bersih.

"Sekiranya benar dakwaan mereka, apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan senarai daftar pemilih benar-benar bersih. Bagi saya JTP adalah ruang terbaik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas sokongan Nik Abdul Aziz terhadap penubuhan JTP bagi memperkukuhkan lagi sistem pilihan raya selain turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana membuat cadangan tersebut.

Nik Abdul Aziz berharap, penubuhan jawatankuasa itu merupakan peluang terbaik ke arah menyelesaikan isu-isu yang membabitkan pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR.

Kabinet sebelum ini telah memutuskan JTP akan dianggotai sembilan wakil rakyat iaitu lima daripada Barisan Nasional (BN), tiga daripada pembangkang dan seorang wakil rakyat Bebas.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Ahmad berkata, pembaharuan pilihan raya melalui JTP adalah paling tepat dan bukannya dengan cara berdemonstrasi seperti mana yang dianjurkan oleh badan yang digelar Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 9 Julai lalu.

''Demonstrasi tidak memberi apa-apa kebaikan sebaliknya menyusahkan orang lain. Berbanding JTP, ruangnya lebih luas, lebih berkesan dan lebih formal dalam usaha kita memantapkan lagi perjalanan pilihan raya,'' ujarnya.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, SPR sedia memberi kerjasama sekiranya itu yang dikehendaki oleh pihak JTP.

''Walaupun kita bukan anggota JTP, itu bukan bermakna kita tidak boleh memberi sumbangan.

''SPR sedia beri kerjasama sekiranya timbul persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh pihak kami kerana matlamat kita adalah untuk membantu JTP merangka satu kaedah perjalanan pilihan raya yang terbaik,'' katanya lagi.

Cabar Chegu Bard dedah faktor dorong fitnah Rosmah

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Selepas dicabar untuk membuat laporan polis ke atas Datin Seri Rosmah Mansor berhubung dakwaan pembelian sebentuk cincin bernilai AS$24 juta (RM72 juta), Badrul Hisham Shaharin didesak pula untuk membuat penjelasan apakah yang mendorong beliau membuat fitnah tersebut.

Ini kerana Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, ramai yang ingin mengetahui sama ada Badrul Hisham atau juga dikenali sebagai Chegu Bard dipaksa atau diberikan imbuhan untuk membuat fitnah itu.

''Badrul Hisham juga perlu menjelaskan bagaimana dia boleh membuat fitnah itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zamil menambah, Badrul Hisham juga perlu membuat penjelasan mengenai perbincangannya dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Indonesia pada April lalu.

Katanya, ramai yang mengetahui bahawa Badrul Hisham mempunyai hubungan yang rapat dengan Anwar dan keluarga.

''Kita juga tahu Anwar sanggup berbuat apa sahaja untuk menjatuhkan kerjaya politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga mengizinkan fitnah dilakukan ke atas Rosmah seperti dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibu," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.