28 Ogos, 2011
[hang nadim] Saya tak ingat – Mat Sabu ......Allah pun tak Ingat.....?????
SEBAHAGIAN anggota Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) membuat laporan polis terhadap Mohamad Sabu di Balai Polis Larkin, Johor Bahru, semalam.
Mohamad Sabu yang dikecam pelbagai pihak kerana menyokong perjuangan komunis, akhirnya muncul memberi reaksi pertama beliau yang dianggap cukup mengejutkan.
Dalam kenyataan ringkasnya, Timbalan Presiden Pas itu mendakwa tidak ingat apa yang beliau ucapkan ketika berceramah di Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.
Sementara itu pelbagai pihak terus mengecam beliau dan setakat ini 20 laporan polis dibuat ke atasnya.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula secara tegas melabelkan bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu sebagai pengganas dan pengkhianat negara.
KUALA LUMPUR 28 Ogos – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang terpalit dengan kontroversi terbaru selepas menganggap pengganas komunis sebagai hero memberi jawapan mengejutkan apabila memberitahu, dia tidak mengingati apa yang diucapkannya.
Ia kenyataan pertama seumpamanya pernah dibuat oleh Mohamad dalam usahanya ‘membela’ diri kerana dalam mana-mana kes kontroversinya sebelum ini, pemidato hebat Pas itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia terlupa mengenai apa yang pernah dituturkan.
Lebih mengejutkan, dakwaan terlupa itu dibuat ketika video yang memaparkan ucapannya di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu telah mula tersebar di Internet terutamanya di laman-laman blog dan laman sosial Facebook sejak petang semalam.
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.m
“Saya tidak ingat adakah saya kata begitu. Saya sedang cari rakaman ceramah itu balik. Lepas tengok baru saya akan ulas sama ada perlu bincang dengan peguam atau bagaimana,” katanya seperti mana dipetik dari lidah rasmi Pas, http://harakahdaily.net, hari ini.
Utusan Malaysia dalam laporan muka depan semalam melaporkan, Mohamad menganggap Kompeni Pasukan Keempat Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan serta keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.
Menurut Timbalan Presiden Pas itu, Muhammad Indera, iaitu lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis tersebut.
Dalam ceramahnya itu juga, beliau mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British selain turut berikrar untuk mengubah semula sejarah kemerdekaan negara.
Rentetan kontroversi itu, pelbagai pihak terutamanya bekas-bekas perajurit dan ahli keluarga mangsa ‘penyembelihan’ Bukit Kepong menyelar Mohamad dan menuntut orang nombor dua Pas itu meminta maaf secara terbuka serta didakwa di bawah Akta Hasutan.
Tidak terkecuali mengutuk perbuatan biadab itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau menganggap Mohamad sebagai pemimpin yang buta sejarah serta mengkhianati perjuangan bangsa Melayu dalam menuntut kemerdekaan tanah air
MCA kecewa kenyataan Mat Sabu
IPOH 28 Ogos - MCA kecewa dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menganggap pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sehingga mengorbankan ramai anggota polis dan keluarga mereka ketika zaman darurat sebagai hero.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, kenyataan itu jelas untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu-isu dalam Pas dan pakatan pembangkang termasuk perbicaraan kes liwat yang sedang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah.
Beliau menegaskan, anggota polis dan masyarakat setempat yang terkorban dalam kejadian serangan di balai polis itu adalah hero sebenar.
"Tujuan Mat Sabu mengeluarkan kenyataan itu adalah supaya kita lupa dan tidak fokus isu dalaman pakatan pembangkang dan isu mahkamah yang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat tidak nampak kelemahan mereka," katanya selepas merasmikan Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) di Buntong dekat sini hari ini.
Utusan Malaysia pada muka depannya semalam menyiarkan kontroversi yang dicetuskan Mohamad Sabu apabila mendakwa Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.
Dalam satu ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, Mat Sabu turut mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British.
Soi Lek berkata, Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman adalah pengasas kepada Malaya dan mereka memainkan peranan penting dalam menuntut kemerdekaan negara ini.
Sementara itu ditanya ura-ura MCA dan MIC mungkin bertukar kawasan dalam pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, pihaknya belum berbincang mengenainya.
Menurut beliau, MCA bersikap terbuka dalam soal tersebut asalkan calon itu datang daripada mana-mana komponen BN.
"Kalau kita yakin calon MCA boleh menang di Bentong, kita akan letak calon MCA dan jika calon UMNO boleh menang kita akan letak calon UMNO," ujarnya.
Bukti Pas makin jauh terpesong
KUALA LUMPUR 28 Ogos – Kenyataan biadab Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengagungkan pengganas komunis berbanding anggota keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong adalah bukti jelas bahawa perjuangan parti itu sudah jauh terpesong.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, jika dahulu fatwa agama menjadi bahan dagangan politik oleh pemimpin Pas tetapi kini, sejarah kemerdekaan negara pula mahu ‘diwarnakan’ mengikut acuan sekutu rapatnya DAP.
Bagaimanapun, Ibrahim berkata, beliau sedikit pun tidak terkejut atau hairan dengan tindak-tanduk pemimpin Pas kerana menyedari, semenjak bekerjasama dengan DAP parti itu sudah tiada pendirian sehingga sanggup mengkhianati amanat pemimpin Pas terdahulu.
“Apa yang mahu dihairankan sangat kenyataan biadap serta buta sejarah daripada Mat Sabu (Mohamad) kerana ulama pimpinan Pas juga sering ubah fatwa demi kepentingan politik. Dalam konteks politik hari ini, Pas sanggup gadai apa sahaja demi undi bukan Melayu.
“Dulu jalin hubungan politik dengan orang kafir jadi kafir dan masuk neraka. Sekarang boleh pula dan negara Islam pun sudah bertukar kepada negara kebajikan. Dakwa pula negara Islam tiada dalam al-Quran sedangkan, sebelum ini pejuang-pejuang Pas sanggup mati demi negara Islam.
“Kalimah Allah juga sanggup digadai Pas. Jadi bagi Mat Sabu kalau sekadar ubah sejarah untuk raih sokongan Cina dan bodek DAP mungkin padanya tidak salah. Kalau ulama dalam Pas boleh kencing berdiri, Mat Sabu pula kencing berlari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nukilan hati hang nadim
Mat hang nak cari apa rakaman tu dah ada kat hang tapi hang buat dalih nak lewat sikit konon cari tape tu.... nak buat baru seperti lakunan konon Polis Langgar dan kawan hang mati dalam perhimpunan bersih.....hang Ingat Kes dengan Normah (anak Polis/Isteri Polis).....Hang kutuk kawan hang sendiri Pak Shaikh Anwar Al-Juburi.....Lepas tu lani hang kata Anwar di Fitnah.....lepas tu hang buat fasai dengan Polis dan tentera.....Hang sokong Komunis pula.....Hang Belajar Agama Tak Habis Bohong Alamat Munafik Mat Oiiiiii.....Berhentilah dari Politik hang Mencemar Islam dan Bangsa Melayu.....PAS Tak Payah Pakai Mat Sabu.....Budak Hingusan dah Nyanyuk.....TAUBAT MAT ALLAH MELIHAT APA YANG ANDA BUAT.....
PPPMM turut buat laporan polis
JOHOR BAHRU 28 Ogos – Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) membuat laporan di Balai Polis Larkin di sini hari ini terhadap kenyataan kontroversi Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengenai tragedi Bukit Kepong.
Laporan pukul 10.22 pagi itu dibuat oleh Presiden PPPMM, A. Rahman Mahadi yang diiringi pemimpin tertinggi dan ahli pertubuhan berkenaan.
A. Rahman berkata, pihaknya berasa amat kesal atas kenyataan yang dibuat oleh Mohamad Sabu yang menghina pejuang negara dan menganggap pengganas Kompeni Pasukan ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota polis dan keluarga mereka di Bukit Kepong sebagai hero sebenar.
"Kami daripada PPPMM menganggap orang buta sejarah atau cuba menafikan sejarah sebagai mereka yang tidak mempunyai keturunan.
"Kita orang Melayu hari ini jangan sesekali melupakan sejarah atau cuba mengubah sejarah kerana natijahnya akan hanya mencetuskan kekeliruan. Dalam kita berlumba inginkan kuasa, jangan sesekali melupakan sejarah," katanya.
Pihaknya tidak menafikan hak Timbalan Presiden Pas itu untuk menyatakan pendapat, namun jangan terlalu biadab dan kurang ajar sehingga sanggup menafikan Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman bukan pejuang Melayu sebaliknya mengagungkan pengganas komunis.
20 laporan polis dibuat
Oleh AZIAN AZIZ dan ABDUL RAZAK IDRIS
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 28 Ogos - Sebanyak 20 laporan polis dibuat bagi mendesak Mohamad Sabu disiasat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berhubung kenyataannya yang mengangkat pengganas komunis sebagai hero sebenar tragedi Bukit Kepong dalam ceramahnya di Pulau Pinang baru-baru ini.
Sebelas laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada sebelah pagi, tujuh laporan dibuat di Balai Polis Seksyen 6 di sini petang ini dan dua lagi dibuat di IPD Klang Selatan dekat sini.
Laporan di IPD Shah Alam dibuat oleh UMNO Bahagian Shah Alam yang diwakili Pergerakan Pemudanya diketuai Azhari Shaari dan disertai 11 badan bukan kerajaan (NGO) antaranya, Persatuan Belia 19 Bersatu, Persatuan Belia Tujuh Utara dan Persatuan Belia Kampung Kuantan Selatan.
Sementara itu, laporan di Balai Polis Seksyen 6 dibuat oleh tujuh anggota Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) diketuai Presidennya, Hamidzun Khairuddin dan laporan di IPD Klang Selatan dibuat oleh UMNO Bahagian Klang serta sebuah NGO.
Menurut Azhari, ceramah yang dibuat oleh Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu telah membangkitkan sentimen kebencian dan perkauman terhadap pasukan polis yang telah berkorban nyawa dalam peristiwa berdarah tersebut.
Sehubungan itu, pihaknya dan 11 NGO lain meminta polis menyiasat kenyataan Mohamad Sabu itu mengikut Akta Hasutan dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya termasuk ISA.
"Kami mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadab dan menghina oleh Mat Sabu itu. Kenyataan yang amat dangkal serta buta sejarah ini sangat keji dan hina di kala rakyat negara ini ingin menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 tahun," katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hamidzun pula berkata, Mat Sabu telah menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menipu fakta sejarah dan memartabatkan perjuangan komunis.
"Saya berpendapat kenyataan Mat Sabu ini boleh menyebabkan rakyat keliru dan sangat marah. Sentimen menjadikan komunis sebagai hero boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat di negara ini.
"Ia juga boleh mengundang kacau bilau, huru-hara dan ancaman keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini. Jadi saya berpendapat Mat Sabu telah melakukan kesalahan di bawah ISA, Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan undang-undang lain yang berkaitan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.