KUALA LUMPUR 11 Sept. - Waris Allahyarham Kapten Hassan Osman merasa amat kecewa, sedih dan marah dengan tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mempersoalkan tayangan filem Sarjan Hassan arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Sambil menyifatkan Mohamad sebagai buta sejarah, menantu Allahyarham, Abdul Karim Mohd. Nasir, 56, berkata, tindakan terbaru Timbalan Presiden Pas itu cuba menidakkan sumbangan Sarjan Hassan sebagai perwira negara dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menuntut Mohamad membuat permohonan maaf ekoran kenyataan tersebut.
''Meskipun Sarjan Hassan merupakan seorang tentera British tetapi jiwa dan raganya dikorbankan semata-mata untuk mempertahankan negara ini daripada dicerobohi terutama oleh komunis bintang tiga.
''Mungkin ramai yang tidak tahu beberapa orang keluarga Sarjan Hassan termasuk isterinya yang sedang hamil telah dibunuh kejam oleh bintang tiga di kampungnya di Jalan Pantai, Seremban. Atas sebab itu Sarjan Hassan menyertai tentera British,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Karim yang tinggal di Bukit Sebukur, Batu Berendam, Melaka mengulas tindakan Mohamad yang mempersoalkan penayangan filem Sarjan Hassan arahan Allahyarham P. Ramlee.
Abdul Karim berkata, tujuan bapa mertuanya menyertai tentera British semata-mata untuk mempertahankan negara dan memburu komunis.
''Jika Sarjan Hassan tidak menyertai tentera British bagaimana dia boleh menggunakan senjata api dan mempelajari ilmu peperangan,'' katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sejak berita itu dibaca pagi ini seluruh keluarganya tidak dapat menerima kenyataan Mohamad itu kerana jelas ia bertentangan dengan sejarah.
Jelas beliau, isterinya yang juga anak kepada Sarjan Hassan, Siti Hawa Hassan, 56, amat marah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mat Sabu itu.
Beliau berkata sepanjang perkhidmatan Sarjan Hassan berjaya membunuh 52 orang komunis.
Sementara itu Siti Hawa tidak dapat menyembunyikan kemarahannya dan kekecewaannya ketika diminta mengulas kenyataan Mohamad.
''Seorang penulis iaitu Harun Johari telah menulis sebuah buku yang menceritakan perjuangan Sarjan Hassan bertajuk Kapten Hassan, Wira Bangsa terbitan Dewan Bahasa Pustaka (DBP).
''Buku itu kini menjadi rujukan para pelajar di negeri-negeri utara tanah air. Buku tersebut merupakan catatan sejarah perjalanan perjuangan bapa saya mempertahankan agama, bangsa dan tanah airnya,'' kata beliau.
Siti Hawa berkata, bapanya meninggal dunia pada April 1993 dan jenazahnya telah dikebumikan di Makam Tuan Haji Said, Seremban dalam usianya 72 tahun
Veteran perang British turut raikan Hari Kemerdekaan
MUHYIDDIN Yassin berbual dengan veteran tentera British di Malaysia, Grahame Bamford selepas merasmikan Karnival Merdeka 2011 di Tun Abdul Razak Research Centre, London, semalam. Turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (tiga dari kiri) dan Zakaria Sulong (kiri). - Bernama
LONDON 11 Sept. - Sambutan Karnival Merdeka 2011 di sini berlangsung dengan cukup bermakna apabila sekumpulan veteran perang daripada tentera British yang berada di Malaysia pada sekitar tahun 1960-an, turut memakai seragam dan beret hijau, datang ke lokasi sambutan seawal pagi untuk meraikan Hari Kemerdekaan di sini.
Sebahagian yang berkerusi roda atau bertongkat, ditemani keluarga, anak dan cucu masing-masing, ketika ditemui mahu kembali mengunjungi Malaysia untuk melihat pembangunan atau bertemu rakan-rakan lama yang masih segar dalam ingatan masing-masing.
Malah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada majlis perasmian turut menjemput kumpulan veteran itu datang ke Malaysia untuk melihat pembangunan yang pesat di sana sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.
''Penting bagi kita mengingati dan memberi kesegaran baru pada majlis sambutan ini, pada masa-masa yang akan datang,' katanya ketika berucap merasmikan Karnival Merdeka 2011 di Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC), Brickendonbury, di sini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berada di London untuk lawatan kerja empat hari ke United Kingdom, bermula Khamis lalu.
Beliau ditemani isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Turut hadir pada majlis itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakaria Sulong; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Dr. Ong Hong Peng dan Ketua Pegawai Eksekutif TARRC, Dr. Kamarudin Malek dan Lord Lieutenant of Hertfordshire, Kolonel Kevin Fitzgerald.
Selain penuntut dan komuniti Malaysia di United Kingdom, sekumpulan veteran tentera British turut hadir meraikan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-54.
Ketika ditemui, Fitzgerald melahirkan rasa kagumnya dengan pembangunan pesat yang berlaku di Malaysia dan beberapa terminologi yang dilabel kepada Malaysia seperti negara dunia ketiga, dimansuhkan terus kerana sudah tidak sesuai.
Sewaktu berkunjung ke Malaysia baru-baru ini, beliau melihat sendiri perubahan tersebut yang sangat berbeza dengan Tanah Melayu yang dilihatnya pada suatu ketika dahulu.
Sementara itu, Muhyiddin Yassin dalam ucapannya sekali lagi menekankan tentang pendekatan wasatiyyah yang menitikberatkan kesederhanaan dalam hubungan antara kaum dan agama yang telah diterapkan selama ini di Malaysia.
''Pendekatan itu banyak membantu meletakkan Malaysia dan rakyatnya di landasan yang betul dalam mengekalkan keamanan dan mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," katanya.
Katanya, dengan adanya majlis seperti itu, warga Malaysia boleh mempamerkan kepada dunia betapa rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum boleh hidup aman damai serta saling hormat-menghormati.
Karnival Merdeka 2011 berlangsung dengan meriah, melalui penyertaan beberapa korporat Malaysia seperti Proton, Universiti LimKokWing, syarikat pembuat kari berjenama Baba's serta gerai makanan yang menjual makanan seperti sate, nasi dagang, ketupat, cendol, air batu campur, rendang dan pelbagai lauk-pauk dan kuih-muih selera Malaysia. - UTUSAN
Jangan ubah fakta sejarah
kan hak kepada Oleh Fazli Abdullah, Amin Ridzuan Ishak dan Faridzwan Abdul Ghaffar
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Janganubahfaktasejarah/Article/
2011/09/12
Komunis pengkhianat negara, bertindak kejam ketika daurat tidak wajar diagungkan: PM
BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Najib Razak memberi amaran supaya jangan ada mana-mana pihak cuba mengubah sejarah negara dengan mengagung-agungkan kumpulan yang mengkhianati tanah air.
Dengan merujuk kumpulan berkenaan kepada komunis ketika darurat, Perdana Menteri berkata, komunis telah bertindak kejam dengan sanggup membunuh rakyat yang berjuang untuk kemerdekaan.
Beliau menegaskan matlamat komunis ketika itu adalah mahu menguasai negara dan menyebarkan ideologi komunis yang tidak memberikan hak kepada rakyat peluang mencari kekayaan dan kebebasan.
Komunis tidak memberikan hak kebebasan kepada kita, antiagama, anti-Tuhan, zalim dan bunuh orang dengan kejam. Sebab itu kita tentang komunis. Sebab itu jangan ada sesiapa nak mengubah sejarah kita... jangan sesiapa mengagungkan orang yang sebenarnya kejam dan mengkhianati bumi bertuah ini, katanya di majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka 2011 peringkat kebangsaan, di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu, Kubang Semang, di sini semalam.
Najib juga menjelaskan mengenai perbezaan ideologi komunis dahulu dengan negara komunis sekarang dan mengapa kerajaan menjalin hubungan dengan negara berkenaan.
Hari ini kita baik dengan negara komunis sebab mereka tinggalkan ideologi lama mereka. Mereka baik (dengan kita), kita pun baik (menjalinkan hubungan). Mereka hormat kita dan kita pun hormat mereka. Komunis dulu zalim dan ingin mencengkam kita dengan ideologi yang tidak dapat diterima sama sekali, katanya.
Isu perjuangan komunis mendapat perhatian apabila Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, menganggap komunis yang diketuai Mat Indera sebagai wira dalam peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong pada 1950. Kenyataan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, mencetuskan kemarahan rakyat yang menyebabkan lebih 200 laporan polis dibuat terhadapnya, di seluruh negara.
Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat, kemakmuran yang dinikmati sekarang bukan datang secara kebetulan, sebaliknya hasil perjuangan pemimpin terdahulu sejak 54 tahun negara merdeka.
Katanya, pemimpin terdahulu yang berpandangan jauh berjaya meletakkan pancang baru melalui tindakan dan dasar yang kena pada tempat dan masanya.
Setiap masa dan era kita mempunyai pemimpin yang bijaksana dalam membuat keputusan. Dalam kita nak capai kemerdekaan, kita ada pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan. Kita memilih jalan perundingan dengan penjajah dan ia bukan bererti sehaluan, tetapi nak penjajah keluar. Kita guna kebijaksanaan melalui rundingan.
Kekuatan muafakat antara kaum dan kalangan pemimpin UMNO, MCA dan MIC dalam membentuk Perikatan pula berjaya memberi kemerdekaan kepada negara. Pada masa itu, kuasa terbesar dunia tunduk dan beri kemerdekaan kepada kita, katanya.
Najib berkata, itulah kebijaksanaan yang pemimpin terdahulu lakukan dalam usaha menyatu padukan rakyat sehingga membolehkan negara mencapai kemerdekaan dan rakyat hidup aman damai serta diberi peluang sewajarnya mengikut amalan demokrasi.
Kerajaan hormati prinsip demokrasi dan suara rakyat. Sebab itu, ada kala kita kalah (pilihan raya) dan ada kala kita menang, tetapi komunis tidak berikan demokrasi. Barisan Nasional (BN) akan terus menghormati proses demokrasi dan akan terus perjuangkan kebajikan dan membantu rakyat, katanya.
Perdana Menteri memberi contoh Pulau Pinang yang kini ditadbir oleh DAP tetapi terus diberi bantuan dan dimajukan kerana segala usaha itu untuk kepentingan rakyat dan mengulangi jaminan Kerajaan Pusat tidak akan meminggirkan Pulau Pinang daripada segala pembangunan seperti pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Empangan Mengkuang.
Majlis turut dihadiri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Maznah Rais; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen; Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Majid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.