Pages

Subscribe:

08 September, 2011

[hang nadim] Surat terbuka untuk Mat Sabu.....

Surat terbuka untuk Mat Sabu

SEBAGAI rakyat yang cintakan negara, kami sanggup mempertaruhkan nyawa dan darah.

Untuk pengetahuan Yang Berhormat (YB), kami adalah bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) 1/72 yang berkhidmat di Sarawak sejak tahun 1972 hingga 1981 yang ditempatkan di Batalion 14, Batalion 15 dan Batalion 16. Kemudian di Sabah iaitu Batalion 17 dan Batalion 18.

Apakah Mat Sabu menidakkan perjuangan kami yang telah mengorbankan nyawa dan kecederaan tubuh badan sehingga kekal ke hari ini? Termasuk memperlekehkan pengorbanan anggota keselamatan yang gugur dalam mempertahankan negara seperti mana peristiwa berdarah di Bukit Kepong?

Tahukah Mat Sabu bahawa serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Muar yang di bawah pentadbiran OCPD Khalid Dato’ Kelana Putra dan Supritendan H.M. Strenthen pada 23 Februari 1950 adalah satu sejarah perjuangan murni rakyat yang cintakan negara.

Mereka sanggup berjuang sehingga ketitisan darah terakhir demi kedaulatan dan maruah negara.

Peristiwa Bukit Kepong adalah tragedi pilu bermandi darah dan air mata yang mengorbankan 26 nyawa terdiri daripada 19 anggota polis, 2 orang isteri dan 2 orang kanak-kanak serta 2 orang awam.

Ingin diperingatkan kepada Mat Sabu iaitu tarikh tersebut adalah hari kedua Tahun Baru Cina. Seramai 180 orang komunis telah mengepong dan menyerang Balai Polis Bukit Kepong dengan kekuatan hanya 18 anggota polis dan tiga sukarelawan diketuai oleh OCS Sarjan Jamil. Mereka berjuang hampir empat jam setengah mempertahankan diri, balai dan maruah.

Komunis bertindak ganas dan zalim dengan membakar berek dan balai polis. Terdapat di sana sini mayat anggota polis bergelimpangan dengan keadaan yang mengerikan. Tubuh badan mereka hangus terbakar. Sia-siakah pengorbanan mereka wahai YB?

Dalam usaha banyak pihak termasuk bekas pejuang lampau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta keamanan yang tampil dengan laporan polis, maka di sini disenaraikan mereka yang gugur dalam kekejaman komunis, biar Mat Sabu tidak terus mencarut dan celupar mulut melukai hati kami dan waris yang terkorban.

1. SJN 3493 JAMIL MOHD SHAH
2. KPL 7068 MOHD. YASSIN WAHAB
3. KPL 7186 JIDIN OMAR
4. KON 9136 HASSAN OSMAN
5. KON 5674 ABU MOHD. ALI
6. KON 3933 HAMZAH AHMAD
7. KON LAUT 60 IBRAHIM ADAM
8. KON LAUT 68 AWANG ALI
9. KON LAUT 181 BASIRON ADAM
10. KON 7493 MUHAMMAD @ AHMAD JAAFAR
11. KON 7862 ABDUL KADIR JUSOH
12. KON 8600 JAAFAR HASSAN
13. EPC 3795 JAAFAR ARSHAD
14. EPC 3475 MOHD. TOP LAZIM
15. AP 2130 SAMAD YATIM
16. AP 1912 MAHMUD SAAT
17. AP 1925 ALI AKOB
18. AP 2098 REDZUAN ALIAS
19. AP 2127 OTHMAN YAHYA
KELUARGA POLIS TERKORBAN
20. FATIMAH YAABA - Isteri
21. HASSAN ABU BAKAR - Anak
22. SAADIAH - Isteri
23. ARAFAH YUSOFF - Isteri
24. SIMAH ABU BAKAR - Anak
ORANG KAMPUNG TERKORBAN
25. EMBONG LAZIM
26. KOH AH CHENG

Cuba Mat Sabu bawa bertenang, yang terkorban adalah anak bangsa dan sesama agama. Siapa lagi yang sanggup mempertahankan negara kalau bukan sebangsa Mat Sabu baik dulu, sekarang dan masa hadapan?

Bagaimanakah sekiranya di antara yang terbujur kaku itu adalah anak YB? Semua yang terkorban, mahupun waris tidak kenal siapa itu Mat Sabu.

Malah mereka juga tidak minta Mat Sabu melawat ke pusara atau mengalung bunga atau melawat mereka yang masih hidup. Cakap kasarnya, mereka tidak pernah menyusahkan sesiapa. Mereka hanya pejuang di waktu itu demi kesejahteraan negara. Kenapa YB memperlekehkan dan memperlecehkan mereka yang berkorban dengan darah dan nyawa?

Mudah-mudahan selepas membaca surat terbuka ini, YB tidak terus mencemuh panjang ke atas pejuang lampau termasuk kami dan rakan-rakan seperjuangan yang meredah hutan belantara Sarawak dan Semenanjung sehingga Mat Sabu dapat menghirup udara bahagia dan hidup selesa hari ini.

Buatlah muhasabah diri. Jangan nanti sebab mulut badan binasa. Tidak mengejutkan jika semua bekas pejuang yang berselerak di segenap pelosok negara bangun dan bertindak. Tetapi kami tidak akan lakukan sebab kami masih waras. Masih boleh berfikir secara bijaksana.

Kepada semua pencinta keamanan dan kesejahteraan, tolong tepuk dada tanya diri sendiri. Inikah yang dikatakan jiwa pemimpin yang hendak kita sandarkan harapan? Jauh panggang dari api. Bertaubatlah wahai Mat Sabu!

Kami mohon kepada ALLAH S.W.T. semoga jiwa Mat Sabu tidak terus bercelaru. Jadilah pemimpin yang budiman dengan memohon maaf sebab tidak ada manusia yang sempurna. Pasti ada cacat celanya.

MAZLEE JAAFAR
Bekas PPH 1/72
Ras Com Sibu, Sarawak

100 ahli NGO bekas anggota keselamatan gagal serah surat bantahan

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Kira-kira 100 ahli tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekas anggota pasukan keselamatan kecewa selepas gagal menyerahkan surat bantahan kepada Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berhubung kenyataannya dalam tragedi Bukit Kepong, di ibu pejabat parti itu, di Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Mereka yang terdiri daripada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) dan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) itu gagal menyerahkan surat tersebut selepas pihak pengurusan bertindak mengunci pintu pejabat parti tersebut.

Mereka hadir pukul 11.30 pagi dengan diawasi seramai 20 anggota polis.

Presiden PBPM, Shafie Bakri berkata, tindakan parti itu telah merendahkan dan menghina maruah bekas anggota pasukan keselamatan yang telah berkhidmat dalam mempertahankan keselamatan dan ketenteraman negara.

Katanya, malah tindakan pihak berkenaan menutup pintu dianggap sebagai pengecut.

"Salah seorang kakitangan pejabat Pas hanya mengarahkan surat tersebut dimasukkan melalui bawah pintu pejabat yang berkunci.

"Kita datang sebagai orang awam untuk menyatakan ketidakpuasan hati mengenai kenyataan Mat Sabu dan serah surat bantahan, bukannya kami bawa peluru," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Turut serta bekas anggota dan pegawai tentera yang pernah bertempur dengan pengganas komunis.

Shafie yang enggan menyerahkan surat itu melalui bawah pintu, memberi jaminan akan kembali dan membawa lebih ramai anggota veteran pasukan keselamatan negara bagi meluahkan perasaan mereka.

Dalam pada itu, antara isi kandungan surat bantahan tersebut adalah mendesak Mat Sabu meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden dan mengkaji semula kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat.

Reaksi bekas komando

MELAKA 8 Sept. - Beberapa bekas anggota tentera daripada Unit Komando Kem Sungai Udang berhasrat mengatur pertemuan dengan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu bagi melahirkan rasa tidak puas hati mereka ekoran kenyataan beliau mengangkat komunis sebagai wira.

Bekas Pegawai Waran 2 Hussin Mahbeb, 62, berkata, dia mahu Mat Sabu membuktikan bahawa komunis yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan ketika mempertahankan negara sekitar tahun 1950-an hingga 1970-an adalah hero sebenar.

''Tumit kaki kanan saya hancur akibat jerangkap samar yang dipasang komunis ketika menyertai Operasi Gubir di Kedah. Walaupun cedera ketika itu, semangat untuk menentang pengganas tetap membara kerana niat saya hanya untuk mempertahankan negara daripada musuh.

''Namun, selepas berhempas pulas bertaruh nyawa kami, tiba-tiba Mat Sabu pula mempertahankan tindakan komunis itu. Saya cabar dia jumpa kita untuk menjelaskan segalanya, itupun kalau dia berani," katanya ketika ditemui pada majlis Ilmu Wacana Pemikiran Bersama Tun Dr. Mahathir anjuran Pertubuhan Melayu Insaf Kreatif Malaysia (Pemimpin) di sini semalam.

Bekas Pegawai Waran Damanhuri Husin, 55, pula, dia masih tidak dapat melupakan tragedi yang menimpa dirinya apabila sebutir peluru menembusi bahu kanannya dan kehilangan kaki kanan akibat terkena jerangkap samar yang dipasang komunis dalam Operasi Selamat Sawedi di Bancan Teret Susu, sempadan Malaysia-Thailand pada 1976.

''Ramai anggota tentera ketika itu cedera dan tidak kurang pula yang maut dibunuh komunis. Saya tidak dapat bayangkan betapa hancur dan sedihnya hati saya apabila mendengar kata-kata Mat Sabu itu.

''Seolah-olah segala perjuangan dan pengorbanan bekas askar dan polis hanya sia-sia," katanya.

Sementara itu bagi Koperal Yaacob Hasan, 60 yang kehilangan tangan kanan dan cacat di tangan kiri, tidak menyangka Mat Sabu sanggup mengeluarkan kenyataan mengguris hati pasukan keselamatan yang selama ini berjuang menentang komunis.

''Mat Sabu tidak merasai apa yang kami alami, malah saya yakin ketika komunis menyerang Tanah Melayu, dia masih kanak-kanak lagi. Dia cakap ikut sedap mulut saja tanpa berfikir kesannya terhadap hati orang lain," katanya.
Jangan dilupai perwira menentang komunis

REMBAU HARI INI
DISYORKAN program Pentas Patriot anjuran Pemuda UMNO menjelajah mencari bekas polis dan tentera yang dulu melawan komunis, tapi kini hidup susah seperti Sarjan Empaga Kijang dari Pasukan Polis Hutan di bawah ini. Beliau adalah sebahagian daripada ramai lagi yang hidup seperti dia.

Ikuti kisah beliau yang dipetik daripada: http://sriamannews.blogspot.com/2011/06/sarjan-b-empaga-kijang-pengorbanan.html

SARJAN (B) EMPAGA KIJANG:

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia pada masa dahulu pernah diwarnai dengan pelbagai peristiwa hitam yang turut membabitkan penduduk negeri Sarawak.

Ia termasuklah ancaman konfrantasi Malaysia - Indonesia yang bermula dari tahun 1962 hingga 1966, ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) dari tahun 1948 hingga 1960 dan bersambung semula dari tahun 1968 hingga 1989 serta peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Penduduk Sarawak nyata tidak terlepas daripada ancaman ini apabila berhadapan dengan Konfrantasi Malaysia - Indonesia dan ancaman komunis oleh Pasukan Rakyat Komunis Kalimantan Utara @ PARAKU iaitu cabang bersenjata bagi Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) dari tahun 1971 hingga 1990.

Kemunculan PKKU yang dilihat bergabung dengan PKM untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia bagi kali kedua ini secara tidak langsung telah menuntut pengorbanan pihak tentera dan polis bagi menangani ancaman pengganas itu.

Tekanan berterusan yang dikenakan oleh Kerajaan Malaysia menerusi pengorbanan tentera dan polis ini akhirnya berjaya menamatkan ancaman pengganas komunis sehingga menjurus kepada Perjanjian Haadyai pada 2 Disember 1989 (Kerajaan Malaysia dan PKM ) dan PKKU pada 17 Oktober 1990.

Pengorbanan para tentera dan polis yang berjuang menentang keganasan komunis pada era waktu berkenaan telah mendapat penghargaan dengan pemberian pingat dan insentif kewangan daripada kerajaan.

Bagaimanapun, cukup menyedihkan sekiranya masih terdapat anggota keselamatan yang belum menerima penghargaan sewajarnya daripada pihak kerajaan berhubung jasa dan pengorbanan mereka ketika berjuang menentang pengganas komunis di Sarawak pada waktu itu.

Ia terbukti apabila Sarjan (Bersara) Errol Empaga @ Empaga anak Kijang dari Rumah Gimang, Basi, Batang Ai, Lubok Antu, iaitu salah seorang pesara polis dari unit Pasukan Polis Hutan @ PPH (kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am) tidak mendapat penghargaan sewajarnya daripada kerajaan berhubung isu terbabit.

Dilahirkan pada 1 Januari 1945, Empaga buat pertama kalinya menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia pada 1963 dengan menjalani latihan selama sembilan bulan di Pulapol, Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

Sebaik sahaja tamat latihan, beliau ditugaskan ke Pusat Latihan Polis, Bukit Siol, Petra Jaya, Kuching pada tahun 1964 sebelum berpindah tugas ke Kompeni F, PPH di Kem Lanang, Sibu pada tahun 1965.

Empaga mula menerima pengalaman pertama dalam operasi menggempur pasukan komunis (PARAKU) sebaik sahaja berpindah tugas ke Batalion Ke-15 PPH Kem Temudok, Sri Aman pada tahun 1968.

Pada suatu hari dalam tahun 1968, beliau bersama anggota dari tiga platun PPH yang diketuai oleh Inspektor Dimbut telah diarah ke Titok, Engkilili setelah menerima laporan mengenai pergerakan komunis di situ.

"Kami mengendap semalaman dalam hutan di Titok untuk menunggu kedatangan mereka dan keesokan harinya seorang anggota komunis mati manakala seorang lagi yang cedera bertindak melarikan diri setelah digempur oleh anggota dari kawasan kepungan lain pada malam itu," katanya ketika ditemu bual Utusan Sarawak.

Empaga tidak bertempur dalam operasi itu sehinggalah peristiwa hitam pertama menghantui diri beliau ketika diarah untuk menyertai Program Jiwa Murni di sebuah perkampungan di Lachau, Pantu, Sri Aman pada 27 Disember 1970.

Pada waktu pagi hari berkenaan, beliau bersama 12 orang anggota PPH yang lain telah berangkat dari Kem Temudok, Sri Aman dengan menggunakan sebuah trak (konvoi pertama) dan kereta perisai (konvoi kedua).

Dengan bersenjatakan senapang automatik M-16, Empaga bersama empat orang anggotanya menumpang kereta perisai yang ketinggalan kira-kira 10 minit perjalanan daripada pasukan konvoi pertama berkenaan.

"Tiba-tiba pada jam 9 pagi, dipercayai seramai 18 orang anggota komunis yang terbahagi kepada tiga buah kumpulan bertindak menyerang hendap kenderaan perisai kami ketika sedang melalui kawasan antara perkampungan Ran dan Punggu, Sri Aman.

"Saya membalas tembakan menerusi lubang peninjau di kenderaan perisai ketika itu sebelum kenderaan kami terkandas di kawasan Bukit Begunan iaitu kira-kira 100 meter dari kawasan serangan setelah tayar pancit akibat serangan komunis terbabit," katanya.

Setelah mengambil posisi berkubu di tebing jalan, Empaga bersama Lans Kopral Tajau Siong terus menggunakan senjata Bren dari dalam kenderaan perisai itu dan menembak secara rambang ke arah kedudukan serang hendap musuh.

"Kemudiannya seorang rakan mendapati bahagian belakang kepala saya berdarah dipercayai terkena tembakan peluru musuh ketika berlaku serangan hendap berkenaan," katanya sambil menambah pasukan penyelamat kemudiannya tiba dan beliau dihantar ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut.

Empaga yang dilantik ke pangkat Kopral pada tahun 1971 dan berpindah tugas ke Briged PPH, Kuching kemudiannya sekali lagi terlibat dalam pertempuran dengan komunis di kawasan Semenggok, Kuching bersama dengan Kompeni C dan A Batalion Ke-14 PPH.

"Saya masih lagi ingat apabila beberapa biji bom tangan tidak meletup setelah dilontar oleh anggota kita ke arah pihak komunis yang kemudiannya melarikan diri setelah satu jam setengah pertempuran," katanya.

Beliau bersama Kopral Dennis Sim kemudiannya dipertanggungjawab untuk menangkap seorang anggota komunis yang menyerah diri setelah terkepung dalam pertempuran itu dengan satu lagi mayat masih tertinggal di tempat persembunyian.

Setelah berkhidmat selama setahun di Briged PPH, Kuching, Empaga kemudiannya berpindah tugas ke Batalion Ke-18 PPH, Miri sebelum berpindah tugas semula ke Batalion Ke-15 PPH di Kem Lanang, Sibu pada tahun 1977.

"Pengalaman paling berharga saya yang sebenar berlaku pada 25 Mei 1978 memandangkan pada hari itu kami telah ditugaskan ke Ulu Naman, Sibu setelah menerima laporan mengenai pergerakan komunis di situ.

"Saya bersama 13 orang anggota yang diketuai oleh Sarjan Ricky Muan tiba di Ulu Naman pada jam 4 petang dan hasil laporan penduduk, kami mendapati bahawa kumpulan komunis yang diketuai oleh Eei Poh Yap sedang berada di kebun lada milik mereka," katanya.

Mereka kemudiannya bertindak menyusup ke kawasan kebun lada sebelum bertembung dengan dua orang anggota komunis yang dipercayai menjadi sentri (pengawal) ke laluan masuk kebun lada berkenaan.

Tanpa melengahkan masa, Empaga bersama pasukannya terus melepaskan tembakan terhadap anggota komunis lelaki dan wanita terbabit sehingga menyebabkan kedua-dua mereka terbunuh.

"Saya bersama anggota yang lain telah menerima surat penghargaan berhubung kejayaan terbabit," kata suami kepada mendiang Sinda anak Gadoh dan bapa kepada tiga orang anak lelaki serta dua orang anak perempuan berkenaan.

Bagaimanapun Empaga yang telah bersara dengan berpangkat Sar -jan dalam perkhidmatan polis di Kem Temudok, Sri Aman pada tahun 2000 lepas seolah-olah merasai bahawa jasa dan pengorbanan beliau tidak dihargai kerajaan.

Beliau menjadi lebih terkilan apabila tidak dipanggil untuk menerima wang sumbangan bernilai RM1,000 yang diberikan oleh kerajaan terhadap mana-mana bekas anggota polis yang pernah berkhidmat ketika era darurat dahulu (1968 -1972) di Sarawak.

Empaga sudah memohon sebanyak dua kali daripada pihak atasan berhubung sumbangan wang berkenaan namun masih tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak terbabit.

Kini, dengan usia sudah pun mencecah 66 tahun, beliau hidup bersendirian di Taman Tiara dengan hanya menikmati baki pencen sebanyak RM540 setelah melalui potongan pembayaran rumah dan lain-lain belanjawan.

Pemahaman Mat Sabu berbahaya

KEDEGILAN Mat Sabu dengan bertegas mengiktiraf Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan sebenar dan mengiktiraf Parti Komunis Malaya (PKM) adalah satu percubaan untuk mengelirukan rakyat dan tidak harus dibiarkan.

Walaupun kita tahu Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu adalah di bawah penjajah British tetapi kebanyakan pentadbir pada ketika itu adalah rakyat Malaya sendiri. Ini termasuk anggota keselamatan yang dianggotai oleh berbagai bangsa.

Perjuangan PKM walaupun dikatakan sebagai pejuang pembebasan tetapi ia lebih berkiblat kepada parti komunis di negara China yang diperintah oleh Mao Tze Tong ketika itu. Pemimpin PKM, Chin Peng dan beberapa orang kanan PKM sendiri pernah pergi ke negara China. Ini sudah cukup membuktikan yang PKM adalah di bawah telunjuk Parti Komunis China.

Ketika itu Mao Tze Tong cuba memperluaskan ideologi komunis ke seluruh benua Asia. Beliau berjaya menembusi Vietnam, Laos dan Kemboja. Sudah timbul teori domino pada ketika itu.

Jadi PKM bukanlah satu pertubuhan pejuang pembebasan negara dari penjajahan tetapi lebih kepada cabang Parti Komunis China memperluaskan wilayah dan ideologinya.

Fakta ini telah cuba diputar-belit oleh Mat Sabu dengan hanya mengambil satu titik hitam sejarah negara. Mereka yang buta sejarah ini tidak harus dibiarkan menjaja cerita ke seluruh negara. Perbuatan ini adalah merbahaya.

ESA ADAM
Bandar Sunway, Selang
Nukilan Hati Hang Nadim
Setakat ini kita tahu Mat Sabu selalu mengutuk memaki,memfitnah,menghina pemimpin,menggelar pemimpin, rakannya sendiri (Anwar Al Juburi)dan mebohongi rakyat Malaysia terutama orang PAS ditipu dengan kepitahan ceramahnya dan hingga kini
rakan rakan karibnya masih mempercayai pembohongan Mat Sabu tu fitnah pandai
Mat sabu Berlakun.....Tipu Polis Langgarnya.....Tipu Fakta Sejarah.....nak tanya
di mana Pungutan Tabung Saudara Ibrahim Lybia (Man Walad/Ibrahim Mahmud)tolong
Cerita dengan Betul dan benar kemana perginya wang Tabung ini.....Ya Allah ampunilah Dosa-dosa kami.....Ya Allah Hapuskan mereka-mereka yang mengancam negara dan kelulah lidah mereka-mereka yang membohongi rakyat dan mengancam keamanan negara....amin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.