ARKIB : 08/09/2011
ANAK FELDA
Selangor
SAYA menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini di Gerik, Perak dan berkesempatan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid Felda Bersia, Gerik.
Suasana sambutan Aidilfitri di Felda memang penuh kemeriahan. Berpeluang menunaikan solat bersama peneroka memang menyeronokkan.
Namun rasa keseronokan ini menjadi pudar apabila khatib menyampaikan khutbah hari raya yang jelas lebih mirip sebagai ucapan propaganda pembangkang. Khutbah yang disampaikan lebih banyak menghentam dan menyalahkan kerajaan yang amat tidak bersesuaian sekali dengan semangat Aidilfitri.
Jelas sekali, khutbah yang disampaikan adalah ucapan yang ditulis oleh pembangkang, bukan teks yang biasa disediakan Jabatan Agama Islam Perak.
Saya difahamkan khatib yang membaca khutbah tersebut adalah juga peneroka di Felda Bersia tetapi seorang anggota parti pembangkang. Saya tidak tahu kenapa Ahli Jawatankuasa Masjid (AJK) masjid memilih beliau membaca khutbah pada hari penuh kemuliaan tersebut.
Pada saya untuk menyampaikan khutbah politik pada solat sunat Aidilfitri adalah tidak kena sama sekali. Sepatutnya khutbah yang disampaikan mestilah berfokus kepada semangat Aidilfitri, perpaduan umat Islam dan bukan menghentam kerajaan.
Jika hendak bercakap politik, carilah platform yang sesuai. Bercakaplah melalak sampai sakit tekak. Tapi apabila di masjid, hormatilah institusi masjid. Jangan cemari kemuliaan Aidilfitri dengan ceramah politik.
Pada saya, khatib yang menyampaikan khutbah tersebut adalah peneroka yang tidak tahu berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa berusaha meningkatkan taraf kehidupan peneroka.
Jika pun tidak tahu dan tidak mahu berterima kasih, janganlah dicemari kesucian Aidilfitri dengan cercaan tidak berasas kepada kerajaan. Ahli politik yang kononnya berteraskan Islam pasti tahu umat Islam tidak harus kutuk mengutuk dan keji mengeji, terutama pada Aidilfitri yang menuntut kita saling bermaafan.
Harapan saya kepada pihak Felda serta AJK masjid Felda Bersia agar mengawasi tindak tanduk khatib berkenaan. Saya bimbang, jika ia dibiarkan kelak akan menjadi duri dalam daging yang bakal menghancurkan perpaduan dalam kalangan peneroka Felda Bersia khasnya dan seluruh Felda amnya.
Apa jadi dengan ratusan laporan polis?
ZUL MOHAMAD
Ampang
KITA kembali disajikan dengan berita beratus-ratus laporan polis yang dibuat oleh rakyat yang marah dan kecewa dengan kenyataan celupar Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu yang melabel satria negara yang terkorban dalam peristiwa bersejarah dan berdarah Bukit Kepong sebagai bukan pejuang tanah air.
Saya percaya, ramai lagi yang berkongsi sentimen sedemikian tetapi hanya mampu memendam rasa dan berdoa semoga Mat Sabu kembali bermuhasabah diri dan memohon keampunan kepada ahli keluarga bekas pejuang yang dihinanya, terutama di bulan Syawal yang mulia ini.
Tetapi Mat Sabu tetap Mat Sabu. Kesombongan dan bongkaknya sebagai pemimpin nombor dua Pas tetap dipertahankan, sama seperti Tok Gurunya, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan.
Kedua-duanya keras kepala dan tidak pernah menyesal dengan kenyataan songsang dan fitnah dan penghinaan terhadap orang. Mereka menggunakan apa saja modal untuk tujuan politik sempit mereka.
Jika tidak ada modal atau isu, mereka akan mencipta yang baru melalui khayalan dan dongengan mereka asal ada sahaja bahan untuk diputarbelitkan dalam ceramah politik mereka.
Berbalik kepada cerita laporan polis terhadap Mat Sabu, yang kini berjumlah melebihi 500 kesemuanya, saya dan mungkin ramai lagi akan bertanya apa seterusnya akan berlaku setelah rakyat berduyun-duyun membuat laporan tersebut?
Dulu kita juga disajikan dengan berita mengenai lebih 1,500 laporan polis yang dibuat terhadap penganjur Bersih 2.0. Ambiga dan kedegilannya yang berkeras mahu menganjurkan perarakan haram Bersih. Sudah pun dibuatnya, tetapi mengapa laporan-laporan polis tersebut tidak ada tindakan susulan daripada pihak yang berwajib?
Mengapa pejabat Peguam Negara tidak mengeluarkan arahan pendakwaan terhadap Ambiga?
Begitu juga dengan laporan palsu yang dibuat oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes video seks beliau?
Laporan polis juga dibuat. Cerita laporan palsu Anwar Ibrahim kini ditimbulkan semula oleh Pergerakan Puteri UMNO melalui Naib Ketuanya Shahanim Mohd. Yusof yang membuat laporan polis di IPD Kuala Muda, Kedah, kelmarin.
Yang peliknya, trio Datuk T yang bercakap benar dan mendedahkan perlakuan jijik Anwar pula didakwa.
Bak kata orang Melayu 'Pelik bin Ajaib' perkara begini boleh berlaku dalam negara kita yang mendokong sistem demokrasi dan berpaksikan pada undang-undang serta keadilan. Kedaulatan Undang-undang juga menjadi teras kepada Lima Prinsip Rukun Negara yang didokong oleh kerajaan dan rakyat negara ini. Tetapi secara ringkasnya, di manakah keadilannya?
Saya serta rakyat lain yang menuntut keadilan, percaya laporan oleh Puteri UMNO semalam tidak akan membawa apa-apa erti dan sekadar menambahkan lagi statistik jumlah laporan polis untuk direkodkan sebagai data PDRM.
Yang pasti, Mat Sabu tetap dengan keceluparannya dan Anwar dengan sandiwaranya. Kita akan terus menjadi penonton dengan cerita palsu mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.