05 September, 2011
[hang nadim] Timbalan Presiden Pas penakut – Khairy.....
KUALA LUMPUR 5 Sept. – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan Mohamad Sabu sebagai penakut kerana tidak berani berdebat dengannya dalam isu sejarah Bukit Kepong.
Khairy memberi reaksi demikian setelah Timbalan Presiden Pas itu menolak untuk berdebat selepas beliau menyahut cabaran Pas agar UMNO berdebat dengan parti tersebut dalam isu kontroversi yang dibangkitkan oleh Mohamad itu.
“Hari ini Pas memilih Timbalan Presiden yang bacul dan tiada maruah. Takut sebab salah. Tewas sebelum tempur. Sekretariat yang mewakili Kerajaan Pas Kelantan yang mencadangkan saya berdebat dengan Mat Sabu (Mohamad) dan bukan saya yang cadangkan.
“Sekurang-kurangnya Husam (Datuk Husam Musa) anak jantan. Ini Mat Sabu dengan Ketua Pemuda UMNO sudah lari, memalukan,’’ katanya seperti dipetik daripada laman sosial twitternya hari ini.
Mohamad dilaporkan menyerahkan tugas untuk berdebat dengan Khairy kepada Pemuda Pas Johor dengan alasan, sayap pemuda Pas negeri itu lebih layak memandangkan Bukit Kepong terletak di Johor.
Sedangkan cabaran debat tersebut dilontarkan oleh Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu parti itu berdebat secara terbuka dengan UMNO mengenai tajuk Siapakah layak digelar pejuang kemerdekaan sebenarnya?.
Isu Bukit Kepong mula panas apabila Mohamad semasa berceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu menganggap pengganas komunis adalah hero sebenar dan bukannya 25 anggota keselamatan dan keluarga mereka yang dibunuh dalam trajedi serangan komunis balai polis Bukit Kepong.
Dalam pada itu, Khairy berkata, Mohamad tidak perlu berdolak-dalik kerana hakikatnya, ayam sabung Pas itu tidak berani menyahut cabaran untuk berdebat kerana sedar fakta sejarah tidak boleh diputar-belit.
“Mat Sabu tak payah cakap Ketua Pemuda UMNO lawan Ketua Pemuda Pas baru betul. Tanya Husam, dia pernah mencemar jawatannya kerana berdebat dengan Naib Ketua Pemuda UMNO walaupun dia berjawatan Naib Presiden Pas.
“Jadi biarlah rekod sejarah mengesahkan bahawa saya setuju dengan jemputan Kerajaan Pas Kelantan untuk berlawan dengan Mat Sabu tetapi dia takut dan lari. Jangan putar sejarah ini,” katanya.
Enggan temu Mat Sabu
Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman dan Mohd Iskandar Ibrahim
bhjb@bharian.com.my
2011/09/06
MOKHTAR dan Raja Zainal (dua dari kiri) bertemu Zaaba menyampaikan keputusan Jamilah menolak kunjungan mereka di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.
JAMILAH menunjukkan gambar bapanya, Abu Bakar Daud.
JOHOR BAHRU: Anak perempuan Allahyarham Koperal Abu Bakar Daud, salah seorang anggota polis yang cedera parah dalam serangan komunis di Bukit Kepong, 61 tahun lalu, enggan menemui Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang datang bersama rombongan ke rumahnya di Bandar Baru Uda, di sini semalam.
Jamilah Abu Bakar yang ketika itu baru berusia empat tahun dan melihat sendiri bapanya ditembak bertubi-tubi, tidak dapat menerima kenyataan pemimpin PAS itu yang mendakwa Ahmad Indera atau Mat Indera yang mengetuai serangan, adalah pejuang kemerdekaan kerana menentang British yang menjajah negara ketika itu.
“Tak payah datang, saya tak mahu berjumpanya. Ia amat keterlaluan hingga menyebabkan luka lama berdarah kembali. Macam mana saya boleh terima kedatangan orang yang menafikan pengorbanan dan perjuangan bapa dan rakan-rakannya mempertahankan maruah bangsa dan negara hingga sanggup mengorbankan nyawa sendiri, sedangkan dia (Mohamad) boleh pula mengagungkan komunis.
“Kata-katanya tidak boleh dimaafkan. Saya ketika itu berusia empat tahun, menyaksikan sendiri arwah bapa berusia 29 tahun, cedera parah terkena tembakan di badan. Saya juga melihat ibu, Fatimah Ya’aba, mengambil alih mengangkat senjata sehingga dia terbunuh ketika berbalas tembakan dengan komunis. Adik lelaki saya berusia dua tahun juga mati tertembak.
“Kenyataannya (Mohamad) seperti mengungkit kembali sejarah hitam yang terpalit dalam hidup saya selama ini. Saya tidak mahu ia dikenang lagi kerana ia membuat saya tertekan,” katanya yang kini berusia 65 tahun ketika ditemui selepas menolak hasrat rombongan pemimpin PAS untuk berkunjung ke rumahnya, di Persiaran Barli, Bandar Baru Uda.
Bapanya meninggal dunia pada 1979 akibat penyakit barah.
Rombongan Mohamad atau Mat Sabu yang menaiki beberapa kenderaan, termasuk sebuah Proton Exora berwarna merah hati tiba di jalan masuk menuju ke rumah Jamilah kira-kira jam 2.30 petang.
Menyedari kehadiran tidak dialu-alukan keluarga dan jiran Jamilah, kenderaan yang membawa Mat Sabu yang dipandu Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat, beredar dari situ sementara seorang wakilnya bersemuka dengan keluarga Jamilah di surau berdekatan.
Di surau itu, sepupu arwah suami Jamilah, Raja Zainal Abdullah, 74, dan jirannya, Mokhtar Jalok, 72, bersemuka dengan Naib Yang Dipertua PAS Pulai, Zaaba Ibrahim dan menyampaikan keputusan Jamilah menolak kunjungan itu.
Zaaba yang dihubungi selepas itu, mengesahkan Mat Sabu terpaksa beredar berikutan keengganan keluarga Jamilah menerima kunjungannya. Sebelum rombongan tiba di laluan menuju ke rumah Jamilah, seorang wakil PAS beberapa kali menghubungi anak bongsunya, Raja Zamzura Raja Buntat, 32, bertanyakan jika wakil Berita Harian dan TV3 berada di rumahnya.
Raja Zamzura mendakwa, wakil rombongan itu agak marah apabila diberitahu wakil media turut berada bersama kerana sudah meminta keluarga Jamilah tidak memaklumkan kepada media dan penduduk kampung berhubung kunjungan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.