11 November, 2011
[hang nadim] jika AUKU dimansuhkan.....?????
Kenapa perlu mengadai masa depan anak-anak Melayu yang masih menuntut. Bukankah lebih baik jika dibiarkan mereka menamatkan pengajian mereka supaya masa depan mereka lebih terjamin. Bukannya lama, cuma 3 atau 4 tahun sahaja. EP yakin jika AUKU dimansuhkan, maka lebih ramailah anak-anak Melayu yang akan gagal dan dibuang Universiti. Fikirkanlah...
UNIVERSITI adalah satu ekosistem yang lebih mementingkan kepada akademik dan menjadi gudang ilmu dalam pembangunan negara dan masyarakat.
Universiti jugalah gedung ilmu bagi masyarakat memperoleh pengetahuan setinggi mungkin. Mutakhir ini sering didengar isu keinginan pihak tertentu untuk mengubah fenomena untuk mempolitikkan akademik di negara ini.
Saya rasa terpanggil untuk mengeluarkan pandangan sebagai wakil kepada pelajar Universiti Sains Malaysia 2011/2012.
Ekosistem di dalam universiti adalah komponen penting dalam mensahsiahkan pelajar yang akhirnya mampu untuk memelihara kualiti universiti itu. Saya amat tertarik dengan kata-kata Naib Canselor USM, Prof Datuk Omar Osman yang menyatakan ekosistem dalam universiti perlu sempurna untuk menjana keharmonian dan pembangunan universiti. Ada dua komponen penting dalam sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu mahasiswa dan pentadbiran universiti.
Dua komponen ini sangat penting dalam pembangunan sesebuah universiti. Jika satu komponen ini cuba diganggu oleh pihak luar maka ia hanya akan menimbulkan masalah besar. Tahun lalu, perbincangan mengenai mahasiswa berpolitik hangat dibahaskan.
Mahasiswa berpolitik ini lebih menjurus kepada mahasiswa terbabit dengan politik parti. Jika dilihat dalam Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pada Seksyen 15(1), mahasiswa tidak boleh menyertai parti politik tetapi dalam Seksyen 15 (4) menyatakan, mahasiswa boleh menyertai parti politik dengan kebenaran Naib Canselor.
Saya tidak ada masalah dengan 15(1) dan 15(4) tetapi persoalan utama, siapa yang boleh beri jaminan IPT tidak akan digunakan oleh mana-mana parti politik sebagai markas dan medan politik mereka jika 15 (1) dan 15 (4) dihapuskan.
Adakah jaminan ini diberikan Naib Canselor atau ahli politik BN, ketua pembangkang atau siapa? Tiada sesiapa mampu memberi jaminan tidak akan ada kekacauan oleh parti politik untuk masuk ke dalam kampus.
Adakah mustahil jika AUKU ataupun Sekysen 15(1) ATAU 15(4) dimansuhkan, keadaan di kampus akan sentiasa aman seperti yang kita lihat sekarang?
Setiap malam akan ada ceramah politik, yang mana kita tahu pengisian ceramah ini lebih mengutuk, mencaci dan memaki-hamun pihak lawan mereka.
Kehidupan mahasiswa yang biasanya membuat aktiviti perbincangan dalam kumpulan, membuat latihan tarian, keluar minum kopi bersama teman yang lain akan terganggu dek kerana politik luar yang lebih mementingkan agenda parti politik masing-masing dan bukannya pembangunan mahasiswa.
Justeru, saya berharap agar pihak yang berkaitan mengkaji semula pandangan untuk memansuhkan seksyen tertentu dalam AUKU. Saya tidak mahu generasi selepas ini akan terjejas sekiranya akademik dipolitikkan.
Biarkan kami sebagai mahasiswa menimba ilmu dengan aman, tenteram dan tidak tercabar untuk menuju ke menara gading seperti yang ada sedia sekarang.
Sekiranya kita ingin mencapai status negara maju, bukannya perpecahan yang perlu dilihat tetapi kerjasama yang perlu ditekankan.
MUHAMMAD IDZUAN JAMALLUDIN,
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar,
Universiti Sains Malaysia sidang 2011/12.
http://empayar-pemuda.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.