Pages

Subscribe:

08 Mei, 2012

[hang nadim] Adab berpolitik dan bukan politik biadab.....

Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir Yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) BILA tidak menghormati sesuatu majlis yang sedang berlangsung, orang yang melanggar adat itu dikatakan biadab. Bagi mereka yang bersalah atau menyokong perilaku melanggar adat, memberikan alasan perilaku tersebut adalah remeh, adalah termasuk golongan yang mempersendakan pemimpin atau ketua negara. Antara makna adab adalah menghormati tatasusila, berbudi bahasa dan merendah diri. Jika melakukan tingkah yang bertentangan dengan pengertian adab itu maka ia dipanggil biadab. Kamus Dewan (edisi ketiga, 1997) pada halaman 152 mentakrifkan biadab itu sebagai: (i) tiada budi bahasa, tidak beradat; dan (ii) tidak bertamadun, belum maju. Maka dalam konteks ini, bolehlah dikatakan mereka yang biadab itu "tidak berbudi bahasa" ataupun "tidak beradat." Sementara perkataan remeh pula bermaksud (halaman 1122): tidak mustahak, tidak penting, dan tidak berharga. Apabila menganggap tindakan "tidak berbudi bahasa" ataupun "tidak beradat" itu sebagai "tidak mustahak, tidak penting" dan "tidak mustahak", ia sebenarnya menampakkan ada unsur anarkisme dalam diri orang tersebut. Anarkisme berakar umbikan perkataan "anarkis" dan membawa maksud "keadaan tidak ada atau tidak berasaskan undang-undang (keterlibatan umum atau pemerintahan yang teratur)"; dan, kekacauan atau porak peranda (dalam negeri dan lain-lain)." Anarkisme pula membawa maksud "fahaman (pendirian) bahawa segala bentuk kerajaan atau pemerintahan bersifat menindas dan wajar dimansuhkan, penolakan segala bentuk kekuasaan atau kawalan paksaan." (halaman 42) Berdasarkan makna tersebut, jelaslah bahawa anarkisme telah menjadi agenda oleh pihak yang tidak menganggap menghormati "adat" dan mengamalkan "budi bahasa" ketika berada dalam majlis penuh beristiadat. Kenapa persoalan itu timbul ketika hadir dalam Majlis Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong di Balairong Seri pada 11 April lalu? Jawabnya kerana pada majlis tersebut, ia mudah mendapat perhatian dan juga kerana berhadapan dengan situasi untuk menyampaikan petunjuk institusi yang sudah dilembagakan sekian lama perlu diubah atau kalau boleh digantikan dengan sistem baharu, bersesuaian dengan kehendak dan kepentingan politik pihak yang memperlihatkan kelakuan anarkis itu. Setelah terdedah kepada umum perlakuan sedemikian, gema kemarahan sebahagian besar masyarakat membuka perdebatan benci, meluat dan menyumpah, hidup bersendikan adat sudah ada petunjuk bakal diruntuhkan oleh segelintir ahli politik yang tersangat laparkan kuasa. Keparahan menghormati adat itu menjangkitkan pula kepada pertanyaan sudah hilangkah seni berpolitik ataupun etika berpolitik di Malaysia? Al-Ghazali pernah memberikan panduan mengenai etika berpolitik dengan menekankan bahawa dalam apa situasi pun yang berlaku, menghormati pemimpin yang sah adalah suatu tanggungjawab yang tidak boleh diketepikan. Sebagai bentuk politik yang beradab, al-Ghazali meskipun ada ketikanya tidak bersetuju dengan tindakan pemerintah, beliau tidak pernah menunjukkan sikap memberontak dan cuba memperbaikinya menerusi perantaraan nasihat. Beliau menggunakan akal untuk menyatakan kebenaran dan menjauhkan tindakan berasaskan perasaan. Bahkan, menerusi sebuah nukilannya, al-Ghazali berkata, kita perlu menyibukkan diri dengan mengadakan pembaikan dari dalam terlebih dahulu. Kerosakan dari dalamlah yang menyebabkan adanya serangan dari luar. Dalam memperkatakan kepentingan akhlak, al-Ghazali yang dinilai telah memberikan sumbangan terbaik bagi menghidupkan falsafah etika, termasuk etika berpolitik, mencipta suasana "hidup baik bersama dan untuk orang lain" sebagai hakikat perjuangan dan amalan ahli politik budiman. Seseorang ahli politik yang budiman sentiasa berkata dengan jujur, santun, mempunyai integriti, menghargai orang lain, memiliki keprihatinan untuk kesejahteraan umum dan tidak memperlekehkan orang lain. Bagi al-Ghazali, nilai yang hendak dicapai menerusi politik adalah kesantunan dan keutamaan moral. Suasana tersebut boleh dicapai menerusi pengakuan timbal balik dan hubungan yang ramah di antara pelaku. Maknanya, tidak menghormati adab dan adat yang sudah sekian lama dilembagakan adalah sama dengan tindakan menjauhkan diri daripada tabiat ahli politik bermoral. Bahkan, naluri yang diasaskan atas keinginan berkuasa sebenarnya telah mencabar perintah Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul- Nya dan penguasa (atau pemerintah) dari kalangan kamu. (Surah an-Nisaa: 59). Apa yang lebih manis adalah setelah merasakan diri bersalah atau melanggar adat, dengan memohon maaf akan menghidupkan semula keinginan besar kepada kejujuran. Dengan mengaku silap atas keterlanjuran, seseorang ahli politik ataupun manusia tidak akan luntur keluhuran budi bahasa, bahkan dalam jangka panjang memberi kekuatan moral. Inilah sebenarnya matlamat dan tingkah laku seorang ahli politik budiman, menjadikan akhlak sebagai sempadan dan kerangka yang menentukan sebarang tindakan ataupun keputusan. Muhammad al-Ghazali seorang cendekiawan muslim Mesir yang mendokong perjuangan Ikhwanul Muslimin beberapa tahun lalu mengingatkan umat Islam agar tidak mudah terjerat dengan "tragedi pemujaan diri". Tragedi pemujaan diri menyebabkan ketidaktentuan, akhlak yang tercela, perilaku yang menyeleweng dan kegemaran mencela orang lain. Ia merupakan penyakit yang sukar disembuhkan, kerana orang yang menghidapinya "tetap berkeras membela kesalahannya padahal setelah dia tahu mana yang benar, tetapi pengetahuan yang benar itu tidak bermanfaat buatnya." (Baca, Warisan Pemikiran Islam, 2009, halaman 75-80). Sikap sedemikian sebenarnya menghampiri dengan perangai iblis, kerana Allah SWT mengingatkan kita bahawa Iblis pernah mendakwa: Aku lebih baik darinya, Engkau jadikan aku dari api dan Engkau jadikan dia dari tanah." (Surah Shad: 76) Tetapi Allah SWT tetap tidak mengiktiraf Iblis lebih baik dari Nabi Adam a.s. dan kerana itulah pemujaan diri "merupakan salah satu bentuk syirik". Dalam hal ini, para ulama muafakat bersetuju, "kemaksiatan hati itu adalah lebih buruk daripada kemaksiatan anggota badan." Ertinya, hatilah yang akan menentukan seseorang itu membara semangat anarkis ataupun muncul sebagai seorang ahli politik yang budiman. Persoalannya, antara "persenda raja sebagai isu remeh?" seperti yang didakwa oleh golongan yang bersubahat ataupun "tidak menghormati adat atau tindakan biadab", manakah yang wajar untuk kita jadikan sempadan dalam usaha membentuk diri sebagai manusia yang jujur, luhur dan bersusila? Kita sendirilah boleh memilihnya, kerana pilihan itulah yang akan menyenaraikan di manakah sebenarnya kita berada dan akan berada. Manakah yang hendak kita pilih: Politik beradab ataupun politik biadab? Kalau politik beradab pilihan pertama, maka beruntunglah rakyat dan negara kerana semuanya bersatu hati, semangat dan tujuan mensejahterakan seluruh yang ada. Kalau politik biadab menjadi pilihan, maka tunggulah saat kehancurannya, menang jadi arang dan kalah jadi abu. Arang akan hanya berguna sebagai bahan bakar, untuk dijadikan tiang penegak rumah tidak sekuat ketika masih dalam bentuk asalnya, kayu atau sebelumnya pokok. Pokoknya, adat terpelihara, adab kekal selama-lamanya. Klik……http://www.utusan.com.my/utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.