Pages

Subscribe:

07 Mei, 2012

[hang nadim] MEMBINA PREMIS DI ATAS TANAH ORANG LAIN .....

Saturday, June 11, 2011


Soalan; Assalammualaikum. Saya ada kemuskilan, bapa saudara saya telah mendirikan rumah di atas sebidang tanah milik aruah nenek saya atas kebenaran secara lisan oleh aruah nenek. Sebelum aruah nenek meninggal dia telah menukar hak milik tanah tersebut ke atas nama bapa saya. Anak bapa saudara saya juga telah mendirikan bengkel membaiki motosikal di atas tanah tersebut tanpa sebarang kebenaran daripada bapa saya sebagai pemilik tanah. Masalahnya sekarang bapa saya ingin menjual tanah tersebut memandangkan tanah tersebut tidak diusahakan dan bapa memerlukan wang bagi menyara anak-anak yang masih belajar dan dirinya dan emak yang tidak berapa sihat. Malangnya bapa saudara dan anak-anaknya telah melemparkan kata-kata yang kesat kepada bapa saya dan masih berpegang kepada kata-kata aruah nenek yang membenarkan beliau membina rumah dan tinggal di atas tanah tersebut biarpun nenek telah tiada pada mereka itu adalah tanah pusaka dan bapa tidak berhak meminta mereka keluar biarpun bapa telah mengatakan beliau akan memberikan sejumlah wang atas ihklas beliau tetapi bapa saudara telah berkeras dan meminta pampasan berlebihan yang boleh dikirakan separuh daripada jualan tanah tersebut. Tanpa pampasan sebanyak yang dipohon mereka tidak akan keluar daripada rumah dan bengkel yang telah didirikan. Soalannya;
- Apakah bapa saya berhak untuk tidak keluar daripada tanah tersebut dan meminta sejumlah pampasan yang tinggi.
- Adakah bapa saya berhak untuk tidak memberikan sebarang pampasan
- Apakah hukum menjalankan perniagaan di atas milik orang tanpa kebenaran dan memakan duit hasil perniagaan tersebut.

Jawapan;

1. Selesaikanlah masalah tersebut dengan baik tanpa menjejaskan tali persaudaraan (silaturrahmi). Menjaga tali persaudaraan terutamanya antara saudara yang ada pertalian darah amat-amat dituntut oleh Syariat Islam.

2. Penyelesaian secara sepakat dan saling bertolak ansur adalah yang terbaik. Jika tidak dapat dilakukan, maka penyelesaiannya mengikut hukum Fiqh adalah seperti berikut;

A) Rumah bapa saudara; oleh kerana ia membinanya dengan kebenaran pemilik asal (nenek saudara), apabila tanah itu berpindah milik, pemilik baru perlulah membayar nilai rumah di atas tanah tersebut (dengan harga semasa) jika ia ingin mengambil kembali tanah tersebut. Ini kerana rumah itu dibina dengan kebenaran dari pemilik tanah yang asal.

B) Bengkel anak saudara; oleh kerana bengkel itu dibina tanpa kebenaran pemilik tanah, pemilik tanah berhak merobohnya tanpa sebarang pampasan. Ini kerana ia membina bangunan di atas tanah orang lain tanpa kebenarannya, maka itu termasuk dalam menceroboh dan merampas hak orang lain. Sabda Nabi; "Sesiapa menghidupkan tanah mati (yakni tanah yang tidak berpemilik) tanah itu miliknya. Tidak ada sebarang hak bagi orang yang membina/menanam secara zalim (di atas tanah orang lain)" (HR Imam at-Tirmizi dari Said bin Zaid. Kitab al-Ahkam 'an Rasulillah, bab Ma Zukira Fi Ihya' Ardhi al-Mawat, no. 1378. Turut diriwayatkan oleh Abi Daud dari 'Urwah yang meriwayatkan dari bapanya. Lihat; Sunan Abi Daud, kitab al-Kharaj wa al-Imarah wa al-Fai', bab Fi Ihya' al-Mawat, no. 3073).

Berkata Imam al-Khattabi; "Maksud hadis ini ialah seorang lelaki menanam pokok di atas tanah yang bukan tanahnya tanpa keizinan tuan tanah atau ia membina suatu binaan di atas tanah orang lain tanpa izin tuannya, maka ia diperintahkan supaya mencabutnya kecualilah jika tuan tanah meredhainya, maka dibiarkan" ('Aunul-Ma'bud, Syarah Sunan Abi Daud).

C) Perniagaan di atas tanah orang lain; jika perniagaan yang dijalankan adalah halal (yakni menjual produk atau perkhidmatan yang halal) pendapatan yang terhasil darinya juga halal, namun ia berdosa kerana menjalankan perniagaan di atas tanah orang lain tanpa keizinanannya. Wajib ia memohon ampun kepada Allah dan menyerahkan harta yang bukan haknya kepada pemiliknya atau memohon keizinannya untuk terus berniaga di situ. Tuan tanah berhak mengadu kepada pihak berkuasa untuk menuntut dikembalikan haknya dan bayaran sewa dari tanah tersebut sepanjang ia dicerobohi.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tuhfah al-Ahwazi (Syarah Sunan at-Tirmizi), Kitab al-Ahkam 'an Rasulillah, bab Ma Zukira Fi Ihya' Ardhi al-Mawat, no. 1378.
2. Aunul-Ma'bud (Syarah Sunan Abi Daud), kitab al-Kharaj wa al-Imarah wa al-Fai', bab Fi Ihya' al-Mawat, no. 3073.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 3:35 PM
Klik……http://nukilanhangnadim.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.