Pages

Subscribe:

06 Mei, 2012

[hang nadim] Polis tahan Khalid Ismath.....TENDANG POLIS.....




Oleh ILAH HAFIZ AZIZ

KHALID Mohd. Ismath ketika tiba di Pejabat Detektif (CID) Jabatan Siasatan Jenayah, Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur, semalam. Gambar kiri: Khalid Mohd. Ismath menendang anggota polis trafik sewaktu perhimpunan Bersih 3.0.
KUALA LUMPUR 5 Mei - Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Mohd. Ismath ditahan bagi membantu siasatan berhubung kekecohan pada perhimpunan haram Bersih 3.0, ketika dia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Khalid dikehendaki setelah gambarnya yang sedang menendang seorang anggota polis trafik yang terjatuh ketika bertugas pada perhimpunan itu, 28 April lalu disiarkan di akhbar-akhbar kelmarin.
Dia yang ditahan kira-kira pukul 10 pagi bagaimanapun sebelum ini dipanggil polis untuk membantu siasatan berhubung kenyataannya di dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini bahawa dia bersetuju semua anggota polis dibunuh.
Khalid dilihat memasuki pekarangan IPK Kuala Lumpur bersama seorang peguam dan disertai bapanya, Mohd. Ismath Habib Mohamad, yang juga bekas calon Pas semasa Pilihan Raya Umum 1995; ibunya, Junaidah Mohamad; kakak sulungnya, Anissa serta sekumpulan lelaki yang dipercayai rakan-rakannya.
Khalid yang juga pelajar jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu adalah antara 91 individu yang boleh membantu siasatan berhubung kekecohan dan keganasan semasa perhimpunan haram Bersih 3.0 di ibu negara.
Mohd. Ismath berkata, anak bongsunya itu hadir ke IPK Kuala Lumpur selepas mereka didatangi empat pegawai polis baru-baru ini untuk memberi kerjasama berhubung laporan dibuat pihak tertentu.
Katanya, mereka bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa namun terkejut apabila anaknya itu ditahan pihak polis.
“Saya terkejut apabila Khalid ditahan ketika hadir untuk membantu siasatan ini. Oleh itu saya gesa polis membebaskan segera anak saya kerana dia bukan penjenayah," katanya.
Ditanya tentang tindakan tatatertib yang mungkin diambil oleh UiTM terhadap Khalid, Junaidah menegaskan, mereka sekeluarga tidak kisah jika universiti terbabit membuang anaknya itu.
Anissa pula mendakwa, Khalid tidak pernah mengeluarkan kenyataan hasutan sedemikian sebaliknya mendakwa laman sosial Facebook adiknya itu telah digodam sehingga menyebabkan dia menerima pelbagai tuduhan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan Khalid ditahan berhubung gambar seorang individu yang menendang seorang anggota polis trafik semasa Bersih 3.0.
Katanya, polis menahannya untuk disiasat di bawah Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dalam kekacauan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan sengaja.
Tambah beliau, selain itu seorang lagi lelaki berusia 32 tahun ditahan setelah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, petang semalam dan seorang lagi lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan di sekitar Puchong, malam tadi.
Jumlah itu menjadikan bilangan mereka yang ditahan setakat ini ialah empat orang termasuk seorang telah didakwa di mahkamah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang gambar mereka disiarkan dinasihat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPKKL di talian 03-2115 9999 atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Azmi Aziz di talian 019-260 2344 atau 019-387 2344 untuk tindakan lanjut.

Khalid Ismath dibebaskan dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR 6 Mei - Polis mengesahkan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khalid Mohd Ismath, 22, yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam rusuhan semasa perhimpunan badan bukan kerajaan (NGO) yang disokong pembangkang di ibu negara, pada 28 April lalu hari ini dibebaskan dengan jaminan polis.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairy Ahrasa berkata Khalid dibebaskan kira-kira pukul 11 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Pelajar itu disiasat kerana didakwa melakukan kekacauan dan rusuhan yang mengakibatkan kerugian dan kerosakan harta awam.
"Pihak polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan bagi proses tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap Khalid dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata polis sudah selesai menjalankan siasatan ke atas laporan terhadap Khalid membabitkan kejadian menendang anggota polis trafik serta melakukan rempuhan ke atas polis semasa perhimpunan itu.
Beliau menambah siasatan berhubung dakwaan Khalid mengeluarkan kenyataan ugutan kerana "ingin membunuh polis" di dalam laman sosial Facebook miliknya akan disiasat oleh Polis Kontinjen Selangor.
Sementara itu, Khairy berkata sehingga semalam 91 individu yang gambar mereka disiarkan di media kerana didakwa terbabit dalam insiden kekacauan semasa perhimpunan masih belum menyerah diri atau ditahan.
"Setakat ini masih kekal dua individu yang ditahan sejak Khamis lalu," katanya.
Beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung individu yang sedang dikesan supaya menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah D7A, IPK Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Aziz ditalian 019-2602344 bagi membantu siasatan. - BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.