Pages

Subscribe:

14 Jun, 2012

[hang nadim]Rayu bawa pulang 2 anak......






Dari kanan, Hanafi Salleh, Abdul Azeez Abdul Rahim dan Mariam Khairi pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 14 Jun - Detik manis diijab kabul sebagai pasangan suami isteri pada Jun 1999, cukup bermakna buat Hanafi Salleh, apabila beliau berjaya memperisterikan seorang gadis kelahiran Christchurch, New Zealand yang dikenalinya sejak enam bulan sebelum itu.
Hanafi, 36, yang ketika itu bekerja sebagai pegawai tadbir syarikat perkapalan MISC, bertemu dengan Nurul Junaidah Joanne Abdullah semasa gadis itu melancong bersama rakannya ke bandar Muar, Johor.
Kehidupan pasangan itu bertambah bahagia apabila mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Muhammad Syayden Ingham Hanafi dan Muhammad Jamey Alano Ingham Hanafi.
Namun, selepas empat tahun berumahtangga, Nurul Junaidah Joanne yang sudah terbiasa dengan budaya Barat nekad melarikan diri bersama dua anaknya pulang ke New Zealand ketika Hanafi belayar ke Eropah.
Wanita itu dikatakan melarikan diri kerana dia bosan dengan kehidupan di kampung kelahiran suaminya di Tanjung Agas, Muar, Johor.
Menurut Hanafi, sejak itu, hubungannya dengan anak-anak terputus dan beliau berusaha mengesan dua anaknya yang masing- masing berusia tiga tahun dan sembilan bulan semasa dilarikan.
Hanafi berkata, dia juga terpaksa melepaskan pekerjaan berpendapatan lumayan di atas kapal dan memilih menjadi nelayan bagi memudahkannya mencari dua anaknya.
"Kehilangan isteri dan dua anak pada 2004 disedari oleh ibu saya, Mariam Khairi apabila mendapati rumah yang kami sewa di Taman Tun Syed Nasir, Tanjung Agas iaitu tidak jauh dari rumah keluarga saya kosong," katanya pada sidang akhbar di pejabat Kelab Putera 1Malaysia di Jalan Kampung Attap di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Mariam, 72.
Hanafi berkata, pada peringkat awal, beliau dapat menghubungi Nurul Junaidah Joanne dan tiga bulan kemudian berkesempatan menemui wanita itu bersama dua anaknya semasa kapalnya kebetulan berlabuh di sebuah pelabuhan kira-kira 220 kilometer dari barat Wellington.
Katanya, dalam pertemuan singkat selama kira-kira 12 jam itu, beliau memberi wang RM4,000 kepada isterinya untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Malaysia.
"Saya bagaimanapun hampa apabila isteri tidak menunaikan janji dan terus gagal dihubungi melalui telefon dan emel menyebabkan saya terus terputus hubungan dengan anak-anak," katanya.
Pada Januari tahun lalu, kata Hanafi, beliau dikunjungi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mendapat khabar gembira bahawa sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat New Zealand iaitu Nelson Site Child Youth and Family telah menghubungi JKM memaklumkan dua anaknya berada di bawah jagaan agensi tersebut.
Beliau berkata, Muhammad Syayden dan Muhammad Jamey Alano yang kini berusia 12 dan sembilan tahun diserahkan kepada agensi itu setelah pihak berkuasa New Zealand mendapati Nurul Junaidah Joanne, 27, terlibat dalam masalah dadah, manakala keluarga wanita itu pula sudah berhijrah ke United Kingdom.
Katanya, beliau bertambah gembira apabila menerima dua pucuk surat tulisan tangan daripada dua anaknya pada Oktober yang menyatakan kerinduan dan sayang terhadapnya serta harapan untuk kembali tinggal bersama bapa mereka di negara ini.
"Sejak mengetahui anak-anak berada di bawah jagaan agensi tersebut, saya berusaha membawa mereka pulang tetapi gagal kerana masalah kewangan.
"Saya kini tidak boleh tidur lena apabila dimaklumkan bahawa agensi tersebut mahu menyerahkan anak saya kepada keluarga angkat beragama Kristian apabila saya masih gagal mengambil mereka," katanya yang cukup bimbang akidah dua anaknya akan terpesong.
Hanafi kemudian nekad menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menghadiri satu majlis bersama rakyat di Muar pada Mei lalu dan bersyukur apabila Muhyiddin mencadangkan dia bertemu dengan Abdul Azeez.
Hanafi berkata, harapan bersatu kembali dengan anak-anak semakin cerah apabila akhirnya dapat bertemu Abdul Azeez yang berjanji mahu membantunya membawa pulang anak-anaknya.
Beliau yang sudah berkahwin lain dan mempunyai seorang anak bersama isteri kedua berkata, berita gembira itu adalah hadiah hari bapa baginya yang jatuh pada Ahad ini dan perkara pertama mahu dilakukan jika berjaya membawa pulang Muhammad Syayden dan Muhammad Jamey Alano adalah mendidik mereka dengan ilmu agama.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, beliau sudah menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dan akan cuba menemui Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia esok bagi meminta bantuan untuk membawa pulang Muhammad Syayden Ingham dan Muhammad Jamey Alano.
Beliau berkata, sekiranya semua berjalan lancar, pihaknya menjangkakan mereka boleh membawa Hanafi ke New Zealand untuk membawa pulang anaknya pada minggu depan.


Oleh ANGELINA SINYANG pengarang@utusan.com.my




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.