Pages

Subscribe:

30 Julai, 2012




















Adinda bongsu Sultan Selangor mangkat

SHAH ALAM 30 Julai - Tengku Putri Aishah, adinda bongsu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, mangkat di Hospital Pantai Kuala Lumpur di sini, awal hari ini.

Ayahanda Saudara Sultan Selangor, Tengku Seri Wangsa Diraja Tengku Datuk Ramli Tengku Shahruddin Shah memaklumkan Almarhum mangkat pada 12.15 malam akibat barah.

Jenazah Tengku Putri Aishah dimakamkan di Makam Diraja Shah Alam di sini kira-kira 12.45 tengah hari setelah disembahyangkan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Talkin dibacakan oleh Timbalan Mufti Selangor Datuk Abdul Majid Omar.

Tengku Putri Aishah, 56, menghembuskan nafas terakhir di sisi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama anggota keluarga yang lain.

Sultan Selangor turut berangkat memberi penghormatan terakhir kepada jenazah almarhum.

Turut memberikan penghormatan terakhir ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Orang Besar Istana dan kerabat diraja yang lain.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, barisan exco dan Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid. - BERNAMA

Polis tahan suami Syaleza bantu siasatan
Oleh ABDUL YAZID ALIAS

SHAH ALAM 30 Julai - Polis menahan suami kepada Eksekutif Pentadbiran TV9, Syaleza Jaffar, 31, bagi membantu siasatan kes kematian wanita itu yang mayatnya dikatakan ditemui tergantung di dalam biliknya di Apartmen Saujana, Petaling Jaya, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, suami mangsa yang berusia 31 tahun itu ditahan di Segamat, Johor kira-kira pukul 10.15 malam bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan terhadap kes tersebut.

Katanya, pihaknya mengklasifikasikan kes kematian Syaleza di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - UTUSAN

Eksekutif TV9 ditemui mati

Oleh ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my
PETALING JAYA 29 Julai - Seorang eksekutif pentadbiran wanita di syarikat televisyen swasta TV9 ditemui mati dipercayai dalam keadaan tergantung dalam biliknya di Apartmen Saujana, Jalan Damansara Damai di sini semalam.

Mayat Syaleza Jaffar, 31, yang bertugas di Bahagian Berita stesen itu ditemui oleh suaminya, Norazman Bashah kira-kira pukul 7.25 malam selepas tidak menjawab panggilan ketika dipanggil untuk berbuka puasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suami mangsa mendakwa sebelum kejadian itu, berlaku pertengkaran antara suami dengan isterinya.

"Bagaimanapun, suaminya yang berusia lingkungan 30-an terkejut apabila mendapati isterinya dalam keadaan tergantung di bawah kipas dalam bilik kedua mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Arjunaidi memberitahu, buat masa ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Siasatan daripada pelbagai aspek perlu dibuat sebelum polis mengenal pasti punca kematian wanita terbabit," katanya.

Pasangan itu yang berkahwin sejak tiga tahun lalu mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun.

Sementara itu, menurut sumber, suami kepada mangsa memberi keterangan kepada polis mendakwa isterinya ditemui tergantung pada kipas dalam salah satu bilik kira-kira pukul 7.25 malam.

Dia turut mendakwa, mangsa sebelum itu merajuk setelah berlaku pertengkaran antara mereka lalu masuk ke dalam bilik itu dan mengunci pintu.

Kata sumber itu, ketika hampir masuk waktu berbuka puasa, dia memanggil isterinya namun terkejut apabila terdengar bunyi meja terjatuh.

Suami Syaleza, kata sumber itu kemudian merempuh pintu bilik itu dan terkejut sebaik melihat mayat isterinya tergantung pada kipas yang diikat dengan kain.

Dalam pada itu menurut bapa mangsa, Jaffar Bakri, 60, ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh memberitahu, dia dimaklumkan mengenai kematian Syaleza oleh anak lelaki sulungnya kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

"Sebaik mendapat tahu berita kematian Syaleza, kami sekeluarga bertolak dari Segamat, Johor menuju ke hospital pukul 2 pagi tadi," katanya yang masih terkejut dan sebak dengan kejadian menimpa anak kedua daripada enam adik beradik itu.

Menurut Jaffar, kali terakhir mereka sekeluarga menemui Syaleza adalah pada bulan lalu ketika anaknya itu pulang ke kampung dan arwah sempat menghubunginya menerusi telefon pagi semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.