Pages

Subscribe:

02 Ogos, 2012

01/08/2012

18 pelajar Sumatera Utara dekati masyarakat

ABDUL Mutalib Harun (dua kiri) bergambar bersama penuntut Institut Agama Islam negeri Sumatera Utara (IAIN-SU) Medan, Indonesia pada Majlis Penutupan Program Bakti Siswa di perkarangan Rumah Pangsa Tongkang Yard, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.












KUALA KEDAH 31 Julai - Kepelbagaian komposisi dan latar belakang penduduk mendorong 18 penuntut Institut Agama Islam Negeri Sumatera Utara (IAIN-SU) Medan, Indonesia, baru-baru ini memilih tinggal selama sebulan di kawasan Parlimen ini untuk program bakti siswa.

Program itu disertai penuntut tahun akhir Fakulti Syariah dan Dakwah institusi berkenaan yang terdiri daripada 16 pelajar negara ini dan dua pelajar Thailand.

Naib Ketua Bahagian UMNO Kuala Kedah, Datuk Abdul Mutalib Harun berkata, pihaknya berbesar hati menerima kehadiran pelajar IAIN-SU ke kawasan ini yang secara tidak langsung dapat memperkenalkan Kuala Kedah kepada orang luar.

Beliau berkata, ia kali kedua Parlimen berkenaan menerima kehadiran pelajar IAIN-SU dan pihaknya membantu menyediakan kemudahan penginapan bagi membolehkan penuntut terbabit menjayakan program bakti siswa mereka.

"Sepanjang sebulan berada di sini, mereka memasuki lima buah kampung iaitu Kampung Kuala Kuar, Kampung Pangas, Kampung Lemping, Tongkang Yard dan Kampung Tok Sulaiman bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

"Kampung-kampung ini dipilih berdasarkan kedudukan masing-masing iaitu ada yang terletak berdekatan bandar, sawah dan laut sekali gus memberi peluang kepada peserta mendekati penduduk daripada pelbagai latar belakang kehidupan seperti petani serta nelayan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Program Bakti Siswa/Kuliah Kerja Nyata IAIN-SU anjuran Gabungan Mahasiswa Malaysia, Thailand dan IAIN-SU di pekarangan rumah pangsa Tongkang Yard, di sini baru-baru ini.

Pada program itu, seramai 30 anak yatim turut diraikan dalam majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan bersama penuntut IAIN-SU dan wakil penduduk setempat.

Abdul Mutalib berkata, beliau yakin program selama sebulan itu mampu menepati sasaran kerana setiap peserta memperoleh pelbagai pengetahuan berguna yang boleh diaplikasikan pada masa akan datang.

Katanya, aktiviti yang dijalankan sepanjang program itu juga membantu mahasiswa membentuk jati diri, prihatin terhadap masyarakat sekeliling dan berdaya saing sekali gus membentuk modal insan yang diperlukan negara.

"Ia adalah proses pembelajaran dan menambahkan kematangan para pelajar sebagai persediaan mengharungi dunia luar selepas menamatkan pengajian kelak," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah program, Muhammad Haizat Safian berkata, peluang mendekati dan bekerjasama dengan penduduk di kelima-lima buah kampung berkenaan memberi pengalaman berharga yang sukar dilupakan mereka.

Katanya, sepanjang sebulan berada di situ, mereka menyediakan pelbagai aktiviti serta program yang bersesuaian dengan kumpulan sasar termasuk program pengurusan jenazah kepada orang kampung dan gotong-royong.

"Walaupun berdepan kekangan dan cabaran, apa yang kami rancang berjaya ditepati.

"Program bertujuan memenuhi keperluan kelulusan ijazah pengajian kami ini bukan sahaja memberi peluang dan pendedahan berguna, bahkan menyemai semangat kesukarelaan yang tinggi di kalangan peserta," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.