Pages

Subscribe:

20 Julai, 2012

Oleh Siti Suriani Othman
bhnews@bharian.com.my

WALAUPUN hanya beberapa hari lagi kita akan menyambut Aidilfitri, pelbagai persoalan masih disuarakan oleh teman bukan Islam yang bimbang saya kelaparan kerana berpuasa.

Ada yang berkata, ‘tak mati ke tak makan apa-apa dalam sehari?’ Saya katakan kita ada masa berpuasa, ada masa berbuka dalam sehari. Ada juga yang bertanya, ‘takkan tak makan apa-apa, minum pun tidak?’ Saya katakan tidak, tetapi kami boleh makan apa saja bila berbuka nanti, tiada sekatan terhadap jenis makanan, selagi ia halal.

Banyak tulisan menerangkan mengenai kebaikan berpuasa dalam Islam. Di kesempatan ini, mari kita lihat pula sejauh mana berpuasa dapat meningkatkan kesihatan daripada sudut pandangan perubatan. Saya bawakan beberapa pandangan perubatan yang menyokong ibadat berpuasa ini dengan fakta saintifik.

Menurut Dr Ben Kim, pengamal perubatan berasaskan herba dari Kanada, berpuasa untuk tujuan perubatan sudah lama diamalkan. Malah, ahli falsafah terkenal seperti Socrates dan Plato juga mencadangkan puasa untuk tujuan memulih dan meningkatkan kesihatan badan. Mahatma Gandhi sendiri dikatakan berpuasa selama 21 hari sebagai usaha meningkatkan rasa hormat antara warga berlainan agama di India.

Namun, sehingga hari ini amalan berpuasa lebih banyak dikaitkan sebagai ‘ritual’ agama saja, misalnya berpuasa pada bulan Ramadan oleh umat Islam. Nyata perkembangan perubatan moden dapat melihat kebaikan berpuasa dengan sokongan fakta saintifik. Kajian terhadap ilmu fisiologi mendapati amalan berpuasa mempunyai kuasa pemulihan yang hebat, kesan daripada aktiviti berpuasa tadi.

Elson Haas seorang doktor kesihatan dalam bukunya bertajuk Tetap sihat dengan Nutrisi: Panduan Lengkap untuk Diet dan Perubatan Nutrisi menyatakan bahawa berpuasa adalah antara terapi semula jadi yang terhebat. Haas juga percaya berpuasa adalah satu kaedah bukan hanya untuk terapi diri, malah untuk masalah perubatan yang lain serta merangkumi masalah kehidupan lebih kompleks.

Turut dinyatakan kebaikan berpuasa adalah untuk detoksifikasi atau penyahtoksin. Pembersihan diri ini adalah satu daripada trilogi nutrisi amat penting terhadap badan manusia, selain menyeimbangkan keperluan dalam badan dan membina badan sihat. Haas percaya berpuasa adalah satu daripada ‘hubungan yang hilang’ dalam diet masyarakat Barat.

Kebanyakan masyarakat di Barat dikatakan terlebih makan, makan terlalu kerap, makan makanan yang mengandungi protein yang tinggi, selain tinggi lemak serta mencerna makanan lebih daripada yang diperlukan badan.

Statistik menunjukkan masyarakat Barat di UK amnya bukanlah tergolong dalam masyarakat yang sihat. Misalnya, Diabetes UK satu organisasi terbesar di UK yang membantu mereka menghidap diabetes, berkempen serta menjalankan kajian mengenai penyakit ini, menganggarkan lebih empat juta warga Britain akan menghidap diabetes menjelang 2025. Diabetes UK juga mendapati peningkatan 46 peratus yang akan berlaku adalah kesan daripada diet dan gaya hidup tidak sihat.

Menariknya, berpuasa yang disarankan doktor perubatan di Barat mempunyai persamaan dengan apa yang diamalkan umat Islam. Misalnya, antara saranan berpuasa untuk kesihatan adalah menjalankan puasa dalam tempoh singkat untuk membantu membersihkan dalaman badan.

Puasa singkat yang dilakukan dalam beberapa bulan setahun membantu membersihkan dalaman badan. Perbezaannya ialah puasa bentuk moden yang dicadangkan, mencadangkan puasa dimulakan selama 24 jam, kemudian dikurangkan secara berperingkat-peringkat. Menurut Dr Ben Kim, jangka waktu berpuasa adalah bebas, tetapi bergantung kepada matlamat masing-masing.

Misalnya, jika kita bermatlamat untuk pulih daripada sakit akut, maka kita boleh berpuasa sehingga berasakan cukup sihat untuk makan semula. Untuk sakit kronik pula, jangka masa berpuasa ditentukan oleh kemajuan puasa itu sendiri.

Ini memandangkan proses pembaikan diri dalam tempoh ini boleh dijangka. Ketika berpuasa, tahap kolesterol dan asid urik dalam darah akan meningkat, namun selepas berpuasa tahap ini akan menurun yang menunjukkan sistem badan semakin bersih.

Selain itu, ada juga kajian yang menyarankan puasa daripada segala bentuk makanan, tetapi amalkan minum jus buah-buahan saja. Puasa bentuk ini dikatakan dapat menyahtoksin badan, selain baik untuk mengurangkan berat badan.

Namun, perbezaan ini menjadikan ibadat berpuasa oleh umat Islam semakin unik. Kita disarankan berpuasa dan tidak boleh tidak. Tanpa perlu mengingkari, kita sudah setapak maju ke arah kesihatan diri.

Lebih menarik, kajian perubatan Barat juga menunjukkan ada jenis penyakit yang boleh dikurangkan menerusi amalan berpuasa. Misalnya, demam, bronkitis, sakit kepala, sembelit, sakit perut, alergi terhadap sesetengah makanan, asma, insomnia, masalah kulit, kencing manis, keletihan, kegemukan, kanser dan sawan babi (epilepsi).

Manfaat puasa pula berdasarkan banyak kajian mencakupi meningkatkan tenaga, memperbaiki tidur, rasa lebih tenang, merehatkan sistem pencernaan, mengurangkan kesan penuaan, memperbaiki penglihatan dan pancaindera, memperbaiki pendengaran, meningkatkan kreativiti, serta penyahtoksin yang membawa kepada perubahan sikap kepada yang lebih baik kerana kurangnya toksin dalam badan.

Nyata amalan berpuasa bukanlah amalan yang melaparkan atau hanya wajib dijalankan umat Islam. Sungguhpun tiada kewajipan kepada bangsa lain untuk berpuasa, fakta saintifik menunjukkan bahawa puasa baik untuk kesihatan serta pemulihan dan pembersihan dalam badan.

Semoga fakta saintifik ini membantu kita menjawab persoalan seperti yang saya utarakan awal tadi, bahawa puasa yang konsisten dalam setahun adalah satu cara semula jadi terhebat untuk kesihatan berpanjangan. Selamat menyambut Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah

di Nottingham Trent University, United Kingdom

Tujuh jenis puasa sunat jadi amalan Rasulullah

Zamanuddin Jusoh

KAMI jemaah masjid yang sering berpuasa sunat. Tambahan pula semangat Ramadan masih lagi membara. Jadi bolehkan ustaz terangkan jenis puasa sunat yang pernah dilakukan Rasulullah SAW serta waktu yang terbaik untuk berbuat demikian. Harap dapat penjelasan. Jemaah Masjid Al-Muqarrabin,
Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.

BERTANYA seorang sahabat kepada Anas r.a mengenai puasa Nabi SAW. Jawab Anas: “Aku suka melihat Rasulullah SAW khususnya ketika beliau berbuka atau berpuasa. Hatta pada malam yang beliau habiskan sehingga fajar. Keadaan tidur Rasulullah SAW dan aku tidak pernah merasai kelembutan sutera yang hebat lebih daripada kelembutan tapak tangan Rasulullah SAW. Aku mencium bau hebat dari wangian kasturi, tetapi bau badan Rasulullah SAW lebih wangi dari itu. (Hadis Bukhari). Berkata Syeikh Ibnu Hajar: “Bahawa keadaan Rasul SAW dalam menunaikan perkara sunat seperti puasa dan Qiamullail adalah berbeza. Kadang-kadang beliau berpuasa pada awal, pertengahan atau akhir bulan. Puasa sunat tidak tertakluk kepada waktu kecuali waktu yang ditegah. Baginda tidak berpuasa sepanjang tahun. Tidak pula berqiamullail sepanjang malam kerana bimbang akan menjadi kesulitan kepada umat akan datang. Jadi beliau berpuasa dan berbuka, tidur dan berqiamullail. (Fath 4/217). Firman Allah: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu adalah contoh ikutan yang baik bagi mereka yang mengharapkan keredaan Allah dan Rasulnya (al-Mumtahanah: 6). Marilah kita melihat sepintas lalu mengenai hari dan munasabah tertentu ibadat puasa Nabi SAW.

l Puasa enam hari pada Syawal - Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan kemudian meneruskannya dengan enam hari pada bulan Syawal, akan mendapat ganjaran seolah-olah dia berpuasa setahun. (Riwayat Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Ibn Majah). Ibnu Qudamah menyebut dalam kitabnya, Mughni riwayat Said dari Sauban r.a, berkata sabda Rasul SAW: “Sesiapa berpuasa Ramadan sebulan bersamaan sepuluh bulan dan puasa enam hari pada Syawal, maka sempurnalah setahun”. Ini bermakna satu kebajikan digandakan sepuluh dan enam hari dengan ganjaran enam puluh hari, Demikianlah dua belas bulan, iaitu setahun. (Mughni 3/173). Imam Nawawi ketika mengulas hadis di atas berkata, “Ini adalah bukti jelas bagi Imam Syafie, Imam Ahmad dan Daud menjadi alasan menggalakkan kita berpuasa enam hari dalam bulan Syawal”. (Syarah Muslim 8/56). Ulama berbeza pendapat mengenai puasa berturut-turut atau sebaliknya. Pengarang kitab Al Hidayah dan lain-lain menyarankan supaya dilakukan berturut-turut. Namun, Imam Abu Hanifah dan sebahagian daripada ulama mazhab Syafie antaranya Abu Yusuf dan lain-lain mengatakan bahawa dipisahkan adalah lebih baik dan disunatkan kerana dapat membezakan dengan puasa penganut Kristian dan juga dapat meraikan kaum keluarga. (Maarif Sunan Syarah Tarmizi 6/121).

l Puasa Muharam - Dari Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik puasa selepas Ramadan ialah puasa bulan Muharam dan sebaik-baik solat selepas solat lima waktu ialah solat malam. (Muslim 1/474). Waktu yang terbaik ialah pada 9 dan 10 hari bulan. Ia berlaku sepanjang Muharam dan 10 Muharam mempunyai hak khusus tersendiri.

l Puasa Hari-Hari Putih - Iaitu pada 13,14 dan 15 setiap bulan Islam. Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW pernah berpesan dengan tiga perkara: Puasa tiga hari setiap bulan, dua rakaat solat Duha dan solat witir sebelum tidur (Hadis Bukhari). Syekh Ruyani berpendapat bahawa berpuasa tiga hari setiap bulan adalah sunat dan lebih afdal jika bertepatan dengan hari-hari putih (13,14 dan 15 setiap bulan Islam). Ia dinamakan hari-hari putih kerana keceriaan malamnya dengan pancaran bulan penuh. (AlMughni 3/177) Dari Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah pada setiap bulan, tiga hari kerana satu kebajikan digandakan sepuluh kali ganda. Yang demikian itu seumpama kita berpuasa setahun. (Hadis Bukhari, Muslim). Dalam riwayat lain sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Sesiapa berpuasa Ramadan bersama tiga hari setiap bulan akan mendapat pertolongan pada hari yang sangat dahaga ia hari Mahsyar.

l Puasa hari Arafah pada 9 Zulhijjah - Dari Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai puasa hari Arafah. Jawab Baginda: “Pengampunan dosa bagi tahun lalu dan tahun akan datang. (Hadis Muslim 1/473). Bagi berwukuf di Arafah pula kebanyakan ulama sepakat mengatakan bahawa mereka sunat berbuka puasa. Imam Hanafi dan Maliki berpendapat adalah makruh bagi jemaah haji yang berpuasa pada hari wukuf dan hari tarwiyah (8 Zulhijjah). Imam Hambali pula berpendapat bahawa sunat berpuasa bagi jemaah haji jika mereka berwukuf pada waktu malam dan makruh bagi mereka yang wukuf siang hari. Bagi Mazhab Syafie pula bagi penduduk Makkah yang berwukuf pada siang hari, berpuasa adalah tidak digalakkan dan harus bagi yang berwukuf di sebelah malam. (Fiqh 4 Mazhab 1/505). Adapun puasa Arafah sudah diketahui umum bagi semua yang mengerjakan haji atau sebaliknya. (Fath 4/237).

l Puasa hari Asyura (10 Muharam) - Dari Abdullah Bin Abbas ra bahawa ketika Rasulullah SAW sampai ke Madinah, beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Nabi bertanya, “Apakah gerangan hari ini sehingga kamu berpuasa?“. Maka mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang besar di mana Musa diselamatkan dari kaumnya, tenggelamnya Firaun dan kaumnya. Musa berpuasa kerana mensyukuri dan kami berpuasa”. Selepas mendengar itu Nabi SAW pun bersabda, “Kami lebih utama berpuasa dari kamu dan Nabi SAW berpuasa dan menganjurkan kita berpuasa”. Dalam riwayat Abu Qatadah ra bahawa apabila Nabi SAW ditanya mengenai puasa Asyura beliau menjawab, “Mendapat keampunan setahun yang lampau”. (Hadis Muslim 1/459). Dalam riwayat lain sabda Nabi SAW, “Puasalah hari kesembilan dan kesepuluh, janganlah kamu samakan dengan kaum Yahudi. Ada yang berkata, berpuasa 9 Zulhijah sudah memadai kerana dosa dua tahun sudah terhapus. Sheikh Abd Hamid berpendapat bahawa dosa adalah seperti ‘air sungai yang mengalir’. Oleh itu, puasa dan taubat adalah ubat mujarab untuk dosa berkenaan. Ada dosa yang tidak diampun kecuali dengan puasa Asyura. Begitulah sebaliknya dan tiada yang mengetahuinya melainkan Allah SWT.

l Puasa Isnin dan Khamis - Dari Abu Qatadah r.a bahawa Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa Isnin dan Khamis. Baginda menjawab: “Padanya aku dilahirkan dan padanya mula-mula diturunkan wahyu padaku. (HR Muslim 1/474). Dalam riwayat Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: “Diangkat amalan seseorang pada Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa”. (Hadis Tarmizi). Dalam riwayat lain daripada sebahagian isteri Baginda ada mengatakan bahawa Rasulullah SAW berpuasa 9 dan 10 Zulhijjah, tiga hari setiap bulan Islam serta Isnin dan Khamis pada setiap minggu. (Hadis Abu Daud)

l Puasa Nabi Daud AS - Rasulullah SAW bersabda: “ Tidak ada puasa yang lebih baik selain puasa Nabi Daud AS. Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari. (Hadis Bukhari). Dalam hadis lain, Rasul SAW bersabda: “Puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud AS. Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari. Dia juga tidur dan menggunakan satu pertiga malamnya saja untuk berqiamullail. (Hadis Nasai, Abu Daud). Untuk makluman, semua puasa sunat berkenaan dilarang bagi yang bergelar isteri kecuali mendapat keizinan suami masing-masing kerana menunaikan hajat suami adalah wajib. Maka hukum syarak mengatakan hendaklah didahului yang wajib.

Penulis ialah Pegawai di Unit Agama NSTP, e-mel zaman@nstp.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.