Pages

Subscribe:

27 Ogos, 2012

Mensyukuri nikmat keamanan Malaysia
Oleh ARIF ATAN


PADA ketika kita ceria dan selamat kembali ke kota selepas bertemu dan bermesra bersama-sama sanak-saudara di desa sepanjang Aidilfitri ada baiknya kita merenung sejenak keadaan saudara seagama kita di negara luar.

Masyarakat Islam Rohingya di Myanmar dan Syria tidak lupa juga mereka yang berada di wilayah selatan Thailand selain sudah tentunya Palestin menyambut Aidilfitri dalam deraian air mata dan darah.

Umat Islam di barat Myanmar terutamanya sejak Jun lalu dihalau dan dizalimi. Pertembungan agama dan etnik di sana sudah mencapai tahap krisis sehingga mendapat perhatian serius Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kira-kira 800,000 etnik Rohingya di Rakhine yang memiliki iras wajah Bangladesh sedang berdepan dengan apa yang boleh dianggap sebagai "pembersihan etnik".

Namun, apa yang menyedihkan, negara Bangladesh sendiri menutup pintu untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan.

Di Syria pula tembakan dan letupan bom menjadi penghias Syawal. Konflik antara tentera kerajaan dan kumpulan yang dipanggil sebagai pemberontak telah mengundang banyak kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.

Pagi 1 Syawal lalu perang saudara yang terus berlaku tanpa henti telah mengorbankan lebih 130 orang. Mereka juga tidak cukup makanan pada sedangkan meja di rumah kita tidak muat meja penuh dengan pelbagai juadah dari ketupat, rendang sehinggalah deretan kuih moden atau biskut.

Ketika kita di sini mungkin bersedih atau berlinang air mata mengunjungi pusara ahli keluarga atau bermaaf-maafan dengan ibu bapa, di Syria pada pagi 1 Syawal mereka di sana memekik meminta tolong atau berteriak melihatkan tumpahnya darah akibat ditembak sebelum mata pejam buat selama-lamanya.

Sejak Mac tahun lalu, kebangkitan rakyat di Syria telah memakan korban yang bukan sedikit. Menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia lebih 20,000 orang maut.

Oleh yang demikian kedatangan Syawal di negara ini harus disambut penuh syukur kerana dapat merayakannya dalam keadaan yang aman dan makmur. Negara kita ini kecil sahaja saiznya dan tidak berbaloi untuk kita berdendam atau tidak habis-habis bersengketa.

Sebaliknya, jiwa besar yang sudah sedia kita miliki dalam mengekalkan keamanan inilah yang patut dipelihara, dipupuk dan dibaja sampai bila-bila.

Kebetulan kita berada di ambang meraikan ulang tahun ke-55 kemerdekaan tanah air. Sudah semestinya rasa syukur kepada Tuhan dipanjatkan tanpa henti.

Alangkah bertuahnya kira-kira 28 juta penduduk Malaysia kerana dapat hidup tenteram dan selamat berkongsi menikmati kemakmuran negara ini. Ketepikan permusuhan dengan berlapang dada membudayakan penerimaan kerencaman nilai budaya tanah air ini.

Rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum tentunya tidak mahu melihat pertumpahan darah berlaku pada masa depan akibat perselisihan kaum dan perebutan kuasa mahupun diadu-domba dan menerima campur tangan pihak luar.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.