Pages

Subscribe:

28 Ogos, 2012



Saya tolak hudud Pas, bukan hudud Islam - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) menegaskan beliau selama ini hanya menolak hukum hudud yang diperjuangkan Pas dan tidak pernah sesekali menolak hukum syariah itu seperti terkandung dalam ajaran Islam.

Menurutnya, ini kerana hukum hudud yang diperjuangkan parti pembangkang itu cenderung untuk berlaku tidak adil kepada masyarakat Islam di negara ini.

Sebagai contoh katanya, di bawah 'hudud Pas', seseorang beragama Islam yang didapati bersalah mencuri akan dipotong tangan sementara bagi bukan Islam akan hanya dihukum penjara sekiranya didapati bersalah.

"Saya tak boleh sokong itu kerana tak kena dengan Islam. Kalau sesuatu itu tidak adil, ia tidak Islam. Islam tuntut supaya apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil.

"Ini tidak adil, adakah orang Islam potong tangan, orang bukan Islam tak potong, masuk dua bulan penjara, itu tidak adil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2011 di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Isu hudud kembali hangat diperkatakan kebelakangan ini apabila Pas mendakwa akan terus memperjuangkan hukum syariah itu jika pembangkang berjaya membentuk kerajaan kelak sementara rakan sekutunya, DAP dengan keras berulang kali menolak idea tersebut.

Pas juga mendakwa hudud tidak boleh dilaksana sekalipun Kelantan dan Terengganu telah mempunyai Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 kerana tidak dipersetujui Dr. Mahathir sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

Selain itu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti dipetik daripada lidah rasmi parti itu, HarakahDaily pada 1 Oktober 2011 berkata, Pas tidak memaksa orang bukan Islam untuk menerima hudud sama seperti mereka tidak dipaksa memeluk Islam.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun lalu juga dipetik memberi jaminan bahawa hudud jika dilaksanakan tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam.

Dalam pada itu Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot ketika dihubungi menjelaskan, hukum syariah termasuk hudud menekankan keadilan ke atas semua pihak dan ia seharusnya terpakai ke atas umat Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara.

"Kafir pun termasuk, kalau hanya untuk Islam, ia sudah lari daripada kehendak hukum ajaran Islam. Maka hudud Islam kalau hendak dilaksanakan perlu ke atas semua pihak," katanya.

Kenapa Anwar tolak hudud?

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pas dinasihatkan tidak berharap kepada komitmen Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan hukum hudud sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan pada masa depan.

Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan (gambar) berkata, berdasarkan kenyataan Anwar selama ini, beliau secara jelas menyatakan hukum syariah itu tiada dalam dasar bersama pakatan pembangkang atau dokumen Buku Jingga yang menggariskan agenda pakatan pembangkang.

Sehubungan itu, kata Nallakaruppan, beliau berasa kasihan terhadap para pemimpin Pas yang beria-ia mahu memperjuangkan hukum hudud sedangkan Anwar tidak bersedia melaksanakannya dan DAP pula secara konsisten serta keras menentang agenda tersebut.

"Saya menghormati para pemimpin spiritual Pas yang tegas memperjuangkan hukum hudud kerana mereka ikhlas dan komited terhadap usaha itu, tetapi selagi berada dalam pakatan pembangkang, hudud dilihat amat sukar dilaksanakan.

"Di samping itu, Pas tidak boleh berharap kepada Anwar kerana Anwar sendiri takut terhadap hukum hudud apabila beliau selama ini terlibat dalam pelbagai isu moral," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang merupakan bekas rakan karib Anwar selama lebih 30 tahun mengulas mengenai pendirian Anwar selaku Ketua Pembangkang yang tidak jelas mengenai hudud ekoran perbalahan berterusan Pas dan DAP dalam aspirasi pelaksanaan hukum itu.

Pada sidang akhbar 28 September 2011, Anwar menjelaskan hudud bukan merupakan sebahagian agenda pembangkang buat masa ini tetapi pada masa sama memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003.

Dalam satu kenyataan menerusi blog beliau kelmarin pula, Anwar sekadar menegaskan pakatan pembangkang mengiktiraf, menghormati perbezaan pandangan serta kedudukan komponen pembangkang berkenaan hukum hudud dan mendakwa ia merupakan penerimaan mereka terhadap amalan konsensus politik.

Sementara itu, Nallakaruppan memberitahu, Pas dan rakyat tidak harus terpedaya dengan tindak-tanduk serta kenyataan bercelaru Anwar dalam isu hudud kerana Ketua Pembangkang tersebut mempunyai keupayaan mengelirukan masyarakat.

"Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dalam blog beliau beberapa hari lalu mengakui terpedaya dengan imej Islamik Anwar yang warak dan menasihatkan semua rakyat terutama penyokong pembangkang tidak ikut tertipu.

"Seperti yang kita tahu, Anwar hanya bercita-cita menjadi Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun dan mengimpikan untuk menguasai Putrajaya," katanya.

Tidak bersungguh punca hudud gagal dilaksana di Kelantan

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kegagalan kerajaan Pas Kelantan melaksana hukum hudud sehingga kini adalah disebabkan tiada tanda-tanda kerajaan negeri itu bersungguh-sungguh mahu melaksanakan syariat tersebut khususnya dalam bidang perundangan.

Perkara itu didedahkan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berdasarkan kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Wan Abd. Muttalib Embong dalam nota diskusi Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan bertarikh 3 Oktober 1996.

Menurut beliau, Wan Abd. Muttalib dalam nota itu serta nota perakuan Lujnah Panel Undang-Undang dan Guaman Pas Pusat ke atas Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 turut memperakukan enakmen yang merangkumi hukum hudud, qisas dan takzir adalah terpelihara mengikut syarak dan tidak bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, apa perlunya pemimpin-pemimpin UMNO dipersalahkan. Apa perlunya Perlembagaan dipersalahkan ekoran kegagalan Kelantan melaksanakan hukum hudud?

"Lujnah Undang-Undang dan Guaman Pas sendiri telah memutuskan sejak 1 Oktober 1994 bahawa hukum hudud adalah undang-undang sah dan boleh dikuatkuasakan kerana tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Ibrahim tampil menjelaskan perkara itu memandangkan setiap kali timbul persoalan kegagalan Pas melaksanakan hukum hudud alasan diberikan pemimpin-pemimpin parti tersebut termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah kerana halangan daripada kerajaan terutamanya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ibrahim berkata, dalam nota diskusi itu juga Wan Abd. Muttalib ada menyebut kerajaan Kelantan sendiri tidak pernah membuat permintaan kepada Pas Pusat (Lujnah Panel Penasihat Undang-Undang dan Guaman) untuk mendapatkan pandangan berhubung perkara tersebut.

"Saya juga belum melihat kerajaan Kelantan mengemukakan rangka kerja ke arah pelaksanaan syariat itu," katanya.

Menurut Ibrahim, beliau turut menerima salinan nota peringatan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas bertarikh 18 April 1998 yang antara lain mengandungi persoalan dikemukakan Wan Abd. Muttalib mengenai persediaan Kelantan melaksanakan undang-undang Islam.

"Dalam peringatan mesyuarat itu, Wan Abd. Muttalib bertanya mengapa ia belum dilaksanakan sedangkan mereka berkuasa," katanya.

Menurut Ibrahim, bersandarkan bukti-bukti yang diperoleh itu jelas menunjukkan Pas tidak mempunyai masalah melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

"Mereka yang sebenarnya tidak mahu melaksanakan hukum ini kerana mereka sendiri tidak mampu menjalankannya.

"Bagi saya hentikanlah perangai menyalahkan orang lain. Jangan salahkan kerajaan Pusat, jangan salahkan UMNO, jangan salahkan Tun Mahathir sebaliknya salahkan diri sendiri.

"Hakikatnya, Pas sendiri tidak berniat dan tidak mampu melaksanakan hukum Allah ini," katanya.

Nasharudin dapat sokongan

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD, KAMIL MASLIH dan MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Selepas menerima sokongan secara terbuka daripada Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa terus dipertahankan dan kali ini disuarakan oleh lebih ramai pemimpin Pas di seluruh negara.

Sokongan tersebut dizahirkan kerana Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok dilihat sebagai seorang pemimpin masa depan bagi parti itu dan mempunyai pengalaman luas berdasarkan pembabitannya dari usia muda dalam perjuangan parti.

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, sejak berkecimpung di dalam bidang politik, Nasharudin telah memegang pelbagai jawatan penting iaitu daripada Setiausaha Agung Pas sehingga pernah dipilih sebagai Timbalan Presiden Pas dan itu menunjukkan kewibawaannya sebagai seorang pemimpin.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.