Pages

Subscribe:

29 Ogos, 2012

Penggali kubur maut dalam liang lahad digalinya




















penduduk kampung melihat liang lahad Minah Ishak yang runtuh lalu menghempap Zailan yang sedang menggali di bawahnya di Kampung Penak, Mentakab, Pahang, semalam.
TEMERLOH 28 Ogos - Hayat seorang penggali kubur di sini berakhir dengan tragis dan menyayat hati apabila dia menemui ajal di dalam liang lahad yang digalinya sendiri bersama seorang rakan di Kampung Penak dekat Mentakab di sini hari ini.

Mangsa, Zailan Hamid, 40, dipercayai mengalami kecederaan teruk di kepala dan patah leher setelah tertimbus tanah semasa menggali liang lahad itu bersama rakannya, Mohd. Nasir Musa, 40.

Dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu, kedua-duanya menggali liang lahad untuk jenazah seorang warga emas, Minah Ishak, 76, yang meninggal dunia akibat sakit tua selepas subuh.

Menurut penduduk, Nizri Bakar, 57, dia melihat Zailan dan Mohd. Nasir menyiapkan bahagian akhir liang lahad itu apabila secara tiba-tiba ketulan-ketulan tanah besar jatuh dan menimbus keseluruhan badan mangsa.

Katanya, semasa kejadian, Zailan berada di tengah liang lahad itu manakala Mohd. Nasir di bahagian hujungnya.

"Tanah itu hanya menimpa Zailan manakala Mohd. Nasir yang terkejut bergegas naik. Saya yang nampak insiden itu menjerit memanggil rakan-rakan lain yang berehat di kawasan kubur supaya mengeluarkan Zailan.

"Kami menggali beramai-ramai dengan tangan kerana bimbang jika menggunakan cangkul akan terkena kepala dan badan Zailan yang tertimbus dalam tanah," katanya di sini.

Bagi Abdul Aziz Md. Taha, 51, anak allahyarham Minah yang hendak dikebumikan itu menganggap kejadian tersebut sesuatu yang pelik dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Kami di sini sangat terkejut dengan kejadian yang berlaku, dalam satu hari ada dua kematian yang berkaitan antara satu sama lain.

"Zailan memang pakar menggali kubur terutama kerja menyiapkan liang lahad yang memerlukan hasil kerja yang halus, dia biasanya akan bersama Mohd. Nasir melakukan kerja tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh, Supritendan Zundin Mahmood mengesahkan kejadian tersebut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini untuk di bedah siasat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.