Pages

Subscribe:

23 Februari, 2013

[hang nadim] Panama, Malaysia juara PABM 2013......







PUTRAJAYA 22 Feb. - Peserta Panama, Derrick Fernando Jaramillo dinobatkan juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 bagi Kategori Antarabangsa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.
Peserta dari Malaysia, Mohd. Ikhwan Mohd. Rosseli pula muncul juara Kategori Nusantara pada pertandingan peringkat akhir yang melibatkan lapan peserta itu.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis tersebut.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk Dr. Hou Kok Chung; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Mohd. Noor.
Johan bagi kedua-dua kategori akan membawa pulang wang tunai bernilai RM21,700, Piala Perdana Menteri, piala iringan, hadiah dan sijil.
Naib johan Kategori Antarabangsa dimenangi peserta dari China, Zhang Yaqi manakala tempat ketiga menjadi milik peserta Jordan, Abdel Rahman Ibrahim Sulieman.
Bagi Kategori Nusantara, peserta Indonesia, Muhammad Zulfadhli Razali memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga jatuh ke tangan Adi Ismat Lamat dari Brunei.
Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM15,500 dan RM9,300 beserta piala iringan, hadiah dan sijil untuk tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori.
Pertandingan peringkat akhir malam ini menyaksikan lapan peserta iaitu dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Panama, China, Jordan, Afghanistan dan Jerman mempamerkan kemahiran berpidato masing-masing.
PABM edisi ketujuh itu menyaksikan penyertaan seramai 77 peserta daripada 72 negara.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memperkasakan bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat penting untuk perpaduan nasional.
Menurutnya, kerajaan juga bertekad untuk terus memperkembangkan dan memperkasakan bahasa nusantara itu di peringkat global.
Katanya, pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 menjadi bukti komitmen kerajaan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan itu.
“Saya amat bangga dan kagum dengan usaha berterusan Kementerian Pengajian Tinggi kerana memberikan tumpuan yang serius dalam menganjurkan satu-satunya pertandingan pidato bahasa Melayu peringkat dunia.
“Pertandingan ini ternyata telah memberikan impak yang sangat kuat dalam memartabat dan memperkasa bahasa Melayu di persada dunia," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Mohamed Khaled.
Najib berkata, biar pun PABM baru tujuh tahun dianjurkan, beliau melihat penyertaan pertandingan pidato itu bertambah saban tahun.
Menurutnya, taraf kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia telah menjadi fakta dalam sejarah perkembangan dan kebangkitan tamadun Melayu.
“Bermula era pemerintahan Srivijaya pada abad ketujuh Masihi, berkesinambungan ke zaman Kesultanan Melayu Melaka dalam tempoh beberapa ratus tahun.
“Namun demikian, dengan kesan penjajahan yang memadamkan sebahagian kegemilangan bahasa Melayu, upaya menggemilangkan semula bahasa ini sebagai bahasa dunia memerlukan perancangan rapi dan berkesan, meskipun memerlukan tempoh panjang dan beransur-ansur," katanya.
Sehubungan itu, Najib mengajak rakyat negara ini membuka minda untuk memikir dan memulakan langkah memperhebat bahasa Melayu ke persada dunia.
Katanya, segala ruang dan peluang yang ada perlu digunakan untuk mempelbagai kaedah mengetengahkan bahasa yang diwarisi daripada nenek moyang kepada masyarakat dunia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.