Tidak dinafikan sesetengah orang memandang harta benda itu sebagai lambang kemewahan dan kemegahan. Pada hal sifat tersebut mampu menjerumuskan kita ke cerun kelalaian (daripada ketaatan kepada Allah) sepanjang hayat. Firman Allah SWT bermaksud: “Bermegah-megahan melalaikan kamu sampai kamu masuk dalam kubur.” (Surah at-Takatsur, ayat 1-2)

Lantaran itu golongan yang tidak berada selalu tersisih daripada masyarakat. Demikianlah sebagaimana yang sering terjadi dalam masyarakat kita. 

Anggapan yang salah ini bukan saja perlu diperbetul, tetapi hanya akan mencipta jurang antara orang kaya dengan golongan tidak bernasib baik yang seterusnya mewujudkan perpecahan dan putusnya tali silaturahim. Bukankah persaudaraan dalam Islam itu diajar oleh Nabi Muhammad SAW? 
“Seorang Muslim adalah saudara bagi seorang Muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. 

Ketakwaan itu di sini sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali - Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang Muslim. Setiap orang Muslim ke atas Muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.”(Hadis Riwayat Muslim) 

Seharusnya kekayaan yang dimiliki disalurkan ke jalan yang memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat mengikut syariat, diiringi dengan keyakinan bahawa sesuatu yang dikeluarkan itu tetap tidak berkurangan bahkan bertambah. 

Keinsafan dapat menghindarkan seseorang daripada sifat sombong, tamak dan bakhil. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah saw: “Tidak akan dikurangkan harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya.” (Hadis Riwayat Muslim)