Pages

Subscribe:

12 April, 2013

[hang nadim] Zina Dan Hukumannya.....


DEFINASI ZINA

Berbagai-bagai definasi telah diberikan oleh ulamak berdasarkan pada perbezaan mazhab yang diikuti; di antara mereka ada yang medefinasikan sebagai “pencabulan kemaluan perempuan yang diharamkan melalui wati yang diharamkan pada bukan milik dan bukan milik yang kesamaran.” Al-Kasani mendefinasikan zina sebagai nama bagi wati yang diharamkan ke dalam kemaluan perempuan yang masih hidup, dengan kerelaanya, dilakukan dalam dar al-‘adil yang iltizam dengan hukum-hukum Islam dan yang sunyi daripada milik dan milik yang samar-samar dan daripada hak milik serta daripada nikah yang sebenarnya dan nikah yang samar-samar.

Manakala al-Syirazi pula mendefinasikan zina sebagai seorang lelaki daripada penduduk negara Islam yang melakukan wati ke atas perempuan yang diharamkan ke atasnya dengan tidak melalui akad atau akad yang kesamaran dan tidak milik atau milik yang kesamaran dan lelaki itu berakal lagi baligh dna tidak dipaksa serta mengetahui hukum zina.

Dengan pengertian-pengertian di atas bolehlah dikatakan bahawa zina ialah (1) Perbuatan wati yang diharamkan. (2) Dilakukan dengan sengaja. (3) Dilakukan oleh orang yang cukup syarat sebagai mukallaf. Dengan ini maka ketiga-tiga perkara yang tersebut di atas sebagai rukun-rukun bagi kesalahan zina yang dipersetujui oleh kebanyakan ulamak.


Rukun Pertama

Wati yang diharamkan : Perbuatan wati yang dianggap sebagai zina ialah dengan memasukkan hasyafah dan menenggelamkannya ke dalam faraj atau jika kemaluan lelaki itu tidak ada hasyafah lagi maka memadai dengan memasukkan kira-kira sama dengan kadar hasyafah yang terpotong. Wati itu boleh dikira sebagai zina sama ada keluar air mani atau tidak dan walaupun ada pengalas yang memisahkan di antara kemaluan lelaki dengan kemaluan perempuan seperti dengan memakai sarung kemaluan lelaki; asalkan pengalas itu tipis yang tidak menghalang seseorang dari merasai kelazatan.

Mengikut kaedah bahawa wati yang diharamkan yang dianggap zina itu ialah wati yang dilakukan pada perempuan yang bukan milik. Ada pun wati yang berlaku pada perempuan yang dimiliki maka ia tidak dianggap zina walaupun wati seperti itu hukumnya haram seperti seorang suami berwati dengan isterinya yang sedang haidh atau yang sedang berpuasa atau yang dalam ihram. Semua wati seperti itu adalah haram tetapi tidak boleh dianggap sebagai perbuatan zina bahkan dianggap sebagai perbuatan maksiat yang boleh dihukum dengan hukuman takzir.
Hukuman Liwat : Berliwat ialah melakukan wati ke dalam lubang yang di punggung (dubur). Menurut Imam Malik, Imam Al-Syafi’e dan Imam Ahmad serta Abu Yusuf dan Al-Syaibani bahawa berwati pada dubur sama ada pada lelaki atau perempuan adalah diharamkan sama seperti berwati ke dalam faraj atau berzina dan orang yang didapati bersalah kerana melakukannya boleh dikenakan hukuman hudud Allah s.w.t. tidak membezakan di antara zina dengan liwat
Firman Allah :

Maksusnya : Sesungguhnya kamu telah melakukan perkara yang keji (liwat)

Firman-Nya lagi :

Maksudnya : Sesungguhnya kamu melakukan ke atas lelaki dengan syahwat selain daripada perempuan-perempuan yang dibenarkan.

Firman-Nya lagi :

Maksudnya : Dan mereka (perempuan-perempuan) yang melakukan kejahatan daripada perempuan-perempuan kamu.

Dalam ayat di atas Allah menyebutkan bahawa berwati pada dubur dan berwati ke dalam qubul juga Al-Asy’ari menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud.

Jika seorang lelaki melakukan (wati) ke atas lelaki maka kedua-duanya adalah berzina dan jika perempuan sama perempuan melakukan (wati) maka kedua-duanya juga berzina.

Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa berwati pada lubang punggung (dubur) tidak dianggap sebagai perbuatan zina sama ada yang kena wati itu lelaki ataupun perempuan dengan alasan bahawa melakukan wati haram pada faraj dinamakan zina sedang berwati dubur, dinamakan liwat. Oleh itu nama yang berbeza itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa kedua-dua perbuatan itu mempuyai makna yang berbeza. Selain itu zina pula boleh melahirkan keturunan yang tidak jelas dan boleh menginayai anak-anak yang tidak berbapa dan itulah di antara sebab-sebab hukuman Islam disyari’atkan. Pada kebiasaannya dengan melalui cantuman benih antara lelaki dan perempuan boleh menghasilkan keturunan sedangkan dengan liwat pada kebiasaannya tidak sampai melahirkan keturunan.

Berwati dengan orang yang telah mati : Orang lelaki berwati dengan perempuan bukan isteri yang telah mati tidak dikira sebagai melakukan zina, begitulah juga orang perempuan yang memasukkan kemaluan lelaki yang telah mati ke dalam farajnya tidak dianggap berzina menurut Mazhab Abu Hanifah dan satu pendapat dalam Mazhab Syafi’e dan Hanbali. Pesalah wati di atas boleh dikenakan hukuman ta’zir sahaja kerana berwati dengan orang yang telah mati seolah-olah tidak berwati disebabkan tubuh badan simati sudah tidak boleh digunakan lagi dan ia merupakan satu perbuatan yang tidak menaikan nafsu dan berahi bahkan mematikannya.

Pendapat yang kedua dalam Mazhab Syafi’e dan Hanbali mengatakan wati seperti itu dikiranya sebagai zina yang wajib dikenakan hukuman hudud, sekiranya berlaku bukan antara suami isteri, kerana selain daripada perbuatan sebagai wati yang diharamkan, perbuatan itu merupakan pencabulan kehormatan seorang mayat.

Imam Malik pula mengatakan bahawa seorang lelaki yang mencabul kehormatan perempuan bukan isteri yang telah mati adalah dianggap telah melakukan kesalahan zina dan boleh dihukum dengan had zina. Tetapi kalau ia melakukannya yang demikian ke atas isterinya sendiri yang telah mati maka tidak dihukum dengan hukuman had zina bahkan dikenakan hukuman takzir begitulah juga dengan seorang perempuan yang memasukkan zakar lelaki bukan suaminya yang telah mati.

Berwati dengan Haiwan : Mengikut kebanyakan ulamak jika manusia lelaki atau perempuan berwati dengan haiwan tidak dianggap sebagai berzina tetapi sebagai perbuatan ma’siat yang pelakunya boleh dihukum dengan takzir. Imam Syafi’e dan Ahmad mempunyai dua pendapat : yang pertama, seperti pendapat yang di atas, yang kedua menganggap perbuatan tersebut sebagai zina akan tetapi pesalah lelaki dihukum bunuh berdasarkan kepada Hadith Rasulullah yang bermaksud :

Barangsiapa yang bersetubuh dengan haiwan maka hendaklah kamu bunuh dia dan haiwan sekali.

Manakala pesalah-pesalah perempuan pula dihukum dengan takzir sahaja.

Pertemuan Jenis Sama Perempuan (Lesbianisme)

Persenyawaan antara perempuan dengan perempuan hingga mendatangkan berahi dan kelazaran nafsu dengan cara bergelisalan kemaluan dan sebagainya adalah perbuatan maksiat yang diharamkan oleh syarak, sebagaimana firman Allah :

Maksudnya : Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.

Ayat di atas menjelaskan bahawa apabila perempuan itu membenarkan kemaluannya dicabul oleh orang lain dari suaminya sama ada lelaki atau perempuan maka bermakna dia tidak memelihara kemaluannya dan ia termasuk ke dalam golongan orang-orang yang bermusuh dengan Allah.
Juga menurut hadith Rasulullah :

Maksudnya : Tidak boleh melihat seorang lelaki kepada aurat lelaki, dan perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan dan tidak boleh masuk ke dalam pakaian yang satu antara sama-sama lelaki dan antara sama-sama perempuan.

Hadith di atas menunjukkan pengharaman persenyawaan sesama perempuan kerana boleh membawa kepada hilang daranya.

Perbuatan lesbian ini tidak boleh disamakan dengan zina kerana ia merupakan persetubuhan di antara kulit dengan kulit atau kemaluan dengan kemaluan yang tidak sampai kepada memasuki kemaluan seperti dalam zina. Dengan sebab itu perempuan-perempuan yang melakukan perbuatan maksiat ini dikenakan hukuman takzir dan tidak hukuman had zina.

Rukun Kedua

Persetubuhan dilakukan dengan sengaja : Maksud rukun ini bahawa zina itu dilakukan dengan sengaja ialah apabila seorang lelaki yang melakukan zina itu mengetahui benar-benar bahawa perempuan yang disetubuhi itu bukan isterinya yang diharamkan bersetubuh dengannya ataupun jika perempuan yang berzina itu benar-benat tahu bahawa lelaki yang bersetubuh dengannya orang yang diharamkan bersetubuh dengannya dan mereka tahu perbuatan zina itu adalah haram. Berdasarkan ini, bermakna orang yang berzina dengan sengaja tetapi dia tidak tahu tentang hukum haramnya berzina tidak wajib hukuman had ke atasnya. Orang yang jahil tentang hukum dikecualikan daripada hukuman ini sekiranya dia baru masuk Islam dan berjauhan daripada masyarakat Islam, tetapi sekiranya dia sudah lama masuk Islam dan masih jahil tentang hukum dalam Islam maka dalam keadaan itu tidak boleh diterima alasan tersebut. Malahan dalam keadaan zaman sekarang bukan sahaja orang Islam yang sudah mengetahui tentang larangan berzina bahkan orang-orang bukan Islam pun sudah mengetahui hukumanya.

Begitu juga perbuatan zina dianggap tidak disengajakan, umpamanya seorang lelaki bersetubuh dengan perempuan yang disangkanya adalah isterinya sendiri. Maka perbuatan lelaki itu dikira tidak sengaja. Begitu juga kalau seorang perempuan yang menyerahkan diri untuk disetubuhi oleh lelaki yang disangkanya bahawa lelaki itu adalah suaminya sendiri maka perbuatan perempuan ini tidak dianggap sengaja yang boleh dihukum dengan hukuman had kerana adanya kesamaran dalam perbuatan itu berasaskan pada kaedah bahawa tiap-tiap yang ada kesamaran boleh terlepas daripada hukuman. Akan tetapi mengikut Mazhab Hanafi bahawa pasangansuami isteri yang telah lama berkongsi hidup adalah tidak menasabah tidak mengenal pasangan masing-masing walaupun mereka buta sekalipun kerana masing-masing boleh mengenal pasanganya dengan melalui rasa, bau dan suara dan nafas. Oleh itu menurut Mazhab Hanafi orang yang melakukan persetubuhan tersalah pasangan tidak terlepas daripada hukuman had zina.

Rukun Ketiga

Syarat-syarat orang yang melakukan zina : Pesalah-pesalah zina itu tidak boleh dikenakan hukuman had kecuali jika mereka memenuhi syarat-syarat berikut :

1. Merdeka, ertinya bukan hamba kerana hukuman bagi hamba adalah separuh daripada hukuman bagi orang yang merdeka sebagaiman firman Allah :

Maksudnya : Maka ke atas perempuan-perempuan hamba dikenakan separuh daripada hukuman ke atas perempuan-perempuan merdeka.

2. Berakal, ertinya orang gila yang berzina terlepas daripada hukuman had kerana syari’at tidak ditujukan kepadanya disebabkan ia hilang akal atu kurang akalnya. Dalam satu kejadian dalam zaman Rasulullah s.a.w. di mana apabila Ma’iz mengaku berzina maka Rasulullah telah bertanyakan sahabat, “Adakah Ma’iz itu gila.” Apabila diketahui Ma’iz itu tidak gila lalu dijalankan hukuman had zina.

3. Baligh, jelasnya syarat orang yang melakukan zina sehingga dikenakan hukuman had ialah jika ia telah baligh. Oleh sebab itu, kalau kanak-kanak lelaki yang belum baligh melakukan hubungan jenis dengan perempuan dewasa ia tidak boleh dihukum had zina kerana belum baligh tetapi hendaklah dikenakan hukuman takzir kalau kanak-kanak itu sudah mumaiyiz.

Adapun perempuan yang melakukan hubungan jenis dengan kanak-kanak atau orang gila, ulamak mempunyai pandangan yang berbeza-beza. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berpendapat bahawa perempuan yang disetubuhi oleh kanak-kanak tidak diwajibkan had zina ke atasnya, walau dia rela dengan perbuatan kanak-kanak itu. Ini ialah kerana perbuatan kanak-kanak itu tidak dianggap sebagai zina yang sebenar, sedangkan hakikat zina ialah apabila ia dilakukan oleh orang yang sudah baligh. Manakala Imam Syafi’e dan satu riwayat daripada Imam Ahmad mengatakan bahawa perempuan yang bersetubuh dengn kanak-kanak itu dikenakan hukuman had kerana perempuan itu telah melakukan zina, iaitu dengan melepaskan nafsu syahwatnya dengan persetubuhannya yang sunyi daripada milik atau milik yang kesamaran. Satu lagi pendapat Imam Ahmad ialah bahawa perempuan itu tidak dikenakan had zina kalau kanak-kanak yang bersetubuh dengannya itu berumur kurang daripada sepuluh tahun.

Manakala orang lelaki mukallaf yang melakukan zina dengan perempuan yang belum baligh atau yang gila maka menurut kebanyakan ulamak, lelaki itu wajib dikenakan hukuman had.

4. Islam. Ulamak berselisih pendapat tentang sama ada Islam itu menjadi syarat bagi hukuman had itu diwajibkan ke atas orang yang berzina. Mazhab Hanafi dan Maliki mengatakan bahawa orang yang berzina yang boleh dihukum dengan hukuman had itu mestilah orang yang beragama Islam. Jika tidak beragama Islam terlepaslah ia daripada hukuman had, Cuma perbezaannya dengan Mazhab Maliki ialah orang zimmi pun boleh dikenakan hukuman had zina. Manakala Mazhab Syafi’e, Hanbali dan Imam Abu Yusuf mengatakan bahawa Islam tidak menjadi syarat. Dengan ertikata sesiapa sahaja berzina sama ada orang Islam atau bukan Islam dia boleh dikenakan hukuman zina dengan alasan bahawa Rasulullah telah merejam dua orang Yahudi yang berzina dan ini merupakan hukuman rejam yang pertama berlaku dalam Islam.

5. Dengan kehendaknya sendiri. Syarat hukuman had boleh dilaksanakan ialah apabila seseorang pesalah itu melakukan persetubuhan dengan kehendaknya sendiri, bukan dipaksa. Kalau seorang lelaki dipaksa untuk melakukan perzinaan maka dia tidak boleh dikenakan hukuman had. Ini kalau yang memaksanya ialah raja atau pemerintah. Tetapi kalau yang memaksanya bukan pemerintah maka menurut Imam Abu Hanifah bahawa lelaki yang dipaksa berzina itu boleh dikenakan hukuman had. Manakala Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad dan Imam Syafi’e mengatakan lelaki yang dipaksa oleh yang selain daripada pemerintah tidak boleh dihukum dengan hukuman had kerana adanya paksaan sehingga menimbulkan takur binasa kalau tidak mengikut paksaan sama ada daripada pemerintah atau bukan pemerintah.

Adapun kalau seorang perempuan dipaksa berzina maka semua ulamak bersepakat bahawa perempuan itu tidak boleh dikenakan hukuman had kerana perempuan itu melakukan bukan dengan kemahuannya sendiri.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : Diangkat (tanggungjawab) umatku dengan sebab salah, terlupa san kerana suatu yang dipaksa ke atasnya.


Bukti-bukti Yang Mensabitkan Kesalahan Zina

Oleh kerana hukuman bagi kesalahan zina agak keras maka untuk membuktikan kesalahan tersebut juga agak ketat dan susah. Oleh itu untuk menyatakan seseorang itu bersalah kerana zina hingga boleh dikenakan hukuman had zina mestilah dibuktikan dengan salah satu daripada perkara-perkara berikut : (1) Penyaksian, (2) pengakuan dan (3) pertalian. Di bawah ini dijelaskan satu persatu mengenai bukti-bukti di atas.

1. Penyaksian : Kesalahan berzina disabitkan dengan adanya penyaksian oleh empat orang saksi. Ini didasarkan pada firman Allah :

Maksudnya : Dan perempuan yang melakukan kejahatan (zina) daripada perempuan-perempuan kamu maka datangkan saksi-saksi ke atas mereka seramai empat orang daripada kamu.

FirmanNya lagi :

Maksudnya : Dan mereka yang melemparkan tuduhan ke atas perempuan yang suci bersih kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi-saksi maka deralah mereka sebanyak 80 kali sebat.

Selain itu ada Hadith yang menjelaskan bahawa Sa’d bin ‘Ubadah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Apakah betul andainya aku terjumpa seorang lelaki bersama isteriku lalu aku tangguhkan (hukuman) sehingga aku bawa empat orang saksi ?” “Ya, betul,” jawab Rasulullah s.a.w. Dan lagi Rasulullah bersabda kepada Hilai bin Umaiyah yang menuduh Syarik bin Syahma’ melakukan zina dengan isterinya dengan sabdanya yang bermaksud :

Bawakan empat orang saksi yang membuktikan kebenaran tuduhan kamu, jika tidak kamu akan dikenakan hukuman had qazaf.

Syarat-syarat saksi : Bukan semua orang yang menjadi saksi itu boleh diterima penyaksianya bahkan saksi-saksi yang dapat diterima ialah mereka yang mempunyai syarat-syarat seperti di bawah ini :

i. Empat orang semuanya lelaki. Jumhur fuqaha’ mensyaratkan saksi-saksi itu semuanya terdiri daripada lelaki dan tidak menerima saksi-saksi yang terdiri daripada perempuan, kerana nas mengenai saksi-saksi yang terdiri daripada lelaki itu jelas menunjukkan bahawa perkataan empat itu adalah nama bagi lelaki dan dengan itu memadai dengan empat orang saksi lelaki, kerana kalau dalam empat itu ada saksi perempuan maka tidak memadai dengan empat bahkan lima orang saksi.

ii. Baligh. Orang yang belum baligh tidak diterima penyaksiannya dalam kes zina. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud. “Diangkat Qalam daripada tiga orang ; daripada kanak-kanak sehingga dia baligh ……….” Dan oleh kerana kanak-kanak tidak diterima penyaksiannya dalam harta benda maka lebih-lebih lagi tidak boleh diterima penyaksiannya dalam masalah jenayah.

iii. Berakal. Seorang yang tidak mempunyai akal yang cukup seperti orang gila, sasau, pitam dan sebagainya tidak diterima menjadi saksi bagi kesalahan zina, kerana sabda Rasulullah yang bermaksud, “Diangkat daripada …….. orang yang gila sehingga dia sembuh dari gilanya.”

iv. Orang Yang Adil. Ini berdasarkan pada firman Allah :


Maksudnya : Dan saksikanlah orang-orang yang adil daripada kamu dan sabda Rasulullah yang bermaksud ;
“Tidak harus menerima saksi orang yang khianat laki-laki atau perempuan dan orang yang hasad dengki kepada saudaranya………”
Yang dimaksudkan dengan adil mengikut Mazhab Syafi’e ilah orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Oleh itu orang yang fasiq dan yang tidak diketahui keadilannya tidak diterima kesaksiannya dalam kes zina.

v. Orang Islam. Semua ulamak sepakat mengatakan syarat saksi-saksi itu mestilah orang Islam. Oleh itu tidak diterima saksi-saksi yang bukan Islam sama ada untuk menjadi saksi terhadap orang Islam atau bukan Islam bersumberkan kepada ayat Al-Quran.


Adapun untuk menjadi saksi kepada orang bukan Islam antara sesama mereka menurut Mazhab Hanafi boleh diterima saksi daripada orang zimmi sesama mereka dan orang kafir harbi sesama mereka kerana Rasulullah s.a.w. menerima saksi orang Nasrani kepada orang Nasrani lain. Manakala Mazhab Maliki dan Syafi’e tidak menerima saksi daripada orang yang bukan Islam.

iv. Melihat kejadian zina. Disyaratkan saksi-saksi itu benar-benar melihat kejadian zina di antara lelaki dengan perempuan dengan menggambarkan kejadian itu seolah-olah seperti masuknya penyoteng celak ke dalam tempat celak atau seperti masuknya hujung keris ke dalam sarungnya. Dengan yang demikian perlulah qadhi menyoal saksi-saksi tentang apa yang dikatan zina, bagaimana dilakukan, dengan siapa dilakukan zina dan lain-lain lagi, supaya terlepas daripada salah faham tentang zina itu. Kerana kalau saksi itu tidak melihat dengan mata kepala mereka atau mereka hanya menyangka seorang itu melakukan zina sedang pasangan itu umpamanya hanya berkumpul di atas katil sahaja maka pasangan itu tidak boleh disabitkan melakukan zina.

vii. Penyaksian itu benar-benar membuktikan berlaku zina. Umpamanya seorang perempuan anak dara telah disaksikan melakukan zina, tiba-tiba setelah diperiksa doktor didapati perempuan itu masih ada daranya lagi maka perempuan itu terlepas daripada hukuman had zina kerana zina yang berlaku itu tidak sempurna kalau tidak sampai terpecah daranya. Begitulah juga umpamanya seorang lelaki yang telah dibuktikan kesalahan zina oleh empat orang saksi, tiba-tiba didapati alat kelaminya tidak ada (terpotong) maka lelaki itu terlepas daripada hukuman had zina.

viii. Penyaksian itu mestilah dilakukan dalam satu majlis dan satu masa. Menurut kebanyakan ulamak saksi-saksi zina itu mestilah mengemukakan saksian mereka dalam majlis yang satu dengan sama-sama berhimpun ketika memberikan keterangannya tetapi menurut Imam Ahmad tidak semestinya saksi-saksi itu bersama-sama daripada awal bahkan kalau mereka datang berasingan memadai asalkan majlis kehakiman masih berjalan. Manakala Mazhab Syafi’e tidak mensyaratkan saksi-saksi sama ada memberi keterangan dalam satu masjlis atau lebih dan memadai saksi-saksi itu datang ke majlis itu sama ada berasingan atau sama-sama.
Begitu juga keempat-empat saksi itu mestilah menyaksikan orang yang berzina pada satu masa dan tempat. Kalau umpamanya dua orang saksi menyaksikan seorang itu berzina pada satu tempat dan dua orang saksi yang lain menyaksikan orang itu berzina di tempat yang lain ataupun dua orang saksi menyaksiakan seorang berzina pada waktu pagi sedangkan dua orang saksi lagi menyaksikan orang itu melakukan zina pada petang hari pula maka dalam kedua-dua masalah itu orang yang disaksikan sebagai berzina itu tidak wajib dikenakan had zina.

ix. Keterangan saksi-saksi handaklah diberi tidak lama selepas kejadian zina. Menurut Mazhab Hanafi dan Hanbali bahawa penyaksian itu boleh diterima dengan syarat ianya diberikan sebaik-baik sahaja melihat kejadian zina. Ini ialah kerana apabila seseorang itu melihat seorang lain sedang melakikan kejahatan maka ia diberi pilihan sama ada untuk menjadi saksi (mengadu kepada yang berkenaa) sebagai menyahut suruan Allah dalam firmanNya :

Yang bermaksud : “Dan dirikanlah penyaksian kerana Allah,” atau untuk menutup keburukan seorang bagaimana sabda Rasulullah s.a.w.

“Barang siapa yang merahsiakan keburukan saudaranya yang Islam maka Allah akan merahsiakan keburukannya di hari akhirat.”

Jadi apabila seorang itu tidak mahi menyaksikan (tidak melapurkan) kejadian itu pada ketika kejadian itu sehingga berlalu masa yang agak lama maka ia menunjukkan saksi itu memilih untuk merahsiakanya. Akan tetapi sekiranya sudah lama selepas kejadian itu berlalu baru dia mahu memberi keterangannya (saksi) ini menunjukkan adanya sakit hati atau dengki kepada orang yang disaksikannya sebagaimana satu riwayat daripada Saiyidina Umar bin Al-Khattab yang bermaksud, “Mana-mana kaum yang menyaksikan satu kejadian had tetapi tidak menyaksikan pada masa kejadian had itu sesungguhnya mereka menyaksikan disebabkasn sakit hati dan tidak diterima penyaksian mereka.”
Manakala Imam Malik dan Syafi’e menyatakan bahawa hukuman had boleh dijalankan dengan adanya penyaksian walaupun diberi lama selepas daripada kejadian jenayah itu berlaku. Kelambatan memberi penyaksian itu diharuskan kerana keuzuran atau berjauhan tempat tinggal. Sedangkan hukuman tidak boleh digugur dengan sebab andaian-andaian kerana sekiranya gugur dengan sebab andaian nescaya hukuman had itu tidak diwajibkan sama sekali.

2. Pengakuan (Ikrar) : Bukti yang kedua bagi mensabitkan kesalahan zina ialah dengan adanya pengakuan daripada orang yang melakukan zina. Dengan yang demikian maka wajiblah dikenakan hukuman had zina ke atas pelaku-pelaku zina dengan syarat-syarat seperti dibawah ini :

i. Pengakuan itu dibuat di hadapan pemerintah (imam) atau wakilnya. Maka tidak memadai kalau pengakuan itu dibuat di hadapan yang lain daripada itu berdasarkan bahawa Ma’iz telah mengaku berzina di hadapan Rasulullah s.a.w. Pemerintah atau wakilnya hendaklah menyoal orang yang mengaku itu tentang keadaannya sama ada muhsin atau tidak dan tentang apa yang dikatakan ihsan dan sebagainya.

ii. Orang yang berakal. Jika pengakuan itu datangnya dari orang yang tidak siuman maka tidak diterima pengakuannya, tetapi kalau seseorang itu kadang-kadang gila dan terkadang-kadang waras fikirannya. Jadi kalau dalam masa sihatnya dia mengaku melakukan zina maka ketika dia waras maka diterima pengakuannya dan boleh dijalankan hukuman had ke atasnya.

iii. Orang yang baligh. Pengakuan zina daripada kanak-kanak yang belum baligh tidak sah lagipun sebab diwajibkan had ialah kerana perbuatan jenayah sedangkan perbuatan yang dilakukan oleh kanak-kanak tidak dianggap sebagai jenayah yang sebenar maka sebab itu pengakuan daripada kanak-kanak tidak diterima.
iv. Dengan mulut dan perkataan. Menurut Mazhab Hanafi pengakuan itu mestilah dibuat dengan mulut dan perkataan dan tidak memadai dengan tulisan atau dengan isyarat sahaja. Manakala Mazhab Maliki dan Syafi’e menyatakan bahawa pengakuan orang yang bisu boleh diterima sama ada dengan tulisan atau isyarat yang dapat difahami.

v. Pengakuan itu diberikan dengan cukup terang dan jelas tentang perbuatna zina itu sehingga menghilangkan segala keraguan dan kesamaran. Ini ialah mengikut Sunnah Rasulullah ketika Ma’iz datang mengaku berulang-ukang berzina maka Rasulullah bertanyakan beberapa soalan sehingga hilang segala kesamatan tentang pengakuan zina oleh Ma’iz lalu dijalankan hukuman rejam ke atasnya.



Bilangan Pengakuan

Ulama’ berselisih pendapat mengenai beberapa kali pengakuan yang perlu dibuat supaya dapat diterima pengakuan orang yang berzina. Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad menyatakan bahawa pengakuan itu mestilah di buat sebanyak empat kali berkiaskan kepada saksi yang disyaratkan empat orang dan berasaskan kepada cerita Ma’iz yang datang mengaku di hadapan Rasulullah s.a.w. Menurut Hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Buraidah bahawa Am’iz Al-Aslami mengaku berzina di hadapan Rasulullah s.a.w. dan meminta Rasulullah s.a.w. menjalankan hukuman had kepadanya. Kemudian Rasulullah menyuruh Ma’iz pergi dari situ. Selepas itu dia datang lagi dan mengaku sekali lagi. Begitulah seterusnya sehingga empat kali lalu Rasulullah bertanya kepada kaumnya sama ada dia gila. Setelah dijelaskan bahawa Ma’iz tidak gila barulah Rasulullah s.a.w. menjatuhkan hukuman rejam ke atasnya.
Manakala Imam Malik dan Syafi’e berpendapat memadai dengan sekali pengakuan kerana pengakuan itu ertinya memberi tahu dna pemberitahu itu tidak bertambah dengan berulang-ulang kali. Dan berdasarkan Hadith : “Asaif yang mana Rasulullah bersabda yang bermaksud. “Pergilah wahai Anis kepada perempuan itu kalau dia mengaku direjamlah dia.” Denga Hadith di atas jelas bahawa hukuman rejam dikaitkan dengan sebarang pengakuan walaupun dengan sekali pengakuan adalah memadai.
Pengakuan zina oleh penjenayah itu boleh diterima walaupun tidak di hadapan pasangannya kerana dalam kisah Ma’iz yang kena rejam itu dia memberi pengakuannya tidak bersama-sama dengan pasangannya bahkan kalau seorang lelaki mengaku berzina dan mengatakan dia tidak mengetahui dengan sesiapa dia berzina pun sah pengakuannya. Begitu juga kalau seorang itu mengaku zina dengan seorang perempuan sedangkan perempuan itu menafikannya maka lelaki itu wajib dikenakan dan tidak wajib pada perempuan yang menafikan menurut Mazhab Syafi’e dan Hambali. Manakala Mazhab Hanafi mengatakan lelaki yang mengaku itu tidak dikenakan hukuman had kerana penafian perempuan itu yang diterima. Dengan yang demikian pengakuan lelaki dianggap tidak sah.
Bukti yang ketiga bagi mensabitkan kesalahan zina ialah :
Melalui hal-hal yang berkaitan atau circumstances atau perkara-perkara yang ada kaitan dengan zina yang boleh diambil kira ialah adanya mengandung pada perempuan yang tidak bersuami atau yang tidak diketahui perempuan itu bersuami. Termasuk dalam kategori ini ialah perempuan yang kahwin dengan kanak-kanak yang belum baligh atau dengan lelaki dewasa yang tidak ada kemaluannya atau pun perempuan yang berkahwin akan tetapi bersalin tidak sampai enam bulan daripada masa berkahwin. Sumber yang menerima perkara-perkara yang berkaitan dengan hamil sebagai dalil berlakunya zina ialah perkataan dan perbuatan para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Saiyidina Umar berkata bahawa rejam itu diwajibkan ke atas tiap-tiap orang yang berzina sama ada lelaki atau perempuan jika ia muhsan, jika telah ada keterangan (saksi) atau adanya mengandung atau pengakuan. Diriwayatkan daripada Uhtman bahawa ada seorang wanita datang kepadanya dan mengatakan dia telah melahirkan anak berumur 6 bulan dalam kandungannya. Lalu Sauyidina Uthman hendak merejamnya kemudian Saiyidina Ali berkata kepada Uthman, “Tidak ada jalan bagimu.”
Menurut Imam Malik perempuan mengandung yang tidak bersuami itu boleh mewajibkan hukuman had ke atasnya dengan tidak perlu kepada pengakuan. Sekiranya dia mendakwa bahawa kandungannya itu disebabkan hubungan jenis dengan paksaan atau disebabkan wati syubhat maka ini tidak mencukupi untuk melepaskan daripada hukuman had bahkan dia mesti mengemukakan alasan atau kaitan-kaitan yang memperkuatkan dakwaannya bahawa dia itu dipaksa atau sebaginya. Tetapi menurut jumhur ulama’ bahawa mengandung itu tidak boleh dijadikan bukti dengan sendirinya yang perempuan itu berzina. Bahkah satu kaitan yang boleh menjadi dalil sebaliknya. Boleh jadi kandungan itu terjadi bukan hasil daripada zina maka terlepaslah perempuan hamil itu daripada hukuman had apabila ada sahaja kesamaran berlakunya zina, seperti berwati dengan paksaan, wati syubhat dan sebagainya.


Hukuman Had Bagi Kesalahan Zina


Hukuman dalam Islam adalah suatu hukuman yang adil bukannya sebagai suatu hukuman yang kejam seperti yang didakwa oleh setengah-setengah golongan kerena ianya bukan sahaja memelihara kepentingan orang yang teraniaya bahkan memelihara kepentingan orang ramai, lebih dari itu hukuman-hukuman dalam Islam meraikan dan memberi balasan kesalahan kepada penjenayah-penjenayah terutamanya kepada pesalah-pesalah zina. Oleh sebab itu hukuman had zina terbahagi kepada dua memandangkan kepada dua golongan manusia yang berlainan statusnya. Pertama pesalah-pesalah zina yang muhsan dan yang keduanya bukan muhsan.
Dalam masalah zina, muhsan bermaksud, orang yang pernah melakukan hubungan jenis di antara lelaki dengan perempuan melalui akad nikah yang sah walaupun dalam masa dia melakukan perbuatan zina itu tidak lagi dalam ikatan perkahwinan. Ihsan ertinya penahan yang bermaksud bahawa nikah itu sebagai benteng yang dapat mengawal daripada perbuatan zina.
Manakala bukan muhsan pula ialah orang yang belum pernah melakukan hubungan jenis hasil daripada akad nikah yang sah. Andainya seorang itu pernah melakukan persetubuhan tetapi bukan melalui akad nikah maka ialah masih dipanggil bukan muhsan, begitulah juga kalau seorang itu sudah bernikah, tetapi belum merasa hubungan jenis masih termasuk dalam golongan ini.

1. Hukuman had bagi muhsan : Ada tiga pendapat mengenai hukuman bagi muhsan.

i. Rejam : Jumhur ulamak sependapat bahawa hukuman bai pesalah-pesalah zina yang muhsan ialah direjam iaitu dibaling dengan batu sampai mati berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Hadith Asif.

Maksudnya : Ya Anis pergilah kepada perempuan ini maka jika dia mengaku rejamlah dia.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah : Mu’iz Al-Aslami datang mengadap Rasulullah yang sedang berada di masjid dan berkata wahai Rasulullah aku telah berzina, kemudian Rasulullah berpaling daripadanya dan berundur daripadanya kemudian berkata lagi : Wahai Rasulullah sunggunhnya aku telah berzina, kemudian Rasulullah berpaling daripadanya sehinggalah dia mengulangi sebanyak empat kali. Kemudian apabila dia membawa empat orang saksi ke atas dirinya maka Rasulullah memanggilnya dan bertanya adalah awak gila, dia menjawab : Tidak, ditanya lagi adakah kamu telah muhsan, beliau menjawab ya, lalu Rasulullah bersabda, pergilah kamu semua dengannya dan rejamlah dia.

Sabda Rasulullah s.a.w.

Maksudnya : Tidak halal darah seorang Islam yang menyaksikan bahawa tidak ada tuhan (yang layak disembah) melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu pesuruh Allah, kecuali dengan sebab salah satu daripada tiga ; Dengan sebab membunuh Janda / duda yang berzina dan yang berpaling dari agama dan meinggalkan jamaahnya.

Perbuatan Rasulullah s.a.w. yang mana Rasulullah telah memerintahkan untuk merejam Al-Amidiyah dan dua orang Yahudi yang didapati berzina.

ii. Hukuman jilid (sebat) : Manakala Khawarij berpendapat bahawa hukuman bagi pesalah-pesalah zina sama ada muhsan atau bukan muhsan ialah dijilid sebanyak 100 kali dengan alasan antara firman Allah :

Maksudnya : Pezina-pezina perempuan dan lelaki hendaklah kamu jilid tiap-tiap seorang daripadanya dengan 100 kali jilid.

Ayat di atas menjelaskan hukuman jilid dan bukan rejam dengan tidak membezakan di antara teruna dengan dara.
Hukuman rejam adalah yang paling berat dalam Islam oleh itu hendaklah disabitkan dengan dalil yang qat’i iaitu dengan Al-Quran atau Sunnah yang mutawatir. Sedangkan tidak ada nas Al-Quran dan Sunnah mengenai rejam pun adalah dari khabar ahad yang tidak pasti kesahihannya.
Setengah tabi’in bertanya adakah Hadith-hadith mengenai rejam itu sebelum surah al-Nur atau sesudahnya maka seorang sahabat Rasulullah menjawab tidak tahu. Maka ini dengan sendirinya adalah dalil yang kesamaran tentang mengekalkan hukum rejam.

iii. Hukum rejam dan jilid : Menurut satu riwayat daripada Imam Ahmad, Hassan al-Basri dan Zahiri mengatakan bahawa pesalah yang muhsan hukumannya ialah dijilid dan direjam kerana berasaskan Hadith riwayat Ubadah bin al-Samit.

Maksudnya : Janda dengan janda disebat seratus kali dan direjam dengan batu.

Diriwayatkan bahawa Saiyidina Ali menghukum jilid kepada Syurahan al-Hamdaniyah pada hari Khamis dan merejamnya pada hari Jumaat dan berkata, maksudnya “Aku menyebatnya mengikut kitab Allah dan menrejamkannya dengan Sunnah Rasululullah.”

2. Hukum had kepada bukan muhsan : Apabila anak dara atau teruna telah sabit kesalahan zina maka hukumannya ialah disebat (jilid) seratus kali dan dibuang negeri.
i. Hukuman sebat (jilid) : ulamak sepakat mengatakan hukuman untuk orang yang belum berkahwin ialah disebat seratus kali. Ini berdasarkan firman Allah :


Maksudnya : Pezina-pezina perempuan atau lelaki hendaklah kamu jilid sebanyak seratus kali.

Dan sabda Rasulullah s.a.w. :

Maksudnya : Ambilah daripada Kami, sesungguh Allah telah jadikan bagi mereka (perempuan-perempuan) akan jalan; dara dengan dara disebat seratus kali dan dibuang selama setahun.

ii. Buang negeri : Kebanyakan ulamak bersepakat mengatakan hukuman zina untuk bukan muhsan ialah dijilid 100 kali dan dibuang negeri selama setahun sebagai hukukam tambahan. Cuma Mazhab Hanafi yang berpendapat bahawa hukuman buang negeri itu tidak wajib akan tetapi harus bagi imam untuk menjatuhkan kedua-dua hukuman tersebut sekiranya pada pandangannya ada kebaikan dan hukuman takzir ini bukanlah sebagai hukuman had tetapi sebagai takzir. Alasan bai Mazhab Hanafi ialah firman Allah :

Dalam ayat ini Allah menyuruh menjilid pezina-pezina dan tidak menyuruh dengan dibuang negeri. Dengan menghukum buang negeri bererti melebihi daripada apa yang dikehendaki dalam nas tersebut dan melebihi dari nas adalah ternasakah manakala al-Quran pula tidak boleh dinaskahkan oleg khabar ahad dan menurut riwayat bahawa Saiyidina Umar telah menbuang negeri kepada Rabi bin Umaiyah kerana kesalahan minum arak ke Khaibat yang akhirnya dia masuk Kristian. Apabila Umar mengetahui hal itu dia bersumpah demi Allah aku tidak akan membuang negeri seorang Islam sesudah ini. Kalaulah buang negeri ini bukan hukum syarak nescaya Umar tidak bersumpah untuk meninggalkan hukuman tersebut.

Manakala Ulamak yang mengatakan selain daripada hukuman jilid bagi bukan muhsan ialah dibuang negeri pula berselisihan pendapat mengenai sama ada hukuman itu dikenakan kepada semua orang tidak kira lelaki atau perempuan. Menurut Mazhab Syafie dan Hanbali, Abu Thaur dan lain-lain mengatakan hukuman buang negeri itu diwajibkan ke atas bukan muhsan sama ada lelaki atau perempuan dengan alasan.

a. Sabda Rasulullah dalam Hadith Ubadah.

b. Sabda Rasulullah dalam Hadith Asif.

Manakala Iman Malik dan al-Awza’i pula berpedapat bahawa hukuman buang negeri itu diwajibkan ke atas lelaki sahaja dan tidak kepada perempuan kerana membuang negeri kepada pesalah-pesalah perempuan dengan seorang diri tidak diharuskan, berdasarkan pada larangan Rasulullah s.a.w. kepada perempuan untuk musafir seorang diri dan dengan membuang negeri seorang diri kepada perempuan boleh membawa kepada perbuatan zina kerana dengan menjauhkan daripada kaum keluarganya makin berahi untuk melakukan kejahatan. Dan kalau perempuan itu dibuang neeri bersama muhrimnya maka ini seolah-olah telah menghukum kepada orang yang tidak bersalah dengan menanggung kesalahan orang lain. Ini berlawanan dengan firman Allah :

Maksudnya : Dan tidak ditanggung suatu dosa oleh orang lain.

Orang yang Menjalankan Hukuman Had

Semua ulamak sepakat bahawa yang melaksanakan hukuman zina ialah imam (pemerintah) atau naibnya kerana had itu ialah hak Allah yang disyariatkan untuk kepentingan umum maka wajib diserahkan kepada wakil masyarakat iaitu imam dan juga kerana hukuman had perlu kepada ijtihad dan kalau tidak dijalankan oleh imam atau wakilnya dibimbangkan tidak sempurna atau melebihi daripada yang sepatutnya.

Kehadiran imam tidak menjadi syarat dalam melaksanakan hukuman tersebut kerana Rasulullah pada lazimnya tidak hadir ketika hukuman had dijalankan seperi sabdanya :

Maksudnya : Pergilah kepada perempuan itu jika dia mengaku (berzina) maka rejamlah dia.

Dan juga suruhan Rasulullah untuk merejam Ma’iz dengan baginda tidak hadir, tetapi untuk menjalankan hukuman had itu perlu kepada adanya imam kerana hukuman yang dijalankan dalam zaman Rasulullah adalah dengan izin Rasulullah s.a.w. dan pada zaman Khulafa al-Rasyidin dengan izin mereka.

Hukuman Dijalankan di Khalayak Ramai.

Hukuman had zina hendaklah dijalankan secara terang-terang iaitu dengan disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman sebagaimana firman Allah :

Maksudnya : Dan hendaklah disaksikan hukuman keduanya oleh sekumpulan orang yang beriman.

Hukuman had rejam dengan sendirinya dianggap telah dijalankan dengan terang-terang kerana biasanya bilangan orang yang merejam batu itu banyak tidak terhad supaya cepat menghabiskan nyawa orang yang direjam. Manakala dalam hukuman jilid boleh dijalankan oleh seorang sahaja sebab itu ulamak berselisih tentang bilangan orang yang perlu hadir dalam hukuman jilid. Setengah mentafsirkan ta’ifah sebagai dua orang : seorang yang menjalankan hukuman dan seorang yang memerhati. Setengahnya mengatakan sebagai dua orang selain daripada yang menjalankan hukuman manakala setengahnya mengatakan empat orang dan ada yang mengatakan ta’ifah itu sebagai sepuluh orang.

Cara-cara Dijalankan Hukuman Rejam

Bagi pesalah lelaki dijalankan hukuman rejam dalam keadaan berdiri dengan tidak payah diikat dan tidak ditanam sama ada kesalahannya itu disabitkan dengan saksi atau pengakuan kerana Rasulullah s.a.w. tidak menanam Ma’iz dan Juhainah dan dua orang Yahudi. Tetapi kalau yang direjam itu perempuan maka Imam Abu Hanifah mengharuskan perempuan itu ditanam sampai dadanya kerana itu telah menutup badanya. Imam Syafie pula mengatakan perempuan yang direjam itu ditanam kalau kesalahannyad disabitkan dengan saksi, tetapi kalau disabitkan dengan pengkuan tidak payah ditanam dan jika perempuan itu direjam dengan tidak payah ditanam maka hendaklah diikat pakaiannya supaya tidak terbuka auratnya.

Mengikut Sunnah Rasulullah bahawa orang yang direjam itu hendaklah dikelilingi manusia dari semua penjuru. Manakala setengah ulamak mengatakan bahawa orang yang melontarkan batu rejam itu hendaklah berbaris dalam tiga saf berdasarkan kepada perkataan Saiyidin Ali ketika merejam Syurahah dan orang ramai telah mengelilinginya lalu Saiyidina Ali berkata.

Bukan begitu hendak merejam nanti akan mengenai setengah daripada kamu, berbarislah kamu seperti dalam saf salat.

Kalau pesalah itu disabitkan dengan saksi-saksi maka menurut Abu Hanifah hendaklah saksi-saksi yang memulakan rejam kemudian diikuti oleh imam atau naibnya dan orang ramai. Kalau saksi tidak mahu memulakan hukuman rejam kepada yang bersalah maka gugurlah hukuman had ke atasnya. Manakala Imam Syafie, Malik dan Ahmad tidak mensyaratkan saksi untuk melakukan rejam.

Hukuman rejam boleh dijalankan pada bila-bila masa dan dalam masa pesalah itu sihat atau tidak kerana rejam memang hukuman yang membinasakan, jadi tidak perlu menunggu masa dia sihat, tetapi kalau yang bersalah itu perempuan yang sedang hamil maka tidak boleh dijalankan hukuman rejam ke atasnya melainkan setelah dia bersalin. Hukuman had itu tidak boleh dijalankan di dalam masjid bahkan dijalankan di tempat yang luas dan berjauhan daripada tempat tinggal. Batu-batu yang digunakan untuk rejam itu biarlah sederhana, tidak kecil sangat supaya tidak terlalu lama menyiksakannya dan tidak terlalu besar.

Cara-cara Hukuman Jilid (Sebat) Dijalankan

Hukuman jilid menggunakan cemti dengan pukulan yang sederhana sebanyak 100 kali dengan syarat cemti itu tidak basah supaya tidak luka dan tidak melebihi had. Juga cemti tidak bercabang kerana kalau bercabang tidak dikira satu pukulan bahkan bilangan pukulan mengikut cabang-cabang yang ada.

Imam Malik dan Abu Hanifah mensyaratkan lelaki-lekaki yang dijilid itu hendaklah ditanggalkan pakaiannya kecuali yang menutup auratnya. Manakala Imam Syafie dan Ahmad menyatakan tidak perlu ditanggalkan pakaiannya kecuali kalau dia memakai pakaian yang tebal pasa musim sejuk bolehlah ditanggalkan.

Menurut Imam Malik orang yang dihukum sebat itu disuruh duduk dengan tidak payah diikat melainkan kalau susah untuk dijalankan hukuman sebat. Manakala menurut kebanyakan ulamak sekiranya yang dihukum itu lelaki maka ia dalam keadaan berdiri dan kalau perempuan dihukum dalam keadaan duduk.Tidak boleh sebat terus menerus pada satu tempat bahkan berpindah dari satu tempat yang lain supaya tidak merosakkan satu-satu anggota. Kecuali pada muka kemaluan dan kepada. Imam Malik berpendapat bahawa tempat yang boleh disebat ialah di belakang sahaja.

Hukuman had jilid bukan bertujuan untuk membinasakan (mematikan) pesalah, tetapi sebagai hukuman untuk mencegah daripada melakukan kejahatan. Oleh itu tidak boleh dijalankan pada waktu panas terik atau pada waktu sangat sejuk, dan tidak boleh dijalankan ke atas orang yang sedang sakit dan yang sedang kedatangan nifas dan orang yang sedang hamil


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.