Pages

Subscribe:

23 Mei, 2013


Anwar terus hasut rakyat

ALOR SETAR 22 Mei - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menunjukkan sikap tidak dapat atau enggan menerima hakikat kekalahan pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Dalam satu ceramahnya di Kompleks Pas Kota Sarang Semut di sini malam tadi, beliau juga terus menghasut rakyat terutama golongan muda agar membenci kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
Tanpa menghiraukan kemarahan rakyat terhadap tindak-tanduknya yang meresahkan masyarakat pembagai kaum di negara ini, Anwar juga mengajak orang ramai menyatakan protes.
Anwar masih menganggap pakatan pembangkang menang dalam PRU-13 namun ia dinafikan oleh SPR melaui pelbagai penipuan yang didalangi oleh Barisan Nasional (BN).
"Kita telah menang namun ada undi awal untuk BN daripada orang Bangla, Myanmar, Indonesia.
"Ada penipuan besar dan jenayah yang telah dilakukan oleh SPR dan BN, sebelum pilihan raya tipu, selepas pilihan raya pun tipu.
"Jadi saya seru rakyat untuk bangkit lawan penipuan ini, kita mesti pertahankan kemenangan, kita mesti tuntut Putrajaya daripada sekarang," katanya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130522/po_12/Anwar-terus-hasut-rakyat#ixzz2U6nIqe5L
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Cadangan Karpal dianggap hina Dewan Negara

NADZIM Johan (dua kiri) bersama beberapa NGO mengadakan sidang media membantah kenyataan Karpal Singh di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 22 Mei - Cadangan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan Dewan Negara dimansuhkan merupakan penghinaan kepada fungsi institusi itu yang telah wujud selama lebih 50 tahun.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan Karpal mempersoal dan mempolitikkan peranan Dewan Negara jelas cuba menafikan kuasa Perlembagaan negara.
Sehubungan itu, menurut beliau, sebanyak 83 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam sebulat suara membantah sekeras-kerasnya cadangan Karpal tersebut.
"Usaha DAP memansuhkan Dewan Negara diketahui sejak dahulu lagi dan kali ini kami mahu tindakan tegas diambil terhadap Karpal berhubung isu tersebut.
"Kami juga mahu ahli DAP fikir semasak-masaknya peranan Dewan Negara yang selama lebih 50 tahun mewakili rakyat termasuk ahli DAP sendiri menyuarakan pelbagai permasalahan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 18 Mei lalu, Karpal mencadangkan Dewan Negara dimansuhkan kerana beliau berpendapat kewujudan institusi itu tidak memberi makna secara menyeluruh dan hanya membazir.
Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, kaedah seperti yang diamalkan Singapura iaitu kewujudan ruang perundangan tunggal sesuai diamalkan di negara ini untuk kepentingan awam.
Menurut Nadzim, pihaknya turut menyokong pendirian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya pihak yang cuba mengganggu kestabilan negara dikenakan tindakan tegas.
Dalam pada itu, Presiden Suara Anak Muda 1Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah berkata, tindakan Karpal mempersoal kewujudan Dewan Negara menunjukkan beliau tidak memahami sepenuhnya fungsi dan peranan institusi tersebut yang banyak membela rakyat.
"Dewan Negara diwujudkan sebagai suara yang mewakili rakyat, jadi DAP tidak patut menyentuh peranan institusi ini demi agenda politik mereka," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia, Zulkifli Sharif berkata, cadangan Karpal tersebut membayangkan DAP berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara republik seperti Singapura.
"Sehubungan itu, saya mengajak seluruh rakyat mempertahan Perlembagaan negara bagi mengelak cita-cita DAP tersebut menjadi kenyataan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130523/po_01/Cadangan-Karpal-dianggap-hina-Dewan-Negara#ixzz2U6nusgw4
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Dewan Pemuda Pas tolak politik ganas

Nasrudin Hassan
KUALA LUMPUR 21 Mei - Dewan Pemuda Pas menolak perhimpunan jalanan yang sedang digerakkan oleh aktivis-aktivis propembangkang bagi memprotes keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ketuanya, Nasrudin Hassan menegaskan, pihaknya menolak keganasan serta suasana huru-hara dan kacau-bilau di dalam negara ini.
Menurut beliau, Dewan Pemuda Pas mengambil pendirian itu kerana mereka menyayangi negara dan seluruh rakyat.
"Kami berjuang untuk masa depan agama, negara dan rakyat.
"Kami tidak akan turun ke jalan raya untuk mencetus keganasan dan keresahan rakyat sebagaimana yang telah ditegaskan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz semalam," katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.
Nik Mohd. Abduh dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya semalam menyifatkan cubaan menggulingkan kerajaan menerusi kaedah spring atau 'ledakan di jalan raya' sebagai perbuatan gopoh.
Sebaliknya, Nik Mohd. Abduh mengajak golongan muda agar insaf kerana semangat berkobar-kobar tidak boleh meminggirkan sifat sabar dalam memburu kemenangan.
Seruan Nik Mohd. Abduh itu mengundang pelbagai reaksi daripada para pengikutnya di Facebook, malah salah seorang daripadanya yang menggunakan identiti Jean Francoise menggelarkan Ahli Parlimen Parlimen Pasir Mas itu sebagai 'bebal'.
Bagi mengulas lanjut, Nik Mohd. Abduh dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini berkata, beliau menyokong perhimpunan aman, namun usaha itu memerlukan persetujuan rasmi kesemua parti dalam pakatan pembangkang dan pemantauan rapi.
"Takut provokasi tak terkawal oleh musuh pakatan pembangkang yang sentiasa mahu mengotorkan reputasi pakatan yang cintakan keamanan dan kesejahteraan hidup," ujarnya.
Beliau turut menasihatkan pengikut-pengikutnya di Facebook membaca pesanan yang dimuatkan dalam kenyataannya semalam berulang kali kerana mengandungi nasihat yang bagus.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130522/po_02/Dewan-Pemuda-Pas-tolak-politik-ganas#ixzz2U6oEQmaD
© Utusan Melayu (M) Bhd 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.