Pages

Subscribe:

01 Mei, 2013

[hang nadim] Dalang Lahad Datu:.....


Dalang Lahad Datu: Pegawai JSJ rekod keterangan Raja Petra hari ini

KUALA LUMPUR 1 Mei - Keterangan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang mendakwa mempunyai maklumat bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah akan mula direkodkan esok.
Maklumat daripada Raja Petra itu akan direkodkan oleh dua atau tiga pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Menurut sumber, sesi mengambil keterangan itu akan berlangsung sama ada di Jakarta, Indonesia atau di Singapura tetapi masanya belum dapat dipastikan lagi.
"Keterangan (Raja Petra) akan direkodkan sebaik sahaja beliau tiba ke negara tersebut.
"Buat masa ini, beliau difahamkan masih lagi dalam perjalanan dari Manchester, United Kingdom ke lokasi pertemuan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber berkata, pegawai JSJ yang dihantar itu dijangka meluangkan masa kira-kira dua jam bersama penulis tersebut bergantung kepada maklumat dan bukti yang dikemukakannya.
Katanya, rakaman percakapan Raja Petra dijangka dapat membantu polis merungkai misteri siapa dalang di sebalik insiden pencerobohan Lahad Datu pada 1 Mac lalu yang mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan.
"Penghantaran pegawai JSJ terbabit bertemu Raja Petra adalah berikutan kenyataan yang didedahkannya dalam Malaysia Today bahawa beliau mempunyai bukti dan butiran lengkap berkenaan penglibatan Anwar dalam insiden tersebut.
"Dipercayai Raja Petra adalah antara sumber kukuh yang dapat membantu mengheret dalang insiden berdarah itu ke muka pengadilan," ujarnya.
Utusan Malaysia hari ini, melaporkan polis semakin hampir mengenal pasti siapa dalang di sebalik insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu.
Ia berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pegawainya ke sebuah negara jiran dalam masa terdekat untuk merakam keterangan Raja Petra.
Langkah itu adalah susulan artikel ditulis Raja Petra yang mendakwa mempunyai maklumat bahawa Ketua Pembangkang itu mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan berkenaan.
Artikel itu yang bertajuk Kisah di sebalik insiden Lahad Datu disiarkan Raja Petra di dalam laman web tersebut pada 25 Mac lalu.
Dalam artikel tersebut, beliau mendakwa mempunyai butiran setiap perjumpaan yang berlangsung di antara Anwar dan bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari.

Lahad Datu: PM mahu pertemuan sulit didedahkan

KUALA TERENGGANU 1 Mei - Rakyat berhak mengetahui apa yang dibincangkan oleh seorang pemimpin pembangkang dengan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di sebalik insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu yang mengorbankan 10 anggota keselamatan dan menimbul kesusahan kepada rakyat.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, namun sehingga kini tiada sebarang kenyataan dibuat bagi memperjelaskan hasil pertemuan sulit itu yang menimbulkan tanda tanya itu.
Perdana Menteri berkata, seluruh rakyat ternanti-nanti untuk mengetahui perkara yang diperbincangkan itu dan mereka wajib mengetahuinya apabila ia berkait dengan keselamatan rakyat di mana sahaja.
"Ada pemimpin pertama mereka (pembangkang) telah mengadakan pertemuan sulit empat mata dengan seorang yang tak senang hati dengan Malaysia. Tapi sampai hari ini, belum ada apa-apa kenyataan yang memperjelaskan apa yang dibincangkan oleh mereka," kata Najib.
Perdana Menteri menyatakan perkara itu ketika berucap pada majlis Pertemuan Dengan Anggota Rela Terengganu di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini, yang dihadiri kira-kira 5,000 anggota dari seluruh negeri ini. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan
© Utusan Melayu (M) Bhd
Misteri dalang hampir terungkai
Raja Petra
KUALA LUMPUR 30 April - Misteri siapa dalang di sebalik insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah, yang mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan kini semakin terungkai.
Ini berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pegawainya ke sebuah negara jiran dalam masa terdekat untuk merakam keterangan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.
Langkah itu adalah susulan artikel ditulis Raja Petra yang mendakwa mempunyai maklumat bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu.
Artikel itu yang bertajuk Kisah di sebalik insiden Lahad Datu disiarkan Raja Petra di dalam laman web tersebut pada 25 Mac lalu.
Menurut sumber, pertemuan tersebut dijangka diadakan oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di salah sebuah negara jiran dalam tempoh dua atau tiga hari lagi sejurus selepas Raja Petra tiba dari Manchester, United Kingdom.
Sumber itu bagaimanapun menafikan Raja Petra mungkin akan ditahan tetapi hanyalah pertemuan bagi membolehkan rakaman percakapan beliau dibuat.
"Pihak JSJ terpaksa memanggil Raja Petra untuk dirakam keterangan selepas beliau menyiarkan kenyataan di dalam blog miliknya bahawa beliau mempunyai bukti yang dapat mengaitkan penglibatan Anwar dalam insiden tersebut.
"Bagaimanapun, rakaman percakapan tersebut tidak akan diadakan di negara ini memandangkan Raja Petra enggan pulang ke Malaysia buat sementara waktu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Raja Petra dalam blog miliknya itu mendakwa, beliau mempunyai butiran setiap perjumpaan yang berlangsung di antara Anwar dan bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari.
Ini termasuk perjumpaan yang diadakan di Hotel Crowne Plaza, Jakarta, Indonesia, yang diaturkan oleh seorang ahli Parlimen republik itu pada 16 Julai 2012.
Pada 4 Ogos 2012 pula, Anwar dilaporkan menaiki penerbangan MH704 ke Manila, Filipina untuk pengesahan satu perjanjian dipercayai berhubung Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Sumber itu seterusnya berkata, keterangan Raja Petra akan diambil di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah yang dipercayai dapat membuktikan kaitan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan insiden pencerobohan di pantai timur Sabah, awal Mac lalu.
"Pihak polis percaya melalui rakaman percakapan Raja Petra, dapat membantu menyelesaikan siasatan insiden berdarah tersebut selain mengenal pasti dalang sebenar di sebalik pencerobohan itu," katanya 


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/

Esscom kenal pasti individu terbabit

Mohammad Mentek
KOTA KINABALU 30 April - Bahagian Risikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (Esscom) telah mengenal pasti individu yang terlibat dalam insiden pencerobohan militan Sulu di Lahad Datu pada Februari lepas.
Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek berkata, mereka termasuk orang yang telah lama berada di Sabah.
"Mereka ini akan dipantau," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan penjawat awam Persekutuan yang turut dihadiri Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Abu Bakar Hassan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, hari ini.
Menurut Mohammad, setakat ini Esscom yang bekerjasama dengan pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia, tidak menerima laporan mengenai ancaman pencerobohan dan serangan pihak luar ke atas Sabah.
Pada masa yang sama, beliau mengalu-alukan kerjasama daripada agensi dan jabatan kerajaan bagi menyokong usaha Esscom dalam menjamin keselamatan di pesisir pantai timur Sabah sepanjang 1,400 kilometer itu.
Katanya untuk peringkat permulaan, mereka melakukan program turun padang di semua 10 daerah di bawah Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) bagi menjelaskan peranan badan itu.
Berkuat kuasa 4 April, Mohammad meneraju Esscom dengan dibantu empat pengarah yang masing-masing mengetuai Bahagian Pertahanan; Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam (KDKA); Bahagian Awam; dan Bahagian Risikan Bersama.
Pembentukan Esscom diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas ketika meninjau operasi pasukan keselamatan membanteras kumpulan pengganas dari selatan Filipina di Felda Sahabat 16, Lahad Datu.
Esscom meliputi lima daerah iaitu Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.
Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) pula merangkumi 10 daerah termasuk lima daerah ESSCOM serta Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan dan Semporna. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.