Pages

Subscribe:

03 Jun, 2013

[hang nadim] Anwar rancang cetus huru-hara?.....

Oleh HUSSAINI AMRAN 
pengarang@utusan.com.my



Ng Lum Yong
KUALA LUMPUR 3 Jun - Kekecohan dan huru-hara dijangka berlaku dalam salah satu daripada lima demonstrasi jalanan yang dirancang oleh pembangkang bulan ini.
Bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong berkata, maklumat tentang perancangan itu diperolehinya daripada sumber dalaman pembangkang.
Beliau mendakwa, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang mencetuskan suasana huru-hara itu bagi membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.
"Walaupun pakatan pembangkang mendakwa mereka berhimpun secara aman, kita khuatir insiden tidak diingini seperti letupan akan berlaku sehingga mengakibatkan peserta demonstrasi tercedera.
"Anwar seterusnya akan menyalahkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sebagai dalang di sebalik insiden tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Lum Yong mengulas kenyataan Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor yang mendakwa Anwar menganjurkan perhimpunan haram di seluruh negara kerana mahu mengalihkan tumpuan rakyat daripada tiga perkara yang paling ditakutinya.
Tiga perkara itu ialah rayuan kes liwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, isu pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah dan pendedahan bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakaruppan berhubung aktiviti seks beliau.
Tambah Lum Yong, Anwar merancang untuk melakukan sesuatu yang drastik apabila menyedari momentum perhimpunan haram yang dianjurkannya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin berkurangan.
"Anwar akan tetap meneruskan perancangannya walaupun tidak mendapat persetujuan daripada Pas dan Bersih," ujarnya.
Beliau juga berpandangan, motif utama Anwar menganjurkan siri perhimpunan haram adalah untuk memuaskan keghairahannya menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar memberitahu, rakyat mahu melihat kerajaan bertindak tegas untuk mengekang perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang.
"Kita tidak sepatutnya membiarkan Anwar terus membohongi rakyat dengan tuduhan palsu terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi siri perhimpunan haram," ujarnya.
Jelas beliau, tindakan Anwar selepas PRU-13 tidak menghairankan kerana segalanya telah dirancang sejak sekian lama.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130604/dn_02/Anwar-rancang-cetus-huru-hara#ixzz2VCQaiZfC
© Utusan Melayu (M) Bhd 


NGO desak Anwar berhenti mempergunakan rakyat

KUALA LUMPUR 3 Jun - Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti daripada terus mempergunakan rakyat sebagai alat untuk menutup isu yang membelenggunya.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim berkata, cukuplah beliau dan rakan-rakannya yang pernah diperbodoh serta dipergunakan semata-mata untuk menjaga kepentingan Anwar.
"Menghasut rakyat supaya menyertai perhimpunan haram adalah kepakarannya sejak dahulu lagi dan Anwar sebenarnya tidak pernah berjuang untuk rakyat kerana dia hanya mahu menyelamatkan survival politiknya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor yang mendakwa Anwar menganjurkan siri perhimpunan haram di seluruh negara kerana mahu mengalih tumpuan rakyat daripada tiga perkara yang paling ditakutinya.
Ketiga-tiga perkara itu ialah rayuan kes liwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, isu pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah dan pendedahan bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakaruppan berhubung aktiviti seks beliau.
Menurut Ruslan, Anwar sengaja menganjurkan perhimpunan haram itu atas alasan kononnya terdapat penipuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) walaupun hakikatnya tidak berlaku.
"Sebab itu Anwar mahu rakyat memberi tumpuan pada himpunan berkenaan supaya mereka dapat melupakan segala isu yang mengaitkan diri beliau," katanya.
Sementara itu, Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar berkata, semua pihak sudah tahu taktik Anwar yang sengaja menimbulkan isu palsu dan tidak benar, semata-mata mahu mengalihkan kesalahannya daripada pandangan umum.
"Dia sebenarnya tertekan ekoran kegagalannya mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri sekali gus menggugat karier politiknya.
"Sebab itu perhimpunan haram hanya satu cara untuk beliau terus bertahan dan tumpuan rakyat beralih pada isu yang diciptanya sendiri," katanya.
nya fikir kesan serta akibat yang timbul, sebab kepentingan diri sendiri lebih utama bagi beliau," ujarnya.
Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim pula berkata, rakyat sendiri boleh menilai keperibadian Anwar yang dilihat begitu terdesak mengadakan perhimpunan haram walaupun sebahagian besar pemimpin kanan Pas dan Dewan Ulama Pas tidak senada dengannya.
"Anwar sebenarnya agak tertekan terutamanya apabila kebanyakan pemimpin Pas tidak menyokong dan sependapat dengan 'perjuangannya'.
"Dia tahu hanya dengan menganjurkan perhimpunan haram, segala isu yang dikaitkan dengannya akan dilupakan begitu sahaja," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130604/dn_05/NGO-desak-Anwar-berhenti-mempergunakan-rakyat#ixzz2VCRXmNep
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dakwaan tipu PRU-13 direka

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
PUTRAJAYA 3 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dakwaan berlaku penipuan besar-besaran dalam pilihan raya umum lalu sebenarnya merupakan jalan cerita (storyboard) yang direka sesetengah pihak berbulan-bulan lebih awal sebelum hari mengundi.
Perdana Menteri berkata, rancangan itu menyebabkan ramai yang terpedaya sehingga mewujudkan paranoid pada hari mengundi apabila ada rakyat yang dihalang mengundi hanya kerana mempunyai warna kulit hitam manis.
“Ia dimuat naik dalam laman YouTube kononnya kita merancang penipuan dalam pilihan raya, ia membawa keadaan paranoid pada hari mengundi.
“Ramai yang percaya dan ada yang sanggup tahan rakyat yang berkulit hitam manis. Mereka terpedaya dengan cerita yang bertujuan mempertikai kredibiliti proses pilihan raya Malaysia," katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Perhimpunan pertama yang diadakan selepas pilihan raya pada 5 Mei itu dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Idris Jala, Tan Sri Joseph Kurup, Datuk Joseph Entulu Belaun, Datuk Seri Shahidan Kassim, Nancy Shukri dan Datuk Paul Low.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Najib berkata, semua pihak yang memahami proses pilihan raya tahu bahawa penipuan besar-besaran mustahil dilakukan kerana setiap pusat mengundi telah diawasi oleh ejen parti yang merupakan orang tempatan dan mengenali pengundi.
“Kalau ada orang asing yang cuba dijadikan sebagai pengundi, sudah tentu ejen akan bantah dan protes.
“Dakwaan bahawa kita import 40,000 warganegara Bangladesh adalah tidak masuk akal kerana 100 buah jet jumbo dan 1,000 buah bas diperlukan untuk mengangkut mereka," katanya.
Sehubungan itu Perdana Menteri mengajak rakyat dan penjawat awam mengorak langkah ke depan serta tidak membuang masa dengan terlibat dalam politik berlebihan.
Najib berkata, proses pilihan raya telah selesai kira-kira sebulan lalu dan tindakan ‘menoleh ke belakang’ hanya akan mengalih perhatian daripada perkara lebih serius iaitu menunaikan amanah rakyat.
Beliau berkata, hampir semua pemimpin dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China, United Kingdom dan negara-negara ASEAN telah mengucapkan tahniah, tanda mereka mengiktiraf mandat yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN).
“Menteri Luar Australia (Senator Bob Carr) sendiri telah menyatakan dengan jelas bahawa pilihan raya yang diadakan di Malaysia sebagai boleh dipercayai," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus melakukan perubahan melalui agenda transformasi negara di mana program-program di bawahnya mungkin perlu dipercepat dan diperkukuhkan.
“Satu kelemahan yang dikesan mungkin kita tidak cekap dalam menangani ‘perang persepsi’, ini perlu ditangani dan diberi perhatian. Persepsi boleh diwujud dengan pelbagai cara, bukan sahaja secara bersemuka tetapi melalui Facebook," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130604/dn_01/Dakwaan-tipu-PRU-13-direka#ixzz2VCRnA1UO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anwar 'tikam' penyokong untuk jadi Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 3 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai seorang yang tidak mempunyai kewibawaan kerana sanggup 'menikam' kaum India semata-mata mahu mengejar matlamatnya menjadi Perdana Menteri.
Penolong Setiausaha Kehormat Persatuan Telugu Malaysia, S. Sathiah berkata, beliau tidak terperanjat apabila Anwar sekali lagi akan 'meliwat' pengorbanan kaum India yang banyak berjasa sehingga membolehkan pemimpin parti pembangkang itu menang besar di Pulau Pinang dan Selangor.
Beliau turut menyifatkan Anwar sebagai 'raja segala penipu' apabila gagal mengotakan janjinya untuk membantu menyelesaikan isu-isu melibatkan kaum India.
Jelasnya, tindakan Anwar yang sering kali berdolak-dalik itu menandakan beliau seorang yang tidak boleh dipercayai kerana berjaya memperalatkan kaum India dengan hanya menabur janji kosong yang sengaja digembar-gemburkan bagi meraih sokongan rakyat.
"Kita ambil contoh isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, apa sudah jadi dengan janjinya yang akan mempertahankan hak penduduk perkampungan setinggan itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, Anwar bukan sahaja lupa dengan janjinya itu selepas pembangkang merampas Pulau Pinang daripada Barisan Nasional (BN), tetapi penduduk yang terbabit juga telah 'dihalau' oleh kerajaan DAP yang mahu membangunkan kawasan tersebut
Beliau mengulas kenyataan Pemimpin Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf), P. Uthayakumar berhubung sikap Ketua Pembangkang itu yang dilihat hanya berminat mengejar undi kaum India berbanding menjaga kebajikan mereka.
Sathiah berkata, kaum India di negara ini berasa tertipu dengan janji-janji manis yang tidak pernah dikotakan dan kerana itu mereka beralih memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Anwar pernah menjanjikan dua tempat bagi jawatan Exco kerajaan negeri untuk kaum India sebelum pilihan raya lalu, namun setelah berjaya beliau gagal menunaikan janjinya.
"Sekurang-kurangnya, kerajaan BN mampu melaksanakan janjinya dengan melantik Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy sebagai wakil kaum India," jelasnya.
Sementara itu, Presiden Gagasan Pelajar India 1Malaysia (1MISM), Mahaganapathy Dass turut menyelar tindakan Anwar yang gagal menunaikan janjinya kepada kaum India untuk mempertahankan kuil-kuil di Selangor daripada dirobohkan.
"Sejak pembangkang mengambil alih Selangor, kira-kira lapan buah kuil telah di robohkan, Anwar merupakan pemimpin yang bermuka-muka dan sering memperdayakan rakyat khususnya kaum India bagi meraih undi.
"Pemimpin bertopeng seperti Anwar perlu ditolak, sudah tiba masanya bagi kaum India bangun mempertahankan maruah mereka yang telah dipijak-pijak oleh Ketua Pembangkang itu," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130604/dn_03/Anwar-tikam-penyokong-untuk-jadi-Perdana-Menteri#ixzz2VCSMSgTU
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.