Pages

Subscribe:

05 Jun, 2013

[hang nadim] Perkasa tujuh wasiat Raja-Raja Melayu......





KUALA LUMPUR 5 Jun - Kerajaan diminta melaksana dan memperkasa tujuh wasiat Raja-Raja Melayu supaya kepentingan serta hak keistimewaan orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terjamin.
Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam (gambar) berkata, langkah itu perlu diambil segera berikutan banyak kepentingan orang Melayu seperti tanah rizab Melayu, kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi semakin terhakis.
Katanya, wasiat itu juga perlu diingatkan kembali kepada rakyat apatah lagi dengan perkembangan semasa yang turut memperlihat institusi diraja dipertikai pihak tertentu.
"Lihat bagaimana tanah rizab orang Melayu semakin mengecil dan kini tinggal kurang 30 peratus berbanding 50 peratus seperti yang terkandung dalam wasiat itu.
"Malah, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan juga telah mula berani dipertikai kaum lain yang sepatutnya tidak berlaku kerana perkara itu jelas terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merumuskan kertas kerjanya yang bertajuk '7 Wasiat Raja-raja Melayu: Satu analisis sejarah dan Perlembagaan Negara Malaysia' dalam Seminar Institusi Raja (SIRaj) di sini hari ini.
Beliau berkata, wasiat itu masih relevan dan akan terus diguna pakai kerana kesemua tujuh wasiat tersebut telah dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, sistem pentadbiran negara yang mengamalkan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen berjaya diadun dengan baik selama lebih 55 tahun.
"Perubahan perspektif mungkin berlaku kerana beberapa faktor seperti perubahan masa dan persekitaran. Namun, kedudukan pemerintahan beraja sebagai pengimbang kepada sistem pentadbiran dan pengurusan negara yang dipimpin rakyat akan terus kekal selagi Perlembagaan tidak diubah," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130606/dn_04/Perkasa-tujuh-wasiat-Raja-Raja-Melayu#ixzz2VO0wGTp8
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Yang di-Pertuan Agong, Sultan bukan boneka

KUALA LUMPUR 5 Jun - Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu bukan boneka yang hanya sekadar menurunkan mohor perkenan kepada setiap dokumen yang dipersembah dengan mata tertutup, mulut terkunci dan tangan terikat tanpa kuasa menyuarakan pendirian.
Sebaliknya, titah baginda, raja dan Yang di-Pertuan Agong berperanan sebagai penimbang tara yang adil dan saksama jika mendapati nasihat yang dipersembah menyimpang daripada undang-undang, tergelincir daripada landasan keadilan, berunsur penindasan atau boleh memudaratkan negara.
Baginda bertitah, raja tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberi perkenan jika nasihat yang dipersembah bertentangan syarak, bercanggah dengan Perlembagaan serta undang-undang sehingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman.
"Raja Berperlembagaan memiliki tiga hak. Pertama hak untuk dirunding, kedua, hak untuk memberi nasihat dan terakhir hak untuk memberi peringatan.
"Apabila dirujuk, raja hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa ragu dan pilih kasih dan dalam perkara berkait dengan budi bicara, baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah lagi bijaksana demi membuktikan raja bersifat arif, adil sebagai penimbang tara yang bebas dari cabang legislatif, eksekutif serta kehakiman," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Perlembagaan dan Islam: Peranan Institusi Raja sempena Seminar Institusi Raja (SIRaj), di sini hari ini.
Sementara itu, Raja Dr. Nazrin melahirkan kebimbangan terhadap landskap politik negara yang mengalami perubahan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12.
Baginda bertitah, landskap politik itu mengalami tsunami yang memperlihat negara semakin menuju kepada senario politik dua parti.
Titah baginda, senario itu sekiranya berlangsung secara tertib, meluhurkan Perlembagaan Persekutuan, mendaulatkan undang-undang dilihat berpotensi memberi impak positif.
"Tetapi kelihatan kaedah menuju ke arah senario itu bagai mencetus gelombang perpecahan yang ombaknya semakin menghempas minda rakyat.
"Rakyat kelihatan semakin terpisah sehingga benteng perpaduan semakin retak, malah lebih membimbangkan jika keretakan itu tercetus atas nama agama dan kaum," titah baginda.
Dalam pada itu, Raja Dr. Nazrin bertitah, Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak dalam Perlembagaan Persekutuan.
Titah baginda, Perkara 3 (1) Perlembagaan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan peruntukan lain telah memartabat Islam sebagai agama Persekutuan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130606/dn_02/Yang-di-Pertuan-Agong-Sultan-bukan-boneka#ixzz2VO19iFOD
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Politik: Jangan heret institusi raja
TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan Seminar Institusi Raja anjuran Universiti Malaysia Perlis di Lanai Kijang, Kuala Lumpur, semalam. Turut berangkat, Raja Dr. Nazrin Shah dan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut sama, Azlan Man (belakang kiri). - BERNAMA

KUALA LUMPUR 5 Jun - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan semua pemimpin politik agar tidak mengheret institusi diraja dalam kancah politik dengan emosi tidak terkawal.
Baginda bertitah, tindakan tidak bertanggungjawab itu yang dibuat semata-mata memuaskan hati sesetengah pihak menyebabkan ketinggian Perlembagaan menjadi permainan.
Jelas baginda, Kesetiaan kepada Raja dan Negara sebagaimana terkandung dalam prinsip kedua Rukun Negara mesti dijunjung semua pihak kerana raja merupakan payung kepada rakyat.
"Namun, dengan beberapa isu sensitif yang mencabar kedaulatan serta perundangan negara dewasa ini, beta pasti sedikit sebanyak institusi diraja turut terpalit dengan pelbagai kontroversi.
"Jangan diheret institusi ini dengan emosi tidak terkawal demi memuaskan hati sesetengah pihak sehingga ketinggian Perlembagaan menjadi mainan," titah baginda ketika merasmikan Seminar Institusi Raja (SIRaj) di sini hari ini.
Seminar dua hari anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertujuan memperjelas peranan institusi raja sebagai payung kepada rakyat.
Turut berangkat, Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim serta Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, seluruh rakyat perlu sedar dan insaf mengenai tujuh wasiat raja Melayu yang menjadi asas kepada tertubuhnya negara Malaysia bertamadun serta berdaulat.
Sehubungan itu, titah baginda, 'ubat' paling mujarab bagi menyedarkan rakyat mengenai wasiat tersebut serta menangani isu tidak menghormati institusi diraja ialah melalui elemen pendidikan.
"Beta percaya pendedahan lebih meluas tentang konsep pemerintahan yang berteraskan sistem raja berperlembagaan wajar diketengahkan menerusi subjek Sejarah di sekolah," titah baginda.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130606/dn_01/Politik-Jangan-heret-institusi-raja#ixzz2VO1MMZsK
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Rakyat wajib bangkit pertahan institusi raja - Harussani
KUALA LUMPUR 5 Jun - Seluruh rakyat khususnya orang Melayu digesa bangkit mempertahankan institusi raja yang kini berdepan ancaman daripada kelompok tertentu terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) berkata, Islam sendiri mengarahkan setiap umatnya mentaati raja dan adalah berdosa jika rakyat bertindak menderhaka termasuk menghasut orang ramai bangkit mengancam institusi raja.
"Apabila raja diancam, umat Islam wajib berjihad mempertahankannya apatah lagi dalam situasi di Malaysia," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Islam dan Raja' pada Seminar Institusi Raja di sini hari ini.
Dalam pada itu, seorang lagi ahli panel, Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali ketika sesi soal jawab memberitahu, adalah tidak mustahil untuk Malaysia bertukar menjadi negara republik.
Beliau yang juga pensyarah kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya mengambil contoh apa yang berlaku di Iran, Mesir dan Indonesia sebagai teladan tentang bagaimana negara tersebut bertukar daripada sistem beraja ke republik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130606/dn_05/Rakyat-wajib-bangkit-pertahan-institusi-raja---Harussani#ixzz2VO1a47Am
© Utusan Melayu (M) Bhd 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.