Pages

Subscribe:

09 Jun, 2013

[hang nadim] Boleh hancurkan negara'.......





KUALA LUMPUR 9 Jun - Fitnah dan hasutan berterusan yang disebarkan oleh Red Bean Army menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakyat.
Presiden Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata, kegiatan tentera siber pembangkang itu mesti dikekang demi menjaga kestabilan negara dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Menurut beliau, aktivis Red Bean Army sengaja memainkan sentimen perkauman sempit semata-mata mahu mengapi-apikan kaum Cina bagi memburukkan- burukkan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan.
"Kita bimbang perbuatan tidak bertanggungjawab mereka itu boleh mengundang keadaan huru-hara sehingga menghancurkan negara.
"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis perlu bertindak tegas terhadap dalang-dalang di sebalik Red Bean Army dengan segera mengheret mereka ke muka pengadilan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai Red Bean Army yang dibentuk bagi mencipta penipuan dan memanipulasi fakta bukan sahaja untuk menyerang BN, malah sesiapa sahaja yang menyokong parti itu.
Pasukan berkenaan yang berpangkalan di sebuah hotel di ibu negara dan juga di pejabat Komtar, Pulau Pinang akan menyerang serta menakut-nakutkan sesiapa sahaja yang bercakap buruk tentang DAP dan pakatan pembangkang.
Red Bean Army juga didakwa memainkan peranan memanipulasi sentimen kaum Cina untuk menolak calon-calon Melayu daripada BN yang bertanding dalam PRU-13 lalu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang menafikan beliau mengetahui tentang kewujudan Red Bean Army walaupun pendedahan tentang tentera siber pembangkang itu dibuat oleh bekas Setiausaha Eksekutif Pemuda Kebangsaan DAP, Shen Yee Aun.
Tambah Razali, buat permulaan, kerajaan boleh mewajibkan permohonan lesen untuk pengendali blog bagi memudahkan tindakan diambil sekiranya mereka melanggar undang-undang negara.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kassim menyifatkan dakwaan Kit Siang kononnya tidak mengetahui tentang Red Bean Army sebagai strategi untuk melarikan diri daripada isu sebenar.
Menurut beliau, reaksi Kit Siang itu tidak menghairankan kerana pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang sering dilanda 'sindrom penafian'.
"Berdasarkan pengalaman saya di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dahulu, pakatan pembangkang memanipulasi media sosial sebagai saluran utama bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap BN dalam kalangan rakyat," katanya.
Ruslan turut menggesa pihak berkuasa membuktikan ketegasan dalam menangani ancaman Red Bean Army dan bukan sekadar memberikan amaran sahaja.
Dalam pada itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi memberitahu, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan amat berharap pihak berkuasa bertindak segera terhadap Red Bean Army.
"Kita hanya mampu mendesak tetapi pihak berkuasa sahaja yang boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan," jelasnya.
Beliau berpandangan, kegiatan Red Bean Army menyebarkan kenyataan berbaur perkauman menerusi media sosial tidak sepatutnya dibiarkan berpanjangan.
Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM), Mohd. Ali Baharom berkata, pihak berkuasa hendaklah mengesan identiti sebenar anggota-anggota Red Bean Army supaya mereka boleh dipertanggungjawabkan atas fitnah dan hasutan yang disebarkan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130610/po_01/Boleh-hancurkan-negara#ixzz2VlLa0Scn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Harun enggan ulas kenyataan Mat Sabu

KUALA TERENGGANU 9 Jun - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib enggan mengulas lanjut kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mahu seluruh pimpinan parti itu turut serta dalam perhimpunan pembangkang 15 Jun ini.
Katanya, beliau tidak tahu-menahu mengenai kenyataan itu dan tidak mahu membuat sebarang ulasan.
"Saya tak tahu pun. Jadi, saya malas nak komen panjang-panjang," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Harun berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu selepas mesyuarat jawatankuasa Pas Pusat di Ibu Pejabat Pas di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Mat Sabu, jawatankuasa itu sebulat suara bersetuju supaya parti tersebut mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan.
"Ya. Kita akan hadir. Dalam mesyuarat tadi semua sebulat suara bersetuju untuk hadir," katanya seperti yang dilaporkan portal propembangkang, Malaysiakini.
Kenyataan itu sekali gus bertentangan dengan pendirian yang disuarakan Harun sebelum ini bahawa Pas tidak menganjur atau mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut kerana menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.
Mengulas mengenai perbezaan pendirian itu, Harun sekadar menegaskan, menyertai perhimpunan bagi penyokong dan pemimpin Pas adalah perkara biasa.
"Kita memang 'sokmo' (selalu) pergi himpunan. Pergi dengar ceramah dan sebagainya. Biasalah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130610/po_03/Harun-enggan-ulas-kenyataan-Mat-Sabu#ixzz2VlMm13F5
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Dua pemimpin DAP didakwa dalang Red Bean Army

KUALA LUMPUR 9 Jun - Dua pemimpin kanan DAP didakwa bertanggungjawab menyelia kegiatan lebih 200 anggota Red Bean Army di sekitar Pulau Pinang dan Selangor.
Bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, salah seorang daripada mereka bergelar ahli Parlimen dan seorang lagi memegang jawatan kanan di dalam parti.
Menurut beliau, pasukan tentera siber itu diwujudkan DAP sejak 2008, khusus untuk menyerang kerajaan dan Barisan Nasional (BN).
"Separuh daripada anggota Red Bean Army menerima bayaran untuk menjalankan kegiatan mereka, manakala bakinya berkhidmat secara sukarela.
"Kira-kira 97 peratus anggota Red Bean Army berketurunan Cina dan bakinya kaum-kaum lain. Setahu saya, tiada orang Melayu di dalam pasukan tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohamed Razali mengulas mengenai Red Bean Army yang dibentuk bagi mencipta penipuan dan memanipulasi fakta bukan sahaja untuk menyerang BN, malah sesiapa sahaja yang menyokong parti itu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang menafikan beliau mengetahui tentang kewujudan Red Bean Army walaupun pendedahan tentang tentera siber pembangkang itu dibuat oleh bekas Setiausaha Eksekutif Pemuda Kebangsaan DAP, Shen Yee Aun.
Tambah Mohamed Razali, anggota-anggota Red Bean Army perlu mengikuti latihan khusus bagi memupuk kebencian terhadap UMNO, Islam dan institusi diraja dalam diri mereka.
"Kita dapat melihat sendiri betapa dahsyatnya mereka memainkan isu perkauman semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) baru-baru ini," ujarnya.
Beliau juga tidak terkejut dengan penafian Kit Siang kerana pemimpin-pemimpin DAP sentiasa mendakwa kononnya parti itu mengamalkan politik bersih.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap Red Bean Army.
"Kita bimbang lambat-laun rakyat akan termakan dengan segala fitnah dan hasutan yang disebarkan oleh Red Bean Army," jelasnya.
Kata beliau, kegiatan Red Bean Army perlu dibendung secepat mungkin bagi mengelakkan keamanan dan kestabilan negara terjejas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130610/po_02/Dua-pemimpin-DAP-didakwa-dalang-Red-Bean-Army#ixzz2VlN31tTe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Masyarakat Cina jangan terus 'berfantasi'

PASIR SALAK 9 Jun - Masyarakat Cina di negara ini dinasihat tidak terus 'berfantasi' dengan mempercayai kononnya DAP boleh membawa perubahan yang lebih baik kepada mereka.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, agenda yang dibawa oleh DAP amat berbahaya dan tidak membawa kebaikan terhadap keharmonian masyarakat pelbagai kaum.
''Kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini bersikap adil kepada semua kaum melalui dasar perkongsian kuasa sehingga tidak ada kaum yang berasa tertindas.
''Kaum Cina perlu melihat hal ini dalam keadaan realiti dan bukannya fantasi. Kerajaan kita amat adil kepada semua kaum sehingga semua kaum dijaga kepentingan mereka," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata demikian pada Majlis Kesyukuran BN Parlimen Pasir Salak di Dewan Besar Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan ADUN Kampung Gajah, Abdullah Fauzi Ahmad Razali.
Mengulas mengenai kemenangan BN di kawasan itu, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang baharu berkata, pencapaian itu menunjukkan tohmahan dan janji-janji manis yang ditabur oleh pembangkang gagal mempengaruhi pengundi kawasan luar bandar.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130610/po_06/Masyarakat-Cina-jangan-terus-berfantasi#ixzz2VlNJacvw
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.