Pages

Subscribe:

07 Jun, 2013

[hang nadim] Melayu perlu segera bersatu jika tidak mahu hilang segalanya.....

KUALA LUMPUR 6 Jun - Orang Melayu perlu segera bersatu dengan bertunjangkan Islam dan Raja Berperlembagaan jika tidak mahu kepentingan mereka tergadai serta nikmat yang dinikmati sebelum ini terlepas ke tangan pihak lain.
Pakar sejarah, Prof. Madya Dr. Ishak Saat berkata, jika orang Melayu masih tidak insaf dengan perubahan demografi politik di Malaysia sehingga masih berpecah dan bertelagah sesama sendiri tidak mustahil bangsa itu akan kehilangan segalanya.
Katanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kuasa politik orang Melayu kini terancam kerana peratusan undi bangsa itu lebih kecil berbanding bukan Melayu akibat perpecahan disebabkan perbezaan politik.
"Kalau orang Melayu masih tidak sedar dengan perubahan demografi politik hari ini, saya tak tahu nak cakap apa. Kuasa politik orang Melayu bukan lagi penentu walaupun bangsa ini merupakan majoriti di Malaysia. Semuanya kerana perpecahan.
"Jika orang Melayu tidak segera bersatu dengan berteraskan Islam dan Raja Berperlembagaan tunggulah nasib bangsa ini dalam 10 hingga 20 tahun akan datang," katanya semasa muncul sebagai ahli panel di Seminar Institusi Raja (SIRaj) di sini hari ini.
Terdahulu, Ishak yang juga pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membentangkan kertas kerja bertajuk 'Legasi Ketuanan Melayu Perak' pada seminar tersebut.
Dalam pada itu, gesaan agar orang Melayu di negara ini bersatu dan menamatkan segera perpecahan akibat perbezaan politik turut dilaungkan seorang lagi ahli panel iaitu Agus Shahrani walaupun beliau merupakan warga Indonesia.
Menurut Agus, selaku bangsa serumpun yang melihat sendiri bagaimana orang Melayu di Malaysia berpecah, beliau menyifatkan sempadan politik sempit perlu diatasi dengan jiwa besar semua pihak jika tidak Melayu akan semakin lemah.
"Bersatu-padu dan sama-samalah hilangkan perbezaan sempadan politik palsu," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130607/dn_06/Melayu-perlu-segera-bersatu-jika-tidak-mahu-hilang-segalanya#ixzz2VVqUJDgk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

kta Derhaka perlu diwujudkan
Peserta seminar Institusi Raja mengikuti dengan penuh minat pembentangan kertas kerja oleh panel jemputan dalam seminar anjuran Universiti Malaysia Perlis yang diadakan di Lanai Kijang, Bank Negara, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/Noor Asrekuzairey Salim
KUALA LUMPUR 6 Jun - Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah (gambar) mencadangkan Akta Derhaka diwujudkan bagi membendung penularan gejala menghina institusi diraja yang semakin serius kebelakangan ini.
Malah, beliau turut mencadangkan agar hukuman minimum kepada pesalah jenayah menderhaka kepada raja itu nanti mestilah ditetapkan tidak kurang daripada dua tahun penjara.
Katanya, undang-undang derhaka kini terletak di bawah cabang Akta Hasutan 1948 sedangkan perbuatan menghasut dan menderhaka kepada raja adalah dua perbuatan berbeza.
"Akta Derhaka itu perlu menyenaraikan semua kesalahan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina raja termasuk sama ada melalui perbuatan, ucapan, sindiran mahu pun dalam bentuk ilustrasi.
"Dengan adanya undang-undang khas yang memperuntukkan hukuman lebih tegas sudah pasti rakyat akan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan terhadap raja dan institusinya pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Kedaulatan Raja dalam Perlembagaan Malaysia" pada Seminar Institusi Raja (SIRaj) anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Noor bagaimanapun mahu rakyat khususnya generasi muda diberi pendedahan dan penjelasan terlebih dahulu tentang Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini sebelum akta itu dilaksanakan.
"Tidak adil jika kita mahu menghukum tanpa memberi pendedahan serta penjelasan kepada rakyat dengan secukupnya," ujarnya.
Sementara itu, beliau turut menggesa rakyat untuk menerima serta patuh kepada undang-undang yang ada di dalam negara ini.
Jelas beliau, jika ada golongan minoriti yang suka melanggar undang-undang, rakyat perlu menolak serta menjauhkan diri daripada golongan tersebut.
"Mereka yang melanggar undang-undang perlu dihukum dan bukannya disokong.
"Dengan menolak kumpulan kecil yang tidak menghormati undang-undang, kita akan dapat melahirkan masyarakat yang hidup aman dan harmoni," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130607/dn_02/Akta-Derhaka-perlu-diwujudkan#ixzz2VVqkWA26 © Utusan Melayu (M) Bhd 


Institusi raja mesti dikekalkan

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis penutup Seminar Institusi Raja di Lanai Kijang, Bank Negara, Kuala Lumpur, semalam. Turut berangkat, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama, Prof. Dr. Kamarudin Hussin (kanan) dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man (kiri).
KUALA LUMPUR 6 Jun - Institusi raja di negara ini mesti dikekalkan bukan sahaja untuk memenuhi nilai sejarah serta sentimental bangsa tetapi raja itu sendiri berperanan memastikan keberkesanan 'semak dan imbang' dalam sebuah sistem demokrasi.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, institusi raja cukup istimewa serta mampu menghidupkan minda kerana selaku ketua negara atau negeri, raja merupakan tonggak penting kepada kestabilan dan perpaduan.
"Institusi raja adalah satu penerusan bagi mengekalkan identiti kerajaan Melayu kerana raja mempunyai kuasa serta tanggungjawab kenegaraan yang berlandaskan undang-undang sama ada secara mutlak mahu pun secara berperlembagaan.
"Raja juga berperanan memberi pandangan dalam aspek ekonomi, pembangunan serta pendidikan selain menjadi ketua agama Islam dan pelindung adat istiadat Melayu," titahnya semasa merasmikan majlis penutup Seminar Institusi Raja (SIRaj) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, wakil semua raja-raja Melayu serta Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.
Menyentuh mengenai Perlembagaan Persekutuan, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, terdapat tiga semangat utama di sebalik penggubalan undang-undang tertinggi negara iaitu pertama membangunkan Malaysia aman, stabil, bersatu serta makmur.
Seterusnya, baginda bertitah, Perlembagaan Persekutuan juga digubal bagi menjamin keadilan agar dapat memberi perlindungan kepada seluruh rakyat, baik yang kuat mahu pun lemah atau kumpulan majoriti mahu pun kelompok minoriti.
"Perlembagaan juga digubal bagi melindungi orang yang memerintah dan mereka yang diperintah kerana telah tercapai kata muafakat bahawa setiap warga Malaysia itu terjamin diberikan perlindungan secara adil serta saksama," titah baginda.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130607/dn_03/Institusi-raja-mesti-dikekalkan#ixzz2VVqujFiZ © Utusan Melayu (M) Bhd 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.