Pages

Subscribe:

17 Jun, 2013

[hang nadim] Perginya tokoh perkamusan.....Al fatihah....

Oleh NIZHA PERIASWAMY


















TUGAS Zainal Abidin menyusun kamus bukanlah mudah kerana ia menuntut ketelitian dan kesabaran dalam 
mengumpulkan ratusan ribu perkataan.



MUNGKIN nama penulis Zainal Abidin Safarwan kurang dikenali kecuali dalam kalangan mereka yang aktif bersastera serta ahli akademik. Namun, tanpa disedari kebanyakan kita pernah menggunakan Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan baik semasa di sekolah, universiti atau ketika sudah bekerja.
Ia merupakan kamus hasil susunan Zainal Abidin.
Ternyata kamus tersebut banyak menyumbang kepada anjakan paradigma khususnya dalam mengangkat martabat bahasa Melayu.
Namun, pada 3 Jun lalu sekitar pukul 8.20 malam, Zainal Abidin menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat sakit tua pada usia 81 tahun.
Zainal Abidin yang lahir pada 27 Jun 1932 di Singapura memulakan pendidikan awal di sekolah Melayu dan memasuki Special Malay Class di Victoria School Singapura hingga tamat Sijil Persekolahan pada tahun 1952.
Menyusun kamus
Selepas itu beliau bekerja dengan majalah Bulanan Malaya di Singapura. Namun, apabila majalah itu ditutup pada tahun 1965, Zainal Abidin dikatakan mengambil keputusan untuk berpindah ke majalah Radio Weekly.
Selepas itu, pada tahun 1968, Zainal Abidin berpindah lagi ke Berita Harian di Kuala Lumpur sehinggalah beliau bersara pada tahun 1987.
Menurut anak kedua Allahyarham, Rauziah Zainal Abidin, 55, bapa beliau seorang yang bercita-cita tinggi dan sifat itu terserlah sewaktu mengusahakan Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan.
Kata Rauziah, bapa beliau mengumpulkan pelbagai maklumat untuk kamus tersebut selepas pulang dari kerja.
“Beliau secara konsisten membahagikan masa dan tenaga untuk menyusun kamus tersebut. Pelbagai rujukan digunakan supaya ia memuatkan semua perkataan daripada ilmiah, klasik hingga penggunaan perkataan yang biasa. Demi tugas itu, beliau banyak merujuk kamus, buku Arab, Indonesia dan sebagainya,” ujar Rauziah.

KAMUS Besar Bahasa Melayu Utusan susunan Zainal Abidin menjadi rujukan sehingga hari ini.


Merupakan kamus yang terbesar dengan longgokan perkataan terbanyak, Zainal Abidin sebelum ini pernah tampil dengan dua buah kamus sewaktu beliau di Singapura. Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan adalah yang paling besar sehingga kini pernah diterbitkan dalam bahasa Melayu.
Menurut satu laporan, kamus tersebut merupakan kamus bahasa Melayu yang paling banyak menyenarai ungkapan. Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan pada hakikatnya adalah edisi baharu Kamus Sinonim yang disusun oleh Zainal Abidin pada 1984.
Judul baharu
Oleh sebab tambahan pada senarai kata masukan dan maknanya ialah sekali ganda, maka penerbit Utusan Publications & Distributors menyifatkan kamus itu sebagai sebuah kamus baharu lalu memberikannya judul yang baharu.
Semua perkataan dan ungkapan yang dijadikan kata masukan dan maknanya diambil daripada bahan bahasa Melayu yang digunakan dalam tulisan dan lisan.
Ia terdiri daripada bahasa Melayu klasik dan semasa, mencakupi bahasa Melayu yang digunakan di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan mengandungi lebih 100,000 kata serta homonim, hampir 500,000 sinonim dan antonim, lebih 20,000 ungkapan lama dan baharu serta ungkapan seerti dan himpunan peribahasa dari seluruh nusantara.
“Ayah juga ada memasang niat untuk tampil dengan sebuah lagi kamus selepas kamus ketiga yang dihasilkan dalam jangka masa selama 10 tahun itu. Bagaimanapun, masalah kesihatan telah membantutkan usaha beliau,” ujar Rauziah.
Rauziah yang berbangga dengan sumbangan bapanya pernah bertanya tujuan Zainal Abidin tampil dengan idea membuat kamus.
“Apabila seseorang itu mati, mereka tidak membawa apa-apa kecuali apa yang ditinggalkan untuk kegunaan orang, ia merupakan satu amal jariah,” demikian kata Rauziah mengenang kata-kata bapanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2VmtaOIuB
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.