Pages

Subscribe:

30 Ogos, 2013

[hang nadim] 25 NGOs support police operations tackle crime.....25 منظمة غير حكومية دعم عمليات الشرطة تصدي للجريمة





KUALA LUMPUR 30 Ogos - Sehari selepas pendedahan 49 kongsi gelap di seluruh negara semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mendedahkan pula beberapa logo, lambang serta tatu yang digunakan oleh ahli-ahli kumpulan tersebut.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pendedahan itu dilakukan supaya orang ramai dapat mengenali tanda-tanda yang ada pada kongsi gelap terbabit, sekali gus menghindari kumpulan yang diwartakan sebagai haram itu.
"Polis menasihatkan orang ramai yang memiliki atau mempunyai logo-logo kumpulan tersebut sama ada di rumah, kenderaan atau badan mereka agar dapat dihapuskan dengan apa cara sekali pun.
"Buat masa ini, kita juga akan memberi pendedahan kepada mereka yang belum mengetahui mengenai undang-undang ini kerana orang ramai yang cuba menyertai kumpulan terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Tiga pertubuhan kongsi gelap iaitu Geng 36, Geng 04 dan Geng 08 dikesan sebagai kumpulan samseng paling berbahaya daripada 49 kongsi gelap di seluruh negara yang diumumkan kerajaan semalam.
Kumpulan itu didapati menjalankan pelbagai jenis jenayah berat dan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, Geng 36 yang majoriti ahlinya daripada kaum Cina mempunyai 8,512 ahli dan bergerak aktif di sekitar Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.
Abdul Jalil dalam pada itu memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang laporan, ugutan atau tangkapan terbaru susulan pengumuman kerajaan itu semalam.
Mengulas mengenai pengunaan logo-logo terbabit dalam majlis-majlis tertentu termasuk upacara pengkebumian, Abdul Jalil berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan atas perbuatan itu namun akan menasihati penganjur terlebih dahulu.
"Sebagai contoh dalam upacara pengebumian seseorang yang beragama Hindu, kita perlu berbincang dengan penganjur atau pertubuhan Hindu Sanggam sama ada penggunaan logo perlu dalam majlis tersebut," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai penglibatan pelajar sekolah dalam kumpulan kongsi gelap, beliau berkata, terdapat cubaan kongsi gelap mempengaruhi pelajar di luar kawasan sekolah khususnya pelajar yang bermasalah.
"Bagaimanapun cubaan mempengaruhi pelajar di sekolah dapat dihindari terlebih awal dengan kerjasama polis, sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
"Setakat ini tiada laporan yang diterima menyatakan pelajar sekolah terlibat secara langsung dengan kongsi gelap," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130831/je_01/Dedah-logo-kongsi-gelap#ixzz2dUxVNV1m
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dakwaan hubungan dengan Pekida disiasat


KUALA LUMPUR 30 Ogos - Polis akan menyiasat bagi mengesan sama ada wujud kegiatan kumpulan kongsi gelap Melayu yang didakwa mempunyai hubungan dengan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai Geng Tiga Line, Geng 30 dan geng-geng kongsi gelap Melayu yang diumumkan kerajaan semalam didakwa mempunyai kaitan dengan pertubuhan itu.
"Kita akan siasat terlebih dulu, sama ada mereka ada kaitan dengan Pekida atau sengaja mahu dikaitkan dengan pertubuhan itu supaya tidak memburukkan nama Pekida yang sah di sisi undang-undang.
"Sehubungan itu juga kita harap orang ramai dapat menyalurkan maklumat berkaitan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Abdul Jalil berkata, orang ramai diminta tampil membuat laporan polis sekiranya mengetahui mana-mana orang kenamaan (VIP) atau artis terlibat dengan kegiatan kongsi gelap.
Dalam pada itu, Pekida dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pengumuman nama-nama kumpulan kongsi gelap semalam adalah selari dengan 'pemutihan' yang dilakukan oleh pertubuhan itu.
"Kumpulan 77, Tiga Line, Kumpulan 30 adalah penyakit dan liabiliti kepada pertubuhan Islam terutamanya Pekida.
"Pada tahun 2010 dan 2011, PDRM dan Pekida berjaya menghalang kumpulan 77 membuat majlis pengambilan ahli baru di Perak," ujar kenyataan itu.

25 NGO sokong operasi polis banteras jenayah


SEBAHAGIAN daripada wakil-wakil 25 NGO berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada usaha polis mengadakan pelbagai operasi membanteras jenayah di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/RABBANI JAMIAN

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Sebanyak 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini bagi menunjukkan tanda sokongan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan pelbagai operasi membanteras jenayah di negara ini.
Antara NGO yang terlibat adalah Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Yayasan Ayahanda Malaysia (YAS), Pertubuhan Sahabat Malaysia (Sahabat), Pertubuhan Keris Mas Malaysia, Pertubuhan Al-Ehsan Malaysia dan Pertubuhan Api Sejagat Malaysia.
Pertubuhan lain adalah Perdana Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang (PKMK), Majlis Bendahara Malaysia, Peribudi Malaysia, Pertubuhan Putra Malaysia (Putra), Sahabat Ulilamri dan Pertubuhan Silat Ilham Malaysia.
Menurut Presiden Permas, Abdul Halim Ali, kesemua pertubuhan yang terlibat bersetuju dengan setiap tindakan polis terutama dalam Op Cantas Khas yang dilihat banyak mengurangkan kadar jenayah dalam negara.
Katanya, semua pertubuhan itu juga mahu isu melibatkan jenayah dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan serta mencari satu resolusi untuk menyelesaikan masalah yang dilihat perlu dilakukan negara.
"Setiap operasi terutama sekali Op Cantas Khas yang dijalankan PDRM dilihat memberi impak yang positif kepada masyarakat. Setiap pertubuhan yang ada di sini menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam mengambil tindakan ini.
"Kami berharap tiada pihak yang mempertikaikan kredibiliti pihak polis dalam melaksanakan tugas mereka kerana setiap yang dilakukan pasukan itu hanya untuk kepentingan awam," tegasnya.
Beliau ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas menyerahkan memorandum menyatakan sokongan terhadap usaha pencegahan jenayah PDRM kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Memorandum itu diserahkan kepada Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yusoof pada pukul 3 petang.
Abdul Halim berkata, setiap pertubuhan berharap agar PDRM mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang memperlekehkan undang-undang negara.
"PDRM diharap bertegas dan segera mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba menunjuk kuasa atau mencabar polis dengan memperlekehkan tugas pasukan ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130831/je_02/25-NGO-sokong-operasi-polis-banteras-jenayah#ixzz2dUyTaHzs
© Utusan Melayu (M) Bhd 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.