Pages

Subscribe:

15 Ogos, 2013

[hang nadim] Suami pukul isteri serah diri.....زوج ضرب زوجة استسلم.....usband hit wife surrendered.....


KUANTAN 15 Ogos - Seorang penjawat awam yang diburu setelah membelasah isterinya dalam lif di sebuah hospital swasta di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Isnin lalu, akhirnya menyerah diri di Balai Polis Kuantan di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, lelaki berusia 36 tahun itu datang sendiri di balai tersebut pada pukul 3.30 petang ini.
"Dia kini ditahan di Balai Polis Kuantan dan akan diserahkan ke Pulau Pinang berikutan kejadian berlaku di negeri itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jasmani berkata, polis Kontinjen Pulau Pinang telah dimaklumkan berhubung penahanan itu dan lelaki terbabit akan diambil oleh anggota polis dari negeri tersebut malam ini untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.
Kelmarin, satu rakaman video yang memaparkan seorang isteri dibelasah suaminya di hadapan dua anak mereka berusia empat dan lima tahun di dalam sebuah lif dikongsi melalui akaun laman sosial Facebook.
Video bertajuk Suami dayus pukul isteri depan anak menunjukkan aksi lelaki berkenaan menampar dan menendang isterinya, seorang pekerja kilang berusia 36 tahun sehingga tersungkur.


Lelaki yang dipercayai membelasah isteri dalam sebuah lif menyerah diri di Kuantan, Pahang, semalam.


Dibelasah guna kayu, enggan benar suami kahwin

PONTIAN 17 Ogos - Belum pun reda isu rakaman video memaparkan seorang pegawai veterinar membelasah isterinya dalam lif di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, seorang lagi wanita dilaporkan menjadi mangsa keganasan suami.

Kes terbaharu dilaporkan berlaku di Kampung Parit Wakaf, Tenggayun di sini malam tadi, membabitkan seorang suri rumah berusia 39 tahun yang dibelasah teruk gara-gara enggan membenarkan suaminya berkahwin lagi.
Suspek berusia 40 tahun merupakan seorang peniaga telah ditangkap polis setelah anak perempuan mereka melaporkan kejadian itu kepada polis.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Zahaliman Jamin berkata, pihaknya menahan suspek untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana didakwa memukul isteri dan anak lelakinya.
Beliau berkata, perbuatan ganas lelaki itu dilaporkan oleh anak perempuannya yang berusia 18 tahun kepada polis pada pukul 9.25 malam.
"Anak perempuan mangsa membuat laporan polis setelah tidak tahan melihat ibu dan adik lelakinya dipukul oleh bapanya yang mengamuk dan dalam keadaan mabuk.
"Mangsa bersama anak lelakinya telah dipukul dengan kayu dan benda tumpul setelah suspek berang isteri enggan membenarkan dia berkahwin lagi dan tidak diberitahu mengenai rakan-rakan anak lelakinya berkunjung ke rumah sempena Aidilfitri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini hari ini.
Zahaliman berkata, suspek akan direman sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, manakala tangkapan dibuat di bawah Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek kerap memukul mangsa yang merupakan ibu kepada lima anak dan kini menetap di rumah anak perempuan sulungnya di Pekan Nanas di sini.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.