Pages

Subscribe:

19 Julai, 2014

[hang nadim] Hishammuddin sedih kehilangan nenek tiri.......Al Fatihah


SITI AMIRAH

PUTRAJAYA 19 Julai - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan nenek tirinya, Puan Sri Siti Amirah Prawira Kusuma, 83, adalah antara mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di Donestk, timur Ukraine kelmarin.
"Nenek tiri saya juga berada di dalam pesawat tersebut. Siapa yang tidak marah tetapi apa yang boleh kita lakukan? Dengan marah sahaja tidak akan membantu apa-apa," katanya di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai dakwaan terdapat rakyat negara ini yang marah kerana tiada jawapan konkrit berhubung kejadian itu selepas 48 jam.
Terdahulu Hishammuddin menyertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melawat keluarga penumpang dan anak kapal MH17 di sebuah hotel di sini.
Siti Amirah yang merupakan isteri kedua Tan Sri Mohamed Noah Omar juga adalah nenek tiri kepada Perdana Menteri.
Sementara itu anak saudara Siti Amirah, Shahadat Edid Bey, 56, ketika ditemui berkata, ibu saudaranya itu berjanji untuk berhari raya bersama ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Mohamed Noah pada Aidilfitri tahun ini.
"Memang ibu saudara saya mahu berhari raya dekat sini. Beliau telah berjanji dengan Tun Rahah. Beliau tidak transit tetapi sememangnya hendak balik beraya di Malaysia," katanya lagi.
Dalam pada itu Shahadat berkata, Siti Amirah berada di Belanda selama dua bulan kerana menziarahi anaknya di negara itu.
"Walaupun beliau berumur 83 tahun tetapi beliau masih sihat. Beliau tidak ada kolesterol penyakit orang tua pun tidak ada. Sebelum pergi ke Belanda beliau ada menjalani pemeriksaan kesihatan dan semuanya baik. Ini kali pertama beliau pergi ke Belanda berseorangan, selalunya dengan kawan-kawan.
"Harapan kalau boleh dikebumikan di sini meskipun meninggal dunia bukannya dalam bentuk sempurna. Apa-apa pun kita perlu membawa jenazahnya balik ke Malaysia," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140720/dn_19/Hishammuddin-sedih-kehilangan-nenek-tiri#ixzz37yMzuyze
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.