Pages

Subscribe:

20 Julai, 2014

[hang nadim] KETAWA DAN GURAUAN DALAM ISLAM......欢笑和伊斯兰教的笑话


POSTED BY NURJANNATUL ZAHRA TUESDAY, NOVEMBER 16, 2010 

Assalamualaikum wbt SELAMAT BERPUASA......
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana diberi kesempatan untuk saya mencoretkan sesuatu sebagai perkongsian rohani kita. InsyaAllah. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar, Muhammad SAW, kaum kerabat, para sahabat, tabii, tabiien serta mujahid mujahidah yang bertebaran di muka bumi Allah nie.

Apa khabar dengan IMAN? Bagaimana pula dengan SYAHADAH? Masih ISLAM kah kita? Semoga diri saya serta kita semua sentiasa memperbaharui syahadah dan masih lagi menjaga serta mengekalkan kalimah 'Laillaha illallah' dalam diri setiap Muslim.
Sudah agak lama rasanya saya ingin berkongsi mengenai isu ketawa ini. Puas mencari dan menelaah mengenai KETAWA DALAM ISLAM. Namun, ada kaitankah dengan erti PENGORBANANsempena Aidil Adha ini?
Teringat kata-kata seorang sahabat selepas ditegur untuk kurangkan ketawa dalam 'meeting' dan terus serious memikirkan hal ummah, apabila melihat situasi masa yang sudah melebihi hadnya, "elehhh.. korbanlah masa tu sikit. pengorbanankan..." Namun, yang menjadi tanda tanya dalam diri saya, "adakah masa yang dikorbankan itu berkualiti, apabila dihabiskan dengan banyak ketawa?"
Kajian demi kajian dilakukan mengenai konsep ketawa dalam Islam ini. Pelbagai sumber yang diambil sebagai perkongsian kita kali ini.
HUKUM KETAWA
Menurut Dr Yusof Qardhawi, "Sesungguhnya, tertawa itu termasuk tabiat manusia. Binatang tidak dapat tertawa kerana tertawa itu datang setelah memahami dan mengetahui ucapan yang didengar atau sikap dari gerakan yang dilihat, sehingga ia tertawa kerananya." Melihat kepada pendapat di atas, hukum tertawa adalah boleh. Islam tidak melarang seseorang itu untuk berseronok dengan melawak dan bergelak ketawa.

CARA NABI SAW BERGURAU
Nabi Muhammad SAW pernah bergurau dengan seorang wanita tua. Wanita tersebut meminta Nabi doakannya supaya beliau dimasukkan ke syurga. Kemudian, Baginda menjawab,
"Wahai ibu. Sesungguhnya, orang tua tidak masuk ke dalam syurga."
Selepas mendengar jawapan daripada Rasulullah, wanita tua itu segera pulang ke rumah dan menangis. Kemudian, Baginda bersabda,

أخبروها أنها لا تدخلها وهي عجوز إن الله تعالى يقول إنا أنشأناهن إنشاء فجعلناهن أبكارا عربا أترابا
Maksudnya : Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke dalam syurga dalam keadaan masih tua. Sesungguhnya Allah berfirman, "Sesungguhnya kami menciptakan wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan mereka dalam keadaan dara, yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya dengannya."
(Hadis Tirmizi dan al-Baihaqi - sanad hasan)
Abu Hurairah telah meriwayatkan : Para sahabat berkata "Wahai Rasulullah. Sesungguhnya kamu bergurau senda dengan kami." Baginda menjawab,

نَعَمْ غَيْرَ أَنِّي لَا أَقُوْلُ إِلَّا حَقَّا
Maksunya : Ya, aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan yang benar.
(Hadis Trimizi dan Ahmad, sanad Ahmad)
CARA NABI KETAWA
- Dengan cara melontarkan senyuman yang menarik.
- Tidak tertawa, kecuali apabila berhubung dengan kebenaran.
- Tidak berlebihan dalam tertawanya hingga tubuh bergoyang-goyang atau tubuh miring atau hingga terlihat langit-langit Baginda.
- Bukan berupa hal yang sia-sia, atau permainan semata-mata atau hanya sekadar untuk mengisi waktu lapang.
* Ada riwayat yang meunujukkan bahawa kebanyakan ketawa Baginda ialah dengan tersenyum, dan apabila Baginda ketawa, Baginda ketawa seperti embun yang dingin. Sementara itu, ada juga riwayat yang menyebut bahawa Rasulullah ketawa dengan tidak menunjukkan gigi.

ETIKA BERGURAU SENDA

Dr Yusof Qardhawi telah mengariskan lima etika dalam bergurau senda :

1) Tidak menggunakan perkara yang bohong sebagai alat untuk manusia tertawa.
Nabi SAW bersabda,
ويل للذي يحدث فيكذب ، ليضحك القوم ، ويل له ، ويل له.
Maksudnya : Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia!!!
2) Gurauan tidak mengandungi penghinaan terhadap orang lain melainkan diizinkan oleh orang tersebut.
Allah telah berfiman dalam surah al-Hujurat, ayat 11, "Wahai orang-orang yang beriman. Janganlah satu puak itu menghina puak yang lain, kemungkinan orang yang dihina lebih baik daripada orang yang menghina. Janganlah wanita menghina wanita lain, kemungkinan wanita yang dihina lebih baik daripada wanita yang menghina.."
Nabi juga ada bersabda,
بِحَسْبِ امْرِىءٍ مِنَ الشَّرِ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ

Maksudnya : Cukuplah seorang itu melakukan kejahatan apabila dia menghina saudaranya seMuslim.
(Hadis Muslim - sahih)
Penghinaan itu juga termasuk cara seseorang itu meniru perbuatan orang lain. (sabah : mengolok-ngolok).
Saidatina Aisyah RA berkata, "Aku telah meniru perbuatan seorang manusia." Lalu, Baginda bersabda,

ما أحب أني حكيت أحدا
Maksudnya : Aku tidak suka meniru perbuatan orang lain.
(Hadis Ahmad dan Baihaqi - sanad sahih)
3) Melawak yang tidak menakutkan orang lain.
Nukman bin Basyir RA berkata, "Sesungguhnya, kami bersama Rasulullah SAW dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki yang lain mengambil anak panah dari busurnya, dan mengejutkan lelaki yang mengantuk itu, menyebabkan dia terperanjat." Rasulullah SAW bersabda,
لاَ يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا

Maksudnya : Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam.
(Hadis Thabrani - sahih)
Nabi bersabda,
لا يأخذن أحدكم متاع أخيه لاعبا أو جادا

Maksudnya : Janganlah kamu mengambil barang kepunyaan saudara seIslamnya dengan niat melawak atau betul-betul.
(Hadis Ahmad - sahih)
4) Janganlah melawak di tempat yang serious dan janganlah serious di tempat yang melawak.
Dalam Islam, ada tiga perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak. Nabi SAW bersabda,
ثلاث جدهن جد وهزلهن جد: النكاح والطلاق والعتاق

Maksudnya : Tiga perkara yang mana diambil hukumnya samada dalam keadaan melawak atau serious iaitu nikah, cerai dan membebaskan hamba.
(Hadis Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah - sanad hasan)
Sesungguhnya, Allah telah mencela orang-orang musyrikin yang ketawa ketika mendengar bacaan al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah an-Najm, ayat 59-61, "Adakah kamu hai musyirikin rasa hairan dengan ayat-ayat suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendenrnya, tidak menangis ketika mendengranya dan kamu dengar dengan keadaan lalai."

5) Hendaklah melawak sekadar yang perlu dan tidak berlebihan.
Nabi SAW bersabda,

وَلَا تُكْثِرْ مِنَ الضَّحْكِ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحْكِ تُمِيْتُ الْقَلْبَ

Maksudnya : "Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati."
(Hadis Ahmad dan Ibnu Majah - sanad hasan)
Saidina Ali RA juga pernah berkata, "Masukkan lawak dalam kata-kata sekadar kamu memasukkan garam dalam makanan kamu."
*Rujukan : Tafsir Sobuni , sahih muslim, Mawahib al-Laduniah bi syarh asSyamail alMuhammadiah oleh syeikh sulaiman Jamal dan Feqhul Lahwi wat Tarwih oleh Dr Yusuf Qardawi.

KESAN KETAWA
1) Dari segi Kesihatan
- Serupa kesan seperti bersukan/olahraga (Dr. William Foy, "Menuai Kesihatan dan Hikmah dari Ketawa")
- Mengurang infeksi peparu (sekiranya jarang beriadah)
- Mengurangkan kebarangkalian sakit jantung.
- Meningkatkan semangat dan kesihatan (Dr. Joseph Mercola dan Rachel Droege, "Wahai Suamuki, Senyumlah...")
- Mengurangkan dua horman dalam tubuh badan iaitu eniferin dan kortisol, yang dapat menghalang dari proses penyembuhan penyakit. (Dr Lee Berk, "Menuai Kesihatan dan Hikmah dari Ketawa")
- Mengurangkan rasa sakit (Dr Rosmary Cogan, "Menuai Kesihatan dan Hikmah Ketawa")
- Ubat untuk awet muda (Prof Dr. Lucille Namehow, "Menangis dan Ketawa Sama Menyihatkan")
2) Dari segi Psikologi
- Mengurangkan stress (Gaya Hidup, Ketawalah Selagi Boleh)
- Meningkatkan kekuatan (Dr WM Roan, "Gaya Hidup, Ketawalah Selagi Boleh")
- Menurunkan tekanan darah tinggi (Gaya Hidup, Ketawalah Selagi Boleh)
- Mencegah Penyakit (Dr William Frey, "Gaya Hidup, Ketawalah Selagi Boleh")
3) Dari segi Ibadah
-Merupakan sedekah.
- Memberi kesan berseri dan optimis.
- Penawar bagi rohani, ubat bagi jiwa dan ketenanganbagi sanubari yang penat berusaha dan bekerja (Sheikh Aidh al-Qarni)
- Tanda kemurahan hati (Sheikh Aidh al-Qarni)
- Menunjukkan kebahagian

Jadi, jelaslah, dalam Islam, boleh berhibur dan boleh juga ketawa. Namun, perlu mengikut syariat yang telah ditetapkan. Sewajarnya, Nabi Muhammad SAW, kekasih Allah SWT dijadikan idola atau qudwah dalam kehidupan kita. Semua perlakuan Baginda itu cukup dapat mengingatkan umat Islam selaku pendakwah, bahawa gurauan ketawa itu cuma amalan untuk mengurangi ketegangan jiwa. Namun, tidak bererti kita boleh berhibur secara keterlaluan.
Hassan Al-Banna telah menyusun dan merintis semula mengenai isu ini dengan meletakkan suatu pesanan yang sangat berguna kepada para dai'e dan setiap Muslim yang beriltizam dengan agama Islam ini. Beliau tidak meletakkan hukum 'haram' dalam gurauan dan ketawa. Namun, beliau seperti Baginda SAW dan Saidina Ali RA, telah menyeru dan memperbaharui seruan melalui wasiatnya supaya 
umat Islam ini kurangkan bergurau dan lebihkan amalan dan tindakan. 
Hal ini disebabkan, dengan banyak ketawa atau gurauan, dapat menyebabkan hati dan fikiran 'mati' daripada memikirkan nasib dan permasalahan ummah yang menderita akibat terus-terusan dijajah.

Namun begitu, jika kita terus-terusan hidup dalam keadaan tegang, hal ini akan menyebabkan kerungsingan, kerisauan, yang akhirnya akan mengundang kesan yang parah ke dalam jiwa. Maka, sikap yang terbaik dalam hal ini adalah dengan kita banyak mewakafkan masa kita untuk memikirkan serta menyusun strategi bagi menyelesaikan apa-apa permasalahan ummah. Selebihnya, saki baki waktu itu dapat diluangkan untuk merehatkan jiwa, hati dan fikiran kita setelah penat belajar atau bekerja seharian.
Seandainya masa dan alam kehidupan dapat dipecahkan secara peratusan, maka boleh diandaikan bahawa masa untuk berfikir mengenai ummah perlulah tinggi peratusannya berbanding masa untuk bergelak ketawa. Menurut Yahya bin Muadz ar-Razi, ada empat perkara yang akan menghilangkan tawa di bibir seorang Mukmin iaitu :
1) Kerana memikirkan akhirat.
2) Kesibukan mencari keperluan hidup.
3) Risau memikirkan dosa.
4)Apabila tibanya musibah dan bala.
Islam memberi peringatan kepada umatnya bahawa semakin kuat hilai dan tawa seseorang itu, semakin hampir iblis dan syaitan sambil tertawa terbahak-bahak menari-nari untuk melalaikannya. Maka, kita perlulah memasang benteng ketika bergelak ketawa kerana perbuatan itu akan mengundang kepadabahaya :
1) Dicela oleh ulama dan orang yang sopan serta sempurna akal.
2) Memberanikan orang bodoh kepadanya.
3) Jika bodoh, akan bertambah kebodohannya, jika alim akan berkurang ilmunya kerana orang yang alim yang tertawa beerti telah memuntahkan ilmunya.
4) Melupakan dosa-dosa lalu.
5) Melupakan mati dan akhirat.
6) Berani berbuat dosa kerana apabila tertawa nescaya akan membekukan hati.
7) Menanggung dosa orang yang tertawa kerana ketawakan kita.
8) Akan banyak menangis di akhirat.
Saya rasa setakat ini dahulu coretan saya. Harap, kita sama-sama dapat mengambil pengajaran daripada artikel kali ini. Betulkah kita berkorban masa dengan sebenar-benarnya? Betulkah masa yang dikorbankan itu, bermanfaat kepada diri, agama, masyarakat dan ummah? Renung-renungkanlah.
Akhir kalam, saya sudahi dengan kalimah,
Wassalam...

p/s : Said bin al-'As berkata, "Besederhanalah dalam melawak. Berlebihan dalam melawak akan menghilangkan keindahan dan menyebabkan orang-orang yang bodoh akan berani terhadapmu. Meninggalkan melawak akan menjauhkan orang-orang yang hendak bermesra dan menyebabkan orang-orang yang berdampingan denganmu berasa rimas."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.