Pages

Subscribe:

14 Julai, 2014

[hang nadim] Polis Marin maut, rakan diculik......



Mabul Water Bungalow Resort, lokasi serangan hendap yang mengorbankan seorang anggota Polis Marin manakala seorang lagi diculik dalam kejadian malam semalam. - BERNAMA
KOTA KINABALU 13 Julai - Kurang seminggu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) berpangkat koperal terbunuh manakala seorang lagi dipercayai diculik oleh lapan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11.10 malam itu, Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, mati ditembak kumpulan suspek berkenaan yang berpakaian hitam, seluar celoreng dan bersenjatakan senjata mesingan ketika mangsa menjalankan tugas rondaan di situ bersama rakannya, Konstabel Zakia Aleip, 26, yang kemudian diculik ke perairan negara jiran.
Ab. Rajah yang berasal dari Kampung Bubul Batu 2, Semporna, dan meninggalkan seorang balu, Salamah Amad, 26, dan seorang anak berusia setahun, merupakan Jurumudi Kapal Rondaan Air 1, Balai Polis Mabul serta pernah bertugas di Kampung Acheh, Perak.
Sementara itu, Zakia pula berasal dari Kampung Sambah Tengilan, Tamparuli dan bertugas di balai polis sama. Zakia yang sudah berumah tangga, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.
Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Esscom, Datuk Abd. Rashid Harun berkata, ketika kejadian, Ab. Rajah dan Zakia serta dua lagi anggota PPM dikatakan sedang menjalankan tugas rondaan di resort berkenaan.
"Difahamkan Ab. Rajah dan Zakia meronda secara bersama manakala dua lagi rakan setugas mangsa meronda di kawasan berasingan. Tiba-tiba, sekumpulan lelaki bersenjata tersebut memasuki resort berkenaan dan terlihat Ab. Rajah serta Zakia lalu bertindak melepaskan beberapa das tembakan.
"Menurut maklumat, Ab. Rajah sempat berbalas tembakan dengan kumpulan penjenayah itu tetapi malangnya dia terkena tembakan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Zakia pula diculik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jenazah Ab. Rajah dibawa ke Hospital Besar Tawau, Tawau, pagi ini untuk bedah siasat.
Pulau Mabul terletak kira-kira 45 minit perjalanan menggunakan bot dari bandar Semporna.
Pada 8 Julai lalu, Perdana Menteri mengumumkan penstrukturan semula Esscom bagi memantapkan lagi agensi itu dalam menangani masalah pencerobohan dan ancaman penculikan khususnya di zon terbabit termasuk melantik Abd. Rashid sebagai Komander Esscom.
Dalam pada itu, Abd. Rashid dalam sidang akhbarnya di Semporna memberitahu, pihaknya mengenal pasti dua kemungkinan serangan iaitu cubaan menculik atau sebagai tindak balas terhadap penguatkuasaan yang dilakukan pasukan keselamatan negara.
"Mungkin juga bertujuan melakukan penculikan di resort berkenaan tetapi sebaliknya bertindak menyerang apabila terserempak dengan anggota keselamatan negara. Jika inilah puncanya, ia me­rupakan pengorbanan pasukan keselamatan untuk mencegah penculikan.
"Kita juga tidak menolak kemungkinan ini sebagai tindak balas kepada pasukan keselamatan susulan penguatkuasaan yang dilakukan akhir-akhir ini," katanya.
Beliau berkata, pihak polis dan Esscom sedang menggiatkan usaha mengesan anggota yang diculik itu termasuk penjenayah berkenaan di seluruh kawasan berhampiran.
"Saya juga meminta semua agensi keselamatan di Esscom supaya berhati-hati menjalankan tugas kerana musuh boleh datang pada bila-bila masa. Masyarakat juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi peluang kepada polis serta Esscom menjalankan tindakan sewajarnya," tambahnya


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140714/je_02/Polis-Marin-maut-rakan-diculik#ixzz37QREA16u
© Utusan Melayu (M) Bhd 




KAMSIAH Indanan, ibu Allahyarham Koperal Ab Rajah Jamuan yang terkorban dalam serangan hendap di Pulau Mabul diusung anggota polis untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bubul Batu, Semporna. 


SEMPORNA 14 Julai - Jenazah anggota polis Marin, Koperal Ab. Rajah Jamuan yang terbunuh dalam serangan hendap di Pulau Mabul pada Sabtu malam, selamat dikebumikan di kampung halaman, Kampung Bubul Batu di sini dengan penuh istadat penghormatan daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini.
Jenazah dibawa dari bilik mayat Hospital Tawau pada lewat malam tadi ke rumahnya dan disembahyangkan pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bubul Batu, Jalan Batu 3 1/2, di sini.
Suasana pilu turut disertai hujan renyai-renyai ketika upacara pengebumian yang dihadiri lebih 200 orang terdiri daripada keluarga terdekat, kenalan rapat dan anggota polis bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ab. Rajah.
Terdahulu, keranda jenazah yang dibaluti bendera Jalur Gemilang dibawa dari rumah keluarga Allahyarham serta diusung enam anggota polis Marin yang juga rakan Allahyarham.
Turut hadir, Komander PolisMarinBukit Aman DatukAbdulAziz Yusof, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Malik Harun, Ketua Polis Semporna Supt Mazlan Lazimdan Ketua Polis Tawau ACP Awang Besar Dullah. - BERNAMA
Isteri reda suami terkorban pertahan negara


SALAMAH Ahmad (kiri) memegang gambar suaminya, Koperal Ab. Rajah Jamuan yang terkorban dalam insiden berbalas tembakan dengan lapan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna, Sabah, malam tadi.
KOTA KINABALU 13 Julai - "Saat berbuka puasa bersama suami kelmarin, menjadi detik yang terakhir saya bersama suami. Namun saya reda 'pemergiannya' walaupun tidak lagi berpeluang menyambut Aidilfitri bersamanya nanti".
Demikian luahan hati Salamah Amad, 26, isteri kepada anggota Pasukan Polis Marin (PPM), Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, yang terkorban dalam serangan sekumpulan lapan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna, malam tadi.
Menurut Salamah, beliau pasti tidak akan melupakan kenangan bersama Allahyarham suaminya yang cukup menyayanginya dan anak mereka, Khairin Zafran, yang baru berusia setahun.
"Dia (suami) tidak lupa menghubungi saya sepanjang bertugas di perairan. Memang itu menjadi tanggungjawabnya menjaga keselamatan negara, saya reda, semoga Allah menempatkannya di sisi orang yang beriman. Tak sangka Jumaat lalu (kelmarin) ialah hari terakhir kami bertemu," katanya.
Ab. Rajah, yang berasal dari Kampung Bubul Batu 2, Semporna, dilaporkan terkorban dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna, pada pukul 11.10 malam tadi.
Sementara itu, rakan setugas mangsa, Konstabel Zakia Aleip, 26, pula dipercayai dilarikan kumpulan penjenayah berkenaan ke perairan negara jiran.
Ab. Rajah merupakan Jurumudi Kapal Rondaan Air 1, Balai Polis Mabul serta pernah bertugas di Kampung Acheh, Perak.
Jenazah beliau dibawa ke Hospital Besar Tawau, Tawau, pagi ini untuk bedah siasat.
Kejadian itu dipercayai bermotifkan tindak balas kumpulan penjenayah terhadap penguatkuasaan yang dilakukan pasukan keselamatan negara sejak akhir-akhir ini.
Salamah berkata, di sebalik rasa reda, dia percaya anggota keselamatan sedang berusaha menjejaki kumpulan penjenayah berkenaan yang bertanggungjawab membunuh suaminya itu.
Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia menghubungi isteri Zakia, Sharifah Erna Berson, 22, gagal apabila telefon bimbitnya tidak diaktifkan sejak pagi tadi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140714/je_04/Isteri-reda-suami-terkorban-pertahan-negara#ixzz37QRjMaxo


Kami berbangga arwah gugur sebagai wira'

KAMSIAH Indanan (dua dari kiri) tidak dapat menahan sebak ketika mengiringi jenazah anaknya, Ab. Rajah Jamuan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bubul Batu 3 1/2 di Semporna, Sabah, semalam.
SEMPORNA 14 Julai Meskipun air mata masih berlinang mengiringi pengebumian Koperal Ab. Rajah Jamuan, namun perasaan bangga terhadap jasa yang ditunjukkan oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mempertahankan kedaulatan negara dianggap sebagai wira sejati bagi setiap ahli keluarga.
Ayah mangsa, Jamuan Ajuan, 70, berkata, di sebalik dia bersama ahli keluarga lain terkejut ketika dimaklumkan kehilangan anaknya itu, rasa sedih dan gelisah tersebut hilang kerana arwah gugur sebagai perwira negara.
Menurutnya, arwah mempunyai semangat juang tinggi dalam diri ketika bertugas dan sangat komited terhadap kerjayanya sebagai anggota polis.
"Pemergian arwah sebagai anggota polis ketika bertugas merupakan satu kebanggaan setiap ahli keluarga, walaupun ada yang masih berat untuk menerima hakikat itu terutama isteri saya, Kamsiah Indanan.
"Ini satu kejadian yang sangat menyedihkan bagi kami sekeluarga, namun kami berbangga dengan arwah kerana gugur sebagai wira negara," katanya tenang ketika ditemui di sini hari ini.
Majlis pengurusan jenazah Ab. Rajah pada hari ini dilakukan mengikut istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kebun Bunga, Batu 2, dekat sini.
Hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Komander Marin Bukit Aman, Datuk Abd. Aziz Yusof; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Malek Harun; Komander Briged Sabah, Senior Asisten Komisioner Kamarul Bahrin Mohamad dan Komander Pasukan Polis Marin Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Madun.
Sementara itu, anak saudara mangsa, Noor Hani Moktar, 37, berkata, pemergian Ab. Rajah merupakan satu ujian hebat buat ahli keluarga tersebut setelah abang sepupu mangsa baharu sahaja menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lalu akibat penyakit kronik.
Menurutnya, berita kematian bapa saudaranya itu merupakan satu perkara yang sangat tragis, namun dia tabah menerima hakikat tersebut.
"Ketika mana air mata masih belum kering ekoran pemergian abang sepupu Ab. Rajah kerana menghidap penyakit kronik, kali ini kami dikejutkan pula dengan pemergian arwah ketika bertugas.
"Namun kami semua reda dengan pemergian beliau sebagai pejuang negara demi mempertahan tanah air tercinta," katanya sayu.
Ditanya peribadi arwah Ab. Rajah, Noor Hani berkata, bapa saudaranya itu seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap, namun seorang yang fokus dan serius dalam melakukan sebarang tugas selain arwah juga seorang yang penyayang serta bertanggungjawab terhadap keluarga


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140715/dn_13/Kami-berbangga-arwah-gugur-sebagai-wira#ixzz37WqIgil9
© Utusan Melayu (M) Bhd 



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.