AYAT 13-19 SURAH LUQMAN
13.Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".
14.Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu
bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan
(dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya
ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan
kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk
menerima balasan).
15.Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau
mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak
mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan
bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan
orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang
soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan
menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
16.(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak
kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk)
sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di
langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan
dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat
Meliputi akan segala yang tersembunyi
17."Wahai anak
kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta
laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas
segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari
perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
18."Dan janganlah
engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan
janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah
tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
19.."Dan
sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa
berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".
https://www.facebook.com/abmajid.othman
.
1. “Wahai anak
kesayanganku! Allah SWT memerhatikan dirimu dalam
kepekatan malam, semasa engkau bersolat atau tidur lena di belakang tabir di
dalam istana. Dirikan solat dan jangan engkau berasa ragu untuk meninggalkan
perkara makruh dan melempar jauh segala kejahatan dan kekejian.”
2. “Wahai anakku! Selalulah berharap
kepada Allah SWT tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah
SWT. Takutlah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat
berputus asa dari rahmat Allah SWT.”
3. “Wahai anak!
janganlah engkau mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang
lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu
kezaliman yang besar.”
4. “Wahai anakku, Bersyukurlah kepada Tuhanmu kerana kurniaan-Nya. Orang yang
mulia tidak mengingkari Penciptanya kecuali orang yang kufur.”
5. “Wahai anakku! Bukanlah satu
kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu
tidak ubah seperti orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak
mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.”
6. “Wahai anakku! Ketahuilah,
sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke
dalamnya. Jika engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu
dengan sampan yang bernama TAKWA, isinya ialah IMAN dan Layarnya adalah TAWAKKAL kepada Allah SWT.”
7. “Wahai anakku! Orang-orang yang
sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah SWT. Orang yang insaf
dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, maka dia akan sentiasa menerima
kemulian dari Allah SWT juga.”
8. “Wahai anakku! Jadikanlah dirimu
dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau
mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.”
9. “Wahai anakku! Jangan engkau
berjalan sombong serta takbur, Allah SWT tidak meredai orang
yang sombong dan takbur.”
10. “Wahai anakku! Selalulah baik tutur
kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu,
dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap
orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.”
11. “Wahai anakku! Bilamana engkau mahu
mencari kawan sejati, maka ujilah dia terlebih dahulu dengan
berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha
menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak
demikian, maka berhati-hatilah.”
12. “Wahai anakku! Apabila engkau berteman, tempatkanlah dirimu
padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun
biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.”
13. “Wahai anakku! Sesesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan
selamat daripada berkata yang mengandungi racun dan sesiapa yang tidak dapat
menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.”
14. “Wahai anakku! Bergaul rapatlah
dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya
sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya
hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air
hujan.”
15. “Wahai anakku! Janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana
sesuatu yang menggelikan hati, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah
engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, dan janganlah mensia-siakanhartamu.”
16. “Wahai anakku! Sekiranya kamu di dalam solat, jagalah hatimu, sekiranya kamu makan, jagalah kerongkongmu, sekiranya kamu
berada di rumah orang lain, jagalah kedua matamu dan sekiranya kamu
berada di kalangan manusia, jagalah lidahmu.”
17. “Wahai anakku! Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata
yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam
diri. Kalau berbicara, berusahalah agar bicaramu mendatangkan manfaat
bagi orang lain.”
18. “Wahai anakku! Berdiam diri itu adalah hikmah (perbuatan yang bijak) sedangkan
amat sedikit orang yang melakukannya.”
19. “Wahai anakku! Janganlah engkau menghantarkan orang yang tidak
cerdik sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah
saja yang layak menjadi utusan.”
20. “Wahai anakku! Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang
bersifat talam dua muka, kelak akan
membinasakan dirimu.”
21. “Wahai anakku! Sesungguhnya orang bertalam dua muka bukan seorang yang
jujur di sisi Allah SWT.”
22. “Wahai anakku! Jauhilah bersifat dusta, sebab berbohong itu
mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja
berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.”
23. “Wahai anakku! Sesiapa yang berbohong hilanglah air mukanya
dan sesiapa yang buruk akhlaknya banyaklah dukacitanya.”
24. “Wahai anakku! Bersabarlah di atas apa yang menimpa dirimu kerana yang
demikian itu menuntut kepastian kukuh daripadamu dalam setiap kejadian dan
urusan.”
25. “Wahai anakku! Apabila engkau mempunyai dua pilihan di antara takziah
orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati,
sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri
pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.”
26. “Wahai anakku! Janganlah engkau makan sampai kenyang yang
berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih
baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.”
27. “Wahai anakku! Janganlah engkau terus menelan sahaja kerana
manisnya barang dan janganlah terus memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang
itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu
menimbulkan kesengsaraan.”
28. “Wahai anakku! Aku pernah makan makanan yang baik dan memeluk yang
terbaik tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih lazat daripada kesihatan.”
29. “Wahai anakku! Seandainya perut dipenuhi makanan,
akan tidurlah akal fikiran, tergendala segala hikmah dan lumpuhlah anggota
badan untuk beribadat.”
30. “Wahai anakku! Apabila perutmu telah penuh sesak dengan makanan, maka
akan tidurlah fikiranmu, menjadi lemah hikmahmu dan berhentilah (malas) seluruh
anggota tubuhmu daripada beribadat kepada Allah SWT dan hilanglah kebersihan hati (jiwa) dan kehalusan
pengertian, yang dengan sebab keduanyalah dapat diperoleh lazatnya munajat dan
berkesannya zikir pada jiwa.”
31. “Wahai anakku! Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang
yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara
meminta nasihat dari mereka.”
32. “Wahai anakku! Jangan engkau berlaku derhaka terhadap ibu dan
ayahmu dengan apa jua sekalipun, melainkan apabila mereka menyuruhmu derhaka
kepada Yang Maha Berkuasa.”
33. “Wahai anakku! Allah mewasiatkan dirimu; berbuat baiklah dengan ibu dan
ayahmu. Justeru, jangan engkau mengherdik mereka dengan perkataan mahupun
perbuatan dibenci.”
34. “Wahai anakku! Seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana
kesilapan yang kamu lakukan, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi
tanam-tanaman.”
35. “Wahai anakku! Orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri
dalam beribadat dan taat kepada Allah SWT, maka dia tawadduk kepada Allah SWT, dia
akan lebih dekat kepada Allah SWT dan selalu berusaha menghindarkan maksiat
kepada Allah SWT.”
36. “Wahai anakku! Seorang pendusta akan lekas hilang air
mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya
akan sentiasa banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak benar.”
37. “Wahai anakku! Andainya ada sebutir biji sawi terpendam di dalam
batu, pasti ketahuan jua oleh Tuhanmu Yang Maha Melihat, Allah Amat Mengetahui segala sesuatu, zahir
mahupun batin atau apa yang engkau sembunyikan di dalam dadamu.”
38. “Wahai anakku! Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula
itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu
mengerti.”
39. “Wahai anakku! Engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat
batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu
adalah bilamana engkau mempunyai jiran yang jahat.”
40. “Wahai anakku! Aku pernah memindahkan batu-bata dan memikul besi,
tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih berat daripada hutang.”
41. “Wahai anakku! Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya
berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu
malam.”
42. “Wahai anakku! Apakah tidak engkau perhatikan, apa yang Allah
bentangkan bagimu apa-apa yang ada di langit dan di bumi daripada kebaikan yang amat banyak?”
43. “Wahai anakku! Apa yang engkau menikmati di kehidupan ini lantaran kurniaan-Nya yang penuh keamanan,
keimanan dan kebaikan yang melimpah ruah, di taman dunia yang subur mekar
dengan bunga-bungaan serta tumbuhan yang berseri-seri.”
44. “Wahai anakku! Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja dan
nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu.”
45. “Wahai anakku! Janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu
disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan Allah SWT bukanlah untuk
dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang
terpedaya dengan dunianya.”
46. “Wahai anakku! Jangan engkau buang dunia ini ke bakul sampah
kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah
engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang
engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.”
47. “Wahai anakku! Tidak ada kebaikan bagimu untuk mempelajari apa yang belum kamu
tahu sedangkan kamu belum beramal dengan apa yang kamu tahu.”
48. “Wahai anakku! Ingatlah dua perkara iaitu Allah SWT dan
mati, lupakan dua perkara lain iaitu kebaikanmu terhadap hak dirimu dan
kebaikanmu terhadap orang lain.”
49. “Wahai anakku! Kehinaan dalam
melakukan ketaatan kepada
Allah SWTlebih mendekatkan diri daripada mulia dengan maksiat (perkara menyebabkan
dosa) kepada-Nya. Janganlah anakku undurkan melakukan taubat, sebab kematian
datangnya tiba-tiba, sedang malaikat maut tidak memberitahukannya terlebih
dulu.”
50. “Wahai anakku! Sesungguhnya lama
bersendirian itu dapat memahami untuk berfikirdan lama berfikir itu
adalah petunjuk jalan ke syurga.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.