Pages

Subscribe:

11 Oktober, 2014

[hang nadim] Bajet 2015.....Najib gariskan tujuh strategi utama....




NAJIB Tun Razak keluar dari Bangunan Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan di Putrajaya membawa beg berisi dokumen Bajet 2015 yang dibentangkan di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama mengiringi ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kiri), Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan (dua dari kanan) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah (kanan).
KUALA LUMPUR 10 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2015 dengan memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat yang kini berdepan isu peningkatan kos sara hidup, seiring dengan usaha kerajaan untuk memajukan ekonomi negara.
Ketika membentangkan 'Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat', beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan kerajaan pada tahun ini ialah menitikberatkan soal keseimbangan di antara ekonomi modal dengan ekonomi rakyat sebagai falsafah tunjang dalam pembikinan bajet.
Sejajar dengan itu, Perdana Menteri menggariskan tujuh strategi utama dalam memastikan Bajet 2015 benar-benar mencapai objektifnya, selain menjadi bingkisan pelengkap kepada 10 Rancangan Malaysia terdahulu sebelum Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bermula Mei tahun depan.
Tujuh strategi tersebut ialah memperkukuh pertumbuhan ekonomi, memantap tadbir urus fiskal, mengupaya modal insan dan keusahawanan, memperkasa agenda bumiputera, memartabat peranan wanita, membangun program transformasi belia negara serta mensejahterakan rakyat.
Bagi tujuan itu kata Najib, sebanyak RM273.9 bilion diperuntukkan oleh kerajaan untuk 2015, menyaksikan peningkatan RM9.8 bilion berbanding Bajet 2014 yang meliputi RM223.4 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala RM50.5 bilion lagi sebagai perbelanjaan pembangunan.
"Ekonomi keperluan rakyat ini menjadi paksi dan pegangan dalam mendahulukan rakyat. Barulah nanti, apabila mencapai negara maju, nikmat kekayaan dan kemakmuran sebenar negara akan melimpah ke kaki-kaki halaman serta mengetuk pintu-pintu rumah setiap rakyat di negara ini.
"Semoga Allah membentang seluas rezeki dan mempermudahkan selurus-lurus jalan bagi pelaksanaan bajet ekonomi keperluan rakyat. Apabila kejayaan mula menyentuh, mudah-mudahan bahagia mendatangi," katanya ketika membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Perdana Menteri, di bawah peruntukan mengurus, agihan terbesar RM116.4 bilion disalurkan untuk pemberian dan bayaran tetap; RM65.6 bilion (emolumen); RM38.1 bilion (perkhidmatan dan bekalan); RM1.5 bilion (pembelian aset) serta baki RM1.8 bilion untuk perbelanjaan lain.
Sementara itu, di bawah peruntukan pembangunan pula jelas beliau, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi iaitu RM29.3 bilion diikuti sektor sosial (RM12.6 bilion), sektor keselamatan (RM4.9 bilion) manakala RM1.7 bilion untuk sektor pentadbiran serta RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.
Tampil membentangkan bajet keenam sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 2009, Najib membuktikan bajet kali ini berorientasikan rakyat apabila menyenaraikan lapan bantuan atau perkhidmatan untuk manfaat orang ramai menerusi strategi ketujuh iaitu mensejahterakan rakyat.
Ini kerana jelas beliau, ekonomi berorientasikan rakyat bukan sahaja merujuk kepada usaha menurunkan kos sara hidup dan meningkat pendapatan isi rumah tetapi juga merangkumi peluang pendidikan, pekerjaan, perniagaan, kualiti hidup, perumahan, latihan, kemahiran, keusahawanan dan keselamatan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_01/Najib-gariskan-tujuh-strategi-utama#ixzz3Fq5pM9r6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bajet 2015 hargai penjawat awam

PUTRAJAYA 10 Okt. - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 serta bantuan khas untuk pesara RM250 di samping penambahbaikan ke atas 252 skim perkhidmatan awam.
Selain itu beliau berkata, pemberian cuti menjaga anak selama setahun untuk penjawat awam wanita dalam bajet kali ini pula mencerminkan hasrat kerajaan yang mengutamakan kebajikan penjawat awam daripada golongan tersebut.
Malah katanya, perluasan insentif MyBrain15 kepada penjawat awam untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan memperlengkapkan usaha mewujudkan kakitangan awam yang lebih berkualiti.
"Begitu juga dengan pengenalan Skim Perumahan Belia yang boleh dinikmati oleh penjawat awam berkelayakan serta insentif-insentif lain yang menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam antaranya had kelayakan maksimum pinjaman perumahan yang dinaikkan sehingga RM600,000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen hari ini.
Merujuk perkara berkaitan, Ali berkata, pertambahan pembinaan unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M); penurunan harga minimum PPA1M; peningkatan kadar pendapatan isi rumah yang layak memiliki PPA1M kepada RM10,000 serta pemberian geran dana mudah cara kepada pemaju PPA1M juga bertepatan pada masanya bagi memastikan keperluan asas perumahan mampu dimiliki oleh penjawat awam.
"Ini menunjukkan betapa kerajaan secara berterusan mengambil berat dan prihatin terhadap kebajikan penjawat awam sama ada yang masih berkhidmat ataupun yang sudah bersara," katanya.
Sementara itu beliau berkata, dalam tempoh Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran yang bukan sahaja dihadapi oleh negara ini bahkan hingga ke peringkat global semua penjawat awam diingatkan supaya sentiasa berbelanja dan menggunakan wang secara berhemah serta bijaksana.
Pada masa yang sama, beliau turut meminta penjawat awam yang merupakan tunjang dan nadi kepada Agenda Transformasi Negara untuk terus melipatgandakan usaha mempertingkatkan produktiviti supaya sistem penyampaian perkhidmatan awam melangkaui jangkaan rakyat.
"Langkah ini selaras dengan konsep 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Penjawat awam juga perlu bersedia bersama-sama dengan kerajaan untuk melaksanakan Strategi Pembangunan Nasional yang akan dilancarkan pada tahun 2015 di samping merancakkan lagi pelbagai inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
"Semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan hendaklah segera melaksanakan Bajet 2015 untuk kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_04/Bajet-2015-hargai-penjawat-awam#ixzz3Fq6p72IQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.