18 Oktober 2014 4:02 AM
Salleh Ismail (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada ahli jawatankuasa sempena Persidangan Tahunan Perkasa Parlimen Pengkalan Chepa di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU 17 Okt. - Orang Melayu harus bersatu tanpa mengira ideologi politik bagi memastikan ketuanan Melayu tidak hilang di bumi sendiri kerana perkara itu akan menjadi penentu kepada usaha membangunkan syiar Islam di negara ini.
Ahli Dewan Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Leftenan Jeneral (B) Datuk Salleh Ismail berkata, menjadi persoalan bagaimana syiar Islam dapat dikembangkan jika kuasa atau suara orang Melayu Islam sendiri semakin mengecil.
"Lantaran itu, kita harus bersatu tanpa mengira perbezaan fahaman politik demi kepentingan agama, bangsa dan negara terutama dengan pelbagai bentuk ancaman yang kian menyusup masuk," kata beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Tahunan Perkasa Parlimen Pengkalan Chepa bagi 2014 hingga 2016, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Penasihat Perkasa negeri, Fauzi Mohammad; Yang Dipertua Perkasa negeri, Asri Ali dan Pengerusi Perkasa Parlimen Pengkalan Chepa, Wan Malek Wan Ismail.
Salleh berkata, orang Melayu juga harus sedar terdapat gerakan politik golongan tertentu yang tidak pernah alpa untuk mencuri kesempatan daripada perpecahan orang Melayu.
"Keramat sejarah peradaban Melayu perlu dibangkitkan dalam diri kita bagi mengangkat semangat kedaulatan bangsa demi masa depan rakyat dan negara.
"Kita tidak mahu suatu hari nanti orang Melayu akan ketinggalan di bumi sendiri dan pada ketika itu, sudah pasti kegemilangan sejarah peradaban bangsa Melayu sudah tidak bermakna lagi," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan tentang kitaran politik semasa yang dilihat semakin celaru ekoran kerakusan mendapatkan kuasa sehingga sanggup berpecah sesama sendiri.
"Natijahnya bangsa Melayu mudah untuk diperkotak-katik dan Islam pula sewenang-wenang dihina malah institusi raja juga tidak lagi dihormati," katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pastikan-melayu-tidak-lenyap-di-bumi-sendiri-1.13904#sthash.LXeOd6Us.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.